
Derma organ demi menyelamatkan nyawa insan lain yang memerlukan, kisah pemergian Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, tular dek kerana kebaikan hamba Allah ini pergi secara tiba-tiba selepas diserang jantung.
Derma Organ Selepas Meninggal Dunia

Arwah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), ahli keluarga termasuk ibu bapa dan isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32 sepakat untuk membenarkan proses pendermaan organ dilakukan memandangkan usia arwah yang masih muda.
Menceritakan detik sebelum kejadian, Azlan berkata, anak kedua daripada lima beradik itu pada mulanya mengalami simptom gastrik selama lima hari sebelum tiba-tiba rebah di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik di Wakaf Tapai bersama ibu bapanya, petang Selasa lalu.
”Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Wakaf Tapai sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Hulu Terengganu sekitar jam 6 petang.
Selepas diberikan bantuan pernafasan, arwah dipindahkan ke wad neuro dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Syukri yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam berhampiran Hospital Hulu Terengganu disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.06 tengah malam tadi.
Kisah Allahyarham menjadi tular di media sosial selepas upacara ‘Walk of Honor’ diadakan di HSNZ pagi tadi sebagai tanda penghormatan tertinggi kakitangan perubatan atas jasa mulia arwah sebelum prosedur pengambilan organ dilakukan pada jam 5 pagi.
Syukri Bazli Selamatkan Tiga Nyawa Selepas Hembuskan Nafas Terakhir

Mengulas mengenai peribadi arwah, Azlan menyifatkan Muhammad Syukri sebagai seorang yang sangat penyayang, periang dan ringan tulang membantu keluarga tanpa pernah meninggikan suara terhadap anak-anaknya yang berusia satu, tiga dan enam tahun.
”Kami pasti akan merindui kehadirannya setiap kali perjumpaan keluarga. Arwah meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak sulung mereka yang merupakan anak istimewa (autisme).
“Walaupun dia tiada sejarah penyakit kronik, sifatnya yang sentiasa rela berkhidmat kepada orang lain membuatkan kami memutuskan untuk meneruskan pendermaan organ ini sebagai amal jariah terakhirnya,” tambah Azlan.
Anda mungkin berminat dengan
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah bapanya di Kampung Tok Dor dan neneknya di Felda Bukit Bading untuk penghormatan terakhir.
Solat jenazah dijangka dilaksanakan di Masjid Tok Dor selepas Isyak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh pada malam Ahad.

Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

