Amalkan tiga perkara yang akan dikongsikan ini. Wahai isteri, memang alam rumah tangga tak seindah yang diimpikan. Banyak liku-liku yang harus ditempoh. Tak semua pasangan ditakdirkan bahagia pada awal perkahwinan, ramai yang terpaksa bersabar. Bahkan pada hari akad nikah sudah pun diuji dengan karenah pasangan atau keluarganya yang menyakitkan hati.
Diuji Sikap Suami
Lebih malang lagi jika suami sendiri berubah hati, ada yang diuji dengan layanan suami yang kurang prihatin. Dalam keadaan mengandung isteri jarang disentuh, abaikan keluhan isteri, tak dipedulikan apabila mengadu sakit. Jika sudah beranak ramai, biasalah kena tengking, dimarah jika meminta itu ini, suami pentingkan kawan, mula berkasar, berkira lagi kedekut dan perangai-perangai yang tak pernah isteri jangkakan.
Bagi para isteri yang masih terkejut dengan alam rumah tangga yang baru dilayari, seelok-eloknya mereka memiliki bekalan yang cukup untuk mengharungi dunia baru ini di sisi suami.
Di antara bekalan-bekalan yang mesti dibawa dalam perjalanan anda setiap hari adalah:
1.SEMANGAT SUBUH
Seorang isteri yang bangun seawal subuh rasa letih tak tertahan kerana beban semalam masih terasa sakitnya, begitulah jihad isteri dalam urusan anak-anak dan suami. Namun begitu ada satu tonik yang akan melonjakkan tenaganya zahir dan batin.
Wanita ini merindui subuh kerana Allah berjanji menjaganya sepanjang hari, sebagaimana sabda Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang solat subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, janganlah menyakiti orang yang solat subuh tanpa jalan yang benar. Jika tidak, Allah akan menyiksanya dengan menelungkupkannya di atas wajahnya dalam neraka jahannam.” (HR. Muslim no. 657)
Jika diuji oleh perangai anak-anak, suami dan rakan-rakan, dia akan cepat beringat untuk mengawal dirinya kerana bekas-bekas solat itu masih melekat dalam minda dan jiwa. Betapa solat subuh itu tonik terbaik bagi seorang isteri mengawali harinya.
Baca artikel menarik lain di sini:
Apa Yang Berlaku Dalam Rumah Tangga Adalah Ujian, Allah Tak Uji Melebihi Kemampuan
Jadi Isteri Ini Tak Mudah, Macam-macam Ujian Datang Bila Bergelar Isteri
Jangan lupa FOLLOW MINGGUAN WANITA di instagram
2.AMALKAN MENGAMBIL HATI ORANG LAIN, ITU UBAT HATI
Bila hati sakit seolah-olah semua jalan sudah tertutup, hidup jadi sempit, susah nak bersyukur akhirnya tersungkur dalam kemarahan dan tangisan. Nasib baik bila kita cepat bangkit, kembali mengumpulkan kepingan-kepingan hati yang pecah berselerak, kita kutip dan lekatkan semula dengan bacaan Al-Quran, zikir dan istighfar.
Kita sapu debu-debu yang mengotorkan hati dengan melihat kesengsaraan orang lain kemudian cuba bersyukur membandingkan dengan kesedihan kita yang tidak seberapa.
Jalan Terbaik…
Bukan mudah mengubat hati yang sakit, apatah lagi jika puncanya selalu berada di depan mata. Tidak ada jalan lain selain cuba mengubat hati orang itu agar dia tidak menyakiti hati kita lagi. Anak misalnya, mahu tak mahu kita kena hadap karenah mereka hari-hari begitu juga suami. Orang-orang di sekeliling dan mereka yang secara langsung bergaul dengan kita adalah punca masalah dalam hati kita.
Oleh itu kita tak boleh hanya mengubat hati sendiri dan melupakan hati mereka. Jika kita cepat sembuh mereka pula tetap sakit sehinggakan menimbulkan masalah kepada kita. Sebaik-baik jalan adalah bersama-sama mengubat hati, ambil hati mereka dahulu bersamaan dengan itu cuba baiki hati sendiri.
Memang Tak Mudah
Caranya memang susah; apa yang kita mahu orang lain melayan kita begitulah kita mesti melayan mereka. Kita mahu dihormati mestilah menghormati, mahu didengarkan mesti bersedia mendengarkan, mahu dipujuk harus berani memujuk, mahu dihargai wajiblah menghargai, mahu dipuji jangan pula kedekut memuji, mahu dirindui jangan malu berkata kita merindui.
Memang tak semua orang membalas kebaikan dengan kebaikan juga tetapi sekurang-kurangnya kita cuba dan serahkan kepada Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati. “Dan sesungguhnya kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..” (surah qaf ayat: 16)
Jika kita tanya pada pasangan warga tua, mereka nampak bahagia tapi sebenarnya senyuman itu tercipta setelah berpuluh tahun berjuang bersama!
3.AMALKAN MENUTUP HARI DENGAN JIWA YANG IKHLAS
Wanita yang keletihan dengan amanah yang dipikul sepanjang hari dinasihatkan menutup harinya dengan menyerahkan segala usahanya itu kepada Allah untuk dinilai. Mengapa anda rasa sangat tidak puas hati kepada suami hari ini?
Kerana anda masih mengharapkan ganjaran daripada suami padahal ganjaran dari Allah itu lebih besar. Oleh sebab itu isteri sentiasa berasa tidak reda kepada suami kerana dengan Allah dia belum reda.
Jika di penghujung malam seorang wanita masih menangisi dirinya atas kelemahan suaminya, dia akan terus disiksa oleh keluhannya sendiri kerana dia tidak membuka pintu redanya kepada Allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI