Tidak dinafikan sukar menahan rasa marah, namun sebagai suami cubalah kawal sikap kuat melenting kerana sekali isteri terasa dan terluka, dia akan ingat sampai bila-bila. Isteri ini halus perasaannya, sensitif sangat apatah lagi dengan suami yang dia sangat sayangi.
Setiap kali rasa marah itu datang, suami sebaiknya cuba mengawal dengan cara fikirkan tentang perkara lain. Memang tak mudah untuk dilakukan, tetapi menjaga hati isteri adalah langkah terbaik dalam menjamin kebahagiaan dalam hubungan suami, isteri.
Bila rasa nak marah, ketap bibir dan terus pandang ke arah lain, pergi ke tempat lain, buat kerja lain…
Boleh saja hendak marah, mungkin masalah itu boleh selesai, salah itu tak diulang, tetapi satu yang akan kekal ialah dia akan terasa hati dan benda ini pula dia akan ingat sampai bila-bila…
Yang ini yang tak seronok… Titik kegembiraan dan kebahagiaan dalam diri seorang wanita itu adalah di hati…
Memang Masalah Selesai Kalau Melenting TAPI
Perasaan yang ada dalam hati itu… Kalau kita hendak dia gembira, nak dia bahagia, maka jangan bagi dia terasa atau terluka…
Kadang-kadang kita ini melenting bukan atas hal-hal yang berat… Hal-hal remeh-temeh itulah yang kita perbesarkan…
Balik kerja terpijak mainan, buka tudung tidak ada makanan, kita panggil dia tak dengar, lambat bersiap, call tak angkat, mesej tak balas dan sebagainya…
Boleh saja kita selesaikan dengan cara lain tanpa perlu marah dia… Bila terpijak mainan, panggil saja anak-anak untuk kutip dan simpan…
Paling tidak pun kita sendiri yang lakukan… Bila buka tudung tidak ada makanan, terus ajak makan luar atau keluar bungkus makanan…
Kita panggil dia tak dengar, kita sendiri pergi depan dia, beritahu apa yang kita mahukan…
Bila nak ajak keluar, time kita tak mandi lagi sudah kena suruh dia start bersiap… Dia sudah pakai tudung, barulah kita mandi…
Tak Perlu Melenting, Kawal Sikap
Malas hendak meninggi suara, malas nak marah-marah… Kita jadi tak seronok, dia lagi tak seronok…
Benda yang kena marah itu pula, bukannya macam bawa kereta langgar lembu… Reverse, parking, langgar tiang lampu…
Buang atau kawal sikap cepat nak melenting, cepat nak marah, panas baran sebab ini semua sikap syaitan…
Syaitan suka kita dalam keadaan macam ini… Apa yang keluar dari mulut kita itu, kita sendiri tak sedar, tapi hati yang sedar sudah pun disakiti dengan kata-kata tersebut…
Tip untuk elak marah, diam, alih pandangan, pergi tempat lain, buat kerja lain… Bila sudah cool down nanti, baru tegur elok-elok apa yang patut diperbaiki dan diperbetulkan…
MW: Ini tidak bermakna seoarang suami tidak boleh memarahi isterinya. Jika ada kesalahan isteri yang perlu ditegur, suami boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Menegur dengan penuh kasih sayang demi kebaikan bersama. Isteri juga manusia biasa yang punyai perasaan.
Sungguh, sebagai mak ayah bukan mudah menjaga dan membesarkan anak-anak. Apatah lagi anak-anak perempuan. Serba serbi segala aspek perlu dijaga, diperhatikan dan dipantau.Baik dari segi pergaulan, pemakaian, tingkah laku dan sebagainya.
Baru-baru ni Pelakon Mira Filzah,27 kongsikan ‘screenshot’ perbualan di aplikasi WhatsApp bersama ayahnya Badioezaman Ab Khalik,56 pada tahun lepas. Dalam mesej tersebut, ayahnya ada menegur gaya pemakaian Mira yang berseluar agak ketat dan kurang sesuai untuk tatapan khalayak ramai. Bagi Mira pula, mengambil positif teguran tersebut dan menganggap ia salah satu cara ayahnya dalam meluahkan kasih sayang pada anak-anak.
Kagum dengan didikan ayah pelakon Mira Filzah ini. Walaupun anak-anak perempuannya dah besar panjang, ada kerjaya sendiri, ayahnya masih memikul tanggungjawab memberi perhatian dan memantau pemakaian dan aurat mereka.
Sebagai mak ayah, jadi tanggungjawab kita dalam menitikberatkan bab aurat, pemakaian dan pergaulan pada anak-anak sejak mereka dari kecil lagi. Walaupun anak semakin dewasa tetap perlu dipantau dan tidak hanya memberikan kebebasan pada mereka semata-mata. Bukan apa ia bagi mengelakkan pergaulan bebas dan perkara yang tidak diingini berlaku.
Cuainya saya.Dulu pernah ada seorang jururawat minta tolong dari saya untuk azankan seorang bayi di wad bayi.Waktu tu dah malam dan saya kerja seorang. Ditakdirkan malam tu sibuk dengan beberapa kes yang serius.
Banyaknya masa, saya tak bertanya sebab apa saya kena azankan sebab saya tahu bayi macam ni selalunya tak ada ayah.Nak dijadikan cerita, saya pun lupa sampai balik ke rumah.Bila saya datang semula ke wad, saya pun dah tak ingat bayi dan jururawat yang mana satu.
Aduh, rasa bersalah tu datang berhari-hari dan sampai hari ni saya masih lagi rasa tak selesa bila teringat kecuaian saya tu.
Teringat lagi beberapa tahun lepas. Masa kali pertama diminta azankan seorang bayi di bilik bersalin, saya tanya
“Mana ayahnya kak?”
“Ni baby single marital status. Tak ada ayah. Tak ada doktor lain kat sini. Doktor je la tolong akak ya,” balas kak Ani.
Kak Ani tunjukkan bayi tu dan saya bawa ke sudut azan. Mata dia masih tertutup. Bila saya mula je azan, dia buka mata terkebil-kebil.Dia pandang je pada saya. Dia dengar dan sikit pun tak menangis.
Lepas saya letakkan semula bayi tu, kak Ani panggil saya. Dia jururawat paling senior di situ.
“Bayi macam ni selalu ayahnya dah lari. Ada yang dibuang keluarga bila tahu anak mereka mengandung.”
Saya mengangguk perlahan.
Dia pesan.
1) Ada anak perempuan, jangan ambil mudah. Jaga anak perempuan tak sama dengan anak lelaki.
2) Bila ada anak perempuan, jangan dibeli pakaian seksi. Ajar anak berpakaian sopan. Ajar anak erti malu.
3) Bila ada anak perempuan jangan dibiar tidur sana sini. Bahaya tu ada di mana-mana.Jangan percaya kepada sesiapa walaupun saudara keluarga sendiri.
4) Bila ada anak perempuan, ajar mereka sentuhan selamat dan sentuhan yang tidak selamat.
5) Ajarkan mereka tentang harga diri. Ajar mereka untuk sayang diri sendiri.
6) Ajar anak lelaki, hormat pada wanita terutama pada ibu sendiri.
7) Ajar anak lelaki untuk sama-sama ada tanggungjawab di rumah. Bersihkan tandas, kutip sampah dan sidai baju juga kerja anak lelaki.
8 ) Ajar anak lelaki tentang cara nak selesaikan atau hadapi masalah dalam hidupnya.
9) Ajar anak lelaki tentang empati pada ahli keluarga dan pasangannya.
Kalau malu untuk berkongsi ilmu dengan anak, mereka akan cari juga di tempat lain.
Pesan dia yang terakhir ni yang buat saya betul-betul terkesan.
“Seorang ayah mesti jaga kepercayaan antara anak perempuan dan diri ayah. Barulah anak tu tak kekok nak mengadu apa-apa pada ayahnya.”
“Biarlah dia nak mengadu apa pun. Yang penting, ayah mesti jadi pendengar yang terbaik, walaupun sibuk dengan kerja harian.”
Bila anak perempuan mengadu, itulah tanda dia sangat percaya pada kita.
Redza Zainol
Bukan ayah terbaik, tapi nak anak tahu kita dah usaha beri yang terbaik.
Bantu saya #sebarkan cerita ni pada mak ayah yang lain. Moga ada manfaat pada mereka.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat sebagai rujukan mak ayah. Jadilah pendengar setia buat anak, bina kepercayaan mereka pada kita agar anak selesa bercerita dan mengadu apa sahaja. Anak-anak semakin dewasa, bukan ‘lesen’ untuk kita beri kebebasan sepenuhya. Tetap kena pantau dan perhatikan tingkah laku mereka.
Dengan suami, isteri kena cakap ‘straight to the point’, tak perlu nak berbasa-basi atau pusing-pusing. Maksudnya, apa yang kita rasakan atau ingini, kita kena cakap dan bagitahu. Barulah suami tu FAHAM.
Pernah tak isteri-isteri mengalami hal ini:
Suami: Abang Nak order makanan. Awak nak tak?
Isteri: Tak nak lah. Abang order abang punya je.
Suami: Okay
Akhirnya makanan sampai dan suami pun makan. Isteri yang tengah sibuk lipat baju tiba-tiba terpandang suami yang dah pun selesai makan.
Isteri: La…abang dah habis makan? Alah, tak pelawa pun.
Suami: Eh..awak yang cakap tak nak tadi.
Isteri: Yelah, memang saya cakap tak nak. Tapi awak pelawalah saya. Nak juga saya jamah semulut.
Suami: Pulak!!
Ha…ada tak yang pernah mengalami situasi begitu? Suami akan pegang kata-kata isteri. Jadi, tak boleh nak salahkan mereka.
Belum lagi bab keluar makan sekeluarga. Bila suami tanya, nak makan di mana? Isteri jawab tak kisah. Tapi bila tiba di tempat makan, mulalah isteri bising, katanya kenapa pilih kafe itu sedangkan dia tak ada mood nak makan situ. Aduh, agak-agak, apa reaksi suami? Mahu gaduh besar!
Mungkin ini beza cara percakapan dan pemikiran lelaki dan wanita. Namun ia perlu diselesaikan agar tak terus menerus jadi punca pertelingkahan. Bayangkan, isu makan pun boleh merajuk dan bergaduh.
Isteri kena ingat. Lelaki cara fikirnya tak sama dengan wanita. Mereka tak suka berbasa-basi. Tak suka nak cakap kias-kias atau cakap berlapik. Kalau nak, cakap nak. Tak nak, cakap tak nak.
Isteri pula, bila dah faham perangai suami kenalah ubah cara jawapan. Kalau suami tanya, jawab dengan tegas. Nak makan apa? Jawab terus apa yang kita ingini. Jangan jawab ‘tak kisah’. Kebanyakan suami PANTANG dengan jawapan macam tu sebab nanti mesti timbil masalah. Biasanya suami tak kisah pun nak ikut selera isteri. Sebab tu, cakap je apa yang terlintas di fikiran.
Begitu juga bila pergi shopping. Bila suami tanya, ada nak beli apa-apa barang? Isteri jawab tak ada apa nak dibeli. Tapi, balik rumah muka masam mencuka sebab suami tak belikan apa-apa untuk dirinya. Aduhai, macam mana suami tak pening. Bila tanya tak nak. Tapi rupanya dalam hati nak pulak ye?
Jadi wahai isteri, kalau suami tanya, cakap dengan jelas apa kemahuan kita. Jangan mengharapkan dia faham apa kehendak kita. Cara fikir lelaki dan wanita tak sama. Mungkin kalau kita, walau pun suami tak cakap nak, kita tetap akan belikan juga untuk dia.
Pernah tak anda suami isteri bertengkar disebabkan cara anda menjawab soalan suami. Bila suami tanya jam berapa nak balik kerja, berjela-jela isteri terangkan. Kerja banyaklah, ada meetinglah dan tak tahu jam berapa habis serta macam-macam lagi alasan.
Pening suami dibuatnya. Mudah je soalannya. Jadi jawab je nanti balik jam berapa. Senang kan? Anda pun tak penat nak jawab panjang-panjang. Ini juga kadangkala boleh jadi punca perbalahan bila isteri tak menjawab soalan suami.
Otak lelaki berbeza dengan wanita. Lelaki tak suka ambil tahu hal-hal remeh kerana bagi mereka, banyak lagi perkara besar yang nak mereka fikirkan.
Cara pandang lelaki secara bird eye view. Bermakna mereka tengok secara menyeluruh (globally). Jadi, jangan terperanjat bila nak pergi bercuti ke mana-mana, suami hanya akan fikir soal nak dapatkan hotel/homestay. Manakala isteri, sehingga warna baju anak-anak dan suami pun dia fikir sebab cara fikir isteri yang spesifik!
Jadi, para isteri, kena faham cara fikir suami kita ye. Jangan sampai masalah kecil boleh jadi besar disebabkan masalah komunikasi.
Sebelum berkahwin, macam-macam cara yang digunakan untuk memikat hati isteri. Tengok pun tak lepas-lepas. Semuanya romantik bagai. Kononnya, inilah ratu hati dan penyerinya. Bila sudah berkahwin dan dah miliki, mulalah jeling dan pandang perempuan lain.
Ketahuilah, perkahwinan yang dibina itu bukan untuk main-main atau seketika. Siang malam berdoa supaya pasangan yang kita ada ini sehidup semati dan kekal hingga ke jannah. Begitulah.
Tapi, dalam mengharungi rumah tanga ini, ada suami yang masih ‘nakal-nakal’. Mungkin tiada niat untuk cari pengganti atau berkahwin lain, sekadar suka-suka. Tapi yang sakit hati, isteri juga.
Malah, tak perlulah nak bandingkan dengan perempuan lain sebab sebenarnya yang ada depan mata kita inilah sudah lengkap segalanya. Seperti apa yang dikongsikan oleh Shahrul Fhaizal Shabu ada benarnya.
Memang perempuan yang kita nampak secara zahir cukup sempurna di mata tetapi belum tentu akan sempurna seperti isteri yang kita ada ini. Sanggup bersusah senang dan tahu ‘luar dalam’ pasangan.
Dalam masa orang asyik bercerita tentang seorang artis idaman ramai jejaka Malaya yang sudah sah menjadi isteri orang, saya teringat kepada satu pesanan Ustaz Zahazan.
Kata beliau kepada para suami khasnya, lebih kurang bunyinya begini:
Kalau kita ambil bulat-bulat, bunyi macam tak logik.
Katakan ada seorang lelaki yang ‘taste’ perempuan mata biru, rambut kuning. Tapi isterinya Melayu Kuala Selangor tulen. Berapa ramai perempuan Melayu dari Kuala Selangor yang bermata biru, berambut kuning?
Mata biru, boleh pakai kanta lekap. Rambut kuning, boleh warnakan.
Namun itu bukan isterinya yang sebenar. Hanya perubahan luaran sahaja. Bolehkah dengan memakai kanta lekap dan mewarnakan rambut, suami itu akan bahagia?
Kita sangka yang luaran itulah yang akan membuatkan kita bahagia. Ukuran kita adalah apa yang kita dapat lihat dengan mata, seperti rupa paras, status keluarga, dan sebagainya.
Kita cepat lupa tentang dalaman, sedangkan di situlah Allah simpan apa yang kita cari.
Isteri yang rambut hitam kopi Hang Tuah itulah yang sama-sama dengan kita, menunggu di tepi jalan tanpa bersungut-sungut, ketika hujan lebat dan tayar kereta kita pancit kerana tertikam paku.
Mata coklat Cadbury itulah yang menahan mengantuk untuk menggosok berhelai-helai pakaian kerja suami tercinta, supaya setiap hari sang suami dapat pergi kerja dengan tenang dan sampai pejabat dengan baju dan seluar bebas kedutan.
Selagi kita tak faham siapa yang kita cari, selagilah itulah kita tak akan menemuinya. Walaupun orang itu sedang memeluk erat lengan kita.
MW: Hanya suami isteri yang kenal hati budi masing-masing. Kalau pasangan yang berhasrat untuk cari lain itu, kena fikir, ‘sama ada dia akan dapat pasangan lebih baik daripada yang ada ini atau mungkin lebih teruk daripada itu’. Fikir-fikirlah.
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.