
‘Putus mata pencarian, nak makan kena catu.’ Suami berhenti kerja jaga isteri sakit. Biarpun terputus sumber pendapatan, namun itu saja yang mampu suami korbankan untuk menjaga isteri tercinta.
Berat mata memandang lagi berat bahu memikul, ujian berat ini benar-benar menguji pasangan ini. Apatah lagi sang suami juga mengalami masalah kesihatan.
Artikel Berkaitan: ‘Sanggup Merana Sakit.’ Berpada-Pada Nak Cantik, Jangan Sampai Mengubah Ciptaan Allah
Putus Mata Pencarian
Seorang suami terpaksa berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar akibat menghidap kanser usus tahap tiga selepas diserang strok Cerebrovascular Accident sejak seminggu lalu.
Keadaan itu menyebabkan pasangan suami isteri, Mohammad Ho Kong Wah Abdullah, 70, dan Soh Mei Lee atau Amirah Abdullah, 69, terpaksa mencatu makanan ekoran kesempitan wang.
Nak Makan Kena Catu
Menurut Amirah, dia kasihan dengan suami kerana terpaksa menjaganya walaupun lelaki itu turut menghidap masalah jantung, gout dan darah tinggi.
“Suami terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu teksi minggu lalu sebab perlu beri perhatian sepenuhnya terhadap saya,” katanya.
Baca Di Sini: Kereta MAK Rosak, Sepakat 6 Beradik Hadiahkan Beli Kereta Baru!
Suami Berhenti Kerja
Lebih memilukan, dia dan suami kini terputus mata pencarian dan terpaksa berharap ihsan pihak Masjid Sungai Ramal Luar, bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Majlis Kanser Nasional yang selama ini menyalurkan sumbangan wang tunai secara bulanan sebanyak RM500.
“Bagaimanapun, apabila keadaan semakin teruk, memang kami tiada langsung duit baki setiap bulan.
“Malah keperluan saya semakin banyak apabila perlu memakai lampin pakai buang sebab agak sukar untuk bergerak ke tandas dalam keadaan sebahagian badan kiri saya lumpuh.
“Sekarang ini mahu makan pun kena catu, tengok apa sahaja yang ada. Dalam seminggu ini hanya makan roti atau biskut kering kerana itu yang kami mampu,” luahnya.
Jaga Isteri Sakit
Jelasnya, perbelanjaan bulanannya ketika ini memerlukan sekitar RM1,000 sebulan bagi membeli ubat-ubatan, makanan dan barangan keperluan lain.
“Apabila dihitung, memang tidak cukup. Ihsan orang sekeliling sahaja kami harapkan, tapi kami berdua tetap reda dengan semua ini,” ujarnya yang tidak dikurniakan cahaya mata.
Mingguan Wanita : Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban pasangan ini, bolehlah berbuat demikian melalui akaun Maybank Soh Mei Lee atau Amirah Abdullah 164360590266 atau menghubunginya di talian 016-9600 545.
Sumber : Kosmo Online
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suri Rumah Didenda RM7000, Cuai Biar Bayi 50 Hari Terjatuh

Suri rumah didenda RM7000 selepas didapati cuai sehingga menyebabkan bayinya yang berusia 50 hari terjatuh dari meja menukar lampin dan mengalami kecederaan. Kes ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang pentingnya pengawasan rapi terhadap bayi, terutama ketika menggunakan peralatan atau permukaan yang tinggi.
“Kamu kena peka dan bertanggungjawab terhadap anak-anak. Ia membabitkan soal keselamatan dan kesihatan walaupun dalam kes ini, ia bukan berlaku dengan sengaja.”
Itu teguran Hakim Mahkamah Sesyen sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang mengakui kesilapannya ketika kejadian berlaku.
Butiran Kes Suri Rumah Didenda RM7000
Dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh mengenakan denda RM7000 ke atas tertuduh, Nurul Hayat Saharudin, 31. Selain itu, beliau turut diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik bernilai RM2000 dengan seorang penjamin serta melaksanakan 120 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Tertuduh juga berdepan kemungkinan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Namun, pembayaran telah dibuat sejurus selepas keputusan diumumkan.
Kronologi Kejadian Sebelum Suri Rumah Didenda RM7000
Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi pada 11 Disember tahun lalu di kediaman mereka di Kampung Punggur Darat, Rengit. Tertuduh didakwa mengabaikan anak perempuannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, yang mana ia termasuk di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen ini membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut laporan perubatan, bayi tersebut mengalami kecederaan di kepala dan dagu. Tertuduh bersama ibu mentuanya membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan di hospital sebaik sahaja mendapati kecederaan berlaku.

Bagaimana Bayi Terjatuh
Siasatan pihak polis mendedahkan bahawa mangsa terjatuh dari rak menukar lampin yang mempunyai ketinggian kira-kira 80 sentimeter. Ketika itu, tertuduh meninggalkan bayinya di atas rak berkenaan sementara dia ke dapur untuk menyediakan susu.
Beberapa minit selepas itu, tertuduh terdengar tangisan kuat anaknya dan segera bergegas ke ruang tersebut sebelum mendapati bayinya telah terjatuh ke lantai. Kejadian berlaku dalam tempoh yang singkat, namun cukup untuk menyebabkan kecederaan kerana bayi berada di permukaan tinggi tanpa pengawasan langsung.
Kes seperti ini sering dikaitkan dengan keletihan atau kekangan masa yang dialami ibu bapa, namun mahkamah menegaskan bahawa keselamatan kanak-kanak tetap menjadi tanggungjawab mutlak penjaga.
Proses Pendakwaan & Kepentingan Keselamatan Anak
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Farha Garieb dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Pendakwaan menekankan bahawa kecuaian walaupun tanpa niat boleh mengakibatkan kecederaan serius, justeru tindakan undang-undang perlu diambil bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa diberi keutamaan.

Insiden yang membawa kepada suri rumah didenda RM7000 ini turut mengingatkan masyarakat bahawa bayi memerlukan perhatian sepenuhnya. Banyak kemalangan domestik melibatkan bayi berlaku dalam beberapa saat sahaja, terutamanya ketika mereka ditinggalkan di permukaan tinggi tanpa pengawasan.
Secara keseluruhan, kes ini menjadi peringatan jelas kepada ibu bapa bahawa aspek keselamatan tidak boleh diambil mudah walaupun ketika melakukan tugasan harian seperti menyediakan susu atau menukar lampin. Masyarakat juga digalakkan meningkatkan pengetahuan mengenai langkah-langkah keselamatan bayi bagi mengelakkan insiden serupa pada masa hadapan.
Sumber: Berita Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami Tak Selalu Ada, Kekal Positif Uruskan Anak Seorang Diri

Memang tak mudah nak uruskan anak-anak seorang diri, bila suami tak selalu ada. Ada pasangan yang rezeki tinggal sebumbung dan ada yang terpaksa berjauhan demi tuntutan kerja. Dalam keadaan ini, ada masa tertentu memang membuatkan diri rasa letih dan amat penat, baik fizikal mahupun emosi. Segalanya perlu dilakukan secara bersendirian, menguruskan karenah dan ragam anak tanpa suami disisi.
Bagi mak-mak yang sedang menghadapi situasi ini, jemput baca perkongsian pengalaman dan tips daripada Puan Syahirah Omar ini sebagai panduan;
Harini masa sedang memandu hantar anak-anak pergi sekolah, teringat balik zaman lana luqman kecil dulu. Rutin sama saja setiap hari. Setiap pagi berperang nak siapkan anak ke sekolah. Sudahlah Lana tu istimewa, memang menangis setiap hari sebab penat handle seorang diri. Waktu tu daddy mereka di luar negara (Alhamdulillah semalam akhirnyaaaa balik Malaysia for good dah) balik setiap 3 bulan dan hanya 2 minggu.Hidup aku memang pada mulanya kelam kabut sebab menguruskan anak seorang diri.
Kisah hidup kita tak sama. Ada yang memang direzekikan suami untuk hidup bersama. Ada yang berpisah hidup.Ada yang kematian suami atau isteri.Ada yang berkongsi suami. Ada yang bersuami tetapi kaki PUBG.
Kadang-kadang baca di KRT ke page yang kisah rumahtangga tu memang la kalau korang duduk situ membawang tak jadi kerja. Tapi kalau korang tengok betul-betul, ramai sangat orang kat Malaysia ni berpotensi sakit mental kerana pelbagai tekanan.
Ada yang isteri di latih untuk menjadi ibu tunggal sejak mengandung lagi sampai kesudah penat menguruskan keluarga. Suami? Ada la siapkan diri sendiri. Lepak-lepak main PUBG. Macam nak gila si isteri setiap hari.
Apa yang Allah takdirkan kat kita ni ada yang kita tak mampu ubah pun.Kadang pergilah ceramah Dr Fazilah Kamsah bersama suami ke, Ustaz Ebit lew ke kalau tak berubah..tak berubah jugak lah. Communication perbaiki la macamana pun sama saja. Doa sajalah yang kita masih mampu buat sebab hanya Allah saja yang pegang hati manusia kan?
Tapi kita mampu ubah diri kita untuk sesuaikan diri dengan situasi. Macam aku, sampai sekarang tak selalu pun suami ada sekali atas komitmen kerja dan lain-lain. Jadi selama mereka kecil sampai ke harini aku perlu jadi independent.

Teringat cerita kakak yang hampir langgar kami sefamily waktu pagi tu. Dia penat mental fizikal 4 bulan menguruskan 3 orang anak seorang diri sebab suami tak selalu ada. Tengok dia tu teringat diri sendiri sebenarnya. Sebab tu aku faham sangat apa dia rasa. Aku tahu bukan senang pun nak buat semua tu.
Tapi aku nak kongsikan dengan semua yang sekasut dengan aku ni, tak kira la perempuan atau lelaki. Kalau bab ni kita struggle, memang tak mustahil rumahtangga kita akan kucar kacir kalau emosi kita tak stabil. Silap-silap kita tempik dan belasah anak hari-hari.
Satu yang kita kena faham, anak-anak pun ada emosi mereka. Rindukan ayah atau ibu, kurang kasih sayang, rasa insecure tak disayangi. Sebab tu emosi mereka pun tak ketahuan setiap pagi sebab mereka pun manusia kan?
Orang kata aku sejenis overthinking.Sejenis detaillllll semua benda. Sejenis yang kena PLAN betul-betul. Rilek rilek sudah la? Cuba ikut flow?
Aku memang dilatih untuk menjadi seorang yang detail sejak Lana umur 3 tahun. Sekarang dia 11 tahun. Aku MESTI plan hidup aku dengan baik walaupun memang Allah is the best planner tapi aku perlu atur masa aku supaya everything smooth InsyaAllah.
Kalau tak, aku menanggung kesedihan dan kepenatan seorang diri. Tak semua orang direzekikan ada support system yang baik. Kau mungkin ada mak ayah duduk dekat.kau mungkin ada pembantu rumah. Kau mungkin ada jiran baik hati bantu hantar anak sekolah. Betul?
11 Tips Kekal Positif Uruskan Anak Seorang Diri
So, untuk kekalkan hidup kau sentiasa positif dari pagi sampai ke malam hari, pertama sekali kau kena
1. Rancang Aktiviti Harian
Aku tak suka benda last minute. Semua ada dalam kalendar hp aku ni. Apa nak buat untuk seminggu aku dah rancang. Rancang bila kau nak kemas rumah, kemas rumah pun kau bahagikan mana yang harian mana mingguan. Kemudian bila kau nak buat laundry, bila kau nak siapkan baju sekolah anak-anak.
Contohnya baju sekolah iron seminggu siap. Setiap malam make sure anak check beg sekolah diaorang. Siapkan bekal anak botol air biskut semua siap-siap. Yang baby pulak baju diaper pun semua siap-siap.
*Sebab tu aku tak suka kalau orang datang mengejut. Nak datang cakap awal-awal sebab banyak benda nanti berubah tak seperti yang dirancang.
2. Hidup Tersusun
Bab makan contohnya. Kalau kau larat dan ada rezeki lebih nak makan luar, makan la jika lalu. Macam aku, bila aku terlalu penat aku memang makan kedai. Tapi ada masa aku memang masak je kat rumah. Siapkan pes frozen hujung minggu untuk mudahkan kau. Blend siap bawang cili kering. Ikan sayur pun kau dah asingkan ikut portion sekali masak. Selalunya weekend la kau kena buat semua ni.
Kalau nak keluar sabtu, malam jumaat tu kau dah siap buat laundry baju sekolah anak. Sabtu merambu, ahad iron baju.
3. Didik Anak Untuk Bantu
Ajar dieorang ni dari kecil buat kerja rumah.dari baby besar cinonet mayraa pun kau dah ajar kemas mainan. Lepas makan kutip nasi tumpah. Lepas tu ajar angkat buang sisa dalam tong sampah, ajar basuh pinggan. Baju kotor letak mana, sidai towel lepas mandi.Tempat tidur kemas. Nak ajar ni memang berbuih mulut tapi ajar je setiap hari.Remind je setiap hari. Macam budak-budak ni kalau bilik semak aku memang tanya je “Nak kawan dan tidur dengan tikus ke?” Terus kelam kabut kemas bilik.
Jadikan mereka seorang manusia bertanggungjawabbbb. Apa yang aku buat selalunya,dieorang ni ada kumpul point. Kalau berjaya follow semua rules aku, aku akan bagi reward time weekend. Bawak pegi kedai eco RM2.10 ambil 1 mainan pun dieorang dah happyyyyy terukkk.
Kalau dieorang tak follow rules aku takyah ngamuk. Aku tanya je “Mama rasa macam kena deduct je point lana luqman ni sebab tak sidai towel”.

4.Biasakan Anak Rasa Hidup Susah
Didik anak supaya dia belajar dari kesusahan. Jangan manjakan anak sentiasa. Biar mereka tahu yang hidup ni Allah akan sentiasa beri ujian. Kalau nak apa-apa minta dari Allah. Kalau sedih nangis istighfar kat Allah. Jangan semua benda anak nak kau bagi. Semua benda kau buatkan untuk dia. Biar dia nangis biar dia rasa dia tak boleh bergantung kat manusia kalau dia nak apa-apa. Actually kalau aku menangis dieoranglah ingatkan aku suruh istighfar sambil tenangkan aku, kau bukan kuat sentiasa kan?
5.Jaga Emosi Diri Dan Anak
Emosi kita ni kena cantik. Aku ada share sebelum ni macamana nak kekal positif kan. Emosi kita cantik emosi anak akan cantik. Bila kau stress emosi anak kau huru hara sangat tau? Meragam melekat merengek.
Setiap malam kau peluk anak-anak, cium mereka. Beritahu kau sayang sangat mereka. Beritahu esok semua kena happy dan behave. Baca doa bersama. Kemudian make sure mereka tidur awal jam 9.30 malam supaya tidur mereka cukup. Beritahu mereka esok mereka kena bangun awal solat subuh dan bersiap ke sekolah.
Beritahu mereka siapa siap awal boleh tengok tv kejap 10 minutes tapi sebelum tengok beyblade ke apa ke kau kena dengar surah hafazan berulang kali dulu. Kemudian beritahu tepat jam sekian-sekian kita semua akan turun untuk pergi sekolah. Kau tanam siap-siap dalam kepala mereka.
Kemudian kau tanam pulak dalam kepala kau.
Lepas kau dah maafkan semua orang, kau dah buat list buang semua masalah kau( rujuk post aku yang sebelum ni) kemudian kau imagine diri kau bangun pukul berapa kau nak. Imagine siap-siap kau mood happy, ceria, kau bersiap..anak-anak semua happy. Sekarang ni kau tengah cuba beritahu otak kau begitu sebab InsyaAllah otak kau akan menggerakkan badan kau untuk buat seperti apa yang kau fikir. Sebab tu kena fikir bebaik je. Jangan kau fikir ” yaAllahhh esok pagiii confirmm anak aku ngamukkk”. Ngamuk la jadinya
And imagine jugaklah kau sabar kalau anak kau meragam. Macam aku..Mayraa tu ada hari berangin taknak pakai kasut lah, taknak stroller lah. Contohnya harini, aku kena dukung dia turun bawah sambil bawa banyak barang tapi takpelah sebab mood aku stabil aku berjaya control kemarahan tu. Alhamdulillah.
6. Kurangkan Screen (Gadget)
Aku tak tahulah maybe ramai yang tak setuju. tapi gadget ni memang buat jiwa anak aku kacau bilau. Serius cakap, bebudak ni tak main wey hp. Mayraa tu ada kalanya masa driving aku bagi kejap 10 minutes sb dia dah nangis nak menyusu. Sementara aku nak stop ketepi aku bagi.tapi lagi 2 ketul aku memang tak bagi.
Sebab? Dieorang tak fokus masa belajar. Dieorang mula bebai bebai bila aku suruh buat kerja. Kepala tu asyik ingat hp je kan? Asyik fikir game jer. So aku memang jaga bab ni sebab kalau dieorang mood tak baik memang habislah kehidupan aku seharian tu sebab marah-marah anak.
Orang kata bagilah sebagai reward, aku rasa banyak lagi benda yang boleh dijadikan reward. Dan untuk diri sendiriii..kalau tengah stress penat kau jangan la asyik mengadap hp. Tu lagi mengundang emosi tak stabilllll.
7. Solat Berjemaah Dana Wujudkan Persekitaran Mengingati Allah
Kalau ada bapak diaorang memang kami ke masjid bersama-sama.Kalau takde aku akan bawa je mereka ke surau rumah ni. Tak hari-hari pun tak apa. Kemudian, aku solat bergilir dengan Lana. Bila aku solat dia jaga Mayraa.
Kat rumah luqman akan jadi imam untuk lana dan mayraa. Aku monitor je mereka solat bersama. Kemudian buat hafazan bersama mereka. Cari satu waktu yang paling sesuai. Kadang-kadang sambil aku iron baju kami buat hafazan bersama.

8.Buat Suprise Untuk Anak
Sesekali kau buat kejutan kat mereka. Beli la apa yang murah-murah tu. Masuk kereta je bagi kejutan kat mereka.Kau akan ingat selalu muka happy mereka tu tau. Kadang-kadang bagilah masa nak tidur. Tak payah mahal -mahal pun tak apa. Mereka sudahlah kurang kasih sayang, buat la mereka selalu rasa disayangi. Alaa..kadang-kadang petik je bunga lalang tu.anak aku punya seronok tak kira dapat bunga.
9. Biasakan Letak Allah Yang Pertama Dalam Segala Hal
Dari pagi lagi kau bagi salam masa kejut mereka. Pagi pastikan mereka solat subuh dulu sebelum ke sekolah. Pagi pastikan mereka baca doa naik kenderaan bersama. Pagi pastikan kau cakap kat mereka..kalau mereka behave dan follow semua cakap cikgu dan mama, Allah, Rasulallah, mama sayang sangat mereka. Buat baik masuk syurga. Kau kena banyak bercakap dengan mereka 2 kali ganda banyakkk sebab mereka hanya bercakap dengan kau saja di rumah.
10. Rapatkan Yang Jauh
Mereka ni bila ada masa aku videocall la supaya mereka cakap dengan daddy mereka.zaman lana luqman kecik dulu kena pakai webcam lagi. Kalau bapak dieorang busy, time zone dah tak sama sepasal, anak tidur bapaknya baru petang.. kau pujuk la mereka untuk sembang dengan daddy esok pulak. Beritahu harini ada hal tak dapat elakkan. Mintalah bapak dieorang hantar gambar ke voice msg ke.
Tapi untuk pasangan yang dah meninggal..Allah.. kau peluklah mereka selalu. Aku selalu kuat bila aku fikir yang satu ni. Bila aku nak rebah aku fikir apa la anak-anak aku rasa kalau tak jumpa bapak mereka sampai bila-bila. Yang lalui situasi begini aku nak cakap korang memang sangat hebat.Allah sayang sangat korang. Allah uji sebab korang memang hebat dan sangat kuat.
11. Rawat Diri Sendiri
Kau makan la supplement untuk antibodi. Madu ke habatussauda ke terpulang. Ada masa kau pergilah lepak masjid dengar kuliah. Kemudian kau carilah masa untuk kau minum sorang, makan sorang. Kau belilah apa-apa untuk reward diri kau. Kau beli la scrub and lotion. Cari masa untuk diri kau sendiri. Serius la wey nak sapu lotion pun tak sempat tau kalau dah semua sendiri. Ada masa kau nak tonyoh daki pun tak sempat, mandilah lama-lama sikit sejukkan diri.
Kau bukak la ceramah kat youtube tu.cuba kau dengar apa-apa yang boleh menaikkan motivasi diri. Carilah ilmu bagaimana nak kawal emosi. Kau kena rajin membaca.
Sesekali kalau boleh kau berjalan la keluarkan peluh.aku tak tahulah bila masa kau nak bersenam.tapi kalau dengan berjalan tu buatkan kau mengeluarkan peluh, kau jalan lah.
Aku harap membantulah apa yang aku share ni. Semua orang buat benda yang sama pun rasanya. Tapi kalau kau rasa kau dah cukup susah, fikirlah insan yang jauh lebihhh susah.
Kalau kau rasa penat diuji ada anak special sorang..kau fikirlah orang lain yang diuji ramai anak istimewa dan ibu tunggal pulak tu?
Kalau kau rasa suami kau sibuk, fikirlah kau masih ada suami banding orang lain.
Apa-apa pun kita saja boleh ubah diri kita.Cara kita berfikir. Sesekali confirmmmm kau terjatuh dan penat terduduk. Sebab kau bukan robot. Tapi bangkitlah demi anak-anak. Seiring dengan motto kehidupan kita, “Kat dunia ni lah tempat kau berpenat lelah. Kat Syurga nanti kau rehatlah sepuasnya.”
MW: Perkongsian tips yang sangat bermanfaat untuk diamalkan. Semoga menjadi panduan buat isteri dan mak-mak yang ketika ini perlu menjaga anak-anak seorang diri, kerana berjauhan dengan suami.
Sumber: Syahirah Omar
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Walau Tak Kenal Abjad Rumi, 15 Daripada 17 Orang Anak Tokoh Ibu Bapa Malaysia Ini Lulusan Universiti

Kata orang iman tak dapat diwarisi, tapi iman boleh disuburkan dalam hati anak-anak melalui ibu bapa yang ada JIWA YANG BESAR. Tokoh ibu bapa Malaysia iaitu Sulaiman Saipin (Tokoh Maulidur Rasul 2006) dan Eshah Din (Tokoh Ibu Mithali 2007) antara bukti kecemerlangan keibubapaan yang nyata. Keduanya mempunyai 17 orang anak dan 15 daripadanya lulusan universiti.
Ini perkongsian terdahulu yang dicatat Dr Shukri Abdullah, pengasas Amalan Belajar Sdn Bhd. Pakar Motivasi terkenal ini banyak berkongsi rahsia kejayaan dengan pelajar dalam siri ceramah dan seminarnya.
Ketika beliau berpeluang menziarahi keluarga tokoh ibu bapa, Wak Sulaiman dan Mak Esah pada tahun 2009, beliau peroleh tips berguna untuk ibu bapa.
Biarpun ia sebuah kisah terdahulu, namun tips yang dikongsikan Dr Shukri begitu dekat dengan apa yang ibu bapa lalui hari ini. Panduan mendidik anak ini begitu bermakna sekali. Lagi-lagi ketika ini terlalu banyak isu berbangkit berkaitan sistem pendidikan kita.
Apa pun, segalanya perlu bermula daripada ibu bapa juga. Bagaimana mereka menyantuni pendidik yang mengajar anak-anak mereka tanpa jemu.
Sejarahnya, Wak Sulaiman cuma seorang buruh estet (penoreh getah) yang ketika itu sudah punyai 100 orang cucu dan 12 orang cicit. Bapa ini tak pernah bersekolah secara formal tapi bagaimana anak-anak Wak Sulaiman Dan Mak Esah cemerlang dalam kehidupan.
Ini panduan mendidik anak hasil bicara hikmah Tokoh Ibu Bapa Malaysia. Yang mana setiap tip ini perlu generasi muda fahamkan agar tidak tersasar dari landasan.

6 Rahsia Tokoh Ibu Bapa Mendidik Anak Hebat
1. Kenal Guru Yang Mengajar Anak-anaknya
Walaupun dihimpit tekanan kewangan malah kedua-duanya tidak pernah bersekolah secara formal tetap mengambil berat soal pelajaran anak.
Mereka kerap ke sekolah mengenali dan bertanya khabar dengan guru tentang kemajuan pelajaran anak mereka. Kata Wak Sulaiman “Saya tidak faham Mak bapak yang langsung tidak mengenali guru yang mengajar anak mereka“.
2. Mencari Rezeki Tanpa Kenal Erti Penat
Selain bekerja di estet mereka akan membuat kerja lain untuk mencari nafkah tambahan bagi menyara anak yang ramai bersekolah. Kerana tidak mengenal erti penat lelah atau ikut istilah Wak “tak tau dok sengap, kena kerja selalu“, Allah murahkan rezeki mereka untuk membantu anak mereka bersekolah hingga ke peringkat universiti.
3. Sentiasa Semak Buku Anak-Anak
Wak memberitahu beliau tidak mengenal abjad rumi tetapi sentiasa menyemak buku anak-anak. Dia pantang melihat report card anak-anak yang ditulis dengan markah warna merah. Itu saja petunjuk yang dia faham anak-anak bermasalah dalam matapelajaran berkaitan.
Anak-anak pun faham akan pendirian Wak dan akan berusaha untuk mengelak mendapat markah yang menyebabkan bertanda dengan warna merah. Satu tindakan yang simple dari seorang yang tidak ke sekolah formal, namun cukup menyengat. Itu salah satu petanda beliau “ambil peduli” kemajuan pelajaran anak.
4. Bapa Tegas Tanpa Pilih Kasih
Wak juga tegas ke atas semua anak tanpa memilih kasih. Sebagai contoh mana-mana anak yang pulang ke rumah selepas jam 7 malam terpaksa kena rotan dan tidur di luar rumah. Itu tiada kompromi.
Dia berbuat demikian kerana mahu mendisiplinkan anak-anak agar pulang ke rumah on-time dan tidak membuang masa dengan kawan-kawan yang tidak ambil berat dengan pelajaran.
5. Prinsip Inilah Rahsia Besarnya
Prinsipnya kata Wak “Biar mak bapak bodoh, anak jangan jadi bodoh juga” Maksud beliau, biar dia dan isteri tidak bersekolah, anak-anak jangan juga begitu. Ketika mereka remaja di zaman dulu bukan sahaja kemudahan persekolahan sukar malah Wak terpaksa membantu bapanya menoreh getah di estet sehingga tidak berpeluang ke sekolah.
6. Mak Ayah Jangan Sampai Abai Amanah Mendidik Anak
Dia juga rimas dengan ramai ibu bapa sekarang yang asyik tonton TV dan lain-lain kelekaan sehingga mengabaikan tugas mendidik dan memantau anak dalam pelajaran.
Wak juga risau melihat pelajar sekolah yang kini terlalu bebas diberi motosikal dan ke sana ke mari tidak kira waktu. Kekadang bersama teman lain jantina merayau-rayau entah ke mana!
Sudah fahamkan 6 tip mendidik anak cemerlang yang dikongsi tokoh ibu bapa ini? Ternyata tip yang dikongsikan ini tetap relevan untuk menjadi amalan ibu bapa muda zaman ini.
Sumber/Foto : Facebook Page DrShukri Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

