Sebelum berkahwin, macam-macam cara yang digunakan untuk memikat hati isteri. Tengok pun tak lepas-lepas. Semuanya romantik bagai. Kononnya, inilah ratu hati dan penyerinya. Bila sudah berkahwin dan dah miliki, mulalah jeling dan pandang perempuan lain.
Ketahuilah, perkahwinan yang dibina itu bukan untuk main-main atau seketika. Siang malam berdoa supaya pasangan yang kita ada ini sehidup semati dan kekal hingga ke jannah. Begitulah.
Tapi, dalam mengharungi rumah tanga ini, ada suami yang masih ‘nakal-nakal’. Mungkin tiada niat untuk cari pengganti atau berkahwin lain, sekadar suka-suka. Tapi yang sakit hati, isteri juga.
Malah, tak perlulah nak bandingkan dengan perempuan lain sebab sebenarnya yang ada depan mata kita inilah sudah lengkap segalanya. Seperti apa yang dikongsikan oleh Shahrul Fhaizal Shabu ada benarnya.
Memang perempuan yang kita nampak secara zahir cukup sempurna di mata tetapi belum tentu akan sempurna seperti isteri yang kita ada ini. Sanggup bersusah senang dan tahu ‘luar dalam’ pasangan.
Dalam masa orang asyik bercerita tentang seorang artis idaman ramai jejaka Malaya yang sudah sah menjadi isteri orang, saya teringat kepada satu pesanan Ustaz Zahazan.
Kata beliau kepada para suami khasnya, lebih kurang bunyinya begini:
Jagalah pandangan daripada melihat-lihat perempuan yang bukan isteri kita. Sebab semua yang kita cari pada perempuan lain, Allah dah letakkan pada isteri kita.
Kalau kita ambil bulat-bulat, bunyi macam tak logik.
Ads
Katakan ada seorang lelaki yang ‘taste’ perempuan mata biru, rambut kuning. Tapi isterinya Melayu Kuala Selangor tulen. Berapa ramai perempuan Melayu dari Kuala Selangor yang bermata biru, berambut kuning?
Mata biru, boleh pakai kanta lekap. Rambut kuning, boleh warnakan.
Namun itu bukan isterinya yang sebenar. Hanya perubahan luaran sahaja. Bolehkah dengan memakai kanta lekap dan mewarnakan rambut, suami itu akan bahagia?
Kita sangka yang luaran itulah yang akan membuatkan kita bahagia. Ukuran kita adalah apa yang kita dapat lihat dengan mata, seperti rupa paras, status keluarga, dan sebagainya.
Ads
Susah Senang Bersama
Kita cepat lupa tentang dalaman, sedangkan di situlah Allah simpan apa yang kita cari.
Isteri yang rambut hitam kopi Hang Tuah itulah yang sama-sama dengan kita, menunggu di tepi jalan tanpa bersungut-sungut, ketika hujan lebat dan tayar kereta kita pancit kerana tertikam paku.
Mata coklat Cadbury itulah yang menahan mengantuk untuk menggosok berhelai-helai pakaian kerja suami tercinta, supaya setiap hari sang suami dapat pergi kerja dengan tenang dan sampai pejabat dengan baju dan seluar bebas kedutan.
Selagi kita tak faham siapa yang kita cari, selagilah itulah kita tak akan menemuinya. Walaupun orang itu sedang memeluk erat lengan kita.
MW: Hanya suami isteri yang kenal hati budi masing-masing. Kalau pasangan yang berhasrat untuk cari lain itu, kena fikir, ‘sama ada dia akan dapat pasangan lebih baik daripada yang ada ini atau mungkin lebih teruk daripada itu’. Fikir-fikirlah.
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cemburu memang perlu dalam rumah tangga. Orang kata, ‘Cemburu itu tanda sayang’. Apa yang anda fikir sekiranya suami tidak pernah persoalkan anda keluar pada bila-bila masa dengan lelaki lain? Dah tak sayangkah?
Untuk memujuk hati maka anda kata itu memang janji yang anda sendiri minta dia penuhi sebelum berkahwin dulu. Maklumlah tempat anda bekerja memerlukan anda bertemu dengan ramai orang atas berbagai-bagai urusan.
Namun setelah beberapa tahun berkahwin, tidak pernah sekali pun dia bertanya dengan siapa anda keluar walaupun jelas anda ada bercerita tentang betapa kacaknya pelanggan syarikat anda itu.
Saya boleh sahkan memang ada suami begitu tetapi saya tidak mahu mengulas dalam ruang kecil Nota Untuk Isteri ini. Cuma izinkan saya ubah sedikit soalan tadi.
Apa pula anda fikir jika suami anda yang kacak, sado dan bergaya itu selalu bertemu klien-klien wanita atas urusan kerja? Adakah mendebarkan perasaan anda jika suami selalu menerima panggilan telefon di waktu malam yang suami kata semuanya atas urusan kerja?
Saya percaya anda lebih sanggup dicurah timah panas ke dalam lubang telinga berbanding mendengar bunyi telefon daripada pelanggan wanita yang menelefon suami di waktu malam yang semuanya atas urusan kerja. Maaf jika contoh ini agak keterlaluan tetapi saya setuju anda berhak untuk cemburu dan berhak menjalankan proses soal siasat atas pelanggan itu.
Namun bagaimana jika anda sentiasa cemburu setiap kali suami pergi ke pejabat? Jika suami anda seorang doktor ada membayangkan ada saja jururawat muda berkenan dengan suami anda.
Jika suami anda seorang guru, anda sentiasa syak ada pelajar tingkatan 6 yang memandang suami anda dengan perasaan lain. Jika suami anda seorang usahawan berjaya, anda selalu menyerbu ke pejabat kerana tidak percaya kepada setiausaha kepada suami anda.
Memang anda merasa cemburu sebab anda sayang tetapi apalah gunanya rasa sayang itu jika setiap hari anda bertengkar dengan suami disebabkan perkara itu?
Foto: 123rf
Saya kata cemburu itu memang perlu dalam rumah tangga. Ianya umpama vitamin atau antibiotik yang boleh mencegah apa-apa ancaman terhadap kebahagiaan anda. Namun ianya juga boleh menjadi racun merbahaya jika tidak terkawal.
Anda selalu terasa tidak selamat dan terasa akan ditinggalkan pada bila-bila masa disebabkan orang lain. Puncanya mungkin bukan daripada suami atau perempuan lain tetapi datang dari dalam diri sendiri. Anda mungkin ada rahsia gelap, pernah menjadi mangsa pencabulan emosi atau seksual semasa kecil atau kesan daripada cara anda dibesarkan sebelum ini.
Bukan satu rahsia orang perempuan selalu membandingkan diri mereka dengan orang lain. Siapa kulitnya paling putih dan gebu, siapa yang lebih cantik, siapa yang lebih seksi dan seterusnya. Walaupun berbuih mulut suami menyatakan anda wanita paling cantik di matanya tetapi anda tetap tidak percaya.
Masalah bermula apabila anda merasa yang anda betul apabila merasa suami sentiasa terus mencari perempuan lain yang lebih cantik berbanding anda. Ini bukan masalah suami tetapi masalah anda tidak yakin kepada diri sendiri.
Lelaki sangat tidak suka kepada perempuan yang tidak yakin kepada diri sendiri. Apa yang anda bayang-bayangkan dalam kepala itu menjadikan anda cemburu buta dan akhirnya bertukar menjadi realiti ngeri yang benar-benar berlaku.
Apa yang anda boleh elak jika rasa cemburu itu menjadi semakin teruk? Segalanya terserah pada anda. Jika anda rasa punca cemburu itu ada benarnya maka tindakan untuk berubah adalah penyelesaian terbaik. Contohnya sejak kebelakangan ini mesin penimbang di rumah semakin memberi petunjuk yang anda semakin memberat. Terimalah hakikat itu dan bertindak untuk mengubahnya.
Pergilah bersenam atau apa sahaja sehingga keadaan kembali terkawal. Jika suami ikhlas menegur cara anda berpakaian di rumah maka terimalah teguran itu dan berubahlah. Jika anda cemburu kerana anda ada rahsia gelap maka keluarlah daripada sejarah itu. Anda tidak boleh ubah apa yang sudah berlaku tetapi anda boleh membetulkan keadaan untuk masa yang akan datang.
Sumber: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setakat tenung-tenung saja tak cukup iya, bila dapat suami yang rajin lagi bertanggungjawab itu barulah romantik selepas nikah.
Sebenarnya tenung-tenung itu hanya sesuai untuk orang baru bercinta, bila masing-masing sudah berkahwin tanggungjawab semakin bertambah.
Bertuahlah buat isteri apabila memiliki suami yang ringan tulang membantu isteri di dapur dan di rumah.
Tak perlu hadiah mahal atau kejutan, suami membantu ringankan beban isteri dalam menguruskan rumah tangga sudah dikira sangat romantik dalam rumah tangga.
Ikuti perkongsian Siti Suryani Yaakop dan sila hadam baik-baik. Jangan kuat berangan!
Budak-budak zaman sekarang duduk up pasal suami Mira Filzah duduk tenung muka dia sepanjang waktu itu, ramainya aku tengok belum kahwin.
Mungkin banyak tengok drama Korea barangkali.
Sedangkan aku rasa depa (mereka) tak tahu makna sebenar romantik. Nanti sudah kahwin baru tahu. Walaupun suami kau tidak pernah tenung muka kau selalu-selalu, tapi….
1. Dia rajin tolong basuh baju, tolong angkat baju, tolong sapu sampah, tolong basuh pinggan dan apa saja yang kau mahu tanpa perlu kau ulang suruh bertalu-talu.
2. Bagi duit belanja tiap-tiap bulan suruh beli lauk-pauk supaya kau senang hendak masak. Tapi tak kisah pun bila kau order Grab Food atau pun ajak dia yang baru balik kerja pergi makan pula dekat kedai mamak.
3. Dia sabar saja melayan segala karenah birokrasi dan isu politik dalam keluarga kau yang penuh suka duka, hanya sebab tak mahu kau bersendiri menahan luka dan rasa kecewa.
4. Dia boleh saja ikut cakap kau nak ke sini, ke sana, melayan kehendak masuk kedai emaslah, kedai kainlah, kedai handbaglah, ke manalah, sebab dia tahu itu kiranya cara kau melepas lelah.
5. Dia kadang tak beli apa pun untuk diri sendiri, pakai barang buruk, pakai benda lama, sebab dia rasa seronok dapat berkorban duit belikan kau barang berjenama.
6. Dia tak pernah soal kalau kau minta order barang dekat Shoppee tanpa nak kata barang itu ada lagi, barang ini tak pakai lagi, sebab dia tak suka tengok muka kau muncung macam itik serati.
7. Dia sanggup buat dua hingga tiga kerja, kadang rehat pun tak tentu masa sebab dia tak kisah susahkan diri dia janji boleh bina hidup yang senang untuk kau sekeluarga.
8. Dia sanggup naik motosikal buruk dia pergi kerja berpanas berhujan. Tapi bagi kau naik kereta yang dia bayar bulan-bulan, asal saja terjamin kau punya keselamatan.
9. Dia tak kisah dulu kau saiz XS masa mula berkenalan, sekarang sudah nak dekat XXL pun dia tak komen sembarangan sebab taknak kau nanti rasa sedih terluka perasaan.
10. Dia rela saja telan segala benda yang kau masak, tak pernah kata tak sedap tak pernah kata tak nak. Sebab nak jaga emosi halus kau dari tiba-tiba tersentak.
11. Dia boleh tolong tengok dan urus anak bila kau minta nak rehat sejenak, sebab dia tahu urusan rumah tangga ni bukan hanya terletak di atas kau punya pundak.
Lagi satu…
Yang ditenung tu Mira Filzah ya adik-adik. Mira adik. Filzah adik. Mira Filzah. Mira Filzah.
MW: Kebahagiaan tidak terikat kepada rupa paras dan harta kerana masing-masing punyai cara bahagia masing-masing. Cukup-cukuplah berangan dan berimpian, sebaliknya berdoalah agar dikurniakan suami yang soleh dan bertanggungjawab. Renung-renungkan.
Ini kisah lucu pelakon wanita, Ramona Zamzam mengenai rumah tangganya selama berkongsi hidup dengan suaminya yang berasal dari Timur Tengah sepanjang 11 tahun perkahwinan.