
Isi Kandungan
ToggleSelalunya kalau makanan tak habis, ramai yang buang ke tong sampah. Ada juga yang simpan lebihan makanan dalam peti ais, konon nak panaskan. Sudahnya keras kejung dalam peti ais ada yang dibiar sampai seminggu. Silap-silap sebulan pun penah sebab lupa.
Sebenarnya memasak pun mesti merancang dengan bijak. Ramai antara kita yang gagal membuat anggaran kuantiti makanan yang dimasak, akhirnya makanan yang tidak habis dibuang ke dalam tong sampah. Kita sudah melakukan dua kali kesilapan, gagal merancang dan melakukan pembaziran.
Mulai hari ini, belajar membuat anggaran dengan tepat. Jika masih ada makanan yang tidak habis, tolong jangan buang. Kita guna semula makanan ini dengan cara yang kreatif. Bukan sahaja menjimatkan malah memberi idea kepada kita untuk menambah menu keluarga dengan cara yang tidak disangka. Jom semak beberapa tip berikut, praktikkan dalam kehidupan kita.
1. Hidang Sedikit, Tambah Kemudian
Ketika menghidang makanan untuk dijamu seisi keluarga, jangan letakkan semuanya sekali. Letakkan kuantiti mengikut keperluan ahli keluarga. Asingkan makanan, jika tidak cukup baru kita tambah. Pengasingan makanan ini sangat penting, ia dapat membantu mengekalkan kesegaran makanan dan mengelakkan ia daripada cepat basi.
Bayangkan jika kita sudah ‘lanyak’ makanan tersebut, tiba-tiba ianya tidak habis. Adakah kita akan menyimpannya? Kebanyakan orang akan buang kerana geli. Jadi amat penting kita belajar menghidang makanan sedikit demi sedikit. Kita bukan kedekut tetapi kita mengambil sikap bijak.
2. Cara Simpan Yang Betul
Lebihan makanan hendaklah disimpan dengan cara yang betul. Untuk lauk pauk, sila masukkan di dalam peti ais. Ia dapat mengelakkan makanan basi dan mengekalkan kesegarannya. Makanan seperti nasi yang berlebihan, perlu dipanaskan di dalam periuk elektrik. Ia dapat memelihara kualiti nasi. Asingkan makanan yang tidak habis, letakkan di dalam bekas berbeza. Ingat! Gunakan bekas bertutup jangan biarkan makanan terdedah walaupun diletakkan di dalam peti ais.

3. Kitar Semula Lebihan Makanan
Kitar semula makanan yang tidak habis, caranya mesti betul. Misalnya untuk nasi yang tidak habis, kita boleh membuat nasi goreng. Tambahkan isi ikan atau lauk lain seperti sotong agar menu ini menjadi lebih menyelerakan.
Tip:
Ikan goreng atau ikan sambal yang tidak habis, boleh digunakan untuk membuat nasi goreng. Asingkan tulang, ambil isinya. Tumbuk isi ikan bersama bawang merah dan bawang putih. Kemudian tumis dengan minyak panas sehingga naik bau, masukkan nasi. Cara ini sangat mudah dan praktikal. Emak dan nenek kita di kampung sering melakukannya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menantu Perempuan Bukan Orang Gaji Mak Mentua, Dia Hanya ‘Berkhidmat’ Kepada Suaminya

Isi Kandungan
ToggleMenantu perempuan bukan orang gaji mak mentua, dia hanya ‘berkhidmat’ kepada suaminya. Dalam budaya kita, hubungan antara menantu perempuan dan mak mentua sering kali menjadi topik perbincangan yang sensitif.
Menantu Perempuan Bukan Orang Gaji Mak Mentua
Walaupun peranan menantu perempuan dalam membantu keluarga suami adalah penting, ada kalanya mereka diperlakukan seperti orang gaji oleh mak mentua. Menyuruh menantu perempuan melakukan pelbagai kerja rumah tanpa mempedulikan perasaan dan keperluan mereka boleh menimbulkan ketegangan dalam keluarga.
Sebagai mak mentua, sepatutnya berusahalah untuk menjaga keharmonian dalam keluarga sambil menghormati peranan menantu perempuan. Berikut cara-cara supaya hubungan mak mentua dengan menantu perempuan jadi harmoni.
Dia Hanya ‘Berkhidmat’ Kepada Suaminya
1. Hormati Peranan Menantu Perempuan
Pertama sekali, adalah penting bagi mak mentua untuk menghormati peranan menantu perempuan. Menantu perempuan bukanlah orang gaji, tetapi ahli keluarga yang baru. Menghormati mereka sebagai individu yang setara dalam keluarga adalah asas untuk membina hubungan yang harmonis.
2. Berkomunikasi dengan Terbuka
Komunikasi yang terbuka antara menantu perempuan dan mak mentua adalah kunci untuk mengelakkan salah faham. Jika menantu perempuan merasa terbeban dengan tugas-tugas yang diberikan, mereka harus berani berbincang secara baik dengan mak mentua. Mak mentua pula harus bersedia mendengar dan memahami perasaan menantu mereka.
3. Bekerjasama dan Berkongsi Tugas
Kerja rumah sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama dalam keluarga. Bukannya hanya menantu perempuan yang perlu melakukan semua kerja. Mak mentua, suami, dan ahli keluarga lain juga perlu sama-sama membantu. Ini bukan sahaja meringankan beban menantu perempuan, tetapi juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.
4. Berikan Ruang untuk Rehat
Menantu perempuan juga memerlukan masa untuk berehat, terutamanya jika mereka bekerja di luar rumah atau menjaga anak-anak. Memberikan ruang untuk menantu perempuan berehat apabila mereka pulang ke kampung adalah tanda penghargaan dan kasih sayang. Jangan anggap mereka sebagai orang gaji yang sentiasa perlu bekerja tanpa henti.
Artikel lain: Menantu Perempuan Mak Mentua Bila Sama-sama Keras Kepala Yang Jadi Mangsa Suami/Anak Lelaki
Menantu Perempuan, Menantu Lelaki, Sama-sama Kena Jaga Perangai Jadi Baik
5. Ajak Suami untuk Membantu
Suami memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan menantu perempuan. Suami harus peka dengan keadaan dan perasaan isteri. Mereka perlu membantu isteri dalam kerja rumah dan berperanan sebagai pengantara antara isteri dan ibu mereka jika timbul sebarang konflik.
6. Menghargai dan Mengucapkan Terima Kasih
Menghargai usaha menantu perempuan dalam membantu keluarga adalah sangat penting. Ucapan terima kasih yang ikhlas daripada mak mentua boleh membuat menantu perempuan merasa dihargai dan dihormati. Ini juga boleh menggalakkan mereka untuk terus membantu dengan rela hati.
7. Jangan Bandingkan dengan Orang Lain
Elakkan daripada membandingkan menantu perempuan dengan menantu lain atau orang lain. Setiap individu mempunyai keupayaan dan cara kerja yang berbeza. Penghargaan dan pemahaman terhadap keunikan menantu perempuan adalah penting untuk mengelakkan ketegangan dan konflik.

8. Amalkan Kesabaran dan Toleransi
Kesabaran dan toleransi adalah kunci dalam menjaga hubungan yang harmonis. Mak mentua dan menantu perempuan harus berusaha untuk memahami dan menghormati perasaan dan pandangan masing-masing. Dengan bersikap sabar dan toleransi, banyak masalah boleh diselesaikan dengan cara yang baik.
Kesimpulan
Menantu perempuan bukanlah orang gaji, tetapi ahli keluarga yang perlu dihormati dan dihargai. Melalui komunikasi yang terbuka, kerjasama, dan penghargaan, hubungan antara menantu perempuan dan ibu mentua boleh dijaga dengan baik.
Ingatlah bahawa menjaga keharmonian dalam keluarga memerlukan usaha daripada semua pihak. Dengan saling menghormati dan memahami, kita boleh mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.
Baca artikel lain juga: Mak Mentua Suka Audit Menantu, Rumah Tangga Jadi Kacau Bilau
Mak Mentua Jangan Pandang Rendah Pada Menantu Tak Kaya, Selalunya Merekalah Yang Boleh Diharap
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Kahwin ‘Senyap-senyap,’ Untuk Isteri-Isteri Ini Nasihat Kena Hadam

Isi Kandungan
ToggleSuami yang pemalu, pendiam tidak disangka-sangka menambah ‘cawangan.’ Dalam senyap-senyap, tup-tup si dia pasang seorang lagi tanpa pengetahuan isteri. Kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya yang tersirat dalam hati seorang suami.
Suami Kahwin ‘Senyap-senyap’
Bagaimanakah untuk seorang isteri mengetahui bahawa suaminya benar-benar setia pada dirinya. Menjawab persoalan ini, Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, GrandMaster Hypnotherapist ada jawapan yang boleh merungkaikan tentang perkara ini.
Punca Suami Kahwin Diam Diam
Ada banyak kemungkinan suami kahwin diam-diam. Berikut adalah sebabnya:
i. Telah berjanji untuk mengahwini seseorang tetapi rasa susah untuk mendapat kelulusan dari isteri pertama.
ii. Ingin memenuhi keinginan tapi takut untuk berterus terang.
iii. Kemungkinan disebabkan keterlanjuran dan suami tersebut mengambil tanggungjawab.
iv. Betul betul inginkan isteri kedua disebab inginkan zuriat.
v. Nafsu suami yang terlebih atau tidak boleh dikawal.
vi. Menyambut cabaran atau dicabar oleh rakan rakan.
vii. Memang dia sudah mencintai wanita tersebut.
Sampai Bila Suami Sorok Perkahwinan
Selagi boleh disorok, ianya akan disorok, tetapi tidak ada isteri kedua yang inginkan perkahwinannya disorok. Begitu juga isteri pertama ingin mengetahui kedudukannya. Adakalanya keadaan sekeliling tidak mengizinkan untuk pengetahuan awam. Ianya akan diketahui juga jika suami dan isteri kedua rasa selamat untuk memberitahu isteri pertama.
Kalau Dah Terlajak Kahwin Lagi, Suami Hadam Nasihat Ini
√ Tidak semua isteri pertama boleh menerima kenyataan ini. Suami tidaklah boleh merasa berbangga diri dalam memperolehi isteri kedua, kerana nafsu seorang suami tidak akan berhenti sehingga isteri kedua sahaja. Sekiranya suami lemah dan senang tergugat kepada kecantikan dan godaan wanita, dia akan kecundang akhirnya.
√ Penjagaan kedua-dua keluarga adalah penting terutama sekali bab kasih sayang, perhatian, pemberian, masa dan waktu dan juga kewangan. Perlu berhati hati supaya ianya tidak diungkitkan di masa akan datang.
√ Elak dari bercerita tentang isteri pertama kepada isteri kedua. Ini akan menambahkan stress lagi.
√ Kesemua isteri hendak memberi suami mereka layanan yang baik, layan lah mereka dengan sebaik mungkin
Untuk Isteri-Isteri Ini Nasihat Kena Hadam
Isteri Bertenanglah Bila Suami Kahwin Diam-diam. Hadapi Ujian Tuhan Dengan Sabar
Bak kata pepatah Melayu: Nasi telah menjadi bubur. Jika perkara begini berlaku, si isteri jangan lah terburu buru untuk mengambil keputusan. Seringkali isteri pertama akan melepaskan geram, marah marah serta bergaduh tak kira tempat jika mengetahui perkara yang sebenar.
Isteri hendaklah bersabar dan memahami keadaan suami kenapa dia berkahwin satu lagi. Perkara telah berlaku dan isteri pertama harus menerima kehadiran isteri kedua serta memberitahunya tentang berlaku adil.
Empat Tip Untuk Isteri Pertama:
1. Perlu banyak bersabar dalam menghadapi kehidupan bermadu.
2. Menerima hakikat berkongsi setiap perkara termasuk kasih sayang suami.
3. Merelakan suami ke rumah isteri muda walaupun ianya menyakitkan hatinya.
4. Sering meningatkan suami tentang masa dan perkongsian yang adil dan saksama.
Bila Dah Berkongsi Suami, Isteri Kedua Jangan Tamak

1.Tidak berasa berbangga, riak atau sombong setelah memiliki suaminya.
2. Tidak menyakitkan hati isteri pertama.
3. Mengetahui adat berkongsi suami:
i. Melepaskan Suami balik ke pangkuan isteri pertama serta keluarganya pada masa yang dipersetujui.
ii. Tidak membanding bandingkan layanannya kepada suami dengan isteri pertama.
iii. Tidak menunujuk-nunjuk kepada isteri pertama tentang apa yang dia terima dari suami
Walau Pun Sukar, Suami Kena Usaha Bagi
a. Seboleh bolehnya berlaku adil dalam apa segi pun.
b. Bersikap berterus terang kepada kedua isteri dan anak anak.
c. Jangan menyakitkan hati kedua dua isteri.
d. Tidak melebih lebihkan layanan diantarakedua dua isteri.
e. Tidak melaporkan dan membeza-bezakan perangai di antara kedua dua isteri dan sebaliknya apabila bersama.
Sumber: Dr. Ben Fadzil Mohd Salleh, via Mingguan Wanita
Baca artikel lain yang berkaitan: Suami Mesti Rajin, Tak Boleh Malas Bila Sudah Berumah Tangga, Ikut Acuan Nabi Muhammad SAW
Suami Jangan Berkira, Kedekut Nak Belanja Isteri Walau Ada Pendapatan Sendiri
Suami Perlu Atau Tidak Beri Nafkah Kepada Isteri Bila Kongsi Bisnes & Bahagi Untung Bersama
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sedih Tapi Realiti, Semakin Banyak Kes Perceraian Suami Isteri Golongan Berusia Angkara Orang Ketiga!

