Wanita! Jangan Terpedaya Pujukan Kahwin Lari, Buruknya Terpalit Ke Diri Sendiri

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang kes kahwin lari atau kahwin di sempadan ini terkawal lah jumlahnya. Apa pun, inilah isu yang biasa berlegar dalam masyarakat kita. Tetap, ada juga yang berani kahwin sembunyi-sembunyi semata-mata kerana cinta katanya.

Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli berkongsi kesan buruknya pada wanita yang mudah terpengaruh dengan pujukan kahwin lari ini.

Wanita, Jangan Mudah Terpengaruh Dengan Pujukan Kahwin Lari

Isu kahwin tanpa pengetahuan keluarga atau bahasa mudahnya kahwin lari adalah isu yang selalu kita dengar. Bahkan, banyak juga isu sebegini ada dalam drama tv, novel dan lain-lain. Cuma semasa PKP ini, saya percaya tak banyak la kes sebegini sebab kita tidak dibenarkan merentasi negeri apatah lagi rentas sempadan negara.

Rakyat Malaysia ini biasa dengar isu sebegini. Bahkan ada di kalangan mereka ini memang lebih suka berkahwin disana. Tambah-tambah pasangan lelaki yang bakal menjadi suami tersebut adalah ‘suami orang’. Ada juga yang pilih untuk berkahwin disana disebabkan tidak mendapat restu daripada wali atau keluarga.

Tapi, apa yang menjadikan saya nak berkongsi dengan pembaca adalah tentang kesan yang buruk kepada wanita. Ramai wanita tak tahu, bila perkahwinan berlaku di sempadan Thailand ini misalnya, kesan yang paling buruk akan berlaku adalah kepada wanita itu sendiri berbanding lelaki tersebut. Antara kesannya adalah:

Boleh Jadi Tak Sah

Mungkin perkahwinan yang nampak macam ‘real’ sebab ada tok kadi semua, tapi ramai juga yang tertipu dengan agen yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Tempat pernikahan yang berlaku tersebut adalah menjadi perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu kerana hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf.

Bahkan, ada juga wanita yang jarak dia dengan wali tidak melebihi dua marhalah dan bermacam lagi alasan. Jadi, kesan yang paling buruk adalah kepada wanita tersebut kerana bila perkahwinan yang tidak sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang ini, akan muncul kesan yang lain hanya disebabkan pernikahan tidak sah. Persetubuhan suami isteri juga menjadi persetubuhan syubhah.

Anak Tak Sah Taraf

Inilah kesan utama yang akan menyusul sekiranya berlaku pernikahan di Sempadan Thai. Anak yang akan dilahirkan tidak boleh ber ‘bin’ atau ‘binti’ kan kepada bapanya disebabkan tidak mempunyai sijil pernikahan Siam. Jadi, yang ada hanya maklumat ibu semata-mata. Jika si bapa ini masih hidup dan belum buat pengesahan mungkin tak menjadi masalah besar.

IKLAN

Tapi, cuba bayankan jika bapa tersebut telah meninggal atau hilang sebelum dibuat pengesahan. Menjadi satu masalah besar untuk si ibu berseorangan membuat pengesahan nikah di Mahkamah dan kemudian membuat pengesahan nasab anak untuk di’bin’ atau ‘binti’ kan anak tersebut kepada bapanya.

Tanggung Nafkah Anak Sendiri

Rentetan daripada kelahiran anak tak sah taraf, isu yang akan timbul adalah ibu dan keluarga ibu tersebut yang akan menanggung segalanya nafkah anak tak sah taraf ini. Si bapa tidak bertanggungan untuk memberi nafkah kepada anak tidak sah taraf kerana ia bukan dinasabkan kepada dirinya. Bahkan, jika si ibu nak tuntut perintah nafkah anak di Malaysia ini, ibu tersebut mesti melalui proses mengesahkan pernikahan, mengesahkan nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak.

Ada banyak peristiwa yang pihak suami enggan peduli nafkah anak yang dilahirkan hasil pernikahan di Malaysia apatah lagi pernikahan di Siam. Meskipun dari segi benih biologi (sperma) tu datang daripada lelaki tersebut, tapi dari segi hukum dan undang-umdang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.

Sukar Bercerai di Malaysia

Jangan ingat langit itu selalu cerah. Rumahtangga ini sifatnya pasang surut. Masa nak pujuk kahwin tu lemah lembut la sifatnya. Pijak semut pun tak mati. Tapi lepas kahwin, timbul pulak isu tak dapat nafkah, kena pukul, tak dapat giliran bermalam yang adil bagi poligami, curang dengan perempuan lain pulak dan macam-macam lagi.

Jadi, isteri ni mula tidak puas hati dan nak mohon cerai. Isteri ini perlu pilih antara dua, cerai semula di tempat pernikahan mereka di Siam tersebut atau membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah dalam Malaysia dan kemudian baru boleh buat permohonan cerai.

IKLAN

Abai Hak isteri

Bila dah kahwin di Siam, tak ada jaminan pun suami tu akan bertanggungjawab berkaitan nafkah dan giliran yang adil untuk berpoligami. Pasangan yang bernikah dalam Malaysia pun ada masalah inikan pula yang bernikah di sana.

Jadi, si isteri ini, jika nak tuntut nafkah diri di Mahkamah, perlu dapatkan pengesahan nikah dahulu. Begitu juga dengan hak bermalam. Ada wanita yang teraniaya dimana suami pernikahan Siam ini tinggalkan terus dan hilang begitu sahaja tanpa nafkah dan sebagainya selepas berjaya melepaskan nafsunya semata-mata.

Hak Selepas Cerai

Jika berlaku perceraian, pastinya ramai wanita yang akan membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan. Selagimana wanita tersebut tidak ada Sijil Perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di Mahkamah.

Banyak wanita yang teraniaya pada isu ini. Sudahlah dipukul, diambil duit dan melahirkan anak tak sah taraf, kemudian bila dicerai atau ditinggalkan, tak dapat pula nak tuntut hak selepas cerai. Tambah-tambah harta sepencarian yang melibatkan hartanah.

IKLAN

Pusaka Suami

Bila suami tersebut meninggal dunia, pasti akan timbul banyak isu besar kepada pasangan yang bernikah di Siam ini tentang Pusaka. Harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami seperti wang di bank, kwsp, insuran, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya tidak boleh diperolehi sedangkan wanita tersebut memang isteri.

Tapi, disebabkan pernikahan tersebut tidak disahkan oleh Mahkamah , maka, isteri tersebut tidak boleh menuntut pusaka tersebut. Akhirnya semua pusama itu hanya dapat kepada isteri pertama sahaja sedangkan dia juga isteri kedua kepada si mati.

√   Mungkin ada lagi isu lain yang wujud bila berlaku pernikahan di Siam ini. Tapi, pastinya wanita yang akan menjadi mangsa terbesar lelaki yang memujuk untuk bernikah di Siam. Percayalah, isu sebegini masih terus berlaku disebabkan kita mudah terdorong dengan tipu daya dan hawa nafsu. Jangan mudah termakan dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya akan berlaku adil dan bertanggungjawab selepas balik ke Malaysia.

√   Berapa ramai dah yang tertipu dek kerana janji tersebut. Kita berharap akan ada kesedaran kepada wanita tentang isu sebegini. Yang menjadi mangsa terbesar adalah wanita. Tolong sampaikan amanat ini pada wanita lain supaya mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.

Oh, buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh, bawa aku pergi….(nyanyi ke tu?)

MW : Fikirlah sedalamnya sebelum nekad untuk kahwin lari itu. Nampak macam jalan akhir, namun sebenarnya masih ada cara lain yang boleh halalkan hubungan dengan lebih baik.

Sumber/Foto : Fahmi Ramli

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI