Bila usia anak 7 tahun, mk-mak mula merasakan mereka perlu berpuasa seperti orang dewasa lain. Sedangkan pada usia ini tidak wajib pun tapi boleh saja mak ayah mengajar berpuasa.

Tapi paling sedih, bukan setakat mak ayah yang paksa berpuasa pada anak 7 tahun tapi turut melibatkan guru terutamanya bila di sekolah. Sampaikan anak kena menipu kerana terlalu lapar dan dahaga.

Ada cara nak didik anak 7 tahun berpuasa. Lihat kemampuan dan jangan terlalu tegas sampai boleh membuatkan anak mula belajar menipu pula. Ikuti penjelasan daripada Ustazah Norul Huda Bakar, pensyarah Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Jangan Paksa Anak Puasa, Mak Ayah Kena Pandai Tackle Biar Keinginan Datang Sendiri

Boleh Jadi Anak Curi Minum Air Masa Mandi Atau Curi-curi Makan Masa Mak Tak Nampak Sebab Itu Kena Ajar Anak Puasa Tanpa Upah!

Info Lebih Menarik DI SINI

Anak 7 Tahun Dipaksa Puasa

Ada cara betul nak mendidik anak berpuasa terutamanya yang baru menjejak kaki ke sekolah.

Hukum fiqh telah menjelaskan bahawa kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa di bulan Ramadaan. Walaupun demikian, sekiranya kanak-kanak yang telah mumayyiz (yang telah tahu membezakan perkara baik dan buruk) berpuasa, maka sah puasanya.

Walaupun kanak-kanak tidak berkewajipan menunaikan ibadah puasa, menjadi kewajipan kepada ibu bapa pula untuk mendidik dan menyuruh anak-anak berpuasa di bulan Ramadan supaya mereka terbiasa melakukan ibadah berpuasa sehingga ke dewasa. Seperti kata pepatah: ‘Alah bias tegal biasa’.

Para ulama’ fiqh mencadangkan tahap umur kanak-kanak yang sesuai diajarkan dan disuruh berpuasa adalah pada umur 7 tahun. Dengan mengqiyaskan kepada hadith suruhan anak-anak mendirikan solat.

مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).

IKLAN
Bagi pandangan saya, oleh kerana suruhan anak-anak berpuasa tiada dalil secara langsung seperti mana suruhan anak-anak mendirikan solat, selain daripada menggunakan usia 7 tahun boleh juga dilihat daripada aspek uruf kebiasaan masyarakat.

Terdapat banyak cara mendidik anak berpuasa mengikut kaedah dan kesesuaian mak ayah. Namun yang penting ibu bapa perlu mewujudkan suasana beribadah dalam keluarga. Ini kerana bulan Ramadan bukan sahaja membawa suruhan berpuasa semata-mata tetapi juga suruhan ibadah yang lain seperti solat dan mengaji al-Quran.

Mak ayah perlu mengajarkan dan memastikan anak-anak mendirikan solat fardu lima waktu, mendirikan solat terawih, mengajarkan mengaji sama ada membaca iqra’, muqaddam atau al-Quran mengikut tahap anak-anak dan berpuasa mengikut kemampuan anak tersebut.

Mak ayah perlu sentiasa menerangkan kepada anak-anak tentang tuntutan berpuasa yang perlu menahan diri daripada makan dan minum. Mak ayah perlu memastikan anak-anak mengambil makanan yang seimbang dan minum air dengan secukupnya ketika sahur bagi memastikan anak-anak bertenaga ketika di sekolah.

Namun demikian, ibu bapa tidak boleh terlalu tegas dengan anak-anak sekiranya mereka tidak larat dan tidak mampu meneruskan berpuasa sehingga berbuka. Yang penting, bagi mereka lalui fasa menahan lapar dan dahaga terlebih dahulu. Sekiranya mereka tidak mampu meneruskan berpuasa, mak ayah boleh memberi kebenaran mereka berbuka. Proses ini perlu diteruskan sehinggalah anak-anak ini berjaya menyempurnakan berpuasa seharian.

Tak Semua Mampu Berpuasa Penuh

Asasnya anak-anak perlu diajar dan disuruh untuk berpuasa. Puasa dalam bahasa Arab ialah ‘al-siam’ yang membawa maksud menahan diri daripada makan dan minum. Justeru, anak-anak ini perlu diajarkan supaya menahan lapar dan dahaga.

Proses belajar berpuasa ini perlu beransur-ansur dan mengikut kemampuan anak-anakmak ayah dan guru-guru perlu memberikan motivasi kepada anak-anak untuk berpuasa kerana menahan lapar dan dahaga ini bukan perkara yang mudah dilakukan.

Begitu juga bagi anak-anak yang tidak mampu berpuasa sempurna perlu difahami dan diladeni mereka ini dengan sebaiknya seperti menyediakan air minuman untuk mereka minum supaya dapat menyegarkan badan mereka.

IKLAN

Bagi membantu anak-anak berpuasa dengan selesa, ibu bapa atau guru boleh berikan aktiviti yang ringan dan tidak banyak menggunakan tenaga. Berikan ruang anak-anak ini menyegarkan badan seperti mengambil wuduk, membasuh muka, mandi dan tidur. Supaya mereka lebih bertenaga meneruskan puasa sehingga selesai.

Sanggup Minum Sorok-sorok

Bagi pandangan saya, ini adalah cabaran dalam pendidikan ibadah kepada anak-anak. Berlaku perkara ini bukanlah petanda kegagalan dalam mendidik. Tetapi kayu ukur untuk meneruskan lagi usaha-usaha mendidik anak-anak. Dalam proses mendidik mak ayah dan guru-guru perlu mengambil tanggungjawab sentiasa menegur dan menasihati anak-anak ini supaya suruhan berpuasa tidak dirasakan sebagai paksaan.

Jika dirujuk hadith Nabi SAW tentang suruhan anak-anak solat:

مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).

Berdasarkan qiyas daripada hadith ini memberi kefahaman bahawa anak-anak boleh dihukum dengan hukuman yang tidak memudaratkan sekiranya berlaku keingkaran dalam beribadah.

Bagi pandangan saya dalam perkara ini, sekiranya anak-anak di bawah umur 10 tahun, mak ayah perlu menasihati dan menegur anak-anak ini supaya tidak mengulangi perkara tersebut.

Ajarkan anak-anak supaya meminta keizinan dan kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuka. Bagi anak-anak berumur 10 tahun ke atas, mak ayah juga perlu menasihati dan boleh sertakan dengan sedikit hukuman ringan yang bersesuaian. Ini kerana mereka telah melakukan kesalahan dan hukuman tersebut sebagai pengajaran supaya mereka lebih menjaga perkara-perkara berkaitan dengan ibadah pada masa akan datang.

IKLAN

Dari aspek yang lain, bagi anak-anak yang tidak berpuasa (yang telah dimaklumi tidak berpuasa) memang seharusnya mereka ini makan secara sembunyi-sembunyi atau sorok-sorok. Ini adalah adab yang diajarkan dalam Islam. Bukan kerana mereka ini bersalah tidak berpuasa, tetapi lebih kepada menjaga atau menghormati orang yang sedang berpuasa dan menghormati bulan Ramadan yang sepatutnya kita berpuasa ketika itu. Perkara ini yang perlu dididik kepada anak-anak supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar.

Tiada Dalil Anak 7 Tahun Kena Berpuasa, Tengok Kemampuannya, Jangan Terlalu Tegas!
.

Jangan Terlalu Memaksa

Bagi pandangan saya, cara terbaik adalah mengikut kesesuaian cara cikgu-cikgu dengan mengambil kira perkara-perkara asas dalam berpuasa:

i. Pendidikan berpuasa mesti dilaksanakan.
ii. Selagi belum baligh mereka tidak wajib berpuasa.
iii. Perlu berhikmah dengan mengikut kemampuan pelajar. Memberi ruang pelajar berbuka sekiranya pelajar tidak larat meneruskan berpuasa.
iv. Para pelajar perlu sentiasa diingatkan tentang kewajipan berpuasa dan kelebihan beribadah di bulan Ramadhan
v. Para pelajar juga perlu sentiasa diberikan motivasi dan dorongan supaya sentiasa bersemangat untuk beribadah khususnya berpuasa.
vi. Guru-guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dan menyeronokkan pelajar yang berpuasa .

Mingguan Wanita : Tak salah nak ajar anak berpuasa tapi janganlah tegas dan memaksa, elak dari anak menipu dan terpaksa pula minum sorok-sorok. Lagi sedih.

Sumber: Ustazah Norul Huda Bakar, Pensyarah, Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS

 

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI