Masyarakat hari ini ramai yang miskin jiwa. Mereka keliru dalam menilai antara sesuatu yang betul dan salah. Sampaikan, satu-satu perkara yang salah itu boleh dianggap betul andai jadi kebiasaan dan diterima umum.
Sebab itu ada yang tanpa rasa bersalah memviralkan sesuatu isu tanpa ketahui kesahihannya. Anda bangga jika menjadi orang pertama yang menyebarkan sesuatu. Ada juga yang tanpa segan silu berkongsi foto-foto mengaibkan di Facebook mahupun Instagram semata-mata mahu memaklumkan dunia tentang kebahagiaan percintaan yang dialami. Banyak lagi kes penderaan mental yang diakibatkan masalah kejiwaan atau miskin jiwa ini.
Apabila ia cenderung ke arah masalah kejiwaan yang kompleks atau tahap kesihatan mental semakin lemah, ia mendorong kepada penyakit mental malah bunuh diri. Jangan terkejut jika dilaporkan seawal usia 16 tahun dari kalangan 4.2 juta rakyat Malaysia boleh mengalami masalah mental.
Puan Zuraini Razali, Kaunselor Berdaftar Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang dan , Puan Nurkamiliah Binti Ali (KBPA), Pegawai Psikologi Politeknik Kota Kinabalu, Sabah berkongsi maklumat mengenal pasti punca masalah kejiwaan dan panduan mengatasinya.
9 Sebab Anda Miskin Jiwa
1. Ia ada kaitan dengan genetik ataupun keturunan. Menurut kajian, faktor genetik dan keturunan juga boleh menyumbang kepada terjadinya penyakit mental. Ahli keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai sejarah penyakit berkenaan.
2. Gangguan ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak. Keadaan ini terjadi apabila bahan kimia dalam otak tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan gejala penyakit mental akan muncul.
3. Tekanan terlampau, sejarah hidup yang getir dan masalah personaliti. Contohnya keganasan rumah tangga, menjalani kehidupan yang sukar, trauma, faktor kemiskinan, mengamalkan gaya hidup tidak sihat, penyalahgunaan dadah dan alkohol.
4. Dasar ‘Langit Terbuka’ memantaskan masyarakat menerima lambakan informasi tanpa batasan sehingga tidak selaras malah tak sesuai dengan keperluan setiap lapisan masyarakat.
5. Kos sara hidup yang meningkat menuntut mak ayah keluar bekerja. Nak tak nak, anak-anak ditinggalkan dengan pengasuh atau taska. Yang boleh berdikari, seawal umur 7 tahun ditinggalkan sendirian di rumah dengan bekalan gajet canggih sebagai teman. Anak remaja pula bebas bersama kawan-kawan. Masa emas mereka berlalu begitu saja tanpa penerapan aspek spiritual mahupun pembentukan jati diri yang tinggi.
6. Komitmen wanita kepada hutang dan pinjaman pengajian yang mengikat mereka seterusnya membuatkan kesukaran meneruskan kelangsungan hidup berumahtangga. Ini menjadikan mereka perlu bekerja sehingga rumah tangga dan anak-anak terabai kehausan perhatian dan didikan ibu bapa.
7. Kekurangan sifat kepimpinan pada diri suami dalam memimpin diri sendiri khusunya dan juga keluarganya.
8. Pencapaian anak jadi satu persaingan atau status kebanggan ibu bapa. Tanpa sedar, anak kecil kita tertekan. Mereka kehilangan saat indah masa kecil mereka.
9. Hilangnya rasa bertuhan akibatkan kekosongan jiwa. Manusia semakin jauh daripada Allah. Allah yang menjadikan kita, membekalkan panduan yang lengkap untuk dilaksanakan manusia sepanjang zaman. Jadi, tiada jalan lain melainkan kembali berpegang pada taliNya.
13 Usaha Kembalikan Kekayaan Hati
1. Homeschooling
Akibat banyak yang perlu ditambah baik pada sistem pendidikan, keselamatan di sekolah malah sikap para pendidik, ada mak ayah memilih homeshooling untuk anak-anak mereka. Sebab itulah pentingnya dilihat kembali dan diperbaiki sistem pendidikan negara.
2. Ilmu
Banyakkan ilmu kemahiran, pengurusan kewangan, ilmu agama, kepimpinan yang benar sepanjang mendidik anak-anak. Bukan serah bulat-bulat pada sekolah. Mak ayah kutip ilmu dari pembacaan. Cari material ilmu yang membangunkan diri, kemahiran insaniah misalnya pengursan emosi, masa dan penjagaan kesihatan.
3. Mak Ayah Jadi Contoh
Mak ayah perlu membudayakan contoh terbaik dan terapkan nilai positif dalam diri. Anak-anak akan terpengaruh sama untuk mengikut jejak langkah positif anda.
4. Fokuskan Kebaikan
Berilah galakan agar intelektual, emosi dan spiritual anak-anak berkembang dengan baik.
5. Jangan Jadi Batu Api
bantu wanita lain dan beri sokongan, bukannya menjadi batu api atau mencari bahan gosip untuk dibincangkan.
6. Jangan Terlalu Bergantung Pada Suami
Usah meletak pergantungan hidup pada suami semata-mata. Gantungkan segala-galanya kepada Dia. Suami kita juga manusia, dia tak sempurna. Jadi Gunakan kelembutan mendidik anak dan suami agar sentiasa menuju redha Allah.
7. Dapatkan Bantuan
Jangan ambil mudah dengan gejala-gejala sakit mental. Sebaliknya lebih baik kita mengambil langkah mencegah sebelum terjadinya sakit mental. Sekiranya anda mengalami simptom kecelaruan mental, dapatkan bantuan!
8. Elakkan Bersendirian Dan Memendam Rasa
Sebaliknya luahkanlah masalah yang dihadapi kerana dengan meluahkan masalah ia dapat mengurangkan sebahagian beban yang ditanggung. Dapatkan sokongan.
9. Dapatkan Sokongan
Terutama daripada pasangan, keluarga terdekat dan rakan rapat. Luahan perasaan dan sokongan daripada insan tersayang mampu mengurangkan tekanan dan gangguan emosi yang dialami terutamanya bagi kaum wanita.
10. Amalkan Gaya Hidup Sihat
Mulai sekarang luangkan sedikit masa untuk aktiviti-aktiviti fizikal dan riadah. Dapatkan rehat dan masa tidur yang mencukupi.
11. Jauhi…
Najis dadah, alkohol dan rokok. Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Selain itu amalkan asas-asas kerohanian dan spiritual yang baik. Semailah gaya hidup sihat ini bermula dari rumah, bermula dengan mendidik anak-anak kita. Gaya hidup sihat ini adalah merangkumi semua aspek; fizikal, mental, rohani, spiritual, dan jasmani.
12. Bersosiallah Secara Sihat
Pengurusan diri yang baik dan mengamalkan hubungan sosial yang sihat membantu mengatasi tekanan. Belajar menghargai diri sendiri, kenal pasti dan akui kelebihan, kelemahan dan limit diri. Berupaya mengawal perasaan dan tidak terpengaruh dengan kegiatan yang tidak bermoral.
13. Jauhi Konflik Dengan Komunikasi Berkesan
Tingkatkan kemahiran berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain. Komunikasi yang berkesan dapat mengurangkan konflik di antara sesama manusia. Akhir sekali, belajar mengurus tekanan dengan baik dan mempelajari teknik-teknik relaksasi yang mudah untuk diaplikasikan setiap kali merasa tertekan.
Sumber/Foto: Puan Zuraini Razali, Kaunselor Berdaftar Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Pahang
Puan Nurkamiliah Binti Ali (KBPA), Pegawai Psikologi Politeknik Kota Kinabalu, Sabah
via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI