Foto: pexels.com

Mak ayah mana yang tak sedih andai anak-anak tidak ada matlamat dalam hidup. Suruh belajar malas. Bila tanya cita-cita, katanya lepas belajar nak kerja sebagai penghantar makanan saja. Bukan merendahkan sebarang kerja, asalkan halal tak mengapa. Tapi, sebagai mak ayah pasti ingin yang terbaik untuk anak. Lebih-lebih lagi mereka sedar anak itu berpotensi besar untuk berjaya dalam pelajaran. Ikuti luahan hati seorang ibu ini.

Assalamualaikum Puan. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki. Saya seorang guru dan begitu juga suami.

Saya mengalami dilema yang mungkin ada ibu bapa yang bergelar pendidik turut mengalaminya. Orang kata, didik anak orang jauh lebih mudah daripada didik anak sendiri.

Dua Anak Perempuan Cemerlang

Dua anak perempuan saya iaitu yang sulung dan nombor dua sangat mendengar kata dan cemerlang dalam akademik. Keduanya kini sedang mengikuti pengajian di dua buah universiti tempatan. Saya tak ada masalah dengan mereka. Tapi, berbeza dengan anal lelaki.

Ketika UPSR, dia mendapat keputusan yang cemerlang, semua mata pelajaran A. Tentu saya dan suami sangat gembira. Tapi semakin meningkat remaja, dia menunjukkan penurunan prestasi yang teruk dalam bidang akademik. Keputusan PT3 dulu sangat mengecewakan walau pun semua kredit.

Ada Lebih Masa

Kini dia bakal menduduki SPM dan bila dianjakkan ke tahun hadapan, saya dan suami menarik nafas lega kerana ada ruang untuk anak kami itu membuat persediaan. Tapi yang merungsingkan kami bila anak itu tak menunjukkan langsung minat belajar. Puas disuruh baru belajar. Hantar tuisyen tapi keputusan tetap tak memberangsangkan.

Saya dan suami tak tahu lagi apa yang patut dilakukan. Rasa gagal dan kecewa bila anak sendiri tak mampu dididik. Risau dengan masa depannya kelak. Pernah kami tanya apa dia nak jadi kalau tak minat belajar. Katanya, ulat dalam batu pun boleh hidup asal usaha. Katanya dia tak kisah nak kerja sebagai penghantar makanan asal tak perlu masuk kolej.

Puan, sedih saya dibuatnya. Bukan pandang rendah pada orang yang cari rezeki sebagai penghantar makanan. Tapi, harapan saya tinggi, nak juga lihat dia macam kakak-kakaknya. Saya tak kisah, kalau dah ada ijazah, kerjalah apa saja. Nak jadi petani sekali pun saya okay. Asalkan jadi petani yang berilmu. Baru boleh maju dan bukan di takuk yang sama saja.

Bagaimana saya nak sedarkan dia betapa pentingkan pendidikan…Saya dah habis cara. Dia umpama tak fikir panjang soal masa depannya.

Ibu risau. Melaka.

Jawapan Kaunselor

Mak Ayah Guru Sedih Anak Malas Belajar. Nak Kerja Penghantar Makanan
Foto: Pexels

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah..

Setiap ibu bapa mahukan kejayaan untuk anak-anaknya. Kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat. Lazimnya, kejayaan dalam akademik adalah kayu pengukur yang menjadi kebanggaan ibu bapa.

Ibu bapa yang mementingkan pendidikan lazimnya sanggup bersusah payah menyediakan segala keperluan anak demi mencapai kejayaan pencapaian akademik hingga mendapat ijazah. Majoriti Ibu bapa memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak. Harapan agar anak berjaya dalam akademik, hingga mampu mengharumkan nama sama ada di sekolah, di peringkat daerah , malah negeri akan menjadi kebanggaan ibu bapa yang tiada nilainya. Seboleh mungkin jika ada anak tujuh orang contohnya, mereka mahu ke tujuh-tujuh mencapai kecemerlangan yang lebih kurang sama.

IKLAN

Ikut Penilaian Umum

Perpektif kita sebagai ibu bapa tentang kejayaan adalah dalam penilaian yang diterima umum. Namun kini ramai ibu bapa agak kecewa kerana anak tidak mengikut cara dan perspektif yang ibu bapa tentukan. Bagi anak, kejayaan bukan dengan mencapai kecemerlangan dalam akademik hingga dapat melengkapkan pengajian ke peringkat ijazah.

Bagi mereka, tugas atau kerja yang menyeronokkan itulah kejayaan dan kebahagiaan. Perkara yang membebankan bagi mereka seperti berhempas pulas belajar adalah seperti menyiksa diri. Walhal kefahaman kita, kehidupan sememangnya begitu, perlu kekuatan minda, kekentalan jiwa dan ketahanan fizikal.

Mak Ayah Terlebih Beri Tumpuan

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada anak yang tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pertama, ini banyak berlaku kepada anak bongsu. Kadang-kadang kita (termasuk saya) terlupa, kita beri terlebih tumpuan dari segi material, masa, dan kasih sayang dan layanan kepada anak bongsu.

Bagi kita, layanan terhadap semua anak adalah sama, namun kita tidak perasan bahawa secara tidak langsung layanan kita terlebih kepada anak bongsu. Ketegasan dalam mendisiplinkan anak bongsu lazimnya kurang berbanding dengan adik beradiknya yang lebih tua daripadanya.

Perkara ini hanya disedari oleh anak-anak yang lain, bukan dari pandangan kita. Mungkin benar, mungkin sebaliknya. Namun itulah hakikat yang dapat dilihat pada kebanyakan ibu bapa cara layanan dan tumpuan kita terhadap anak bongsu ada perbezaan jika dibandingkan terhadap anak-anak lain.

Lagi artikel menarik di sini:

Mak Ayah Kena Bertegas Dengan Anak Soal ‘ Top Up’ Saham Akhirat

Nak Anak Berjaya, Mak Ayah Kena Jadi Teladan Terbaik Untuk Mereka

IKLAN

Ikuti Mingguan Wanita di instagram

Anak Lelaki Lebih Cepat Bosan

Justeru, kelebihan layanan dan tumpuan ini boleh diambil kesempatan oleh anak. Kedua, faktor jantina juga boleh mempengaruhi. Anak lelaki memang kurang tumpuan dan kurang ketaatan kepada pelajaran berbanding anak perempuan. Mereka cepat bosan, tidak suka kerja-kerja rutin yang tertumpu kepada satu tugas (seperti belajar) dan sukakan sesuatu yang “adventure”, suka melakukan tugas yang menggunakan kemahiran dan kekuatan fizikal serta pengalaman luar yang mencabar.
Puan seorang guru, puan tahukan perbezaan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

Ketiga, pengaruh sosial media, penggunaan gajet, kemudahan internet menjadikan mereka terbuai dan lalai dengan tugas hakiki mereka iaitu belajar. Keseronokan yang dirasai dengan kehadiran “dunia fantasi” boleh mempengaruhi minda mereka ke arah yang leka dan tidak berjejak di bumi nyata.

Faktor lain pula ialah mempunyai anak sebegini adalah ujian untuk kita. Anak adalah ujian. Jika apa yang kita mahu dan kita rancang itu menjadi realiti, maka tidak adalah ujian dalam hidup. Selalu ingat, Allah beri kita anak yang sihat dan baik, itu juga adalah kejayaan kepada ibu bapa.

Mak Ayah Letak Jangkaan Tinggi 

Sebagai ibu bapa kita sering meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak. Seolah-olah kita mahu memenuhi impian kita, bukan impian mereka. Mungkin kita tidak dapat semasa kecil atau dalam hidup kita, tetapi kita mahu ianya dilaksanakan oleh anak agar impian tercapai.

Logiknya apa yang kita mahu daripada anak itu betul, sebab kita tahu bagaimana mencorakkan kehidupan yang lebih untuknya, kita tahu bahawa ilmu perlu dalam hidup, kita tahu cabaran dalam kehidupan. Namun sebaliknya ia tidak dapat ditafsir dan dinilai oleh anak kerana faktor luaran yang lebih menarik. Kita hanya mampu berdoa agar anak kita menjadi anak yang soleh.

Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anak yang sebeginilah yang akan bersama kita hingga ke hari tua. Kita mungkin kata dia dan kita akan bahagia jika dia punya ilmu yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Itu belum tentu menjadikan dia anak yang baik yang boleh mendoakan untuk kita. Mana tahu jika dia tidak menjawat jawatan yang tinggi, tidak punya ilmu yang tinggi, tetapi mampu membahagiakan kita di hari tua.

IKLAN

Mak Ayah Berdoalah Untuk Anak

Justeru, sebagai ibu bapa, seringlah berdoa untuk anak. Berdoalah agar anak jadi anak yang soleh, jika hajat kita tidak ditunaikannya ketika ini. Pada masa yang sama cuba dekatinya tanya apa perancangan yang ingin dibuat.

Tanya dia soalan adakah dengan perancangannya itu boleh memberi jaminan hidupnya. Juga bawa cerita tentang bagaimana berjaya dan sukanya Allah jika seorang anak mampu membahagiakan ibu bapanya. Beritahu juga apa yang puan mahu itu sebenarnya untuk kebaikan dia juga.

Sebaliknya, jika puan mahukan dia ikut perancangan daripada puan dan suami, puan masih boleh mencuba. Sebagai guru, puan tahukan sistem ganjaran dan dendaan? Berilah ganjaran jika dia buat apa yang puan suruh. Dendalah atau tarik balik keistimewaan yang puan berikan kepadanya jika dia tidak lakukan.Puan lebih tahu membentuk disiplinnya.

Lihat Hikmah Di Sebaliknya

Akhir kata jika apa yang puan lakukan itu tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam hidup kita, Allah selalu beri apa yang kita perlu, cuma Allah tidak beri apa yang kita nak.

Allah beri anak buat teman di kala kita tua nanti. Kejayaan di dunia yang kita harapkan dari anak mungkin tidak dapat, namun berkat doa dan kesabaran kita mungkin anak inilah yang mampu membahagiakan kita di hari tua dan mendoakan kesekahteraan kita di alam kubur.

Justeru, teruskan berdoa setiap kali sujud agar dia menjadi anak yang soleh. Seringlah berdoa khusus di waktu tahajud yang baik-baik untuk anak, kerana doa ibu khususnya amat mustajab. Moga anak puan menjadi anak yang soleh. Aamiin. Wallahualam.

Soalan Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI