Sebenarnya ucapan terima kasih dan kata-kata pujian merupakan salah satu cara paling mudah yang mampu menggembirakan hati isteri. Tak perlu keluarkan duit pun yang penting ‘usaha’ menghargai pasangan. Tapi ramai suami yang ‘berat mulut’ nak ucapkan. Sekadar diam mahupun tahu komplen sahaja. Bukan apa bila ucap terima kasih dan puji masakan isteri, sekurang-kurangnya hilanglah sikit penat isteri yang dah bertungkus lumus menyediakan makanan di dapur.
Jemput baca perkongsian Syafiq Ridhwanini sebagai panduan;
Dulu masa baru kahwin, pernah saya cakap dengan bini. “Nanti bolehlah awak tolong buatkan saya bekal makanan setiap hari untuk pergi kerja”. Bini saya kata “boleh saja” sambil tersenyum.
Tahun pertama kahwin. Setiap hari saya bawa bekal ke office. Dan setiap kali tu juga, bila keluar makan dengan kawan-kawan, saya tak kisah menjinjit beg makanan dan makan bersama-sama dengan mereka.
Tahun seterusnya, saya dikurniakan cahaya mata. Rezeki. Pertambahan ahli keluarga membuatkan kehidupan kami menjadi semakin utuh. Tapi sedikit sebanyak ia telah mengambil masa bini untuk melebihkan masa di dapur.
Masa Di Dapur Semakin Kejap
Kalau dulu, bini akan habiskan masa yang agak lama di dapur. Setiap hari dia akan mencuba resepi-resepi baru. Malah ada jua satu ketika, pelbagai lauk dimasak walhal kami berdua je yang makan.
Ads
Bila ada anak, masa di dapur menjadi semakin kejap. Kadang-kala, tak sampai beberapa minit ke dapur, dia sudah kembali ke dalam bilik untuk menyusukan anak, lepas tu saya ambil alih, dia bersihkan diri dan terus solat. Itu belum cerita anak menangis ketika dia baru pegang kuali. Kagum betul saya. Tak pernah dia tinggal tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ajaibnya, masakan dia masih rasa yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Sedap!
Tapi ada juga bila hari yang dia cuti, saya kerja. Bila saya balik kerja, dia akan cakap “Hari ni saya tak makan lagi. Anak tak boleh tinggal. Asyik menangis je nak berteman”. Tanpa banyak soal, saya minta dia bersiap, start kereta dan bawa saja ke mana tempat dia mahu makan.
Buat Terbaik Untuk Isteri
Besar tanggungjawab seorang isteri. Pengorbanan melahirkan anak sudah cukup besar, belum lagi dia berusaha yang terbaik memberikan untuk si suami.
Ads
Sebagai suami, buatlah yang terbaik untuk isteri. Walaupun dengan sekadar mengurutkan kaki ketika dia mengeluh kepenatan, dan meminjamkan telinga ketika dia cuba meluahkan setiap masalah yang dihadapi di pejabat.
Dan mengucapkan terima kasih untuk setiap hidangan dan mengatakan “sedap awak masak” juga mampu mengurangkan sedikit kepenatan yang dia lalui.
Benar.
Ads
Kita pada akhirnya, akan bersama kelak dengan orang yang kita sayang.
Dan kita masih punya masa lagi untuk belajar lebih menghargai antara satu sama lain.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat suami isteri. Pesanan buat suami, hargailah pengorbanan dan penat lelah isteri. Bila isteri masak, luahkan penghargaan pujian mahupun kritikan membina, bukan sekadar diam mahupun tahu komplen sahaja. Sekurang-kurangnya hilang penat isteri bertungkus lumus memasak di dapur.
Umpama satu perjalanan panjang lagi mencabar, setiap suami isteri pasti pernah berkonflik.
Puncanya macam-macam, termasuk kerana sikap mentua yang suka audit menantu!
Bertengkar disebabkan cemburu dengan pasangan tidak sebisa bertengkar kerana campur tangan keluarga mentua. Ada nasihat rumah tangga yang saya pernah dengar, “Biar banyak rumah, tapi jangan ramai serumah”.
Hari ini semakin ramai pasangan muda yang duduk bersama mentua. Mungkin untuk tempoh awal perkahwinan tidak menjadi masalah. Elok juga mentua memberi petua bagaimana nak menjaga anaknya. Tapi apabila sudah terlalu lama, maka akan berisiko untuk timbul hal-hal lain.
Ada mentua yang seperti juruaudit yang selalu membuat pemeriksaan mengejut cara menantu menguruskan anak dan cucunya. Memang niatnya tulus suci mahukan yang terbaik. Tetapi terus-terang cakap, siapa yang suka setiap hari diaudit?
Lebih mencabar apabila suami pula terpaksa menyebelahi ibunya. Oleh itu, elok jika disebut begini. Cukuplah sekadar enam bulan dan selepas itu berdirilah di atas kaki sendiri. Betul, banyak faktor penjimatan tetapi jangan lupa cabarannya juga besar.
Tanpa mengikut urutan keutamaan, saya melihat faktor cemburu kepada rakan pasangan, sering menjadi isu perbalahan antara suami dan isteri. Suami cemburu kepada rakan isteri dan isteri pula sakit mata dengan rakan suami.
Suka atau tidak suka, media sosial memang menyumbang kepada perkara ini. Bekas kekasih lama bertemu semula. Mungkin tidak secara berdepan dan sekadar dalam laman sosial tetapi sudah cukup menggetarkan hati pasangan.
Walaupun masing-masing menyedari status yang sudah berubah tetapi itu memang kerap menjadi penguji tegar kepada keyakinan pasangan sendiri. Oleh itu, pilihan keutamaan ada di tangan anda.
Bertengkar tentang hal dalam bilik tidur juga kerap menjadi isu. Ada isu pasal terlebih dan ada juga isu terkurang. Isu begini jarang berlaku pada pasangan muda tetapi lebih kerap berlaku pada pasangan yang boleh dianggap sudah berpengalaman lima hingga 10 tahun perkahwinan.
Perubahan hormon, kekuatan fizikal dan ayunan emosi yang berbeza menjadikan aktiviti di bilik tidur tidak seringkas seperti waktu berbulan madu dahulu. Waktu itu pantang tersentuh terus ‘menjadi’, tetapi sekarang tidak lagi begitu. Lelaki perlukan layanan fizikal tetapi isteri mahukan lebih perhatian emosi. Memang berlaga!
Masa bercinta semua nampak cantik dan elok. Setelah habis tempoh bulan madu barulah dunia sebenar rumah tangga bermula.
Cinta memang indah tetapi komitmen dalam rumah tangga itu perlu dibuktikan.
Hari ini ramai pasangan yang isterinya mempunyai pendapatan jauh lebih tinggi daripada suami. Ini adalah asid pekat yang pasti menguji kesabaran dan keikhlasan anda.
Tidak salah anda ikhlas membayar lebih kos pengurusan rumah tangga tetapi anda perlu lebih kebijaksanaan untuk berbincang tentang hal tanggungjawab suami. Suka atau tidak realiti ramai pasangan muda hari ini bercerai kerana faktor komitmen kewangan ini.
Jangan lupa yang terakhir ialah faktor cara mendidik anak-anak terutama apabila kedua-dua suami isteri berpendidikan tinggi. Ada pertengkaran disebabkan kelakuan anak-anak yang dianggap berpunca daripada sikap atau cara didikan sama ada si suami atau isteri di rumah. Suami salahkan isteri dan isteri menunding jari kepada suami kerana tidak peduli pasal anak-anak.
Keadaan menjadi lebih runcing apabila pasangan itu dikurniakan anak istimewa. Percayalah, hanya pasangan yang ada anak istimewa sahaja yang tahu betapa hebat cabarannya. Berat mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Masalah besar timbul apabila hanya ada satu bahu sahaja yang memikul dan yang satu lagi berlepas tangan. Oleh itu bersedialah!
Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seperti yang ditemukan di laman muka buku (facebook), Ida Azny Mohd Ali, 33 yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata yang menghidap Epidermolysis Bullosa (EB) jenis Recessive Dystrophic. Bukan seorang tetapi dua cahaya mata Ida dan suami; Mohd Aidil Aiman, 32 disahkan menghidap penyakit kulit (EB), sejenis penyakit genetik gangguan tisu seumur hidup atau info ringkasnya lebih dikenali sebagai kulit rapuh. Nur Siddiqah (7) dan Muhammad Azraqee (5) di diagnoskan dengan keadaan Genetik Ressesive Dystrophic Epidermolysis Bullosa (RDEB) (EB).
Mereka dilahirkan tanpa protein pengikat (antara lapisan kulit atau mukosa membran dengan badan) keadaan ini memberi kesan kepada keseluruhan badan dalaman dan bahagian luaran mereka. Ini mengakibatkan mereka terdedah kepada luka hatta dengan satu sentuhan, ciuman mahupun sedikit geseran pun. Bukan hanya kulit luaran bahkan bahagian dalam seperti mata, mulut, esofagus, usus, saluran pernafasan, saluran nyahtinja dan kencing juga terdedah kepada risiko berlakunya luka.
“Saya dan suami adalah pembawa genetik ini. Antara simptom-simptom ketara RDEB bagi Diqah Aqee adalah kulit, membran mukosa dan organ-organ dalaman mereka tersangat mudah untuk terluka; apabila terkena tekanan dari geseran lembut walaupun tekanan kecil dari satu ciuman.
“Buat masa ini tiada lagi ubat atau rawatan spesifik yang boleh mengubati Diqah dan Aqee. Kerana mereka dilahirkan tanpa sesuatu elemen dalam badan, jari tangan dan kaki mereka seperti dilahirkan kudung. Walaupun begitu, sejak berpuluh-puluh tahun lalu sudah wujud kajian-kajian diseluruh dunia dalam mencari rawatan dan penawar bagi EB. Kini para saintis sedang melihat dan mengkaji bbrp teknologi untuk mengubah DNA EB.
“Terkini, kami sekeluarga berhijrah ke Sydney, Australia sejak tahun 2017 kerana terlibat dengan sesi kajian dan rawatan EB di sini. Insya-Allah selagi ada kajian tentang rawatan EB disini kami akan cuba untuk contribute kepada kajian tersebut. Kos rawatan untuk kedua-duanya mencecah RM7000 ke RM8000 sebulan, itu tidak termasuk kos sewa dan keperluan lain kami sekeluarga di sini. Untuk menampung keperluan kami, suami bekerja di servis menghantar makanan dan saya buat servis masakan untuk makan tengah hari dan makan malam,”kongsi wanita berasal dari Klang, Selangor menerusi emel.
Kos rawatan yang berterusan
Menerusi satu laman muka buku khusus yang diwujudkan sebelum ini di atas nama Deeqarh Tupperware for Diqah&Aqee, segala perkembangan dan kondisi EB yang dilalui dua adik-beradik itu dikongsikan di situ. Melaui medium itu Ida memberi sedikit pendedahan gundah hati dan realiti sebenar yang dilalui dua anaknya. Bukan sedikit kos yang diperlukan untuk menampung kos perubatan Diqah dan Aqee. Kondisi mereka yang memerlukan pemantauan dan dressing membuatkan laman sesawang itu diwujudkan bagi mengumpul dana melalui jualan Tupperware.
“Malangnya kami tidak mampu untuk menanggung kos perubatan mereka setiap bulan yang mencecah sehingga RM7,000. Kami minta maaf kerana jumlah ini bukan diperbesar-besarkan, saya sudah terbiasa mendengar komentar sini berhubung isu kos rawatan anak-anak kami dan mungkin ada yang sukar untuk menerima jumlah ini. Realitinya jumlah ini keseluruhannya di belanjakan untuk dressing.
“Kami tiada kepentingan lain selain memerlukan dressing untuk Diqah Aqee. Mereka sentiasa membesar dan semakin aktif dan keadaan aktif itu menjadikan Diqah Aqee lebih mudah terluka. Kos yg disebutkan ini hanya merangkumi kos dressing Diqah Aqee, kerana mereka memerlukan dressing yang sesuai dengan kulit mereka yang rapuh dan kos dressing tersebut adalah tinggi. Ianya tidak termasuk luka-luka dalaman yang terhasil daripada tindakan spontan mereka seperti bersin, batuk, menelan, membuka mata, kentut, nyahtinja yang perlu perhatian serius.
Kulit kedua-dua kanak-kanak ini akan mengalami gelembung seperti melecur terkena minyak panas dan sebaik sahaja gelembung berkenaan pecah akan mengeluarkan cecair atau darah sebelum kulit tertanggal. Proses berkenaan amat menyakitkan dan mereka terpaksa melaluinya seumur hidup kerana sehingga kini tiada rawatan yang khusus untuk masalah tersebut.
Keadaan itu ditanggung sejak dari lahir dan keadaan bertambah sukar apabila semakin membesar kerana pergerakan mereka perlu dikawal agar tidak mencederakan anggota badan sendiri yang amat sensitif. Diqah dan Aqee sentiasa terdedah kepadsa luka luar dan dalaman dan proses penyembuhan yang berulang ulang menyebabkan mereka lebih mudah terluka dan timbulnya komplikasi lain.
Doa buat Diqah dan Aqee
Dilahirkan tanpa sel pengikat lapisan-lapisan kulit dan membran mukosa. Sedikit tekanan dapat mengakibatkan kulit atau membran mukosa terlongkah dari isi, kulit menjadi melecet dari lapisan terdalam. Kulit dan membran mukosa yang terlibat akan terkoyak dan menghasilkan luka-luka yang memerlukan masa untuk sembuh.
“Anak-anak sentiasa ada luka-luka diseluruh luar dan dalaman badan akibat dari pergerakan dan rutin harian. Luka-luka perlu ditutup dengan pembalut luka khas yang di import dari Sweden sebagai rawatan harian. Anak-anak juga perlu pengawalan komplikasi-komplikasi fizikal dan dalaman akibat dari kondisi mereka, termasuk trauma emosi.
“EB Diqah dan Aqee adalah diklasifikasikan sebagai rare disorder yang di warisi dari saya dan suami. Saya dan suami adalah pembawa genetik tersebut, jadi kami tidak ada simptom-simptom yang sama tetapi anak-anak kami mempunyai 25% kebarangkalian untuk mewarisi EB. Jika tidak, anak-anak kami adalah pembawa genetik tersebut seperti kami.
“Diqah dan Aqee seperti kanak-kanak yang lain, dan mula menyedari kondisi diri mereka yang dilalui saban hari. Kadang-kadang mereka bertanya kenapa mereka perlu melalui keadaan ini dan berbeza dari kanak-kanak lain. Sedaya upaya kami cuba untuk terangkan dengan baik kepada mereka.
“Kami juga tak menghalang mereka bermain. Hanya ingatkan jika tercedera perlu cepat-cepat beritahu supaya boleh uruskan. Bersosial juga tidak ada kekangan… cuma perlu ingatkan mereka untuk beritahu kawan-kawan jangan berkasar dan berhati-hati,”kongsinya mengenai Diqah dan Aqee yang sudah pun mula memasuki alam tadika di sana.
Menurut Ida lagi bukan mudah memahamkan orang sekeliling mengenai realiti kehidupan EB. Dia dan suami pernah tercalar emosi gara-gara tujahan komentar dan ulasan mereka yang kurang empati berkenaan kondisi dua permata hatinya.
“Kami dikurniakan seorang lagi bayi lelaki; Muhammad Rafeeq dan alhamdulillah, tidak seperti abang dan kakaknya, si bongsu kami disahkan hanya pembawa. Apa yang berlaku ke atas anak- anak, seolah-olah keadaan penjagaan, perhatian kami tidak betul atau tidak cukup. Ada juga yang mendakwa kami mendera anak-anak kami.
“Puas juga saya menjelaskan mengenai apa yang berlaku pada anak kami, tentang penyakit EB. Ada juga yang memandang rendah tekanan yang kami hadapi, bukan kata cemuhan dan sifat tidak empati yang kami harapkan. Seperti mana ibu bapa lain, kami setiap hari berjuang melakukan yang terbaik demi Diqah dan Aqee.
Besarlah harapan kami untuk anak-anak syurga kami dan masa depan kami sekeluarga. Kami juga mengharapkan sokongan berterusan dari anda diluar sana. Bantu kami melalui berkongsi page ini dan kongsikan fakta EB yang benar bersama rakan-rakan anda. Mungkin ada yang mengalami situasi ini, diharapkan perkongsian ini memberi sedikit kekuatan buat mereka,”tutur wanita cekal ini mengenai harapan dan doanya terhadap anak-anaknya. Bagi yang ingin meringankan beban keluarga ini, adalah boleh follow laman muka buku (facebook) rasmi mereka iaitu; Kida Azny dan Mohd Aidil Aiman untuk perkembangan semasa Diqah dan Aqee. Semoga Allah memberikan kesembuhan buat Diqah dan Aqee.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pesanan buat lelaki dalam mencari calon isteri, pertimbangkan 4 perkara yang dipesan oleh nabi iaitu harta, keturunan, rupa dan agama. Namun demikian selain perkara tersebut, perlu ambil kira juga keadaan rumahnya, keluarganya, serta mak dan ayah wanita tersebut.
Adakah benar-benar boleh menerima dengan hati terbuka selepas berkahwin nanti. Bukan apa, apabila membuat keputusan berkahwin, ia bukan sahaja melibatan dirinya sahaja, kita turut ‘berkahwin’ dengan keluarganya. Jika pada awal lagi, tidak dapat menerima mereka seadanya, ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari, mampu membuatkan hati seorang isteri berbelah bahagi. Dalam dilema terpaksa memilih antara ketaatan suami dan tanggungjawab pada orang tua.
Sebelum mengahwini mana-mana perempuan, tengok rumahnya, tengok keluarganya, tengok kesihatan orang tuanya…
Jangan kahwin dengannya jika kita tidak mampu tinggal didalam rumahnya…jangan kahwin dengannya jika kita tidak boleh terima keluarganya…jangan kahwin dengannya jika kita ingin menghalang dia untuk berbakti kepada orang tuanya…
Jika kita memilih untuk meneruskan jugak hubungan itu, kelak kita hanya akan menerimanya seorang diri sahaja, bukan tempat tinggalnya, bukan keluarganya, bukan orang tuanya..
Kita tidak selesa di rumah mertua, kita tidak balik ke rumah mertua, kita tidak suka kepada orang tuanya, kita tak nak orang tuanya datang ke rumah kita dan kita tak nak dia berbakti kepada mereka.
Sikap dan perbuatan kita tu sebenarnya akan membuatkan hati seorang isteri berbelah bahagi…samada mengikut kata-kata dan kemahuan suaminya sekaligus mengecilkan hati kedua orang tuanya, atau memilih orang tuanya berbanding suami.
Jika ingin menerima seorang wanita itu sebagai isteri yang akan tinggal bersama dengan kita seumur hidup kita, maka terimalah dirinya, tempat tinggalnya, keluarganya, orang tuanya, SEADANYA mereka…
(Begitulah juga sebaliknya sebelum menerima mana-mana lelaki sebagai suami)
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW:Memang ada benarnya. Apabila kita membuat keputusan untuk berkahwin, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan sahaja, malah turut ‘berkahwin’ dengan ahli keluarganya. Adalah amat penting dapat menerima keluarga pasangan sebaik-baiknya dengan hati terbuka, bagi mengelak sebarang masalah berbangkit di kemudian hari.