Mak ayah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya pada anak-anak. Namun lumrah setiap anak pastinya mempunyai karakter dan pencapaian yang berbeza.
Inilah sebenarnya ujian terbesar buat mak ayah agar dapat berlaku adil tidak membeza-bezakan anak-anak. Tiada istilah anak kesayangan mahupun anak tak guna pada anak-anak. Semuanya perlulah dilayan sama rata.
Perkongsian oleh Hj Hushim Hj Salleh, Kaunselor Motivasi ini wajar dijadikan peringatan buat mak ayah.
Ads
Pengalaman kes yang pernah ditangani apabila anak masih berdendam dengan arwah bapanya apabila membeza-bezakan diantara adik beradiknya.Anak tersebut dibandingkan dari segi kepandaian akademiknya yang kurang berbanding adik beradiknya yang lain. Kesan psikologi dan trauma yang dialami oleh anak tersebut, berbekas dan tersimpan sekian lama sehingga dewasa dan sampai ke tua.
Tambah Hj Hushim lagi, mak ayah kadangkala ‘mulut tak dijaga’ bezakan anak-anak dari segi warna kulit, pencapaian akademik, akhlak dan moral.Jangan bezakan anak lelaki dan perempuan. Peringkat awal remaja banyak cabaran yang harus mak ayah tempuhi.
Ads
Banyak kes yang ditangani, anak yang tak pandai itulah yang menjaga mak ayah sewaktu tua.Bila mana anak-anak yang bijak pandai,sibuk bekerja.Sebab itula jangan sesekali beza-bezakan anak-anak. Setiap anak pasti ada kelebihan masing-masing dan berhak dilayan sama rata.
Apa anda fikir jika saya cadangkan setiap pasangan yang berkahwin diwajibkan mengukur tahap EQ masing-masing? Saya pasti rasa yang terangkat kening sekarang.
Apa pula EQ ini? Kalau IQ itu mungkin ramai yang tahu, bukan?
Dalam kata mudah, IQ ialah ukuran kepintaran akal seseorang itu. Jika orang itu IQnya tinggi maka dikatakan orang itu pandai. Jika IQ rendah maka dikatakan kurang pandai.
Namun sejak kebelakangan ini, IQ didapati tidak begitu tepat menentukan kejayaan seseorang itu dalam hidup. Ada orang yang IQnya tinggi tetapi hidupnya berterabur dan tunggang langgang. Keluarga hancur dan kerjaya hanya setakat sederhana sahaja.
Sekarang semakin ramai beralih daripada IQ kepada EQ iaitu Kepintaran Emosi. Laporan World Economic Forum terbaru menunjukkan EQ berada di tangga keenam yang dicari oleh majikan menjelang tahun 2020.
Bagaimana pula dengan rumah tangga? Jika majikan mahu tahu tahap EQ pekerjanya, mengapa anda tidak mahu tahu EQ sendiri dan EQ pasangan anda?
Apa faedahnya mengetahui EQ dengan potensi kebahagiaan rumah tangga? Saya berikan contoh berikut. Jika anda dibesarkan dalam persekitaran yang baik, ada tahap pendidikan yang memuaskan, ibu bapa penyayang, adik beradik yang saling tolong menolong maka besar kemungkinan anda memiliki tahap EQ yang baik.
Orang yang membesar dalam persekitaran yang perit dan keras biasanya mempunyai EQ yang tercalar.
Yang pertama dan semakin menjadi isu sekarang ialah ketidakmampuan mengawal emosi. Antaranya orang yang cepat marah dan tidak segan menunjukkan kemarahannya tidak kira tempat, tidak kira masa dan tidak kena cara.
Ini adalah faktor penyebab penderaan dalam rumah tangga. Selain itu orang yang berfikir negatif, mudah tersinggung atau jiwa sensitif juga termasuk dalam kategori ini.
Mereka ini terlalu mudah membenarkan kata-kata itu masuk dan merobek perasaan sendiri. Mereka ini sangat terdedah kepada ‘stress’ yang tidak berfaedah.
Kategori kedua ialah orang yang begitu percaya yang dia boleh ‘membaca perangai’ orang lain. Mereka ini selalu menemui kesilapan dan kesalahan pasangan tetapi tidak nampak kelemahan sendiri.
Orang yang memiliki EQ tinggi bukan sahaja boleh membaca emosi orang lain tetapi juga mengawal emosi sendiri. Jika pasangannya ada kelemahan tertentu dia ada dua pilihan.
Pertama; memaksa pasangannya berubah. Kedua; mempengaruhi pasangannya untuk berubah.
Sikap pertama ialah sifat orang EQ rendah sementara sifat kedua ialah orang yang mempunyai EQ yang tinggi.
Dia boleh mengawal emosinya dengan melihat masa hadapan dan memilih tindakan terbaik untuk mengubah pasangannya menjadi lebih baik.
Yang terakhir ialah bahasa badan. Mulut dan lidah boleh berkata dusta tetapi tidak lirikan mata dan nada suara. Keikhlasan adalah salah satu frekuensi gelombang dalam EQ.
Hanya orang yang pintar mengawal emosi boleh menukar sudut pandang untuk mendapatkan keikhlasan dalam perbuatan.
Dengan cara itu kita akan mampu memancarkan frekuensi keikhlasan itu sehingga masuk ke dalam perasaan pasangan.
Sentuhan fizikal, pandangan mata dan nada suara yang ikhlas itu hanya datang dari lubuk hati manusia yang mempunyai EQ tinggi.
Sebagai contoh anda tahu yang dia ada perempuan di luar sana. Anda boleh isytihar perang terbuka. Saya tidak kata salah sebab itu memang hak anda! Tapi apa jadi selepas perang itu?
Menang jadi abu, kalah jadi arang, bukan?
Bagaimana jika pilih cara berbeza?
Nyatakan dengan tenang perasaan anda untuk bersama dengannya masuk ke Jannah bersama dengan anak-anak. Pandang matanya.
Pastikan hati anda ikhlas (bukan seperti rasa mahu menelan dia hidup-hidup!) dan pegang hujung jarinya. Saya jamin, esok pagi pasti dia akan tinggalkan perempuan itu!. Cubalah.
Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Consultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.
Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.
“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”
Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42, berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.
“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.
” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.
” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.
” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.
” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”
Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.
Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.
“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”
Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.
“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan. Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.
” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”
Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.
Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.
“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.
” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”
Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.
Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.
“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.
” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.
Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”
Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Leia Az Zahra Justin seorang muslimah yang pernah mengalami zaman gelap dalam hidupnya. Namun setelah mengenali agama Islam, sedikit demi sedikit ada sinar dalam hidupnya. Kini, wanita yang berasal dari Sabah ini berharap masa hadapannya lebih baik daripada sebelum ini.
Ditambah pula kini dia telah berkeluarga dan memiliki seorang anak perempuan bernama Ayra Gabriella, Leia berazam mahu jadi seorang ibu yang terbaik buat anaknya. Bergelar Islam sesungguhnya telah mengubah menjadi insan yang lebih baik.
Kisah hidup Leia penuh pancaroba. Sebelum dirinya mengenali agama Islam, boleh dikatakan hidupnya tidak ada arah tuju. Zaman remaja yang penuh dengan kesedihan adalah permulaan sikap memberontak dalam dirinya.
“ Saya memeluk Islam pada bulan Oktober 2007. Saya memeluk Islam bukan sebab didakwah oleh sahabat atau kenalan. Saya memeluk Islam atas kerelaan sendiri. Emak yang membantu saya memeluk agama Islam. Namun perjalanan sebelum bergelar saudara baru amat memeritkan.
” Sebenarnya saya membesar dalam keadaan keluarga yang berpecah-belah. Ayah dan emak saya telah berpisah semasa saya kecil. Saya kemudiannya hidup bersama ayah yang juga seorang pendakwah Kristian.
” Selalu juga saya mengikut ayah ke gereja. Ayah suka menyanyi dan dia ada buat album kerohanian. Ketika di gereja juga saya suka menyertai koir gereja. Saya suka ke gereja kerana saya suka hal-hal keagamaan.
” Namun saya tidak tinggal lama dengan ayah setelah dia berkahwin baru ketika saya berusia 14 tahun. Saya tidak suka ibu tiri dan akhirnya saya dihantar tinggal bersama nenek. Jiwa saya memberontak kerana berpisah dengan ayah.
” Ketika hidup bersama nenek, saya rasa hidup tidak ke mana. Untuk mengisi masa saya aktif dengan aktiviti di gereja. Malah saya pernah mengikuti kursus asas untuk jadi biarawati tetapi saya gagal,” cerita Leia panjang lebar.
Tidak tamat pengajian menyebabkan Leia mula bekerja. Ketika itu jugalah hidupnya semakin teruk kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan minuman keras. Melihatkan keadaan dirinya yang semakin tidak ada arah tuju pada ketika itu sering membuatkan Leia bermonolog sendirian.
“ Saya sering tanya pada diri sendiri apa hendak jadi pada diri saya. Umur sudah bertambah tetapi saya semakin teruk. Sepatutnya saya ada inisiatif untuk hidup lebih baik. Saya betul-betul stress. Saya mahu Tuhan beri petunjuk pada diri saya.”
Hidayah Allah itu datang dengan pelbagai cara. Leia mendapat hidayah melalui mimpi. Dia masih ingat mimpi tersebut.
“ Dalam mimpi tersebut saya berjalan di kawasan gelap. Di penghujung jalan saya terjumpa cahaya. Semakin saya mendekati cahaya itu saya mendengar suara orang bercakap dalam bahasa Arab. Saya juga nampak dia memegang kitab seperti Al-Quran. Tiba-tiba hati saya rasa tenang melihatkan situasi tersebut.”
Sebaik terjaga, Leia sedar jika ini adalah petunjuk yang diberikan oleh Tuhan, dia perlu mencari jalan bagi merungkai mimpi tersebut.
“ Setiap kali mendengar azan, saya jatuh cinta dengan azan. Akhirnya saya ambil keputusan menelefon emak dan beritahu pada dia yang saya mahu masuk Islam. Emak pula pada ketika itu sudah lama memeluk Islam.
Emak beli tiket kapal terbang untuk saya balik ke Sandakan, Sabah.Emak bawa saya ke pejabat agama di sana untuk mengucap dua kalimah syahadah. Selepas masuk Islam, saya kembali semula ke Semenanjung, “ tambah Leia lagi.
Perjalanannya untuk menjadi muslimah yang baik juga banyak cabarannya. Sebaik bergelar Islam, dia tidak memberitahu perkara tersebut bapa dan rakan serumahnya. Selama setahun dia menyembunyikan pengislamannya.
Walau sudah Islam pada ketika itu, Leia tetap berpakaian seksi dan mengambil minuman keras. Dia terpaksa berlakon dua watak demi mahu menyembunyikan pengislamannya.
“ Saya penat hidup begitu. Akhirnya pada bulan Ramadan 2008 saya tekad untuk istiqomah dan jihad melawan nafsu untuk meninggalkan minuman keras. Saya fikir apa guna masuk Islam jika tidak ikut ajaran Islam. Selepas itu saya mula belajar agama.
” Sehingga kini saya masih lagi belajar agama. Setiap kali pergi kelas agama saya rasa ketenangan. Belajar agama juga adalah terapi bagi saya menghadapi tekanan dan kemurungan, ” sambungnya.
Penghijrahan hidup menjadi seorang saudara baru juga telah menemukan Leia dengan industri seni. Pada tahun 2012, Leia dan kumpulan nasyidnya yang diberi nama Safiya telah menghasilkan satu album penuh. Semua ahli kumpulan nasyid ini adalah saudara baru sama seperti Leia.
Namun perkahwinan telah menghentikan aktiviti seni mereka. Bukan itu sahaja, salah seorang ahli kumpulannya juga telah berhenti. Pada bulan Oktober 2018 lalu, kumpulan nasyid Safiya mula melakukan comeback.
Kali ini Leia dan Nur Ain Tinungul serta ahli baru kumpulan mereka iaitu Julia Sakinah telah menghasilkan single terbaru mereka bertajuk Mudah-mudahan.
“ Saya amat mengharapkan peminat nasyid dapat menerima kehadiran kumpulan nasyid saya ini semula.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!