3 diva

Konsert Soul Sisters yang menggandingkan tiga penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar, Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz telah pun berlangsung cemerlang pada 5 dan 6 April lalu. Tiket yang dijual menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) laris sungguh jualannya.

Tribute Soul Sisters khusus buat kumpulan Feminin, menjadi segmen mengujakan sepanjang berlangsungnya konsert yang mengambil tempat di Panggung Sari Istana Budaya. Selain paduan vokal gemersik yang harmoni, ketiga-tiga mereka harus berbangga kerana meski masa beredar, dan muncul pula wajah-wajah baru menyeri industri seni suara…mereka masih kekal relevan di kelas yang tersendiri.

Ketika sesi temu bual dan fotografi ini diaturkan, ketiga-tiga mereka berkongsi debaran, persiapan dan bercerita mengenai sisi lain kehidupan mereka dari sorot lampu limpah dunia glamor. Bersama MW mereka saling berkongsi kisah perihal status sebagai ibu, karier nyanyian dan siapa Misha, Sarah & Noryn.

Naluri Sang Penyanyi Misha Omar

Bakat seninya digali oleh komposer popular Allahyarham Adnan Abu Hassan dan menjadi salah seorang finalis “Bintang RTM” 2001. Bersaing bersamanya di pentas yang sama adalah Siti Sarah Raissuddin dan Azharina. Walau tidak merangkul kemenangan membanggakan ketika itu, bakatnya telah membawanya terus cemerlang sehingga ke hari ini.

“Bekerja keras, jangan sombong dan sentiasa berusaha untuk menggali lagi ilmu baru adalah pegangan saya sejak 17 tahun lalu. Saya juga membataskan diri dari gosip dan sejujurnya saya tidak punya teman akrab ataupun BFF dalam kelompok selebriti. Komitmen saya terhadap keluarga membataskan saya untuk berlama-lama usai urusan kerja selesai.

“Berkolaborasi bersama nama-nama besar seperti yang terbaru berkongsi pentas bersama Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz baru-baru ini mencatat rekod manis buat saya secara peribadi. Mereka sendiri sudah dikenali dengan kemampuan vokal masing-masing yang memukau dan saya berharap bakal ada lagi projek seumpamanya di masa depan,” luahnya merendah diri.

Mangsa Komentar Keterlaluan Netizen

Terdahulu nama Misha terpalit dengan komentar kelaluan netizen, apabila kemenangannya dalam Anugerah Juara Lagu ke 33 (AJL 33) didakwa ada unsur penggunaan sihir. Misha kemudian membuat laporan polis dan menuntut kenyataan maaf daripada individu yang membuat tuduhan tersebut.

“Sebaran status di laman Twitter itu , mendakwa saya melakukan perbuatan khurafat dan melibatkan penggunaan sihir untuk AJL 33. Kenyataan itu mencalarkan reputasi saya yang dijaga baik selama 17 tahun dalam bidang seni suara. Sejujurnya tuduhan ini menjejaskan perasaan saya, keluarga dan memberi kesan kepada karier saya. Tindakan ini dibuat bagi memberi pengajaran kepada semua agar berhemah apabila menggunakan media sosial,” jelas Misha berkenaan tindakan tegas berkenaan isu tidak benar dikaitkan dengannya.

Noryn Pilih Sahabat Yang Jujur Dan Ikhlas

Antara tiga orang ‘soul sisters’ ini, Noryn Aziz boleh dikatakan yang paling tua. Dia menganggap Misha dan Siti Sarah sebagai adik-adiknya. Namun begitu dia ‘respect’ bakat yang dimiliki oleh mereka.

“ Melihatkan bakat mereka itu membuatkan saya perlu berlatih dengan gigih juga untuk sama tahap dengan mereka. Mereka ada kelebihan mereka yang tersendiri. Saya juga ada kelebihan sendiri. Jadi apabila kami digabungkan untuk bekerjasama dalam konsert ini, kami saling lengkap-melengkapi.

“ Saya tahu Misha dan Siti Sarah nama besar dalam ‘mass market’ jika dibandingkan dengan saya. Saya lebih kepada persembahan korporat dan ada peminat saya tersendiri. Jadi benda itu tidak boleh dijadikan alasan untuk saya berada di belakang kerana orang tidak mengenali saya. Saya perlu sebaris dengan mereka dan jadi yang terbaik.

“ Banyak yang saya belajar dari mereka jika mahu masuk ‘mass market’. Sebelum ini saya seorang yang pemalu dan kurang bercakap. Mereka ajar saya jadi lebih berani.”

“ Setiap insan mempunyai sahabat yang boleh dijadikan tempat untuk berkongsi cerita sedih dan gembira. Walaupun bergelar selebriti yang mengenali ramai rakan artis, namun bagi Noryn sendiri, mereka yang bergelar sahabat dalam dirinya adalah orang biasa dan tidak terlibat dalam bidang seni.

“ Mereka selalu menghormati apa yang saya buat. Bagi saya dalam memilih sahabat, paling penting adalah ikhlas dan jujur. Kita tidak ada niat yang pelik di sebaliknya. Kita perlu saling menghormati. Sukar untuk mencari sahabat apabila usia sudah mencecah 40-an. Percayalah adik-adik yang berumur 20-an dan 30-an, apabila berumur 40-an, sukar mencari sahabat. Biar kita tidak ada kuantiti tetapi yang penting kita ada kualiti,” ujar penyanyi cantik ini.

Siti Sarah Pernah Kehilangan Suara

Dalam kesibukannya menguruskan karier nyanyian dan keluarga, Sarah tidak lokek bercerita tentang pengalaman yang pernah kehilangan suara. Perkara ini yang menjadi punca dirinya menyepi sebelum ini. Oleh itu secara peribadi dia sangat bersyukur dengan apa yang dilaluinya kini.

Mungkin orang di luar sana beranggapan Sarah hilang minat untuk menyanyi lagi, namun sebenarnya wanita ini diuji dengan kehilangan suara selema beberapa tahun selepas melahirkan anak. Malahan ini bukan perkara ini berlaku, tetapi sudah dua kali.

“Sudah tentu saya terfikir yang karier nyanyian saya akan berakhir apabila suara saya mula hilang ketika melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni. Selepas melahirkan anak kedua iaitu, Dzahira Talita Zahra, suara saya saya makin teruk.

“Hilang suara ini buatkan saya hanya sekadar boleh menyanyi. Tatkala menyanyi saya tidak mampu mencapai nota tinggi dan rendah. Kesannya saya memang rasa rendah diri dan tertekan. Maklumlah selama ini saya bergantung kepada kelebihan suara bukanlah paras rupa dalam bidang nyanyian.

“Tetapi saya tetap berusaha untuk mendapatkan kembali suara saya selepas melahirkan anak ketiga, Ariq Matin. Untuk pengetahuan semua, ketika menyertai GV3, suara saya masih belum pulih sepenuhnya.

“Oleh itu, untuk kembalikan semula vocal saya, saya mempelajari Teknik vocal yang betul dengan guru vocal iaitu Ernie Zakri. Alhamdulillah hampir setahun, suara saya kembali semula,” ceritanya terharu.

*******

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh tiga diva bersuara emas ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi April, Volume 2 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!

Penyelaras & Teks : Mastura Burhanuddin, Nur Syazwani Mehat & Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Ahmad Shahir Osman
Video: Shahrinizam Othman
Tajaan Pakaian: Anuar Faizal (Instagram: Anuar Faizal Of Adesignhouse)

Baca Disini:

“It’s Ok Idris,You Can Muntah Here..” Luhurnya Hati Adam, Buat Misha Omar Sebak Berair Air Mata!

Akhirnya, Tuhan Makbul Doa Shuib Untuk Siti Sarah..

Jangan Lupa Komen

komen