MW berjaya menghubungi Sharifah Maidin yang merupakan anak sulung kepada pelakon komedi legenda tanah air; Allahyarham Maidin Ibrahim. Selepas satu status yang dimuat naik di facebooknya mendapat perhatian ramai. Kata Sharifah lagi, walaupun bapanya artis dan dikenali ramai, arwah mendidik anak-anak supaya jangan hidup meminta-minta. Biar tak mewah dan bermula dari bawah.

Tambah Sharifah lagi waktu sekolahnya tidak seindah anak artis lain. Dimewahkan dengan pelbagai benda. Sebaliknya dengan duit lakonan yang diterima, abahnya menyara lima anak dan seorang isteri dengan membeli lembu dan kambing. Anak-anak diajar berkebun dan menjaga lembu sambil membaca buku serta mencari rezeki menggunakan tulang empat kerat.

Susah macam mana pun, semuanya dilalui sendiri. Melihat sendiri bagaimana abahnya pernah ditipu dalam pada masa yang sama berkongsi rezeki dengan orang susah (melalui duit bayaran lakonan). Sharifah bersyukur diasuh sebegitu walaupun waktu kecil dulu dia selalu berkecil hati dengan layanan abahnya yang  serba kekurangan tak seperti kawan-kawan lain.

Tetapi berkat asuhan orang tuanya, Sharifah dan tiga lagi adiknya hari ini merupakan seorang guru manakala seorang lagi adiknya bertugas sebagai anggota tentera. Betul kata Sharifah dan arwah orang tuanya, hanya pelajaran mampu mengubah kehidupan seseorang.

Allahyarham Maidin Ibrahim pernah popular dengan lakonan filem Anak Mami The Movie, Nana Tanjung dan Mami Jarum Junior meninggal dunia pada 13 Ogos 2014. Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Kampung Pokok Tai, Gurun,Kedah ketika sedang solat Zohor .

________________________________________________________________________

IKLAN

Perkongsian dari anak pelakon komedi terkenal Allahyarham Maidin Ibrahim, Cikgu Sharifah Maidin ❤️

Aku layak ckp kot? Aku anak artis juga. Takda la glamer macam depa sangat. Abah aku pelakon komedi ja. Tapi abah ada la dapat award! Takat berlakon 8 ke 9 filem (kot!). Bayaran artis sekarang tak mcm dulu. La ni kemaih! Abah aku dari program realiti juga…Bintang RTM kot. Tapi abah aku besarkan kami lima beradik tak da minta-minta. Minta tolong adalah. Lepas tu bayaq balik. Abah aku kayuh basikal walau artis. Mula dari bawah. Senang sikit naik motor Yamaha ja.

Jiran kata, rumah kami macam padang bola. Kosong! Kereta mula-mula abah aku bukan second hand, tapi fourth hand. Lepas kami kerja, baru abah beli keta baru. Dengan kereta Kelisa tu lah abah pi show sana sini. Tu pun abah selalu kena tipu. Hampa tau abah aku kata apa? Halailah, Allah bagi kat abah balik nanti. Abah aku tak tunggu pendapatan artis saja. Abah aku guna duit lakonan dan berlawak tu beli lembu dan kambing. Kami la manager dia. Kami la drebar dia.

Mak abah ajar kami anak-anak kerja kebun dan tanam jagung. Aku dan adik aku baca buku sambil jaga lembu dalam kebun getah! Kadang-kadang kawan-kawan aku gelak … Betoi ka hang anak artis? Ada aku kisah? Mak abah ajaq kami adik beradik mengadap dunia dengan berani. Hasilnya anak abah dan mak, empat orang guru dan seorang tentera.

IKLAN

Kami dulu kecik hati kat abah sebab abah jarang bawak kami jalan-jalan. Tapi la ni aku faham. Dulu kecik hati nak pakai baju macam artis, mak tak bagi beli. Semua mak jahit sendiri. Mana nak jd artis kalau mak jahit sendiri? Bila lepas SPM mak hantaq aku pulak belajar jahit baju dan belajar komputer. Mak ni, semua benda nak ajar anak dia buat sendiri. Bakat seni memang turun pada aku. Kecik hati bila dapat course Art & Design UITM, tapi mak tak bagi. Kalau tak…kompom aku lawan Rizalman! Mak tau aku nak jadi macam artis. Nasib baik nooo. Orang tua dia tau kita macam mana..

Aku menyanyi di SM Ibrahim, abah tak berapa benarkan. Menyorok-nyorok aku menyanyi. Tapi dia tauu. Cikgu Rahman, cikgu aku pecah rahsia kat dia. Bila dah jadi cikgu baru dia kata kalau boleh nak jadi artis, jadi mcm Siti Nurhaliza, takpa la masa tu nak kawin dah. Buat kena jeling. Boleh jadi artis..tapi kena ada disiplin. Abah kata kena layan macam buat bisnes. Kecut perut aku. Aku menyanyi, berteater dan menari hanya di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Ibu kandung dalam dunia pendidikan aku.

Memangla, jadi artis ni ada masa adalah rezeki abah. Masa dapat banyak offer, abah kongsi kat masjid-masjid dan orang susah. Mak aku pula faveret dia beli periuk belanga. Kami selalu buat kenduri atau jamuan dulu-dulu. Kalau raya, mihun sup gear box mak aku seperiuk besaq…nak habaq! Abah aku buat kenduri untuk peminat dia. Macam artis la ni la, Fan Club. Tapi dulu tak da benda mcm tu.

IKLAN

Barang kemas tak beli sangat..tapi beli periuk yang macam standard nak buat katering! La ni kalau rindu kat mak…tengok ja la periuk mak tu. Memang mak tak suka bergambar sangat. Tapi mak tinggalkan periuk dan pinggan mangkuk. Mak…pah rindu mak! Kami tak di ajar mewah dengan percutian, tapi kami di ajar cara cari duit sendiri. Usaha dengan tulang empat kerat. Ada masa jatuh juga. Tapi jangan ajar diri meminta-minta. Beringat ketika senang. Kerana kita tak tahu bila kita perlukan.

Abah dan mak sangat pentingkan pelajaran, tanpa pelajaran, kita takan dapat mengubah nasib kita. Dan itulah aku pesankan pada anak-anak didik aku yang malas belajar dan bagi alasan sebab miskin. Aku tau, sebab akulah watak si miskin di sekolah dulu.

Dulu tak dak RMT dan bantuan macam sekarang. Kami anak orang susah berdikari ketika kecil, hujung minggu naik bukit mencari ubi dan kayu untuk bantu mak abah. Sedari kecik di ajar bertanggungjawab pada famili. Mak abah kami tak tunggu bantuan turun dari langit dan tak mahu miskin jadi alasan untuk gagal.

Hebat abah dan mak mengatur kejayaan kami. Salute kat depa.

Al Fatihah buat arwah abah dan arwah mak. Rinduuu.
.
Kredit: Farhaan Rahmat

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI