
Siapa sangka, rumput-rumput liar yang tumbuh melata tepi jalan banyak khasiatnya untuk kucing. Rupanya air rebusan rumput pendul atau ada yang mengenalinya dengan nama rumput helikopter atau rumput mata lalat ni, dikatakan berkesan dalam merawat kucing yang sakit Parvo, selsema atau demam.
Boleh cuba tip yang dikongsikan dari The Mira’s Cat House ini sebagai panduan.
Rumput ini pernah viral dulu. Sekarang viral semula.
Nama rumput ni, RUMPUT PENDUL.
Kalau ada kucing yang sakit Parvo, Selsema atau demam, boleh berikan air rebusan rumput ni pada kucing tersebut. Kucing yang hilang selera makan atau tak nak makan langsung pun boleh diberikan air rebusan rumput ni.
Rumput ni tumbuh meliar di kawasan lapang yang tanahnya agak lembab. Ia tidak akan tumbuh dicelah pohon besar. Ia suka tempat terang dengan cahaya matahari.
CARA-CARA BUAT AIR REBUSAN:
1. Cabut rumput ini bersama akarnya.
2. Bersihkan tanah dari akar dan daun.
3. Patahkan sikit-sikit masukkan daun, batang dan akar ke dalam bekas dan rebus dengan api yang sederhana hingga agak mendidih. Jangan guna api besar, khasiatnya akan hilang.
4. Bila kandungan air sudah jadi separuh, matikan api dan sejukkan pada suhu bilik.
5. Bila sudah sejuk, bagi 10mil hingga 20mil pada kucing yang sakit pagi dan malam.
6. Selebihnya boleh disimpan di dalam peti sejuk. Tapi janganlah lebih dua minggu. Hilang khasiatnya. Kena cari rumput baru dan buat semula untuk stok.
(Perhatian : Ini adalah suplemen, jadi ubat doktor juga diperlukan untuk sembuhkan kucing sakit seperti antibiotik atau sebagainya)
Insha Allah, akan nampak perubahan kucing pada dua atau tiga hari selepas diberikan air rebusan rumput ni.
Selamat mencuba, Semoga bermanfaat.
Baca Lagi Di Sini:
Wanita Ini Kongsi Tip Berkesan Hilangkan Kutu Pada Badan Kucing
Rumah Berbau Hancing, Ini 7 Petua Elak Kucing Kencing Merata, No 5 Yang Paling Berkesan!
MW: Menarik, perkongsian ini. Kalau ada kucing kat rumah yang ada masalah sakit Parvo, demam atau selesema boleh bagi air rebusan rumput pendul ni. Namun jika masih berterusan, dapatkan rawatan di klinik haiwan segera.
Sumber: The Mira’s Cat House
Kini Sudah Boleh Melaram, Ejekan & Sindiran Bebaskan Noraishah Dari Obesiti

Mahu dirinya lebih dihargai, Noraishah binti Mohamed Saad, 32 mula mengorak langkah apabila dirinya menjadi ejekan yang dilemparkan oleh kawan anak kepada anaknya, yang mengatakan ibu ‘gemuk dan hodoh’. Dan dari situ Noraishah berasa tercabar.
“Saya mula mencari jalan untuk menjalani gaya hidup sihat, menjaga makan dan mencari tempat untuk melakukan aktiviti sihat,” terang Noraishah. Akui sebelum ini mengalami masalah berat badan atau obesiti sehingga menyebabkan sakit lutut, sukar berjalan dan solat. Bukan itu saja malah Noraishah juga sering diejek dan sering merasa rendah diri.
“Saya mula lakukan aktiviti kecergasan pada bulan November 2017. Berat saya ketika itu mencecah 83kg. Alhamdulillah saya telah berjaya turunkan berat sebanyak 26kg dan berat terkini 57kg,” ungkap Noraishah yang kini boleh bergaya memakai pakaian yang digemari berbanding dahulu, sangat terbatas dalam memilih pakaian kerana saiz badanya yang besar.
Pilih Senaman Aerobik
Ditanya tentang senaman yang diamalkan sehingga berjaya menurunkan berat badan yang banyak. Noraishah menerangkan selain berjoging dia juga gemar melakukan senaman aerobik.
“Saya mula melakukan aktiviti sihat dengan sertai senam aerobik di Rafflesia Aerobic Studio berdekatan kawasan perumahan saya. Memilih senaman kerana menyeronokkan, malah dapat bakar kalori dengan muzik dan menari.
“Tambahan pula, ramai yang mempunyai misi yang sama di studio tersebut iaitu nak turunkan berat badan sambil ‘enjoy workout’. Jika ada waktu lapang, saya akan bersenam lima hari dalam seminggu memandangkan kelas aerobik dibuat pada setiap Isnin hingga Jumaat,” jelas Noraishah yang jatuh cinta dengan aktiviti kecergasan selepas berasakan badannya ringan apabila banyak keluar peluh.
Meneruskan perbualan, Noraishah juga menerangkan pada hujung minggu dia lebih gemar melakukan aktiviti larian atau berjoging.
“Aktiviti sihat yang lain yang kini menjadi aktiviti yang paling digemari adalah berlari dan berjoging. Sabtu dan ahad atau hari cuti umum adalah hari di mana saya akan berjoging di waktu pagi, petang atau malam (ikut kesesuaian keadaan). Saya bukan berjoging berseorangan, kadang-kadang bersama suami dan anak (tolak stroller sambil berlari). Saya juga akan sertai mana-mana program larian di sekitar Lembah Klang jika ada program yang sesuai dengan masa saya,” luahnya.
Kongsi Aktiviti Sihat Di Laman Sosial
Mahu rakan-rakan juga aktif dalam senaman Noraishah setakat ini masih belum menjadikan aktiviti sihat sebagai sumber rezeki. Cuma buat masa ini dia sering berkongsi pengalamannya di media sosial.
“Saya sering kongsi aktiviti sihat yang saya lakukan di sosial media seperti facebook dan instagram untuk bagi semangat pada kawan-kawan. Selain daripada aerobik dan berlari, saya kerap kali mengikut suami saya bermain badminton bersama rakan-rakannya. Pada mulanya hanya pergi untuk menemankan suami, tapi kini mula belajar dan bermain badminton bersama-sama rakan suami.
“Hampir setiap hari saya melakukan aktiviti kecergasan. Jika hujan atau ada kekangan untuk pergi ke kelas aerobik, berlari, joging atau badminton, saya akan buat senaman ringan dirumah, ikut video zumba di youtube,” katanya.
Wanita ini juga sering menyertai aktiviti marathon. Bermula Disember 2017 hanya dengan menyertai Funrun 5km, kemudian 10km, 13km, half marathon 21km dan terkini full marathon 42km. Malah paling dibanggakan mendapat tempat keenam dalam funrun 5km pada Disember dan finisher medal setiap kali menamatkan larian dalam program yang disertai. Menyentuh tentang wanita yang mahu aktif cergas seperti dirinya, Noraishah berkongsi beberapa tips antaranya pilihlah sukan yang paling digemari dan seronok untuk diikut.
“Bagi wanita-wanita di luar sana jangan mudah terikut-ikut apa yang kawan lakukan. Sentiasa tanya minat sendiri. Cuba buat sekerap mungkin. Jangan buat separuh jalan. Kerana buat kerja separuh jalan akan buat diri kita mudah mengalah. Paling penting beri ganjaran pada diri setiap kali dapat lakukan sesuatu yang baik sepanjang melakukan aktiviti. Contohnya dengan membeli kasut atau baju sukan baru,” sambungnya.
Sangat Berbaloi
Menerusi aktiviti kecergasan yang dilakukan Noraishah akui apa yang dilakukan selama ini sangat berbaloi.
“Ya sangat berbaloi! Saya rasa hidup lebih sihat berbanding keadaan saya yang dulu. Berasa lebih yakin dengan penampilan diri sendiri. Serta keluarga lebih gembira dengan amalan saya sekarang.
“Malah ramai yang bertanya apakah rahsia kejayaan saya hingga berjaya menurunkan berat badan. Di sini saya mahu kongsikan di mana saya mula dengan belajar menjaga permakanan seimbang dan saya sedaya upaya untuk tidak makan yang mengarut-ngarut. Suami yang sangat memberi sokongan juga merupakan punca kejayaan saya menurunkan berat badan. Dia yang akan mengingatkan tentang apa yang boleh dan tak boleh dimakan, serta bagi semangat untuk buat aktiviti kecergasan. Malah dengan menjaga permakanan dan ditambah dengan bersenam sangat membantu proses penurunan berat badan saya,” akhiri Noraishah.
Lutut ‘barai’ tak halang Asikin hiking

Mendaki pada usia melebihi 40 tahun bukanlah mudah. Semangat barangkali penuh membuak-buak, namun yang membataskan keinginan tersebut adalah soal kesihatan dan stamina diri. Berpegang pada kata-kata sang bijak pandai, segalanya bermula dengan langkah pertama. Kalau tidak mencuba, mana mungkin kita tahu kemampuan diri.
Memulakan dunia pendakian tiga tahun lepas, wanita yang juga anak kelahiran Pahang Darul Makmur ini, skeptikal dengan keupayaan dirinya.
‘Boleh ke aku ni memanjat gunung? Kedua-dua lutut puh pernah dibedah akibat kemalangan pada tahun 2001, takut nanti `terbarai’ tengah jalan ‘, bisik hati kecil Nor Asikin Hassan menerusi perkongsiannya melalui aplikasi whatsapp.
“Cuma apa yang mendorong saya terlibat dalam hobi ini ialah soal menjaga kesihatan. Melihat ramai rakan sebaya sudah mula didatangi pelbagai penyakit, maka saya harus menghalangnya dari awal mengikut kemampuan sendiri.
“Prinsip saya mudah, jaga kesihatan sebelum dapat sakit kerana apabila sudah ditimpa pelbagai penyakit, fokus hidup sudah pastinya akan tertumpu kepada soal rawatan. Jadi, elakkan sakit dengan segala usaha yang boleh dan nikmati hidup seluas-luasnya ketika sihat.
“Sebelum aktif dalam dunia pendakian, saya berjinak-jinak dalam larian. Bukan hebat mana pun, paling jauh rekod penyertaan peribada ialah larian sejauh 10 kilometer (km) manakala selebihnya lebih banyak menyertai kategori `fun run’.
“Memulakan hobi mendaki pada tahun 2016 bersama NGO, Nadi Sihat (yang rata-rata ahlinya terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke atas), awalnya sekadar bukit-bukit di sekitar Lembah Klang kami daki. Kemudian, naik taraf ke gunung-ganang yang ada. Yang nyata, daripada sekadar hobi untuk mengeluarkan peluh bersama rakan-rakan sambil bersembang, akhirnya cinta saya tertumpah sepenuhnya dalam dunia pendakian,”kongsinya yang menemui minat baru menjelang usianya memasuki angka 40-an.
Cabar diri tawan bukit dan gunung
Minat membuatkan dirinya bagaikan gian kalau berlama-lama tidak menghirup segarnya udara di dalam hutan serta menatap hijaunya landskap alam yang terbentang dilatari kabus dan awan. Bersama rakan-rakan sealiran, mereka bersama akan merencana bukit mahupun gunung yang ingin ditawan. Pendek kata, jika tidak terikat dengan komitmen kerja…wanita ini tidak teragak-agak untuk lapangkan diri untuk mendaki.
“Bersama rakan-rakan, kami dalam rangka jelajah setiap pelusuk bukit dan gunung untuk menikmati keindahan alam semula jadi, menghirup udara segar dan sekaligus meningkatkan stamina diri. Dengan adanya kumpulan sebegini kami membina hubungan baharu dengan rakan-rakan lain yang luar daripada kelompok bukan rakan sekerja dan berkongsi komentar baru tentang ‘obstacle’ gunung ataupun bukit yang bakal dijelajahi.
“Sebagai orang baru dalam dunia ‘hiking’, pencapaian saya masih di skala amatur. Malah banyak lagi gunung-gunung di Malaysia yang masih saya belum `khatam’ habis lagi. Banyak lagi gunung-ganang yang berada dalam senarai ‘bucket list’ peribadi dan saya ingin membuktikan wanita di usia saya juga mampu melakukannya sekiranya kita tidak pernah berhenti mencuba,”kongsinya.
Berdepan risiko AMS
Pada tahun 2016, beliau berjaya menawan Gunung Kinabalu. Setahun kemudian dia mencapai kejayaan peribadi buat kali kedua dengan menawan Annapura Base Camp (ABC), Nepal. Terkini awal September baru-baru ini beliau berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC)…pencapaian yang membuatkan air matanya tumpah meraikan kejayaannya itu.
“Menceritakan kembali pencapaian menawan EBC, sesungguhnya ia bukanlah mudah. EBC yang setinggi 5364 meter bersama Ohana Adventure Sport melakar satu pengalaman yang cukup indah. Perkara paling ketara adalah keupayaan berlawan dengan cuaca sejuk luar biasa dan boleh mendatangkan risiko yang membahayakan.
“Selain itu bagi pendaki yang tak biasa dengan landskap dan cuaca sejuk melampau, mereka terdedah kepada risiko AMS atau altitude mountain sickness. Orang yang tidak biada dengan altitud tinggi boleh berisiko untuk terkena AMS. Lazimnya ia berlaku apabila anda bergerak dari kawasan rendah ke kawasan tinggi dengan cepat. Di kawasan yang tinggi, oksigen kurang dan boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
“Cara mengatasinya ialah dengan melangkah perlahan-lahan agar badan mampu menyesuaikan iri dengan ketinggian dan suhu sejuk. Jika terjadi AMS yang teruk seperti sakit kepala yang melampau atau muntah berlebih-lebihan…cara merawatnya hanya dengan turun sahaja ke aras lebih rendah,”ceritanya.
Kebaya dan air mata di EBC
Sebaik tiba di puncak EBC, air mata ini tumpah tanpa dapat tahan-tahan. Syukur segala perih jerih mengusung muatan di belakang badan, sambil melalui halangan dari muka bentuk bumi dan juga cuaca yang tidak menentu…akhirnya di usia ini saya berada di puncak yang tinggi. Lebih syahdu kejayaan ini dirakam kemas di kala tanah air tercinta sedang meraikan sambutan kemerdekaan yang ke 62 tahun.
“Pendakian ke EBC dilaksanakan ketika Malaysia masih lagi menyambut bulan kemerdekaannya. Syukur segalanya dipermudahkan. Sepanjang 20 hari pendakian biarpun penat dan sejuk mengigit tulang, sebaik sahaja kaki menjejaki EBC…hilang segala rasa sakit yang dirasai.
“Sebagai tanda menzahirkan rasa kecintaan kepada Malaysia, saya abadikan foto berkebaya sambil memegang bendera Malaysia di EBC. Sama seperti di ABC, saya mengulang kembali kelangsungan daripada misi peribadi bergambar sambil menggayakan pakaian tradisional;kebaya. Sesungguhnya saya tidak akan berhenti disini…doakan saya terus dikurniakan kesihatan yang baik dalam meneruskan cita-cita menawan beberapa lagi gunung-ganang lain di masa depan,”kongsi wanita gunung ini menutup bicara.
SITI NUR QASEH SUDAH LALI DENGAN SUNTIKAN

Sedihnya hati tatkala mendengar perkhabaran daripada doktor mengatakan anak bongsunya menghidap penyakit Biliary Atresia. Azian Abdul Rahman, 45 tidak menyangka anaknya yang baru 50 hari ketika itu disahkan doktor menghidap sejenis penyakit hati yang biasanya dihidapi kanak-kanak.
Tiada kata dapat diungkapkan selain air mata deras mengalir. Dia tidak dapat membayangkan tubuh sekecil itu terpaksa menanggung derita. Siti Nur Qaseh Mohsin telah disahkan oleh doktor pakar pediatrik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ketika itu, beberapa hari selepas dilahirkan, doktor mendapati dia menghidap penyakit kuning yang berpanjangan.
Bagi bayi yang normal, penyakit kuning akan hilang dalam tempoh seminggu, namun penyakit kuning Qaseh berlarutan lebih lama. Matanya turut kuning dan doktor mengesyaki dia mungkin menghidap penyakit hati.
“Selama sebulan Qaseh di hospital bagi pemeriksaan lanjut dan doktor mengatakan dia perlu dibedah. Doktor turut memberitahu hempedu Qaseh tidak mempunyai saluran bagi memproses darah ke hati.
“Mujur penyakit anak saya itu dikesan semasa dia berumur 50 hari kerana jika dikesan selepas berumur 60 hari, darah akan naik ke otak dan besar kemungkinan Qaseh tidak dapat diselamatkan.
“Doktor telah melakukan pembedahan ke atas Qaseh bagi membuang hempedu. Pembedahan tersebut mengambil masa selama enam jam dan bayi seusia itu perlu berpuasa selama lima hari.
“Memang tak sampai hati melihat Qaseh ketika itu. Dia kelaparan kerana tak makan dan tak minum. Hari kedua dan ketiga doktor menyuruh basahkan kapas dan lap bibirnya. Dia asyik menangis sahaja kerana lapar. Selepas pembedahan, doktor kata kena jaga elok-elok kerana jika tidak, kesan jahitan boleh terbuka. Jika pembedahan berjaya, perut Qaseh tidak akan membuncit dan bacaan paras bilirubin normal.
“Bagaimanapun, jika tidak berjaya perutnya akan membuncit dan bacaan paras bilirubin akan meningkat. Setiap hari apabila bangun tidur, saya cepat-cepat melihat perutnya. Alhamdulillah perutnya normal dan tiada perbezaan,” kata Azian yang cukup sedih dengan nasib yang menimpa anaknya. Saat itu juga Azian memberikan sepenuh tumpuan bagi membesarkan Qaseh, walaupun bukan senang hendak menjaga bayi yang sakit.

Ketika Qaseh berumur 50 hari selepas pembedahan Kasai.
Bersemangat & Aktif
Siti Nur Qaseh Mohsin, yang kini berusia 9 tahun pasti ramai tidak menyangka dia seorang kanak-kanak yang sihat.
“Tumbesaran Qaseh juga tidak sama seperti kanak-kanak normal, kerana agak terbantut dari segi ketinggian dan berat badan. Walaupun bersekolah dalam darjah empat, di dalam kelas dia yang paling kecil dan nampak seperti kanak-kanak darjah satu.
“Dia seorang yang sangat bersemangat dan aktif. Di sekolahnya, iaitu Sekolah Rendah Gombak Setia, dia dilantik sebagai pengawas dan dikenali sebagai seorang yang garang dan tegas,” ujar Azian.
Tidak Boleh Demam
Menurut ibunya lagi, Qaseh tidak boleh demam dan tidak boleh berada dekat dengan orang yang demam, batuk, selesema atau terdedah pada jerebu. Dia juga tidak boleh berada di tempat ramai orang dan jika hendak keluar perlu memakai topeng mulut dan hidung kerana antibodinya tidak kuat.
“Jika demam, Qaseh akan segera dirujuk ke hospital dan kadangkala terpaksa dirawat di wad selama dua minggu. Doktor akan memasukkan antibiotik ke dalam saluran darahnya dan setelah habis barulah dibenarkan pulang.
“Dia sudah lali dengan suntikan. Tidak takut atau menangis sakit apabila doktor memberikan suntikan. Apabila dia jatuh sakit, memang kesian tengok dia. Perutnya akan naik dan hanya minum susu melalui tiub di hidung.
“Dahulu semasa bayi saya perlu membawanya ke hospital tiga bulan sekali. Apabila berumur lima tahun dan doktor melihat perutnya tidak buncit, enam bulan sekali dan sekarang setahun sekali sahaja. Apa yang ingin makan, saya masak. Tapi tak boleh banyak sangat kerana berlemak dan berminyak. Dia makan banyak tapi badan tak naik,” ujar ibu kepada tiga orang anak ini.
Perlukan Penderma Hati
Sebagai seorang ibu dia sering risau tentang tahap kesihatan Qaseh.
“Saya bimbang, doktor memberitahu hati Qaseh mungkin boleh rosak apabila dia meningkat remaja nanti dan pada waktu itu dia memerlukan penderma hati.” ungkap Azian yang turut menyatakan Qaseh kini dalam senarai menunggu penderma hati di Hospital Selayang memandangkan senarai pesakit yang menunggu terlalu ramai.