Himpunan solidariti buat Zara Qairina, bergema laungan tuntut keadilan. Ribuan orang membanjiri kawasan himpunan di Sandakan pada malam Jumaat bagi menunjukkan solidariti terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Himpunan Solidariti Buat Zara Qairina, Bergema Laungan Tuntut Keadilan
Acara yang dijadualkan bermula sekitar jam 7 malam dan berakhir pada 9 malam itu pada awalnya berlangsung dengan teratur. Namun, suasana menjadi semakin sesak apabila jumlah kehadiran terus meningkat apabila ramai hadir untuk menyatakan sokongan dan solidariti terhadap pelajar Tingkatan Satu berkenaan.
Sepanjang himpunan, peserta dilihat melaungkan slogan menuntut keadilan dan menggesa pihak berkuasa mengambil langkah tegas terhadap individu yang didakwa terlibat dalam insiden buli sehingga meragut nyawa Allahyarham.
Selain di Sandakan, perhimpunan serupa turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi lain seperti di Lahad Datu dan Tawau, dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Ads
Pihak penganjur menegaskan bahawa himpunan ini diadakan secara aman sambil menyeru masyarakat untuk terus bersatu menyuarakan keadilan buat adik Zara Qairina.
Kes Zara Qairina: Pelajar SMKA TDML trauma diejek ‘pembunuh’ dan ‘pembuli.’ Rentetan kes kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, warga sekolah kini mendakwa berhadapan tekanan emosi yang semakin meruncing.
Seorang guru sekolah berkenaan, Amit Hamid, melalui satu hantaran di Facebook menceritakan bagaimana pelajar-pelajar sering menjadi sasaran ejekan. Katanya, ada kenderaan yang melalui kawasan sekolah menjerit perkataan “pembunuh” dan “pembuli”, seolah-olah keseluruhan komuniti sekolah dipersalahkan. Kejadian itu jelas memberi kesan mendalam kepada emosi pelajar.
Situasi tersebut turut menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa. Amit menjelaskan, ada sebahagian pelajar yang sudah membuat keputusan untuk berpindah ke sekolah lain kerana tidak sanggup menanggung tekanan perasaan.
Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah pelajar yang mengambil langkah sama akan bertambah sekiranya keadaan ini berlarutan. Warga sekolah juga gusar dengan sentimen negatif di media sosial, termasuk kempen boikot yang boleh menjejaskan imej institusi pendidikan Islam berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Amit menegaskan bahawa seluruh warga SMKA TDML juga mahukan keadilan untuk arwah Zara Qairina. Beliau menafikan dakwaan bahawa sekolah berusaha menutup apa-apa fakta berkaitan kes tersebut.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan sejak awal kejadian, manakala pihak sekolah sentiasa memberikan kerjasama penuh.
Berikut catatan penuh Amit Hamid:
Hakikatnya Allah akan mengangkat doa-doa mereka yang di zalimi. Warga TDML tidak pernah diam atau membisu. Buat Masa ini hanya mampu merayu dan memohon pada Yang Maha Esa. Suara kecil kami warga TDML tidak akan mampu mengawal/melawan Racun yang telah tersebar di luar sana, HANYA KEPADA ALLAH KAMI BERSERAH.
Rentetan Kes Viral SMKA TDML, ramai pelajar TDML tertekan dan emosi mereka sangat-sangat terganggu. Beberapa kali anak-anak TDML yang sedang beriadah/menunggu giliran berwuduk mendengar jeritan PEMBUNUH & PEMBULI daripada kereta lalu-lalang di hadapan sekolah.
Inikah suara Keadilan yang ditegakkan oleh netizen seolah-olah semua warga sekolah ini adalah PEMBUNUH & PEMBULI. Hari demi Hari berlalu… kerisauan & tekanan pelajar serta ibu bapa semakin meningkat.
Beberapa orang pelajar terpaksa memilih untuk melangkah berpindah ke sekolah Lain. Mungkin jumlah ini bakal bertambah. Sedar tak sedar, kesah ini bakal menghancurkan Institusi Pendidikan Agama Islam. Malahan kempen perhimpunan BOIKOT SEKOLAH di hadapan sekolah ini mendapat sambutan ramai di media Sosial.
Saya sangat-sangat sedih, terdapat golongan agamawan turut terpengaruh dengan FITNAH yang tersebar. Satu perkara netizen perlu tahu, kami warga sekolah juga mahukan keadilan untuk Almarhumah Zara.
Kami juga tidak pernah sembunyikan apa-apa tentang kisah ini. Pihak berauthoriti telah jalankan tugas dengan baik sejak hari pertama kejadian. Warga sekolah juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan berlangsung. Yakinlah pada ALLAH YANG MASA BERKUASA.
Berilah ruang untuk kami Warga TDML dapatkan ketenangan. Berilah kesempatan untuk anak-anak kami fokus dalam pelajar untuk menghadap peperiksaan SPM & STPM yang semakin hampir.
KAMI MERAYU DAN MEMOHON JANGAN GANGGU ANAK2 KAMI YANG TIDAK BERSALAH. KAMI SAYANGKAN SEKOLAH INI.
Moga urusan kes Zara Qairina dipermudahkan. Sama-samalah kita berdoa.
Dalam dunia yang sentiasa obses dengan penampilan, Sherry Alhadad berdiri megah, bukan kerana bentuk tubuhnya, tetapi kerana pendiriannya. Dalam usia menginjak 41 tahun, pengacara dan pelakon serba boleh ini memilih untuk memelihara kewarasan dan kebahagiaan hati, berbanding mengejar definisi kecantikan yang ditentukan oleh masyarakat.
“Saya bukan tak pernah cuba nak kurus. Tapi siapa yang pernah lalui perjalanan itu, tahu betapa susahnya nak turunkan berat badan secara organik. Saya pernah turun, pernah naik balik. Kategori saya? Yoyo,” ujar Sherry tanpa berselindung.
Dalam satu sesi temubual bersama media usai program MeleTOP baru-baru ini, Sherry secara terbuka mengakui betapa penurunan berat badan bukan semudah yang dilihat di mata kasar. Ia bukan sekadar soal diet atau senaman, tetapi pertarungan dengan diri sendiri.
“Mental kena kuat. Tapi saya belum sampai tahap itu. Kadang-kadang kuat semangat, esok dah ‘down’ semula. Jadi sampai bila aku nak buat macam ini?” katanya jujur, menggambarkan kepenatan emosi yang dilalui ramai wanita, tetapi jarang diucapkan.
Dalam era di mana pembedahan bariatrik menjadi pilihan popular, termasuk kalangan selebriti, Sherry memilih untuk menolak tawaran penajaan pembedahan secara baik. Bukannya kerana skeptikal, tetapi kerana belum tiba masa dan hatinya belum terbuka untuk kaedah tersebut.
“Saya jarang sakit. Tak pernah warded, tak pernah kena tahan di hospital. Jadi saya takut kalau ada apa-apa berlaku. Minta jauh… rasanya belum ada keperluan untuk pembedahan,” katanya, menolak dengan tenang tetapi berprinsip.
Apa yang menarik, Sherry tidak menolak kepentingan kesihatan, malah tetap menjaga pemakanan dan mengawal berat badannya sebaik mungkin. Namun, beliau enggan menjadikan tekanan masyarakat sebagai punca kehilangan jati diri.
“Kalau berat naik sikit, saya akan ingat. Tak boleh Sherry, jaga makan. Tapi saya okay saja dengan badan saya sekarang. Saya dah semakin berusia dan masih selesa,” luahnya dengan ketenangan yang membahagiakan.
Menurut Sherry lagi, dia sebenarnya tetap okay dengan keadaan diri sendiri dan berat badan itu kerana sedar kini semakin berusia sekali gus masih selesa walaupun berbadan besar.
Bersukan atau melakukan aktiviti lasak bukanlah alasan untuk wanita berhijab memandang ringan soal aurat dan penampilan sopan. Dua figura popular tanah air, Nur Fazura dan Lisdawati, menjadi contoh terbaik apabila tetap mengekalkan gaya tertutup, namun tetap manis dan bergaya.
Nama Nur Fazura Sharifuddin, 42, bukan lagi asing dalam dunia seni, tetapi baru-baru ini penampilannya di gelanggang pickleball mencuri perhatian.
Dalam dunia sukan yang semakin trend ini, ramai pemain, baik lelaki mahupun wanita dilihat mengenakan pakaian yang ketat dan mencolok mata. Namun Fazura memilih untuk kekal anggun dengan busana yang sopan, longgar dan menutup aurat.
Seorang netizen berkongsi di Threads:
“Selalu tengok orang main ‘pickle ball’, ramai yang pakai pakaian seksi seksa. Lelaki pun sama, seluar dah macam pakai ‘spender’. Tapi tengok Fazura main, elok sahaja tertutup sopan. Masih nampak cantik dan bergaya.”
Komen itu disambut ramai yang bersetuju bahawa pakaian menutup aurat tidak pernah menjadi penghalang untuk kekal aktif, malah memberi inspirasi kepada wanita berhijab lain untuk tampil lebih yakin.
Sementara itu, pelakon Nisdawati Nazaruddin, 47, atau mesra disapa Lisdawati, juga menerima pujian apabila tampil sopan ketika menyertai perhimpunan motosikal RXZ bersama suaminya, pelakon dan pengarah terkenal, Fauzi Nawawi.
Lisda yang sejak zaman anak dara memang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi, tampil ayu dengan hijab dan pakaian longgar ketika menunggang RXZ, motosikal yang sering dikaitkan dengan imej maskulin.
Seorang pengikut di Instagram memuji:
“Tahniah Lisdawati. Penampilan ‘rider’ muslimah memang ‘rare’. Semoga menjadi ikon kepada ‘rider’ wanita yang lain.”
Malah ada yang mencadangkan agar pasangan ini diangkat sebagai ikon rasmi perhimpunan RXZ yang saban tahun berlangsung di Terengganu.
Dalam dunia hiburan, tidak semua selebriti mampu menjaga batas ketika beriadah. Malah sebelum ini, ada beberapa nama popular yang dikritik netizen kerana berpakaian mencolok mata ketika bersukan, terutama ketika bermain pickleball.
Namun penampilan Fazura dan Lisdawati membuka perspektif baharu bahawa kesopanan tidak pernah menafikan gaya, dan hijab tidak pernah menghalang wanita untuk terus aktif.
Mereka membuktikan bahawa menjadi seorang muslimah yang berhijab tidak bermaksud perlu berkompromi dengan gaya hidup sihat atau minat dalam aktiviti lasak. Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk memperlihatkan keanggunan dalam batas syariat.