Isi Kandungan
ToggleSedih tapi itulah realiti sekarang yang banyak terjadi apabila semakin banyak kes perceraian suami isteri golongan berusia melibatkan orang ketiga. Lebih dikesalkan masing-masing merupakan isteri mahupun suami orang. Tidak menjaga batasan hubungan di media sosial antara puncanya.
Hadamkan perkongsian daripada Pendakwah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ini sebagai pengajaran.
Sedih tapi itulah realitinya. Perceraian di kalangan suami isteri 40’an, 50’an malah 60’an angkara orang ketiga semakin banyak terjadi. Puncanya: Selingkuh – mencintai atau dicintai isteri atau suami orang.
Hubungan haram itu selalunya bermula daripada perbualan di wasap, messenger dan lain-lain media sosial, yang mulanya sekali-sekala, kemudian makin akrab.
Hubungan tercela itu berpunca daripada program re-union (sekolah, IPT, TADIKA) , teman sepejabat, kumpulan sehobi (bela kucing, bertanam pokok dan lain-lain) atau kumpulan berniaga bersama.
Permulaan Perbualan Santai
Pada awalnya memang perbualan santai, tidak ada apa-apa, kemulian meleret-leret sehingga mesra, bercinta, bertemu dan zina.
Ingatlah, wahai suami orang, haram menghubungi isteri orang dengan tujuan bersuka-suka (kononnya hanya untuk berbual bertanya khabar). Wahai isteri orang, adalah tercela melayan lelaki selain suami mu walaupun atas alasan bekas teman rapat, sahabat akrab atau kenalan lama.
Daripada perbualan santai, akhirnya menjadi satu kenikmatan, terus jadi ketagihan. Datang pula rasa kosong bila tidak berhubung Awas, pada ketika itu pintu kecurangan sudah terbuka.
Jika ada lelaki lain di hati Sang isteri, jika ada wanita bersuami di hati Sang suami, terkutuklah perbuatan itu… kau akan menempa neraka. Sepandai-pandai bersembunyi, dosa itu akan terbalas jua!

Pasangan Berusia, ‘Kelihatan’ Beragama Juga Selingkuh
Saya menyentuh isu selingkuh sebab ia paling banyak berlaku. Bukan sahaja pada pasangan muda, tetapi juga yang sudah berusia. Bukan sahaja yang jahil, tetapi yang kelihatannya beragama – berjubah, bertudung labuh dan berlatar belakang agama.
Kepada kaum suami, kita pesankan jagalah maruah isteri orang lain. Menaruh hati kepada isteri orang ialah satu penyakit hati. Kemesraan dan keprihatinan perlu diberi kepada isteri sendiri.
Kepada kaum isteri, jagalah maruah mu. Di mana kau letak rasa malu mu? Hingga tergamak kau habiskan masa berceloteh, mengadu, bercanda akhirnya bermesra dengan membelakangkan suami mu yang halal?
Jangan berhujah yang engkau tidak tahu, tidak ada apa-apa, hanya saja-saja, sedangkan hati kecil mu telah pun membisikkan bahawa semua itu salah kerana menentang fitrah dan mengundang fitnah.
Sekali pasangan mu terluka, bukan mudah untuk disembuhkan apalagi dimaafkan serta dilupakan. Kau telah berlaku zalim kepadanya. Kau telah mengkhianati kepercayaannya.
Jangan sekali-kali beralasan, kesunyian, pasangan tidak pandai membelai, tidak empati, tidak cantik, hilang aura dan sebagainya. Itu semua madah syaitan.
Percayalah, kemanisan yang kau cicipi dalam sembunyi pasti terbongkar jika tidak di dunia, pasti di Padang Mahsyar. Di sana kau akan merangkak memohon belas kasihan pasangan mu…dengan penuh hina dan kasihan mohon keampunan.
Ada yang bertanya, mengapa saya begitu serius tentang isu selingkuh ini?
Re-union Sekolah
Saya pernah bertemu seorang lelaki separuh umur menangis teresak-esak selepas solat Dhuha di sebuah masjid. Bila saya dekati dan bertanya mengapa?
Dia menjawab, “Saya sangat sedih, isteri saya meninggalkannya kami anak beranak selepas kembali bercinta dengan kekasih lamanya zaman sekolah.” Puncanya, perbualan biasa selepas re-union sekolah.
2. Kekasih Lama (Cinta Terhalang)
Saya pernah bertemu seorang sahabat (ustaz) yang berada dalam dilema bila bekas kekasih lama muncul kembali menagih cinta lama yang masih membara(baca: old fire).
Cinta mereka terpisah kerana dihalang ibu-bapa. Dia berkata, “kami terlalu mencintai.”
Saya memujuknya dengan berkata, “dia ada suami. Ustaz ada isteri. Anak masing-masing pun berderet. Hendak diapakan cinta itu?”
Bila dia memberi pelbagai alasan, saya terus menegaskan, “cinta bukan Tuhan. Hingga segala kehendaknya perlu diturutkan.” Bagaimana bertemu kembali? Lewat FB.
3. Hubungan Lelaki Lain
Saya pernah menghadapi seorang suami yang begitu terluka apabila mengetahui isterinya yang begitu disayanginya punya hubungan dengan lelaki lain.
Bila saya bertanya, sejauh mana perhubungan itu, dia menjawab, “belum ada hubungan badan, dating dan sebagainya. Tetapi mereka saling meluahkan perasaan, bertukar-tukar gambar dan berkongsi cerita masa lalu dan kini.”
Bila saya katakan tidak mengapa, kerana belum serius. Suami itu menjawab, “tetapi saya tidak sangka sama sekali isteri saya sanggup melayan hingga begitu sekali. Saya bertungkus lumus mencari rezeki, dia bersuka-suka, bergurau dan bercanda dengan lelaki lain.”
Masih cinta? Tanya saya. Bila dia mengiyakan saya pun berkata, “maafkan, jangan berdendam. Jika boleh belajar melupakan. Jika melupakan terlalu sukar, tidak mengapa. Tetapi jangan sampai itu semua mempengaruhi perjalanan rumah tangga selepas ini. Move on!” Pertemuan, lewat aplikasi messenger.
4. Selingkuh Rakan Sekerja
Ketika menjalankan program-program latihan lebih 24 tahun pada organisasi swasta dan kerajaan, banyak sekali saya temui kes selingkuh sesama rakan sekerja yang melibatkan isteri dan suami orang.
Saya melihat sendiri justifikasi Rasulullah SAW berpesan tentang hal ini pada khutbah baginda yang terakhir. Pada hal ketika itu, Islam sudah sampai ke kemuncaknya dan bibit-bibit empayar Islam sudah kelihatan.

Namun pesan Rasululllah SAW kembali kepada basic – soal asas dan teras – soal rumah tangga. Suami diingatkan, tentang kewajiban memberi nafkah, memberi kasih sayang, berlembut dan melayan isteri dengan baik. Bertanggung jawab.
Manakala isteri, dipesan dua perkara: Jangan membawa masuk orang yang tidak disukai suaminya ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina! Jaga ikhtilat.
Hancur rumah tangga, hancur ummah. Justeru, kamu yang terbaik ialah kamu yang terbaik kepada keluarganya, begitu wasiat Rasululllah SAW.
Ikhtilat Media Sosial
Semasa forum Maulidur Rasul di PPUM baru-baru ini, Dai Anas (yang menjadi moderator) juga meluahkan kebimbangannya tentang kes-kes selingkuh yang semakin meningkat.
Menurutnya, itu yang dinyatakan oleh seorang pakar kaunseling yabg tersohor Tanah Air – Haji Husyim yang banyak berdepan dengan kes-kes perceraian angkara orang ketiga. Puncanya, ikhtilat di dalam sosial media!
Marilah kita berdoa, yang terlanjur silap, kembali bertaubat. Yang masih degil, menyedari kesalahan dan terus istighfar. Ya Allah, kerana cinta ku katakan jua hakikat yang pahit ini. ‘Auzubillah.
Mesti Baca:Pasang CCTV Demi Keselamatan, Luluh Hati Suami Bila Tahu Isteri Curang
Baca Lagi Di Sini: Curang Itu Pilihan Bukan Boleh Dibuat Main-Main, Suami Janganlah Aniaya Pasangan!
Artikel Menarik:Ramai Tak Sedar Punca Retaknya Rumahtangga Juga Bermula Di Tempat Kerja!
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang cukup membimbangkan apabila kes curang melibatkan orang ketiga semakin meningkat. Bukan sahaja orang muda namun golongan berusia juga tidak terkecuali. Semoga kita mengambil pengajaran dan nasihat yang dikongsikan ni, jagalah batas perhubungan di media sosial yang boleh menjadi punca bibit selingkuh.
Sumber: Pahrol Mohamad Juoi
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI