
Arwah Zara dimasukkan dalam mesin basuh hanya spekulsi, peguam keluarga minta padam video viral. Peguam yang mewakili ibu kepada remaja perempuan arwah Zara Qairina Mahathir yang ditemui meninggal di asrama sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu tampil menafikan bahawa anak guam mereka pernah mendedahkan sebarang maklumat berhubung kejadian menimpa anaknya seperti yang tular dalam media sosial sehari dua ini.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, dua orang peguam bela, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menyatakan bahawa video seorang wanita yang mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi yang tidak disahkan.
“Kami menegaskan bahawa ibu Zara tidak pernah memberi apa-apa maklumat kepada sesiapa mengenai kejadian tersebut. Maklumat yang tersebar bukan daripada pihak kami,” jelas kenyataan itu.
Bahkan jika perkara itu adalah benar, pihak mereka meminta agar wanita yang menularkan video ini menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis bagi tujuan penyiasatan.
Masa yang sama, keduanya turut menjelaskan penyebaran gambar kronologi yang menyebut Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada pukul 8.00 pagi, 16 Julai 2025 sebagai spekulasi sehaja kerana ibu Zara tidak pernah berkongsi sebarang maklumat dengan sedemikian kepada sesiapa.
“Maklumat itu adalah satu bentuk spekulasi yang memberi gambaran salah kepada orang ramai,” tambah kenyataan itu lagi.
Masa yang sama, peguam ini turut menggesa orang ramai agar tidak menularkan wajah pelajar sekolah yang didakwa terlibat dengan kes tersebut. Tindakan itu, jelasnya adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, perbuatan menyebarkan maklumat peribadi pelajar juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, khususnya Seksyen 130 yang melindungi butiran individu.

Dalam kenyataan sama, peguam mewakili keluarga Zara menyeru semua pihak yang telah berkongsi video atau gambar berkaitan agar memadam kandungan tersebut dengan segera.
“Spekulasi tidak membantu siasatan dan hanya menambah tekanan serta kesedihan kepada anak guam kami,” tegas mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat sahih berhubung kejadian turut diminta menyalurkannya terus kepada pihak polis bagi tujuan siasatan dan bukan membuat sebaran sendiri di media sosial.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI