Ibu anak empat ini tak panik hadapi situasi cemas kebakaran dalam rumah. Selepas berjaya keluarkan anak-anak dari rumah, Ellysyafina Md Dali, 40 masuk semula, capai alat pemadam api, tarik kunci dan halakan ke arah api yang sedang marak.
Bawa Anak Lari Keluar Rumah, Sebelum Capai Alat Pemadam Api
Ketika kejadian lebih kurang jam 11 am saya sedang mandikan anak kecil di tingkat atas. Terdengar suara anak sulung dan anak ke-2 menjerit berkali-kali dari tingkat bawah.
“Ibu..ibu, tolong ibu, ibu turun sekarang ibu.” Saya jenguk dari tangga, Allahuakhbar api..! Api keluar dari main switch box yang terletak di sebelah pintu utama rumah. Anak-anak, saling menjerit ketakutan.
Saya tinggalkan anak ke-3 dan ke-4 di tingkat atas, berlari turun ke bawah ambil kunci rumah, buka pintu dan grill. Tolak anak ke-2 keluar rumah sambil itu saya menjerit sekuat hati minta anak ke-3 keluar dari bilik air di tingkat atas.
Anak kecil usia 2 tahun juga masih di atas. Saya berlari naik ke atas selamatkan si kecil dan minta anak sulung dukung dan keluar dari rumah.
Saya kumpulkan mereka 4 beradik di luar pagar rumah. Api sedang membesar. Saya istighfar dan tawakal berlari semula naik ke tingkat atas ambil handphone. Sambil berlari turun tangga, terus hubungi Mak. “Mak, rumah Ayong terbakar, tolong datang ambil anak-anak Ayong.”
Kemudian jari laju dail 999. “Cik, rumah saya terbakar di Saujana Impian Kajang.” Mereka terus sambungkan panggilan ke Balai Bomba berhampiran. Saya hubungi pula suami yang sedang bekerja. “Abang, balik..rumah kita terbakar”.
Beberapa minit kemudian adik saya sampai dan ambil anak-anak bawa ke rumah Mak (rumah saya berhampiran dengan rumah Mak). Dalam keadaan kelam kabut, saya terfikir, “aku ada alat pemadam api.”
Ads
Capai pemadam api, tarik kuncinya. Saya tawakal sepenuhnya, berlari semula masuk ke rumah untuk padamkan api yang kian marak. Non-stop tekan pemadam api.
Alhamdulillah api padam. Jatuh terduduk saya lepas tu. Lembik kaki. Menggeletar satu badan. Diam tak terkata atas lantai. Kemudian mak, abah dan suami sampai. 45 minit berlalu, Bomba masih belum tiba. Bayangkan jika tiada pemadam api, bagaimana keadaan api dan rumah. Allahuakhbar.
6 Tip Jika Berlaku Kebakaran Dalam Rumah
Pengalaman ini benar-benar mengajar. Tips ini saya kongsikan kepada semua sahabat. Jika berlaku kebakaran ketika kita berada di dalam rumah.
1. JANGAN PANIK
Ya, bukan mudah nak bertenang dalam situasi cemas tapi mahu atau tidak, kita sedang pikul tanggungjawab besar sebagai seorang Ibu. Nyawa anak-anak menjadi keutamaan. Jika kita panik, seriously kita tidak boleh berfikir secara rasional.
2. BERKUMPUL SATU TEMPAT
Pastikan semua orang di dalam rumah berkumpul di luar rumah atau ditempat selamat. Ini untuk memudahkan proses menyelamat.
3. SELAMATKAN DIRI SENDIRI
Cuba sepantas boleh selamatkan diri kerana hanya kita sahaja tahu laluan mana di dalam rumah yang paling selamat untuk kita selamatkan diri.
Ads
4. HUBUNGI 999/KELUARGA
Telefon keluarga dan pihak penyelamat, talian 999 sangat membantu. Apa yang boleh saya katakan, mereka sangat efficient. Hubungi TNB juga.
5. ALAT PEMADAM API
Wajib ada pemadam api di setiap rumah. Ia berguna. Ya, sekarang kita fikir tiada keperluan tapi jika berlaku kebakaran ia membantu selamatkan nyawa, harta benda dan kawasan kejiranan. Jika berlaku kepada jiran, kita dapat membantu. Pahala free.
Menurut ibu ini, alat pemadam api sememangnya diletakkan di luar rumah. Dekat bahagian rak kasut yang mana ia mudah dicapai sekiranya terjadi apa-apa yang tak diingini.
“Kebetulan rumah ini baru 3 minggu diduduki. Alat pemadam api ini pun dalam keadaan yang baik. Dulu masa bekerja, adalah latihan fire drill di ofis. Dari situlah saya belajar dan tahu serba sedikit. Tarik kunci sebelum nak guna.”
Dia juga menyimpan alat pemadam api di dalam kereta. Jika berlaku kebakaran, tahu macam mana nak handle. Pastikan alat pemadam api yang disimpan di rumah berfungsi dengan baik. Dan tak expired.
6. CHECK PENDAWAIAN ELEKTRIK
Panggil orang berpengalaman untuk periksa pendawaian elektrik. Sekurang-kurangnya 6 bulan ke setahun sekali untuk buat pemeriksaan. Saya difahamkan oleh pihak Bomba, soket longgar di Main Switch Box dan ia mengakibatkan percikan api berlaku.
Ads
Semoga tips ini dapat memberi persediaan mental fizikal kepada kita jika berdepan dengan situasi cemas.
Terima kasih Ya Allah, Kau turunkan ujian diwaktu siang semasa aku sudah terjaga dari tidur malamku. Jika ujian ini berlaku dikala aku sekeluarga sedang nyenyak tidur, mungkin kami sekeluarga terkandas di tingkat atas dan sudah tiada di dunia ini. Terima kasih Ya Allah kerana masih memberi peluang untuk kami tumpang di bumi-Mu ini lagi.
Ketika MW hubungi, Ellysyafina akui dirinya masih lagi dalam keadaan trauma. Malah traumanya itu terbawa-bawa ke dalam mimpi. Kediamannya juga masih lagi berbau asap dan sisa jelaga yang tinggal masih ada.
“Syukur kerana Allah bantu saya dan masih boleh berfikir untuk selamatkan anak-anak. Lagipun kawasan kejiranan saya ramai yang bekerja. Kalau saya jerit minta tolong pun belum tentu ada yang bantu.”
“Jadi, saya perlu tenang. Bila tak panik, saya boleh capai alat pemadam api, masuk ke rumah padamkan kebakaran.” Malah ibu ini sempat turun tangga dan snap gambar kebakaran.
MW : Salute! Dengan keberanian ibu ini. Semoga tip yang dikongsikan ini berguna untuk mak-mak hadapi situasi cemas kebakaran.
Sumber/Foto : Ellysyafina Dali, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Malaysia
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri disahkan positif Covid-19 sehari sebelum majis.” Suami terpaksa bersanding virtual bersama laptop. Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan setiap apa yang berlaku.
Walaupun majlis resepsi ini telah dirancang sejak tahun lalu, namun atas asbab Covid19, pengantin terpaksa menjalani kuarantin setelah dirinya positif sehari sebelum majlis resepsi berlangsung.
Suami Terpaksa Bersanding Virtual
“Perasaan sangat sebak apabila terpaksa berjalan dan duduk di atas pelamin sendirian ketika majlis resepsi tanpa diiringi isteri walhal ia adalah hari penting buat kami berdua,” kata Meor Izz Rasydan Darsani.
Kisah Meor Izz Rasydan, 27, dan pasangannya, Fazliana Sjafni, 28, mendapat perhatian warganet di media sosial selepas tular dia bersanding dengan bertemankan sebuah komputer riba di atas pelamin bagi menggantikan isterinya yang tidak dapat hadir akibat dijangkiti wabak Covid-19.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok @kakleeha itu turut kelihatan pengantin perempuan lengkap dengan busana songket biru sedondon, namun hanya mampu berada di skrin komputer riba disebabkan sedang menjalani kuarantin kendiri.
Berkongsi lanjut, Meor dan pasangan sudah merancang untuk mengadakan majlis resepsi di sebuah dewan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hampir setahun lalu.
Katanya, mereka juga tidak pernah melihat atau berada di dewan terbabit walaupun selepas bernikah pada 22 Februari lalu.
“Rasa sebak dan sedih tetapi saya akur, redha atas ketentuan Ilahi jika ini qada dan qadar Allah yang sudah tertulis,” katanya.
Sehari Sebelum Majlis
Sementara itu, Fazliana menjelaskan, dia disahkan positif Covid-19 sehari sebelum majlis resepsi iaitu pada 27 Februari lalu selepas melakukan ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction).
Katanya, kebetulan selepas bernikah dia dan Meor duduk berasingan dan disebabkan itu suaminya tidak bergejala dan keputusan ujian Covid-19 juga negatif.
“Bagi mengatasi situasi tidak terduga ini, saya bersama adik ipar dan keluarga suami cuba sedaya upaya mencari jalan dengan cara mengadakan persandingan secara virtual iaitu melalui panggilan video.
“Kerana itulah, suami terpaksa bersanding bersama komputer riba di pelamin dan saya pula di rumah hanya mampu membuat panggilan video dengan sepersalinan songket yang sepatutnya kami idamkan untuk dipakai bersama pada majlis resepsi,” katanya yang masih menjalani kuarantin kendiri yang tamat, hari ini.
Katanya, dia dan suami tidak memilih untuk menunda majlis persandingan itu memandangkan tetamu jemputan sudah tiba di Kuala Lumpur sehari lebih awal.
“Bukan disebabkan kos, tetapi sebaliknya undangan jauh dari Perak, Perlis dan Sabah sudah tiba sehari awal. Alhamdulillah, majlis tetap berjalan dengan lancar walaupun tanpa pengantin perempuan bersanding sama,” katanya yang reda dengan ujian yang menimpanya.
Mingguan Wanita : Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan persandingan dapat dijalankan secara virtual. Biarpun sedih, namun percayalah kenangan ini akan dikenang sampai bila-bila.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Mencetuskan keceriaan hari raya sempena Aidilfitri yang bakal disambut pada bulan hadapan, Lazada memeriahkan Segitiga Emas pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Bukit Bintang dengan menjelmakan peragaan Koleksi Raya LazLook yang penuh glamor di landasan fesyen sepanjang 500m.
Ia menampilkan lebih daripada 10 jenama fesyen terkemuka tempatan dan dipersembahkan sebagai lookbook langsung, justeru memberi peluang kepada peminat fesyen dan orang ramai untuk mendapatkan inspirasi gaya anggun bagi sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Koleksi Raya LazLook Tampil Gaya Anggun
Lebih daripada 50 model tampil bergaya di sepanjang Bukit Bintang menuju ke arah pentas finale di CommonsKL @ BBPark sambil memperagakan koleksi istimewa oleh pereka fesyen terkemuka dan jenama ekslusif seperti Naelofar, Rico Rinaldi, Petit Moi, Poplook, Cynthia Tang, Bayu Somerset, Zoe Arissa, Zucca, Gene Martino dan TATO Shop.
Sememangnya peragaan tersebut mengundang perhatian orang ramai di persimpangan lintasan paling sibuk dengan rekaan elegan baju kurung dan kebaya berinspirasi moden.
Keseluruhan acara tersebut telah disiarkan menerusi strim langsung LazLive dan juga bersiaran secara serentak di saluran media sosial Lazada Malaysia. Ia turut dipaparkan di beberapa skrin digital LED out-of-home di sekitar Bukit Bintang, termasuk di papan tanda CuBIG dan The Cube @ Bukit Bintang.
Cara Unik Tawan Hati Peminat Fesyen
Menerusi Peragaan Fesyen Raya LazLook yang lain daripada yang lain ini dapat menawan hati peminat kategori fesyen dan pelanggan tempatan, khususnya kerana ia adalah antara kategori paling hangat yang menyemarakkan jam pertama Jualan Hebat Ulang Tahun ke-11 Lazada yang bermula pada 3 Mac 2023 di seluruh Asia Tenggara.
Malah, apabila mereka ingin mencari dan membeli produk fesyen, para pelanggan di Malaysia lebih cenderung untuk menggunakan platform eDagang seperti Lazada, yang mana lebih daripada separuh para pelanggan (53%) menggunakannya untuk carian produk, lantaran faktor utama seperti harga (74%), tawaran diskaun (69%) dan maklumbalas pelanggan (47%) yang membantu mereka membuat pertimbangan sebelum membeli.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Alan Chan Fesyen Raya LazLook ditatagayakan khas untuk fashionista dan hijabista yang ingin tampil menawan, menampilkan seleksi mesti beli yang menarik dan unik, pada harga yang berpatutan.
“Para pelanggan di Malaysia kini membuat pembelian produk fesyen secara dalam talian dan juga di butik atau kedai, dan kebanyakannya lebih dari sekali sebulan. Kami juga memahami kecenderungan orang ramai untuk menggunakan platform eDagang apabila mereka mencari produk yang diperlukan.
“Justeru itu, Lazada berusaha untuk menawarkan beraneka produk untuk sambutan Aidilfitri kepada para pelanggan, khususnya bagi kategori fesyen dan kecantikan. Fesyen Raya LazLook telah ditatagayakan khas untuk fashionista dan hijabista yang ingin tampil menawan, menampilkan seleksi mesti beli yang menarik dan unik, pada harga yang berpatutan.
“Selain itu, kami juga berbesar hati dapat berkolaborasi dengan jenama dan pereka fesyen terkemuka tempatan untuk mempersembahkan Koleksi Raya LazLook menerusi cara yang glam dan unik, dengan menjelmakan Bukit Bintang menjadi landasan fesyen dan membawakan suatu kelainan yang tidak dijangka.
“Kesemua koleksi baharu yang ditampilkan kini tersedia di Lazada dan para pelanggan hanya perlu klik pada ikon LazLook. Terdapat juga pelbagai inspirasi gaya Raya serta jenama Muslimah kegemaran ramai di Lazada, serta ganjaran tambahan dan penjimatan berganda seperti ‘Everyday Cashback’ dan ‘Penghantaran Percuma’ sempena Jualan Hebat Ulang Tahun ke-11 Lazada,” katanya.
Fesyen Raya LazLook telah ditaja oleh Kevin Murphy, Maybelline, dan CommonsKL@BBPark. Strim langsung acara tersebut turut menampilkan persembahan muzik istimewa oleh penyanyi Naim Daniel semasa peragaan fesyen finale.
Di samping paparan koleksi Raya terbaharu oleh pereka fesyen dan jenama yang sedia untuk dibeli, terdapat juga perkongsian petua dan tip stail penggayaan yang menarik.
Malah, terdapat pelbagai aktiviti shoppertainment seperti permainan dan cabaran untuk para penonton dalam talian dan mereka yang menghadiri acara pada hari tersebut, dengan peluang untuk memenangi hadiah dan baucar bernilai lebih RM50,000.
Klik di sini untuk melayari lebih 250,000 pilihan koleksi Raya yang menawan pada harga yang berpatutan di Lazada dan ikuti saluran media sosial Lazada Malaysia untuk makluman yang terkini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wajah dan rambut si kecil usia tiga tahun ini diselaputi debu. Selimut kerajang melindungi tubuh halus itu selepas 65 jam terperangkap dalam runtuhan bangunan. Yang diakibatkan oleh gempa bumi yang melanda pantai Aegean Turki.
Tak dapat dibayangkan, anak kecil bernama Elif Perincek ini melalui saat sukar lagi cemas selepas bangunan di diami keluarganya runtuh. Hampir tiga hari Elif bertarung nyawa. Terperangkap dalam bangunan runtuh di Bayrakali di wilayah barat Izmir sebelum diselamatkan Isninnya.
Tiga Hari Terperangkap Dalam Runtuhan Bangunan
“Shif saya bermula 10.30 malam. Petang semalam saya bekerja dengan 14 rakan penyelamat.Ditempat yang sama, kami sudah mengeluarkan ibu Elif dan adik-beradiknya.
Dari lokasi itu, kami meneruskan pencarian. Menuju ke ruang bilik dimaklumkan Elif berada. Sebaik sampai, kami nampak ada satu ruang yang teramat kecil, tak mungkin Elif mampu melepasinya apatah lagi terselamat.
Kami tebuk laluan dengan penukul untuk sampai ke ruangan itu. Dan di situlah kami menemui Elif. Besi bahagian atas kami potong dan bersihkan beberapa ruang. Segera saya minta selimut dari rakan penyelamat, nampaknya tiada pergerakan dikesan dari anak kecil itu.
Wajahnya penuh dengan serpihan konkrit.. saya mahu membersih wajah itu. Sebaik saya mahu menyentuhnya, Elif menarik ibu jari saya. Dia pegang tangan saya.. kuat seakan tak mahu lepas. Saya tergamam, begitu juga rakan penyelamat yang lain. Dan akhirnya kami menangis bersama-sama.” Sebak kongsi penyelamat Elif, Muammer Celik.
Ibu Dan Adik-Beradik Kembar Elif Diselamatkan
Sebelumnya, selepas 23 jam gempa bumi melanda penempatan itu, ibu Elif, Seher Dereli Perincek dan adik-beradik kembarnya yang berusia 10 tahun, Ezel dan Elzem Perincek berjaya ditarik keluar dari runtuhan.
Begitu juga dengan saudara lelakinya, Umut Perince, 7 dapat dikeluarkan. Namun, Umut kehilangan nyawanya. Sehingga saat ini, ahli keluarga Elif yang diselamatkan masih dalam rawatan.
Elif adalah mangsa ke 106 yang ditemui masih bernyawa dan berjaya diselamatkan daripada kawasan runtuhan. Dia yang mengalami kecederaan kemudiannya dikejarkan ke hospital.
Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca memaklumkan Elif sudah pun sedar dan tidak mengalami patah tulang mahupun kecederaan yang serius. Bagaimanapun, Elif masih dalam pemantauan rapi memandangkan anak ini terperangkap dalam runtuhan dan tidak dapat bergerak untuk jangka masa yang panjang.
Adik beradik Elif juga dikhabarkan dalam keadaan yang baik.
Bencana Gempa Bumi Di Turki
Sebelumnya, kira-kira 58 jam selepas gempa seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, Idil Sirin dapat diselamatkan di Bayrakli.
Bencana ini mengakibatkan hampir 1,000 orang cedera dan sekurang-kurangnya 150 orang masih dirawat di hospital.
Gempa dengan kekuatan 6.6 skala Ritcher mengakibatkan bencana, memusnahkan bangunan-bangunan di Turki dan Greece pada petang Jumaat lalu.
Malah, pihak berkuasa Turki memaklumkan terdapat 1,323 gempa susulan sehingga malam Isnin. Dengan 43 daripadanya bermagnitud lebih daripada empat.
Pihaknya juga melancarkan siasatan, menyiasat punca 58 bangunan yang runtuh dan rosak teruk.
Gadis 15 tahun hilang sejak Oktober 2025 dan keluarganya merayu bantuan orang ramai. Baca laporan penuh dan ketahui ciri-ciri Qaseh untuk membantu pencarian.