Sekarang musim cuti sekolah. Ini bermakna setiap minggu pasti kita ada banyak undangan majlis perkahwinan yang perlu dihadiri. Sudah tentu kehadiran kita sebagai tetamu sangat menceriakan pengantin.

Namun ada sesuatu yang sudah berubah tetapi barangkali kita tidak sedar. Majlis ijab kabul sudah berlalu lebih seminggu tetapi gambar-gambar masa majlis itu masih terpapar di laman-laman media sosial peribadi. Tidak cukup begitu, rasa bahagia, rasa kasih dan rasa sayang isteri kepada suami dikongsi secara terbuka.

Perasaan Suami

Baguslah begitu tetapi izinkan saya bertanya satu soalan panas di sini. Adakah perasaan suami terhadap paparan kebahagian di laman sosial sama dengan isteri? Tahukah anda sebenarnya ramai lelaki yang baru dua tiga bulan bergelar suami mula rasa tidak selesa apabila isteri terlalu kerap menayang kebahagiaan di laman sosial?

Mereka tertanya-tanya jika nanti datang cabaran besar dalam rumah tangga, adakah isteri akan berkongsi masalah itu di laman sosial? Saya tidak tahu apa jawapannya tetapi kita sendiri lihat semakin ramai yang menjadikan laman sosial tempat melepaskan perasaan terhadap pasangan masing-masing.

IKLAN

Isteri Suka Tayang Bahagia Di Media Sosial, Suami Suka Atau Rimas?Nak Tegur Boleh…

Anda mahu tahu lagi beberapa keadaan yang membuat suami rasa tidak selesa kepada isteri? Mohon anda yang baru bergelar isteri tidak marahkan saya jika saya beritahu; jangan jadi seperti nyamuk di telinga suami. Maksudnya elakkan daripada terlalu meleret-leret memberi ulasan hal-hal kecil pada suami. Betul hal itu besar bagi anda tetapi itulah lelaki.

Hal-hal tuala disidai tidak lurus, terlupa buang sampah, terlajak masa bila bertemu rakan di kedai mamak memang sangat menduga kesabaran isteri. Bukan anda tidak boleh menegur suami tentang ini semua tetapi ianya perlukan seni komunikasi yang sangat istimewa. Saya tidak boleh terangkan caranya di sini tetapi memberi ucapan meleret-leret tentang hal-hal kecil begitu boleh menyebabkan suami anda kemurungan nanti.

Buktikan Pandai Jaga Diri

Semua orang tahu suami itu tempat berlindung isteri. Namun di hujung yang satu lagi isteri juga perlu ada kemampuan untuk menjaga diri sendiri. Garis pemisah antara isteri yang terlalu bersifat berdikari dan isteri yang segala mengharapkan suami itu nipisnya umpama kulit bawang. Isteri yang terlalu berdikari boleh membuatkan suami rasa tidak dihargai. Isteri yang terlalu bergantung padanya pula boleh membuat suami rimas.

IKLAN

Cara paling selamat ialah dalam situasi yang sesuai tunjukkan anda boleh menjaga diri sendiri. Contoh kereta anda rosak pada ketika suami berada di luar kawasan. Buktikan anda tahu nombor telefon mekanik yang dia biasa dan bertindak sewajarnya. Isyarat yang akan dia faham ialah anda hanya bergantung kepada dia kerana dia adalah suami dan bukan kerana anda tidak boleh melakukannya sendiri.

Tak Suka Berteka-Teki

Satu lagi perkara yang selalu menjadi rungutan suami ialah menunjukkan sikap sukar untuk difahami. Anda mungkin sekadar bergurai tetapi cuba hayati dialog ini;

IKLAN

“Malam ni Ina tak payah masak. Kita makan kat luar. Ina nak makan di mana?”
“Ikut abanglah. Ina tak kisah!”
“Ok..kita pergi makan sate ya?”
“Tak naklah. Ada kuah kacang. Nanti jerawat!”
“Ok..kita cari kedai Tomyam. Nak?”
“Laaa…minggu lepas dah Tomyam! Takkan minggu ni Tomyam lagi?”
“Kalau macam tu kita pergi KepChi. Boleh?”
“Taknaklah…kalau siang bolehlah. Ini makan malam pun nak KepChi?”
“&%$&(#$…dahlah! Susah sangat…Cancel!”

Tak Sabar!

Wanita memang misteri. Anda mungkin saja menduga untuk mendapat perhatian tetapi suami anda itu lelaki. Dia tidak begitu sabar untuk menduga dalam kegelapan mencari apa yang anda mahukan. Oleh itu jangan terlalu menyusahkan fikiran suami meneka-neka begitu. Jika anda mahu apa-apa layanan istimewa, beritahu saja. Jangan sekadar berkias-kias atau memberi isyarat-isyarat kabur. Memang suami tidak akan faham. Ngerti?

** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, yang juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI