Kes Zara Qairina: Datuk Ram Singh wakili 1 daripada 5 tertuduh. Pasukan peguam yang diketuai oleh Hamid Ismail, mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dilihat berada di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu hari ini bagi mengikuti prosiding pertuduhan melibatkan lima remaja di Mahkamah Kanak-Kanak.
Kes Zara Qairina: Datuk Ram Singh Wakili 1 Daripada 5 Tertuduh
Menurut Hamid ketika ditemui media, pihaknya bercadang untuk mengemukakan permohonan penangguhan terhadap prosiding pendakwaan berkenaan.
Dalam masa sama, kelihatan juga barisan peguam bela diketuai Datuk Ram Singh yang difahamkan mewakili salah seorang remaja yang berdepan pertuduhan tersebut.
Ads
Prosiding dijangka berlangsung pada bila-bila masa di bilik Mahkamah Kanak-Kanak, manakala kawasan sekitar mahkamah turut menjadi tumpuan media yang hadir bagi membuat liputan kes berprofil tinggi ini.
Ads
Bagaimanapun, pengamal media tidak dibenarkan untuk mengikuti perjalanan prosiding dari dalam bilik mahkamah selaras dengan ketetapan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Gali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat, mahkamah ada kuasa arahkan jika perlu. Mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah menggali semula kubur bagi mengeluarkan jenazah, khususnya untuk tujuan menjalankan bedah siasat semula, selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad, walaupun mayat yang telah lama dikebumikan tidak lagi mempunyai tisu lembut yang boleh dinilai kerana proses pereputan, namun kecederaan pada tulang masih boleh dikesan dan menjadi bukti penting.
Katanya, perkara ini pernah dijelaskan oleh Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika memberikan keterangan dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
“Saya ambil keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian kadet Zul Farhan (PP lwn. Muhammad Akmal Zuhairi Akmal & Ors [2024] 1 CLJ 795).
“Bagi orang Islam perlu mendapatkan keizinan khas Jabatan Agama Islam Negeri. Bagaimanapun, sudah tentu jika mayat mangsa dikeluarkan, keadaannya tidak sama tetapi banyak kecederaan tulang akan kelihatan.
“Sebenarnya terdapat banyak kes di Malaysia, jenazah yang ditanam telah digali semula ‘exhume’ atau ‘exhumation’ untuk bedah siasat,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, tular kisah seorang ibu, Noraidah Lamat yang memohon bantuan guaman untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya, Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kematiannya.
Nor Zabetha turut berkongsi satu lagi kes melibatkan kematian Dr Sebastian Joseph, di mana bapa mangsa, Joseph Anthony telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengebumikan semula mayat anaknya bagi menjalani bedah siasat kali kedua pada 7 Januari 2015.
Beliau menjelaskan bahawa hasil bedah siasat kedua mendakwa bedah siasat pertama dilakukan secara cuai dan tidak mengikut piawaian profesional, manakala siasatan polis pula dikatakan tidak dijalankan dengan teliti.
“Jadi Plaintif sebagai bapa menyaman pegawai perubatan, polis, pengarah hospital, Ketua Polis dan Kerajaan Malaysia.
“Dalam kes ini terdapat isu-isu tentang kedudukan undang-undang antaranya kewajipan pegawai perubatan adalah untuk kepentingan masyarakat dan bukan pada keluarga, terdapat isu had masa.
“Berdasarkan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tindakan terhadap pegawai awam atau pihak berkuasa Awam mestilah dalam tempoh tiga tahun dari perbuatan. Memandangkan tindakan ini diambil melebihi tiga tahun, jadi tuntutan plaintif ditolak,” jelasnya.
Selain itu, Nor Zabetha juga mengulas kes Zahidah Ahmad dan adik tirinya Maznah, di mana pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula jenazah ibu tiri mereka, Tanziah Zainuddin, yang telah dikebumikan tanpa sebarang bedah siasat.
Ketika memandikan jenazah, keluarga menyedari adanya kesan lebam namun urusan pengebumian tetap diteruskan. Namun kemudian, gelang emas milik Allahyarham didapati hilang dan ditemui telah digadai oleh teman lelaki Zahidah, menyebabkan keluarga mengesyaki unsur jenayah dan membuat laporan polis.
“Sewaktu memandikan jenazah, ahli keluarga nampak kesan lebam tetapi meneruskan urusan pengebumian.
“Selepas kejadian, gelang emas mangsa hilang dan dijual di kedai pajak oleh teman lelaki Zahidah.
“Ahli keluarga mula syak terdapat unsur jenayah, laporan polis dibuat. Setelah mayat digali, bedah siasat dijalankan namun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana pereputan,” katanya.
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini akhirnya dijatuhi hukuman. Maznah dikenakan perintah tahanan di bawah Yang di-Pertuan Negeri disebabkan statusnya sebagai remaja semasa kejadian. Zahidah pula disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.
“Keputusan untuk menggali semula mayat bukan mudah tetapi ahli keluarga akan cuba mencari keadilan sewajarnya kerana mereka mahukan jawapan,” tambah Nor Zabetha.
Pakar forensik: DNA tidak akan musnah walaupun mayat sudah lama dikebumikan. Proses bedah siasat melibatkan pemeriksaan terperinci terhadap mayat bagi mengenal pasti punca kematian seseorang mangsa.
Menurut bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah, Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan, pemeriksaan awal merangkumi pemeriksaan luaran termasuk keadaan pakaian si mati, bagi tujuan pendokumentasian kecederaan.
Beliau menegaskan, maklumat hasil pemeriksaan tersebut amat penting dalam aspek perundangan, khususnya jika kes dibawa ke mahkamah. Proses ini juga akan menilai keadaan keseluruhan tubuh, perubahan luaran berkaitan penyakit atau kematian, serta tanda-tanda kecederaan.
“Jumlah DNA atau bukti diperoleh pada mayat membolehkan individu atau kelompok terbabit dengan kematian mangsa dihadapkan ke mahkamah.
“Menerusi prosedur ini unsur bukan semula jadi yang mungkin mendorong kematian mangsa mampu dikesan kerana DNA tidak akan musnah biarpun mayat sudah lama dikebumikan.
“Ketika bedah siasat ke atas mayat Altantuya Shaariibuu hampir 20 tahun lalu, saya berjaya mengenal pasti punca kematian mendiang menerusi cebisan tulang ditemui di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, pembedahan dalaman tidak diperlukan jika pemeriksaan luaran sudah memadai untuk menentukan punca kematian tanpa keraguan. Namun, sekiranya maklumat itu tidak mencukupi, pemeriksaan dalaman termasuk membuka tempurung kepala, rongga dada, abdomen, pelvis dan anggota badan lain akan dilakukan.
Proses ini diikuti dengan pengambilan spesimen seperti cecair badan untuk ujian toksikologi, pemeriksaan radiologi, analisis kuman, kajian tisu, dan fotografi forensik.
Sementara itu, pakar forensik DNA Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Zafarina Zainuddin berkata, sekiranya jasad telah reput, sisa tisu manusia masih boleh digunakan untuk mengesan punca kematian.
“Mungkin agak sukar untuk kenal pasti sama ada DNA pihak ketiga pada jasad Zara Qairina dipindahkan secara paksa atau sebaliknya, jika kematian berlaku akibat pergelutan dengan rakan seasrama.
“Mangsa dan pelaku mungkin menjalani aktiviti bersama yang membolehkan pemindahan DNA terjadi, sebelum kematian Zara Qairina berlaku dan ini perlu dibuktikan melalui siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau menambah, pemeriksaan ke atas rambut mangsa juga berupaya mengesan sama ada terdapat bahan asing dimasukkan ke dalam tubuh sehingga menyebabkan kematian.
“Kesan dadah bertahan bagi tempoh yang lama pada rambut manusia, selain kesan patah pada tulang yang boleh menentukan sama ada mayat mati akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Kesan patah pada tulang mayat juga boleh kenal pasti cara mangsa jatuh, selain tidak menolak kemungkinan pemeriksaan dilakukan ke atas spesimen tanah kubur bagi tujuan sama,” katanya.
Hati mana yang tidak luluh bila mendengar berita tentang si kecil yang baru mengenal dunia, pergi terlalu cepat. Itulah yang berlaku kepada bayi lelaki berusia tujuh bulan, Muammar Aidil, yang meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu ketika berada di sebuah taska di Wangsa Maju, pada 26 Mei lalu.
Hari ini, insiden menyayat hati itu berakhir di kamar mahkamah apabila seorang pengasuh, Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cuai dalam menjalankan pengawasan sehingga menyebabkan kematian bayi tersebut.
Nor Fatihah, yang hadir dengan jubah hijau, kelihatan sebak. Dia menangis teresak-esak selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin. Suasana menjadi pilu apabila dia ditenangkan ahli keluarga sebelum digari dan dibawa ke lokap mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal mengadakan pengawasan dan pemeliharaan wajar sehingga mengakibatkan kematian Muammar Aidil. Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jam 11.08 pagi di taska terbabit.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwa raya memohon agar tiada jaminan diberikan memandangkan kes ini melibatkan kehilangan nyawa seorang bayi. Namun, sekiranya jaminan dibenarkan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM30,000 bersama syarat tambahan, termasuk melapor diri setiap bulan di balai polis, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.
Nor Fatihah, yang tidak diwakili peguam, merayu agar jaminan dikurangkan kerana menanggung keluarga di kampung.
“Saya ada tanggungan ibu, adik dan ayah kandung sakit saraf. Selain itu, saya ada komitmen dan hujung tahun ini akan berkahwin,” katanya dalam rayuan penuh emosi.
Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September depan.
Kes ini sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap isu keselamatan anak-anak kecil di pusat penjagaan. Kematian Muammar Aidil bukan sekadar satu statistik, tetapi luka mendalam buat kedua ibu bapanya, juga amaran buat semua pihak agar soal pengawasan kanak-kanak tidak pernah dipandang remeh.
Menurut laporan polis sebelum ini, bedah siasat mengesahkan bayi berusia tujuh bulan itu meninggal akibat tersedak susu. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Anak kepada peguam, Aidil Khalid, dilaporkan meninggal dunia selepas dihantar ke taska. Menurut laporan Kosmo!, anak tunggalnya Muammar Aidil yang berusia tujuh bulan dikatakan tidak sedarkan diri selepas dihantar ke premis jagaan itu pada pukul 9.20 pagi.
Pemergian bayi lelaki itu sangat mengejutkan memandangkan bayi itu dihantar dalam keadaan sihat dan ceria oleh ibunya, Nur Farihah Meor Mazli, 29 pada hari kejadian.
Mengulas lanjut, Aidil berkata pada hari kejadian bayinya tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.
Aidil berkata, isterinya menerima panggilan daripada pihak taska yang memaklumkan bayi mereka dalam keadaan seakan-akan pengsan, selain terdapat susu keluar dari hidungnya.
Nur Farihah segera bergegas ke taska berkenaan sebelum membawa bayinya ke Jabatan Kecemasan di sebuah hospital swasta di Setapak.
“Doktor yang melakukan pemeriksaan beritahu bayi kami tidak menunjukkan sebarang respons tetapi pasukan perubatan tetap berusaha memberikan bantuan pernafasan selama 40 minit.
Kes ini sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap isu keselamatan anak-anak kecil di pusat penjagaan. Kematian Muammar Aidil bukan sekadar satu statistik, tetapi luka mendalam buat kedua ibu bapanya, juga amaran buat semua pihak agar soal pengawasan kanak-kanak tidak pernah dipandang remeh.
Menurut laporan polis sebelum ini, bedah siasat mengesahkan bayi berusia tujuh bulan itu meninggal akibat tersedak susu. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tragedi ini memberi pengajaran bahawa menitipkan anak bukanlah perkara kecil. Berikut beberapa panduan yang boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa:
Jika anda rasa sesuatu tidak kena dengan suasana taska atau cara pengasuh melayan anak, usah diabaikan.
Nyawa anak adalah amanah paling berharga. Ibu bapa tidak boleh berkompromi soal keselamatan, manakala pengasuh pula perlu sedar bahawa setiap bayi yang dijaga adalah tanggungjawab besar yang menuntut kesabaran, disiplin, dan ilmu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!