Dikurniakan anak-anak yang ramai memang satu rezeki dalam rumah tangga. Memang bertuah kahwin awal, dikurniakan rezeki anak-anak yang ramai apatah lagi pada usia yang masih tak sampai 40 tahun. Untung usia masih muda, anak-anak pun dah besar.
Shamsuri, 38, antara insan bertuah kerana dikurniakan 11 cahaya mata iaitu enam lelaki dan lima perempuan dengan anak sulung berusia 17 tahun, manakala anak bongsu berusia setahun selepas berkahwin dengan isteri, Rosnaida Ismail, 36, sejak 2005.
“Ramai juga salah sangka ingat saya ada lebih seorang isteri kerana ada ramai anak, tetapi hakikatnya saya tidak berkahwin lebih daripada satu,” kata pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie.
Bersyukur Dikurniakan Anak Ramai
Menurut Shamsuri, dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang ramai dan menganggapnya sebagai rezeki daripada Allah SWT.
“Saya dan isteri berkahwin kira-kira 18 tahun lalu ketika sedang menuntut di universiti. Nawaitu (niat) kami kahwin kerana Allah, jadi syukur sangat dengan rezeki Allah bagi iaitu ada anak ramai yang jaraknya selang setahun serta dua tahun.
“Saya memang suka anak ramai. Ia kerana adik-beradik saya pun ramai, 13 orang semuanya dan saya anak ke-11.
“Isteri pula okey dan kiranya kami satu kepala suka anak ramai. Lagipun, isteri ada tiga beradik saja,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Pastikan Keperluan & Kebajikan Anak Terbela
Bercerita lanjut, Shamsuri berkata, memiliki anak ramai membuatkannya bekerja lebih keras bagi memastikan keperluan dan kebajikan anak terbela.
Sebagai bapa, Shamsuri seboleh mungkin memikul amanah dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
“Bukan senang ada anak ramai kerana 11 orang ada 11 perangai berbeza. Banyak juga perkara perlu difikirkan termasuk yuran persekolahan kerana ada lapan masih bersekolah dan semuanya perlukan kos.
“Anak ramai perlukan tahap kesabaran dan kekuatan tinggi, tetapi alhamdulillah dengan izin Allah, semuanya dipermudahkan untuk dijaga dari kecil sampai sekarang.
“Ia hasil bantuan isteri yang jadi suri rumah sepenuh masa dan anak yang besar bantu uruskan adik mereka,” katanya.
Seronok Keluar Bersama Anak
Shamsuri berkata, waktu paling menyeronokkan adalah ketika membuat persiapan Aidilfitri buat 11 anaknya dan setiap kali keluar bersama mereka.
“Memang meriah apabila nak raya walaupun kos perbelanjaan saya berbeza dengan orang yang ada anak dua atau tiga.
“Sebelum puasa lagi, saya dan isteri sudah buat persiapan beli pakaian untuk anak kerana bimbang tidak sempat jika dilakukan pada saat akhir.
“Setiap tahun, saya belikan mereka pakaian baharu kerana tak sampai hati beri pakai baju yang sama dan bila kami keluar contohnya turun dari kereta untuk ke kedai makan, memang banyak mata memandang.
“Apa-apa pun, bukan itu saja dititikberatkan semata-mata kerana saya cuba didik mereka dengan hantar kesemuanya ke sekolah agama supaya yang penting adalah asas agama,” katanya.
Shamsuri berkata, dia tidak menyangka perkongsian video di TikTok mendapat perhatian ramai warganet.
@shamsuri_safie #rezekiAnakanak🥰🥰🥰 ♬ Bahagia Bersamamu – Ghina Mei
Jangan Malu Ada Anak Ramai
“Ikutkan, saya tidak aktif di TikTok jadi tak sangka ramai menonton video dimuat naik. Niat saya sebenarnya nak bagi semangat kepada orang lain supaya jangan malu ada anak ramai kerana segelintirnya begitu.
“Bukan niat saya untuk menyinggung, melukakan hati atau menunjuk-nunjuk kepada mereka yang tiada anak kerana zuriat itu milik Allah, bukan kita.
“Kita rancang macam mana sekalipun, kalau Allah nak bagi, Dia bagi dan saya bersama isteri cuma berusaha untuk ramaikan lagi umat Nabi Muhammad,” katanya.
Teruja Setiap Kali Lahirkan Anak
Sementara itu, Rosnaida menganggap pengalaman melahirkan 11 cahaya mata adalah perkara normal bagi setiap wanita yang bergelar ibu.
“Alhamdulillah, setakat ini kelahiran anak semuanya normal dan dipermudahkan Allah. Bahkan semua kelahiran awal dari tarikh sepatutnya.
“Perasaan setiap kali melahirkan anak masih sama iaitu teruja, sama saja daripada yang sulung sampai bongsu,” katanya.
@shamsuri_safie #Keluargaku #Kebehagiaanku #Allah ♬ Ya Rabb يارب – Muhajir Lamkaruna
Mesti Baca:“Anak Ramai Cukup Ke, Tak Penat?” Tak Perlu Mengeluh, Setiap Mereka Ada Rezekinya
Baca Lagi Di Sini:Jangan Bangga ANAK RAMAI, Biar Berkualiti Walaupun Hanya SEORANG, Itulah Rezeki & Amanah
Artikel Menarik:Kalau Tak Mampu Beranak Ramai, Pandailah Rancang Jangan Sampai Anak Terabai
Mingguan Wanita: Memang seronok ada anak ramai. Meriah rumah. Apa pun kerjasama dalam keluarga, keadaan ekonomoi kukuh dan sokongan daripada pasangan sangat penting jika ingin mememiliki keluarga yang besar.
Sumber: Hmetro
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI