‘Orang tua bersusah payah masak, anak menantu tidur membungkang.’ Hari raya jangan hambakan mak, ayah di kampung. Dalam meraikan syawal penuh gembira, jangan hambakan mak dan ayah.
Dalam tak sedar mak ayah yang sepatutnya kita jaga dan sayangi menjadi hamba kepada anak-anak. Oleh itu, sebelum terlambat jaga sikap kita kepada orang tua.
Ikuti perkongsian Tuan Muharrik Daei dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan ini :
Antara bentuk derhaka anak-anak di hari raya adalah, kita biarkan mak kita yang dah tua nak mati itu bersusah payah masak di dapur, kita laki bini membungkang tidur tak ingat dunia. Bangun bangun, terus cari makan isi tembolok kita macam tuan besar.
Itu menunjukan kita tidak berperibadi islam. Tidak beradab. Dan tidak berakhlak islam. Kalau tak malu pada ibu ayah, malulah pada Allah.
Orang dulu-dulu, anak anak perempuan dan lelaki amat menjaga adab dan rasa malu bila berkunjung dan berziarah ke rumah orang tua.
Awal pagi sudah bangun, kemas tempat tidur, mandikan anak-anak dan memasak serta membantu ibu ayah di dapur. Terkadang melarang ibu mereka memasak dan malah merekalah yang masak untuk ibu mereka kerana itulah masanya mereka berbakti untuk ibu ayah.
Ads
Kebanyakan anak-anak sekarang sudah tak macam dulu. Mereka hilang malu. Dan malu sudah tiada dalam akhlak mereka. Mereka hanya malu buka aurat saja tapi tidak malu membuka pekung akhlak buruk mereka di hadapan orang tua.
Malah ada yang bangun lambat dan tak sembahyang subuh pun. Tempat tidur berselerak. Anak-anak mereka yang bangun pagi dibiar macam anak-anak ayam kelaparan. Ibu ayah merekalah yang kelam kabut nak uruskan makan minum kencing berak anak-anak mereka. Zalimkan?
Jangan dihairankan! Di mana-mana pun kita pergi, kita akan jumpa situasi ini dan spesis anak-anak yang begini. Malah terkadang berlaku dalam keluarga kita sendiri. Itulah akhir zaman.
Mak ayah bukan tak nak tegur, tapi takut nak menegur kepada anak-anak. Takut ditengking anak-anak. Maklumlah anak-anak sudah bagi duit raya pada mak ayah.
Kalau ditegur nanti, mencukalah muka anak-anak menantu dan tak nak balik lagi. Mak ayah pun takut kena gosip oleh anak-anak menantu mereka bila anak-anak menantu berkumpul sesama mereka.
Ads
Sebab itu mak ayah ni kalau nak pilih menantu, pilihlah yang berakhlak dan dari keturunan yang baik-baik. Jangan nampak pakai tudung dan pakai lebai serta cium tangan saja, dah rasa bakal menantu ni ahli syurga. Jangan sekali-kali.
Zaman sekarang ni ramai ‘scammer’. Bakal menantu pun boleh jadi scammer. Berpura-pura bagus sebelum kahwin.
Mana yang dah dapat menantu scammer tu, nasihat-nasihatlah mereka. Jangan biar mereka berakhlak begitu nanti keturunan kita pun akan ikut apa yang mak ayahnya buat.
Kalau mak ayahnya tak sembahyang subuh, keturunan pun akan jadi begitu. Kalau mak ayahnya menghambakan mak atau mertua mereka, anak-anak mereka pun akan perlakukan kepada mereka juga. Ingat perpatah orang putih, “What you give, you get back.”
Jangan sedap hati dapat menghambakan mak ayah dan mertua walau dalam sedar atau tak sedar. Ia tetap dosa. Bukan dosa kecil tapi dosa besar.
Ads
Bagi yang lelaki, wajib mereka menasihati anak bini supaya menghormati mak ayah dan mertua serta bertimbang rasa dengan mereka. Jangan fikir keluarga kamu nak mudah dan senang lenang saja.
Rumah mak ayah atau mertua bukan hotel atau homestay atau untuk ‘me time’ anak bini kamu tapi adalah tempat kamu berbakti kepada ibu ayah.
Ingat! Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Moga manfaat untuk renungan
Maaf andai terkasar bahasa. #muharrikdaie
Mingguan Wanita : Ingatlah mak ayah sudah banyak berkorban selama ini. Jangan ditambah lagi beban mereka.
Masalah Kepadatan Tanah, KUBUR BERTINGKAT Inisiatif Pengebumian Jenazah Baharu! Pelaksanaan kubur bertingkat di Masjid Al Jamiul Badawi di sini, menjadikan rumah ibadat itu sebagai perintis kepada masjid lain di Pulau Pinang dan seluruh negara untuk mempelajari konsep berkenaan.
Inisiatif Atasi Masalah Kepadatan Tanah
Ia berikutan kebanyakan masjid kini berdepan dengan masalah kepadatan tanah sehingga menyukarkan pengebumian jenazah baharu dilakukan dan memerlukan inisiatif lain bagi menyelesaikan isu yang dihadapi.
Pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi Datuk Shariful Azhar Othman berkata, satu mesyuarat diadakan terlebih dahulu bagi mencapai persetujuan sebelum melaksanakan kubur bertingkat terbabit.
“Pada mulanya, pihak pengurusan ingin membeli sebidang tanah baharu bagi menyelesaikan masalah kepadatan (kubur) namun mendapat rungutan waris yang mahu semua ahli keluarga mereka dikebumikan di tanah perkuburan sama.
“Bermula dari situ, timbul idea melaksanakan kaedah kubur bertingkat yang mana model pelaksanaannya kita belajar dari sebuah masjid di Alor Setar, Kedah.
“Kemudian kita adakan perbincangan dan usulkan sebelum mendapat persetujuan semua yang akhirnya sistem kubur bertingkat dilaksanakan di tanah perkuburan masjid ini pada 2002,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, tanah perkuburan di masjid berkenaan dianggarkan berusia lebih 100 tahun semakin padat sehingga pada suatu ketika tidak ada lagi ruang untuk pengebumian jenazah baharu.
“Untuk membeli tanah baharu, ia memakan kos yang amat tinggi hingga ratusan ribu ringgit.
“Maka sistem kubur bertingkat ini dilaksanakan melalui kutipan zakat dan sumbangan kerajaan negeri,” katanya yang memaklumkan tanah perkuburan terbabit mampu bertahan sehingga 70 tahun.
Tambak Tanah Kubur Lama
Mengulas lanjut, Shariful Azhar berkata, kaedah kubur bertingkat itu adalah yang mana kubur lama ditambak dengan tanah sedalam lebih satu meter dan di atasnya ada jenazah baharu yang akan disemadikan.
“Jadi ia tidak mengganggu kubur lama bahkan lebih kemas dan tersusun, sekali gus memudahkan waris melawat.
“Ketika ini kubur bertingkat ini hanya terdapat dua lapisan dan kita tidak berhasrat untuk menambah bilangan lapisan kerana agak mustahil memandangkan ketinggiannya sudah melebihi lantai masjid,” katanya.
Katanya, masjid di bawah kelolaannya kerap mendapat kunjungan pihak luar untuk lawatan sambil belajar dalam mengatasi masalah serupa.
“Kita bukan sahaja menerima kunjungan dari wakil masjid di negeri ini tetapi juga beberapa negeri lain yang mahu mempelajari konsep ini. Pihak kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya.
Mingguan Wanita:Menarik inisiatif ini dalam menyelesaikan masalah kepadatan tanah sekaligus menyelesaikan pengebumian jenazah baru. Semoga kaedah ini boleh digunakan oleh pihak masjid lain untuk tanah perkuburan.
Perginya di hari Jumaat di bulan Ramadan, pemergian yang cukup dicemburui. Sedih, gembira dan mesti kita akan tertanya-tanya siapakah wanita hebat ini. Apakah amalan sepanjang hayatnya?
Pemergian yang dicemburui oleh sesiapa saja melihat semasa jenazah ini dimandikan, dikapankan dan dikebumikan. Sesuatu yang cukup menarik untuk dikongsi bersama pembaca.
Rentetan cerita oleh anak perempuannya tentang kematian maknya. Sepanjang hari tersebut, pelbagai pengalaman yang dilaluinya dan adik beradik yang lain serta disaksikan oleh orang yang hadir. Ikuti perkongsian daripada Fazia Rina ini.
Pemergian Yang Dicemburui, Hilangnya Doa Seorang Mak
15 April 2021
Usai solat terawih solat hajat witir dan yasin.. Kami adik beradik sepakat bawa balik mak dari hospital
16 April 2021
Jam 8 pagi Kak Ya telefon pihak hosital untuk maklumkan ingin berjumpa doktor.. Tapi doktor tak ada. Macam biasa kena tunggu hospital telefon.
Jam 10.30am kami dapat panggilan untuk datang ke hospital. Kami 6 beradik termasuk suami datang hospital. Sampai di wad ICU nurse PANGGIL Balong dan Ateh… Selepas beberapa minit Abang Long menghampiri kami.. Aku kaget.. kenapa Abang Long muka resah… Belum sempat Abang Long habiskan ayat.. Aku, adik dan kakya terus ke katil mak….
Allah…. Monitor mesin nadi mak dah semakin perlahan, Air mata laju melimpah…. Kamel membaca syahadah pada mak… Kami bergilir-gilir cium dan belai tangan mak.. Kaki mak.. Muka mak…
Tangan inilah yang menyuap kami makan.. Kaki inilah syurga kami… Muka inilah yang selalu mengukir senyuman dan selalu memberi kata-kata semangat…
Selepas ini.. Hanya pesanan meneruskan PROGRAM SEDEKAH JUMAATku yang akan aku ingat yang mak sendiri selalu amalkan iaitu SEDEKAH… Program inilah yang paling mak aku suka…
Tepat jam 11.35am doktor menghampiri kami dan memeriksa mata dan nadi mak…
INALILLAHWAINALILLAHIROJIUN… mak pergi dalam tidur yang panjang…. Dalam keadaan yang begitu tenang tanpa sedikit pun kesulitan…. Allahuakbar allah permudahkan urusan mak seperti yang kita selalu mintak dan doa kepadaNya…
Kaki begitu berat melangkah ke Bahagian Forensik untuk mandikan jenazah mak…
Allahuakbar sekali lagi aku terkejut…. Cuaca sangat redup dan aman, sangat damai dan tenang… Setenang mak meninggalkan kami…. Air matanya sentiasa ada di kelopak matanya…..
Mandikan Mak Buat Kali Terakhir
Selepas menghubungi ustazah yang bertugas.. Hujan mula membasahi bumi.. seperti turut sama berduka atas pemergian insan terpilih…
Kami 3 beradik anak-anak perempuan mandikan mak sama-sama seperti mana kami mandikan mak sebelum ini…. Allahuakbar kejutan lagi buat kami…..
Kulit mak sangat lembut…. Muka mak senyum bahagia… Segala luka di kulit bertahun-tahun mak hadapi… hilang bersih sebersihnya….. Allah…. Sehalus sutera badan mak…. Kulit mak umpama sebersih kain putih yang meyelubungi badan mak… Cantik raut wajah mak… Harum semerbak bau mak…. Airmata aku mengalir deras… “Mak… Akak, Kak Ya dan adik mandikan mak… macam mandikan mak dulu-dulu”….
Aku belai wajah mak, cuci rambut mak…. Harum… Muka mak bagai bersinar… macam orang sekarang kata glowing… Berkali-kali aku lap aku fikirkan masih ada air di pipi mak…
Rupanya sinaran wajah mak menyinar bak matahari yang memberi cahaya ke bumi… SUBHANALLAH….
Selesai urusan mandian mak… Aku amik peluang naik van jenazah.. Serasa berat nak lepaskan mak sorang-sorang. Macam biasa aku akan sentiasa menemani mak ke mana pun mak pergi… Dalam van jenazah… Air mata tak berhenti berjuraian… sayu aku membaca yassin di samping mak…
Mak… Ramai dah menunggu mak di surau… Penuh surau wpun masih menjaga SOP… anak cucu mak… Adik beradik mak… Anak-anak buah mak… kawan-kawan mak semuanya menanti mak…. Betul kata mak… Kita akan berjumpa juga 2 3 hari.. Tapi sebenarnya 3 minggu mak baru kita berjumpa walaupun di dunia berbeza.
Semua anak cucu mak kucup dahi dan pipi mak… Walaupun sudah 4 jam.. Kulit mak masih suam-suam.. Masih lembut… Seperti mak masih bernyawa… Subhanallah… Ya Allah kau seperti mengangkat darjat ibuku begitu tunggi…. Matahari bagaikan ditutup awan.. Begitu tenang dan aman…
Mulut Sentiasa Berzikir
Mak… Seperti selalu mak akan solat awal waktu… Tapi kali ini seusai asar… Kami semua solatkan jenazah mak…. Begitu ramai mak… Penuh surau mak… Allahuakbar… Terharu akak mak..
Mak… Ramai yang tanya… Apakah amalan ibumu seperti ini yang allah berikan kepada ibumu… Begitu hebat ibumu… Begitu beruntungnya ibumu… Kematian yang dicemburui…
Akak cuma tau mak suka bersedekah.. Mak suka berzikir…. Tasbih mak bukan 1 tapi ada 3….
Setiap satunya beribu kalimat suci Allah…. Bibir mak tak pernah lekang dengan zikirullah…
Mak… Kami bersama-sama bawa jenazah mak ke kubur… Masya Allah sangat ramai… Cuaca tenang, sangat tenang dan angat damai rasa di hati… Matahari tiada mak… Hanya awan yang kelihatan… Tanah yang dikorek bagaikan tidak kena hujan… tak becak… Tanah lembut…
Allahuakbar… Mak… Subhanallah kebesaran allah….
Anak-anak lelaki mak semua turun ke liang lahad menyambut mak, Abang Ngah rasa berat nak naik dari liang lahat untuk tinggalkan mak…. Air mata akak berjujuran… Mak… Beratnya nak lepaskan mak…
Selepas talkin dibacakan.. semua masih menunggu mak dan masih menemani mak di kubur….
Lama mak… Seperti mereka semua tak nak balik dan seperti semua rasa berat nak lepaskan mak…
Malam Pertama Tanpa Mak
Mak… Malam pertama tanpa mak di dunia ni.. kami berkumpul adik beradik mak dan anak-anak dan cucu-cucu mak… Kami berbuka puasa bersama.. Dan kami bacakan tahlil untuk mak… Surau pun bacakan tahlil untu mak…. Beruntungnya mak…. Terbayang-bayang senyuman dan ketawa mak gembira saat kami berkumpul….
Mak….. Hati sangat pedih, susah dan sangat rindu pada mak…. Tapi kami terpaksa menerima pemergian mak…
Kini tiada lagi doa dari mak… Tiada lagi nasihat dan kata-kata semangat dari mak…..
Kehilangan mak.. Membawa sekali jiwa dan semangat hidup akak bersama-sama mak…
Kini akak kehilangan lombong emas yang sama-sama akak gali bersama adik beradik lain saat mak sakit strok selama ni… Tidak mengapalah mak… Mak telah pun pergi dengan sangat gembira dan tenang menemui PenciptaNya.
Mak… Kami, anak-anak mak merasa bangga dengan mak dan abah… Walaupun mak dengan abah bukanlah siapa-siapa di dunia ini.. Tapi Allah memandang tinggi pada mak dengan abah dengan perginya secara husnul khotimah…. Belum tentu kami dapat apa yang mak dengan abah dapat.
Tarikh Sama
Kasih sayang mak dengan abah membawa ke syurga dengan pertemuan tarikh yang sama… Iaitu 16 April… Sekarang mak dah dapat berjumpa kekasih mak iaitu abah yang mak sangat rindui…
Tunggu kami mak abah… Kami juga sangat merindukan mak abah…. Dan kami di dunia ini amat MENCEMBURUI CARA PEMERGIAN MAK DAN ABAH…
Kita pasti akan berjumpa mak… Abah…
Al fatihah untuk HJ ABDUL RAHMAN BIN SELAMAT DAN HAJAH AZIZAH BINTI AHMAD…
MW: Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Tujuh Pilihan Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Nak maju jangan tunggu. Peluang pun datang bukan selalu apatah lagi sekarang ini kita sedang lalui kehidupan sukar berbanding dahulu. Daripada asyik termenung dan meratap pilu, elok mengorak langkah mulakan bisnes baru. Sampai bila nak tengok orang lain maju dan kita masih lagi kaku?
Tiada idea, tak ada kemahiran dan arah nak tuju? Mingguan Wanita (MW) sebagai teman setia wanita sedia membantu dan tahu apa yang anda perlu.
Terkini, selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.
Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.
Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
1. JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti. https://toko.ideaktiv.com/product/jom-pandai-bakeri-buat-duit-jual-kek-dan-roti/
2. Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak. Kursus diadakan pada dua pilihan tarikh iaitu 10 Julai dan 24 Julai 2021.
Setiap kali Ramadan akan melabuhkan tirai, kita berdoa meminta Allah SWT lanjutkan usia serta dianugerahi kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadan akan datang. Ya, kita jarang memohon doa seumpama itu pada waktu-waktu lain, namun Ramadan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk kita berbuat demikian.
Itulah kemuliaan Ramadan. Kehadirannya amat dinantikan setiap muslim mukmin yang faham erti kemuliaan Ramadan bagi meraih kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi, meraih pahala berlipat kali ganda.
Ramadan memberi peluang untuk setiap muslim mukmin meraih ganjaran daripada Allah SWT demi mencari kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki lagi abadi. Sejak awal bulan Rejab lagi Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya berdoa, “Ya Allah, berkatilah hidupku pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku (untuk terus hidup) ke bulan Ramadan.”
Maka sangat beruntung bagi insan-insan yang diberi kesempatan hidup pada bulan Ramadan kali ini. Rasa syukur itu harus dibuktikan dengan amal soleh yang disyariatkan Islam bagi memenuhi ruang masa di sepanjang Ramadan yang penuh kemuliaan ini.
Bukti Kecintaan Ilahi
Ramadan memperlihatkan tentang ketinggian kasih sayang (sifat al-Rahman dan al-Rahim) Allah SWT kepada manusia. Ramadan dengan segala kebaikannya dianugerahkan khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w yang amat dikasihi-Nya, umat akhir zaman yang singkat usia tetapi boleh menyamai amalan umat terdahulu yang panjang usia mereka.
Sebulan Ramadan merupakan puncak limpahan kasih sayang Allah SWT untuk semua insan khusus kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas berkorban demi mencari keredaan-Nya. Manusia dan dosa memang tidak dapat dipisahkan. Sempena kedatangan Ramadan, Allah SWT menawarkan peluang pengampunan dosa untuk setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahannya diampunkan. Mereka menyedari bahawa pengampunan dosa daripada Allah SWT merupakan limpahan kasih sayang-Nya.
Bersihkan Diri
Makanya tempoh sebulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk setiap insan kembali membersihkan diri daripada dosa dengan bertaubat kepada-Nya. Ini peluang untuk insan kembali kepada sifat fitrah yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w seumpama seorang bayi yang baru dilahirkan ke muka bumi.
Teringat kita kepada hadis Rasulullah s.a.w yang sangat masyhur tentang Ramadan, “Bulan Ramadan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada azab api neraka”.
Sabda baginda yang lain, “Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
Justeru itu, rebut peluang ini dengan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan atas kesalahan dahulu. Segala kesalahan mohon Allah SWT ampunkan, yang kecil, yang besar, yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Maka mohonlah keampunan dengan sepenuh keinsafan serta menanam keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.
Pengorbanan
Setiap insan pasti akan kembali menghadap Ilahi suatu hari nanti. Atas maksud itu, setiap insan harus berusaha memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan untuk kehidupan ukhrawi nanti.
Ambil peluang yang ditawarkan pada bulan Ramadan ini dengan ganjaran kebaikan yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Rebut lah segala kelebihan yang dijanjikan Tuhan di sepanjang Ramadan. Allah SWT kurniakan Lailatul Qadar di mana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.
Rasulullah s.a.w memotivasikan para sahabat dengan menyebut bahawa pahala ibadah digandakan sehingga seribu kali ganda, pahala amal sunat digandakan menjadi pahala wajib. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat.
Semua iblis dan syaitan dibelenggu supaya tidak ganggu manusia. Sehubungan itu, selalulah bermuhasabah tentang matlamat asal kehidupan ini. Matlamat yang kita ingin capai adalah kehidupan akhirat yang hakiki dan kekal abadi. Awasi diri agar tidak tertipu oleh kehidupan duniawi yang sementara dan penuh tipu-daya ini. Kekalkan diri secara istiqamah dengan matlamat hidup yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru itu, kedatangan Ramadan kali ini perlu disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan kerana Allah SWT masih mengasihi kita. Kegembiraan hati ini merupakan lambang keyakinan dan keikhlasan kita menghambakan diri kepada-Nya. Mohonlah agar kita direzekikan kekuatan fizikal, emosi dan spiritual untuk beramal soleh di sepanjang Ramadan tahun ini, insya-Allah.
Artikel sumbangan: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution, yang juga kolumnis ruangan Mencari Keredaanmu di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...