Biar pun masih belum ada keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dilanjutkan atau tidak. Tetapi masing-masing bimbang jika tidak mampu menunaikan ibadat sepanjang ramadan kerana terikat dengan PKP.
Menurut penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, sebenarnya PKP tidak akan menghalang umat Islam beribadat seperti biasa. Sebaiknya kita lebih beruntung apabila dapat berkurung di dalam rumah dan fokus sepenuhnya kepada ibadat seterusnya terhindar daripada maksiat.
Cuma bezanya kita tidak dapat ke masjid seperti sebelum ini, tetapi ibadat mak,ayah dapat lakukan bersama keluarga di rumah.
Kesan PKP Kepada Penganjuran Ibadat
Dalam menghitung hari bila arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir, umat Islam ketika ini juga menantikan kehadiran bulan Ramadan.
Menuju 15 hari sebelum umat Islam melaksanakan ibadah puasa, situasi negara berdepan pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada beberapa penganjuran dan pelaksanaan ibadah umat Islam yang melibatkan perhimpunan ramai.
Namun, bagi penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, sekiranya PKP dilanjutkan sekalipun, itu bukanlah penghalang kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadah pada bulan penuh kemuliaan.
Sebaliknya, beliau berkata, pelaksanaan PKP pada bulan Ramadan harus dilihat sebagai satu nikmat dan ruang yang lebih baik kepada umat Islam untuk memperbaiki amalan selain dapat menjauhi daripada berbuat maksiat yang akhirnya boleh mensia-siakan ibadah puasa.
“Kalau bercakap mengenai ibadah puasa, tiada masalah, lebih baik kita berkurung di rumah. Dalam ujian, ada nikmat dan inilah kelebihannya.
Ads
“Contohnya, bila kita berpuasa ketika ketiadaan PKP, pasti kita akan keluar rumah dan ketika dalam keadaan khalayak ramai, kita terdedah dengan pelbagai maksiat,” katanya.
PKP Lebih Beruntung
Beliau berkata, orang yang melihat situasi ini dari sudut pandang kebaikan untuk akhirat, pasti akan merasakan mereka adalah golongan yang beruntung ekoran dapat menjauhi daripada maksiat ketika berpuasa.
Beliau berkata demikian semasa menjayakan sesi soal jawab bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi ‘live streaming’ di Instagram rasmi masing-masing pada Selasa malam.
Ditanya mengenai pelaksanaan solat terawih pula, Ustaz Azhar Idrus berkata, PKP juga tidak menghalang umat Islam untuk mengerjakan ibadah sunat terawih meskipun perlu dibuat di rumah masing-masing.
Katanya, mengerjakan solat terawih dirumah bersama ahli keluarga bukanlah sesuatu perkara asing kerana melihat contoh pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda juga melaksanakan solat terawih di rumah sebelum pergi ke masjid.
Ads
“Itu perkara biasa jika ingin melaksanakan solat terawih di rumah, cuma bezanya kita tidak boleh berniat iktikaf di rumah.
“Namun, ulama ada bersepakat sekiranya kita sudah biasa dengan berniat iktikaf di masjid, tiba-tiba ada uzur syarie (uzur yang diterima syarak) yang menghalang dan kita tetap berniat iktikaf di rumah, maka pahalanya sama seperti kita berniat iktikaf di masjid,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut bertanya mengenai sikap rata-rata masyarakat terutamanya golongan muda yang terlalu lalai menggunakan teknologi sehingga meninggalkan urusan ibadah lain sepanjang PKP.
Ustaz Azhar memberi peringatan bahawa teknologi serta gajet merupakan antara nikmat yang sepatutnya digunakan dengan betul.
Umat Islam, katanya, perlu memanfaatkan teknologi dengan perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada diri selain bersikap berpada-pada dalam menggunakannya.
“Berilah apa sahaja kemudahan teknologi, tiada masalah sekiranya kita pandai menggunakannya dengan cara yang betul dan janganlah terlalu taksub sehingga kita hanyut dalam nikmat diberikan,” katanya.
Terdahulu, pengumuman pembatalan bazar Ramadan di beberapa buah negeri secara jelas menghampakan sesetengah pihak yang bukan sahaja dapat meluaskan rezeki para peniaga, tetapi juga memudahkan umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa.
Sumber: Astro Awani
MW: Semoga amalan kita sepanjang ramadan kelak dapat diterima Allah. Sekiranya PKP diteruskan, ianya bukan alasan untuk kita tidak melaksanakan ibadat dengan baik sebaiknya hargailah setiap saat yang ada.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
PeristiwaIsrak dan Mikraj Nabi Muhammad SAW terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian baginda. Ini merupakan peristiwa penting yang menjadi ingatan seluruh umat Islam hingga ke hari ini.
Tarikh ini bersamaan 622 M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum Hijrah dari Makkah ke Madinah. Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Nabi dan anak angkatnya Zaid ibn Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah.
Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah Al-Israa’ ayat 1 (Al-Quran:17:1). Surah An-Najm (Al Quran:53:13-18) juga menceritakan peristiwa ini. Perjalanan selama 3/4 malam sahaja dan Rasulullah SAW kembali semula ke Makkah sebelum terbit fajar. Israk bermaksud baginda menunggang Buraq (perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia).
Baginda bersama Jibrail dari Masjidil Haram ke Masjid Al- Aqsa di Baitulmaqdis yang lebih dikenali sebagai Palestin hari ini. Mikraj bermaksud perjalanan baginda dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. Selain dibawa ke langit Sidratul Muntaha, baginda juga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Sebagai umat Islam dan di kala Malaysia melalui saat-saat sukar menangani Covid-19, apa kata kita lipat gandakan amalan dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi perlindungan, diberi kesembuhan, diberi kekuatan buat mereka yang menjadi perisai terpaling hadapan membantu Malaysia dalam usaha bebas covid-19.
Berikut adalah amalan yang boleh dilakukan sempena hadirnya Israk Mikraj bersamaan 27 Rejab malam ini.
Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.
Amalan Malam Rejab
Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat
Solat Sunat Tasbih
Solat Sunat Taubat
Solat Sunat Witir
Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih
Berdoa
Memohon keampunan diri dan ibu bapa
Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh
Banyak lagi ganjaran yang Allah beri jika umat Islam beribadat sepanjang Rejab. Berpuasa sunat adalah antaranya. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari Israk-Mikraj.
Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.”
Amalkan zikir yang kita boleh lakukan setiap hari untuk menyelesaikan pelbagai masalah kita: LAILAHAILLA ANTA SUBHANAKA INNIKUMTUM MINADZOLIMIN. Bacalah zikir ini selama 10 minit setiap hari dan Insya-Allah dipermudahkan segala urusan.
Doa ini afdal dibaca 11 kali ketika sujud sebaik saja selesai salam solat fardhu. Kemudian, mohonlah doa daripada Allah SWT. Insya–Allah dengan izinNya akan dimakbulkan.
Bagi mengelak tularan virus ini, patuhilah arahan kerajaan sebaiknya. Jika tidak ada kepentingan untuk keluar, duduk diam di rumah jauh lebih baik. Dalam sedapnya kita makan, bersenang-senang menonton televisyen, melayan YouTube sambil anak-anak dan suami ada didepan mata. Ada orang yang merisikokan diri dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19. Hargailah usaha-usaha mereka, dan anda mampu mengubahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya dalam ikatan perkahwinan bukan sahaja kebahagiaan semata yang dicari sebaliknya keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Oleh itu, jangan merasakan bahawa rumah tangga yang harmoni, tiada pergaduhan sudah menentukan kejayaan sesebuah rumah tangga.
Sebaliknya selepas berkahwin, penentu rumah tangga berjaya adalah pasangan bertambah baik dalam beribadat dalam mengejar redha Allah.
Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan hadam baik-baik iya:
Tugas Suami Selepas Berkahwin
Tugas terberat suami kita sebenarnya bukanlah perlu melunaskan semua yang kita teringin makan, dari murah sampailah mahal atau belikan barang kemas apa yang kita suka.
Tolong snapkan gambar bagi kita nampak kurus atau bayarkan item yang kita letak dalam cart shopee sampai beratus itu.
Melainkan untuk membawa isteri dan anak-anaknya masuk ke dalam syurga.
Hari Itu dengar tazkirah dalam ikim.fm, ramai suami isteri hari Ini dia fikir rumah tangganya tiada gaduh, kekal harmoni (tak bercerai) itu sudah dikira ‘berjaya’.
Walhal isteri belum tutup aurat, isteri biarkan suami cari rezeki dari sumber yang syubhah/haram, suami biarkan isteri pertontonkan aurat di depan bukan mahram, ibu bapa membiarkan anak-anak tidak solat, tak ajar baca Al-Quran (contoh).
Hakikat sebenarnya, rumah tangga yang berjaya ialah apabila suami isteri saling mengingati untuk mentaati perintah Tuhan.
Kita bertambah baik dalam beribadah apabila berkahwin dengannya. Kalau waktu bujang baca al-Quran pun merangkak, selepas berkahwin boleh membaca dan menghafaz al-Quran dengan baik.
Kalau sebelum berkahwin lalai beragama, selepas berkahwin semakin rancak ibadahnya. Masyallah.
Itulah pasangan yang rumah tangganya berkah meskipun hidupnya mungkin tidak gah. Hati saling tenang tatkala sesama sendiri dan saling menyokong ke jalan kebaikan. Insyallah.
Penentu Kejayaan Adalah Pasangan Bertambah Baik Dalam Beribadat
Ramai harini suami isteri lupa mengejar keberkatan dalam rumah tangganya kerana mereka belajar ilmu rumah tangga dari media sosial artis dan selebriti, bukannya menelusuri sirah dan sunnah Rasulullah SAW dan akhlak berumahtangga para ‘alim ulama’.
Lalai dengan duniawi. Ke majlis ilmu jauh sekali. Allahuakbar. Astaghfirullahal adzhim. . Hari yang mulia ini, mari ambil waktu sejenak, kita muhasabah ke mana arah tuju rumah tangga kita hari ini. Masihkah atas landasan syariat agama ataupun semakin menjauhi keredhaan-Nya?
Peringatan saya sebagai isteri juga, yang paling banyak terlalai. Sama-samalah kita suami isteri muhasabah kembali. Anak-anak memerhati. Mereka amanah yang amat berat. . #intandzulkefli #selfreminder
MW: Semoga rumah tangga kita mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Insyallah.
Hidup jangan bersandar pada kenangan, bila cinta pergi, move on! Ikut apa yang agama Islam ajar. Tak mudah tetapi perlu juga untuk teruskan hidup.
Jangan terlalu ikutkan hati hingga merana hidup. Apatah lagi jika masih memiliki anak-anak, kasihanilah mereka kerana mereka turut merasa kehilangan.
Seberat-berat kehilangan belajarlah untuk bangkit, fikirkan perasaan dan hati-hati orang lain yang harus dijaga.
Hidup Jangan Bersandar Pada Kenangan
Kongsi Ustaz Muharrik Daei, belajarlah untuk melepaskan…
Dalam hidup ini jangan sesekali bersandar pada cinta dan kenangan. Letakkan prinsip hidup, bila cinta itu pergi, move on. Itu yang Islam ajar.
Cinta dan kenangan hanya membuat kita sejuk dan beku dan terpuruk dalam ilusi yang tiada kesudahan dan kesedihan yang merugikan usia dan menzalimi jasad.
Matlamat hidup kita adalah redha Allah. Selain syurga yang menjadi impian hidup abadi kita. Justeru, kalau kita tidak move on, mana mungkin kita mencapai matlamat hidup kita.
Lagi pula, jika ada orang disisi dan dihadapan yang memerlukan kita, apakah kenangan itu penting untuk didahulukan?
Bila Cinta Pergi, Move On!
Manusia terlalu bodoh ditipu dan dihambakan dunia dan makhluk.
Awal-awal dalam Tauhid mengajar kita, Allah saja yang qodim. Allah saja yang Baqa’. Selain Allah itu musnah. Allah saja yang memberi bekas. Makhluk tidak boleh memberi bekas. Maknanya Allah saja yang boleh memberi bahagia pada insan yang dikehendaki-Nya.
Orang yang bertauhid, kisah lalu dan kenangan baginya adalah gerak jiwa untuk menuju puncak iman jika ia mampu untuk move forward atau move on dengan menerima takdir itu kerana takdir adalah sebuah ketentuan yang Allah lambakkan hikmah dihadapan.
Ikut Islam Ajar
“Kamu kena move on shim, dan belajar untuk melepaskan. Tak boleh macam ni.” Kata aku pada kawan aku Hashim yang kehilangan isteri kerana kanser.
Hampir setahun isterinya meninggal. Anak nya 2 orang diserah kepada orang tuanya untuk dijaga tanpa diambil tahu. Hanya duit belanja diberi tanpa kasih sayang.
Aku sedih, banyak ikhtiar aku buat untuk sahabat aku ini. Namun semua ditolak nya. Aku tak tahu kenapa. Seolah dia menolak untuk dirinya kembali normal.
Adakala aku marah padanya. Sampai terkadang aku hampir malas nak pedulikannya lagi sampai dia call aku untuk bertemu. Aku tahu hanya aku saja teman yang dia percaya didunia ini.
“Aku tak tahulah mal, aku betul betul tak boleh lupakan isteri aku. Mana mana aku pergi pun aku rasa sunyi dan tak tentu arah. Rasa libang libu sangat.” Begitu keluh hashim waktu aku bertemu dengan dia bulan lalu.
Semalam dia pergi. Tamat kerinduannya dan tamat sudah cintanya. Tamat penderitaannya. Bagi aku mungkin dia telah bertemu bahgianya. Aku sedih tak dapat membantunya.
Baru aku tahu betapa cinta boleh menjadikan manusia terlalu kerinduan dan orang yang dihinggapi penyakit cinta, ia tidak sekali kali mahu disembuhkan!
Mingguan Wanita : Menghadapi perpisahan atau kehilangan bukan sesuatu yang mudah. Menahan rindu pada yang telah tiada, hanya Allah saja yang tahu. Semoga mak ayah terus kuat bila berdepan dengan ujian kehilangan.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.