Bangun pagi menyediakan sarapan untuk suami, berkejar untuk menyidai pakaian yang dibasuh pada malamnya. Balik kerja terus singsing baju ke dapur untuk menyediakan makan malam. Selepas itu, rehat seketika sebelum mengemas rumah dan lipat pakaian yang diangkat dari ampaian.

Mungkin inilah realiti sebenar tugas seorang isteri dan ibu. Lihatlah secara mata hati, berapa ramaikah wanita yang terikat dengan rutin skematik ini seakan telah diprogramkan untuk dirinya, hinggakan tidak ada ruang untuk dirinya sendiri, rutin yang sangat skeptikal.

Sesiapa sahaja boleh membayangkan bagaimana tugas seorang isteri yang bagaikan robot rumah tangga. Adakah sememangnya isteri telah diprogramkan kehidupannya sebegini selepas berkahwin. Di manakah keindahan rumah tangganya? Mengulas lebih lanjut topik ini bersama Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy.

Kalau Suami Nak Bahagia, Bahagiakan Dulu Isteri

Taat Pada Suami

Adilkah bagi seorang isteri? Suami pulang kerja, duduk di atas sofa dan mengharapkan isteri menyediakan hidangan makan malam tampa menjengah ke dapur atau bertanya khabar isteri. Baju hanya dicampakkan ke dalam bakul dan bila isteri lambat, mulalah mengkritik isteri.

Isteri anda bukanlah robot, dia ada emosi, perasaan, keingnan dan impian. Bukannya hanya menanti disuruh dan mengikut apa yang diperintah. Tidak dinafikan, isteri mesti taat kepada suaminya.

IKLAN

Rumah tangga perlukan nilai saling menghormati, menghargai, melengkapi dan berkasih sayang, cinta- mencintai dan rindu-merindui. Perlu ada nilai ehsan dalam rumah tangga agar isteri tidak terbeban, begitu juga dengan suami.

Tinjauan mendapati antara 20 – 30 peratus daripada kes perceraian adalah disebabkan suami tidak menunaikan tanggungjawab. Kenapa ini berlaku? Mungkin juga kerana ego si suami yang tinggi melangit, tiada toleransi dan tidak bersikap kasih dan sayang kepada isterinya, mungkin dia beranggapan yang katanya tidak boleh dibantah, biar pun terpesong dan memesongkan.

Alasan Suami

Suami perlu mengubah minda dan membuat anjakan perubahan dalam cara melayan isteri. Ini penting untuk menimbulkan rasa bahagia dan cintanya pada suami dan realitinya, isteri akan tetap buat kerja rumah atas sebab tanggungjawab dan keinginan tanpa sebenarnya perlu dipaksa perintah.

Bukan satu perkara yang sukar sebenarnya untuk suami mengubah cara layanan kepada isterinya. Olahan cara fikir dan cara tindak akan melupuskan persepsi dan budaya isteri sebagai robot rumah tangga ini.

IKLAN

Isteri ada haknya yang perlu dipenuhi oleh suami, begitu juga sebaliknya. Cuma bila pemikiran masyarakat kita hanya terdorong untuk bercakap tentang hak suami, akan wujudnya ketidakadilan bila mana suami dengan semudahnya tidak menunaikan hak dan tanggungjawabnya kepada isteri dan beranggapan cukup dengan wang ringgit semata. Walhal soal emosi dan perasaan seorang isteri juga merupakan hak yang perlu dipenuhi si suami.

Pendekatan Untuk Suami

Melalui pendekatan NLP, Neuro Linguistic Programme, ada lima langkah yang boleh dimanfaatkan oleh suami.

Frame

Suami perlu bina kerangka dalam fikiran bahawa isterinya adalah anugerah dan amanah Allah SWT ke atas dirinya, memperlakukan isterinya dengan baik dan penuh kecintaan adalah ibadah dalam rumah tangga. Pandanglah isterinya dengan pandangan kasih sayang.

IKLAN

Tanggungjawab

Tanggungjawab suami adalah memenuhi nafkah zahir dan batin malah juga emosi isterinya, Suami perlu memahami dan bersama-sama isterinya membantu dalam hal ehwal rumah tangga. Tanggungjawab ini perlu dibuat dengan rasa cinta dan ehsan kepada isterinya. Bayangkan bagaimana harmoninya rumahtangga dengan wujud saling melengkapi dan saling tanggung jawab dalam rumah tangga.

Perhatian

Betulkan kembali niat dalam rumah tangga. Kenapa berkahwin dan apa yang diinginkan dalam perkahwinan, ada kalanya bila telah lama dalam perkahwinan, nilai utamanya makin luput dan pudar dalam rumah tangga, yang tinggal hanya rutin dalam rumah tangga dan ramai pasangan terikat dan jumud dalam rumah tangga ini.

Story

Ada banyak kisah dalam rumah tangga sama ada kita belajar daripada pengalaman sendiri mahupun daripada pengalaman orang lain. Namun hebatnya adalah setiap kisah ini ada ibrah-Nya. Setiap suami sewajarnya boleh mewujudkan kisah sendiri yang menyenangkan hati dan menggembirakan rasa, satu kisah rumah tangga yang dicontohi dan menjadi sebutan yang baik. Kisah ini yang akan terus membajai rumah tangga dengan cinta dan pengharapan.

Target

Ramai yang terlupa akan tujuan dan matlamat akhir dalam rumah tangga, suami perlu kembali berpegang bahawa matlamat utama dalam perkahwinan adalah ke syurga-Nya. Setiap apa yang dibuat dan bagaimana suami melayan isterinya adalah untuk ke syurga-Nya. Asbab utama adalah melalui perkahwinan ini. Seorang suami yang berpegang kepada hakikat ini tentu sekali tidak akan memperlakukan isterinya seakan robot malah akan membentuk ruang terbinanya kasih sayang dalam rumah tangga.

Kesimpulan

Alam rumah tangga ini penuh dengan keindahan, malah rumah tangga yang harmoni akan mewujudkan lebih kejayaan buat suami dan isteri. Namun ia perlu diusahakan, mudahnya jika suami inginkan rasa bahagia, dia perlu membahagiakan isterinya. Jika suami mahu dicintai, dia juga perlu mencintai isterinya. Suami yang memperlakukan isterinya sebagai robot rumah tangga juga akan rasa kekosongan dan tiada perasaan bahagia dalam dirinya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI