“Masih tidak boleh bergerak, bercakap.” Setiap kali menyentuh anak, pasti air mata mengalir.
Begitulah apa yang dilalui oleh ibu ini, walaupun tidak mampu bergerak dan meluahkan kata kata yang terbuku di hati, namun air mata yang mengalir menjelaskan segala isi hatinya.
Masih Tidak Boleh Bergerak, Bercakap
Berat sungguh ujian buat keduanya, dia dipukul hingga koma. Kemudian anaknya pula bila dilahirkan tiada ibu di sisi. Allahuakbar, sedih sungguh perjalanan hidup ibu dan anak ini.
“Walaupun tangannya mengeras, kami cuba bawa tangannya menyentuh bayi itu dan setiap kali melakukannya pasti air matanya akan mengalir,” kata adik kepada Jahidah Nordin, wanita yang koma selepas dipukul suaminya dalam kejadian pada Mei tahun lalu.
Setiap Kali Menyentuh Anak
Fauziah Nordin, 40, berkata keadaan Jahidah, 43, masih tidak boleh bergerak dan hanya terlantar di katil serta masih belum melihat anaknya, Eshan Nufail yang dilahirkan pada 30 November lalu.
“Kakak masih tidak boleh bergerak dan bercakap dan hanya terlantar di katil, malah dia juga tidak dapat memberikan maklum balas apabila ditanya atau sebagainya.
“Namun terdapat tanda dia memahami percakapan atau pertanyaan kami berdasarkan bahasa tubuh apabila dia kerap mengalirkan air mata.
“Walaupun tangannya mengeras, kami cuba bawa tangannya menyentuh bayi itu dan setiap kali melakukannya pasti air matanya akan mengalir,” katanya di sini, hari ini.
Jahidah melahirkan anaknya di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban di sini, pada 30 November lalu melalui pembedahan.
Fauziah berkata, Eshan berada dalam keadaan sihat dengan diberikan susu formula, malah berat badannya juga bertambah.
Ads
“Melihat keadaan kakak, memang rasa sebak kerana keadaan ini sudah berlarutan lebih enam bulan, namun saya dan ahli keluarga lain akan terus menjaganya sehingga dia pulih.
“Jahidah mengalami masalah di tekak yang mungkin menyebabkan dia sukar mengeluarkan suara namun keadaan itu dalam pemantauan pihak kesihatan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini gaji Jahidah tidak dapat dikeluarkan daripada bank kerana dipercayai berkaitan dengan masalah di bank dan urusan mahkamah.
“Buat masa ini kami terpaksa bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Ads
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB Bank Fauziah Nordin, 7617797037.
Sebelum itu, bagi yang mengikuti perkembangan kes ini, sebenarnya Jahidah merupakan seorang penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei tahun lalu.
Mingguan Wanita : Semoga Jahidah cepat sihat dan dapat bersatu dengan anaknya. Buat keluarga Jahidah, harapnya terus kuat dan tabah berdepan dengan ujian berat ini.
Sedekad Ezuwan Ismail sediakan busana, Adibah Noor tak banyak songeh. Figura yang terkenal dalam dunia rekaan fesyen Ezuwan Ismail berkongsi cerita dan pengalamannya menyediakan busana untuk penyanyi Adibah Noor sejak lebih 10 tahun lalu.
Terang Ezuwan Adibah yang menempah tiket ke separuh akhir pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim kelapan minggu ini sangat menyenangkan dan tidak cerewet.
Bercerita tentang pengalamannya bekerjasama dengan Adibah, Ezuwan menyatakan dalam tempoh 10 tahun hanya boleh dibilang dengan jari saja dirinya bersua wajah dengan penyanyi bersuara lunak itu.
“Kali pertama jumpa dia masa tengah hoskan sebuah acara fesyen di pusat beli belah KLCC. Masa itu saya teman Allahyarham Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) jadi ‘muse’.
“Dia tengok baju arwah pakai masa itu dan cakap berkenan. Tambah pula dia dan arwah bertubuh comel atau ‘plus size’.
“Selepas itu, dia pernah datang ke rumah saya untuk ukur ukuran bentuk badan. Masa itu saya belum ada butik lagi. Selebihnya aliran komunikasi kami berlangsung selepas itu hanya menerusi telefon bimbit atau bermesej di aplikasi WhatsApp. Banyaknya lebih ke WhatsApp.
“Bayangkan sampai saya sudah ada butik di Taman Dagang, Ampang pun, dia tak pernah jejak. Selepas itu, adalah beberapa kali kami berjumpa untuk sesi ‘fitting’. Daripada dulu ukuran baju yang saya ambil kali pertama tak berubah ketara.
“Paling kurang pun dia akan cakap minta besarkan ukuran lebih seinci. Itupun boleh dikira berapa kali saja dia minta dibesarkan ukuran berkenaan,” ungkap Ezuwan.
Pada awalnya cuma sekali menggunakan khidmat Ezuwan sebagai pereka fesyen bajunya, kemudian tempahan itu ‘berjangkit’ atau berulang ditempah tanpa henti.
“Siap baju yang ditempahnya untuk acara atau pertandingan, hanya sediakan invois untuk bayaran. Selepas itu hanya pembantu peribadi atau pekerjanya yang datang ‘collect’ pakaian di butik saya. Dia hanya akan cakap nak warna baju itu ini dengan sejumlah tertentu. Perihal rekaan, semuanya dia serah bulat bulat dekat saya.
“Dia takkan tanya atau nak tengok rekaan bagaimana saya hasilkan untuknya. Bab rekaan, material kain atau potongan, apa yang dia utamakan adalah keselesaan dan nampak elegan walaun berukuran plus size. Malah selama ini, memang baju dihantar dan ditempah dipakainya tanpa banyak songeh dan tidak perlu ‘alter’.
“Keserasian dan kepercayaan itu mungkin juga jadi sebab kami terus bekerjasama. Dia tidak takut mencuba warna apa sekalipun. Kalau sudah plus size, buat apa nak sorok lagi. Dia pakai apa yang diingini, janji selesa,” tambah Ezuwan.
Ezuwan juga menyatakan Adibah menolak tajaannya dan lebih kepada konsep profesional iaitu membayar pakaian ditempah.
“Pernah saya nak taja baju untuknya. Tapi dia menolak sebab nak ‘support’ survivor pereka fesyen seperti saya. Dulu terlintas hati nak taja masa dia mengacarakan Anugerah Industri Muzik. Dia tolak juga.
“Malah kalau sempena ulang tahun hari lahirnya, saya nak hadiahkan baju. Dia tetap dengan pendirian nak bayar. Atau paling kurang pun, dia hanya akan bersetuju bayar separuh kos baju itu macam komitmennya sepanjang di GV 8. Siap tak berkira ‘tag’ nama saya di bawah entri baju dipakainya.
“Hingga kini hampir 1000 jugalah baju ditempahnya. Apabila sudah selesa dan diberi kepercayaan penuh, saya sampai satu tahap bimbang mengulang siar rekaan baju. Tapi setakat ini ia belum terjadi.
“Ini saya teruja nak siapkan pula baju separuh akhirnya untuk GV8. Kalau dia ada rezeki ke ‘final’, semestinya saya nak siapkan baju paling meletop untuknya,” sambung Ezuwan.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah rezeki pemberian Allah. Memang suka dengan sikap Adibah Noor yang sentiasa ceria.
Dayuskah seorang suami yang unboxing isteri? Trend segelintir pasangan pengantin baru ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ menjadi ikutan terutamanya di kalangan pengantin wanita bertudung baru-baru ini. Ternyata trend tersebut semakin digilai ramai dan kini mendapat kecaman dan kritikan yang hebat daripada orang ramai.
Bagi menyedarkan orang ramai tentang trend tersebut, Ustazah Asma’ Harun dan tim penyelidikanya berkongsi tentang isu ‘unboxing pengantin’ atau ‘unboxing by husband’ ini. Seperti mana yang dikongsi menerusi akaun rasmi Facebook milik Ustazah Asma’ Harun menerangkan betapa pentingnya seorang suami menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anak.
“Menurut Imam al-Munawi, sifat dayus (الديوث) merujuk kepada orang yang membiarkan kejahatan / maksiat dalam keluarganya, iaitu isteri dan kerabat terdekatnya. Dalam erti kata lain, dayus juga mudah difahami sebagai seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap isteri dan anak-anaknya.
“Mengapa penting untuk seorang suami dan ayah memiliki perasaan ‘CEMBURU’ ini? Cemburu seorang suami dan ayah adalah WAJIB bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya. Tanpa perasaan ini, seorang bapa atau suami tidak ada rasa sensitif dan ambil peduli terhadap apa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya. Dengan siapa mereka bergaul, dengan siapa mereka keluar, adakah aurat mereka telah ditutup sempurna dan adakah mereka ada sifat malu dalam diri? Semuanya tak diendahkan.
Di saat seorang suami atau bapa menyedari dan mengetahui kemungkaran yang dilakukan oleh si isteri dan anak-anak, namun masih tidak menegur dan mengubahnya. Maka inilah yang dinamakan DAYUS yang sebenar.
Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.
(HR Ahmad, hadis sahih)
Allahu Akbar, terkejut dan sedih rasa apabila melihat trend “Unboxing by Husband” yang dimuat naik beberapa pasangan muda yang baru sahaja bernikah dan masih memakai busana pengantin, sehingga ada yang sanggup membuka tudung.
“Walaupun bukan sehingga tahap membuka pakaian seperti barat, namun saya tertanya adakah tidak ada sekelumit pun perasaan malu dalam diri ketika memuat naik video ini? Ke manakah peranan seorang suami yang seharusnya menjaga maruah dan kehormatan rumah tangga yang baru sahaja dibina?
“Kadang disebabkan rasa teruja yang amat dalam melalui peristiwa yang sangat dinanti-nantikan, menyebabkan kita hilang pertimbangan. Mungkin ada yang terlalu gembira sehingga merasakan detik itu perlu dirakam dan dikongsikan kepada orang ramai, sedangkan ia sepatutnya disimpan kemas sebagai detik istimewa suami isteri.
“Budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan budaya dan tuntutan Islam. Bayangkan, apabila video sebegini mula tular dan semakin ramai pula pasangan pengantin baru yang ikut melakukan perkara ini, bagaimana agaknya? Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sahabat, jauhilah segala bentuk trend yang menjatuhkan maruah diri sendiri, malahan membentuk budaya yang rosak. Kita amat risau jika sudah terlalu ramai mula ikut trend yang sama, lalu akhirnya kemungkaran pun jadi suatu yang dianggap biasa. Nauzubillah.
Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
(Riwayat Muslim, hadis sahih)
“Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu juga buat suami isteri. Antara adab yang penting namun sering dilupakan termasuklah tidak mendedahkan kemesraan suami isteri secara terbuka di depan khalayak umum.
“Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri.
“Larangan ini bukan sahaja dalam bab berpelukan, mencium pasangan, suap menyuap, dan sebagainya, tetapi termasuk juga posting di media sosial sama ada gambar atau video suami isteri bermesraan secara intim.
“Buat adinda sekalian yang saya kasihi kerana Allah,
“Yakin dan percayalah bahawa mempamerkan momen romantis bersama pasangan untuk tontonan umum bukanlah kayu ukur sebenar kebahagiaan. Lumrah lelaki suka melihat, wanita suka dilihat.
“Namun, pesanan penting buat para suami, peliharalah aurat dan maruah isteri, serta didik dirinya dengan taqwa dan sifat malu. Jangan sampai menjadi seorang suami yang DAYUS. Dan buat kaum wanita, jangan pula biarkan diri kita terpedaya dengan kehendak nafsu sendiri, bimbang kelak bila sudah terlambat terpaksa menanggung penyesalan yang tiada kesudahan.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
“Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu sedar dan tahu membezakan perkara yang baik di sisi agama ataupun sebaliknya. Bersederhanalah dalam ekspresikan kebahagiaan.
“Peranan suami dan isteri supaya saling menegur dan perbaiki akhlak sesama pasangan, bukan menjadi pendorong terhadap perkara yang mengundang murka Allah SWT.
“Saya doakan agar semua yang sudah atau bakal bergelar suami isteri diberikan hidayah dan bimbingan dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Agar suami, isteri, ibu ayah dan anak-anak semuanya menjadi penyejuk mata kita.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
“Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya diberi hidayah, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan
“Semoga bermanfaat buat semua,” tulis Ustazah Asma’ Harun.
Mingguan Wanita: Benar tu suami tolonglah pelihara maruah isteri jangan dek kerana ikut trend maruah diabaikan.
Setiap kali menjalani pembedahan, komplikasi mahupun kecuaian selepas pembedahan amatlah dirisaukan. Siapa sangka kecuaian daripada pihak hospital dan petugas kesihatan meninggalkan alat-alat pembedahan, boleh menyebabkan penderitaan dan menjejaskan kesihatan diri.
Kejadian berlaku di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini, seorang wanita tidak menyangka sakit perut yang sering dialaminya sejak 20 tahun diakibatkan oleh sebilah gunting tertinggal di dalam perutnya.
Bachena Khatun, 55, mula sering mengalami sakit perut selepas menjalani pembedahan membuang batu karang di sebuah klinik Chuadanga pada 2002.
Beberapa hari selepas pembedahan itu, Khatun pergi ke semula klinik tersebut untuk memaklumkan mengenai sakit perut yang dialaminya.
Namun, doktor memaklumkan rasa sakit itu adalah normal dan menasihatkan wanita itu supaya tidak perlu risau mengenainya.
Diakibatkan oleh rasa sakit yang berterusan, Khatun berjumpa dengan doktor lain dan hasilnya sama, malah dia diberi ubat tahan sakit untuk meredakan keadaan.
Tahun demi tahun, wanita itu terpaksa menjual haiwan ternakannya dan sejumlah aset bagi mendapatkan rawatan untuk menghilangkan sakit perutnya.
Akhirnya, Khatun pergi ke hospital bagi menjalani imbasan sinar X dan doktor terkejut selepas mendapati terdapat sebilah gunting di dalam perut wanita itu, sekali gus mengetahui punca kesakitan yang dialaminya selama ini.
Pembedahan segera dilakukan dan gunting itu berjaya dibawa keluar dan kini, keadaan Khatun semakin pulih.
Mingguan Wanita: Kasihan sungguh. Tempoh 20 tahun bukan waktu yang sekejap untuk mengalami penderitaan sakit perut. wanita ini bernasib baik, gunting yang tertinggal tidak menyebabkan jangkitan kuman dan komplikasi yang lebih teruk. Sebaiknya pihak hospital dan doktor tidak ambil mudah atas setiap aduan pesakit.
Dihempap blok konkrit tiba-tiba, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan intelektual atau autisme sempat memohon agar ibu tidak memarahinya sebelum maut.