Isteri Ini Cukup Tertekan Bila Suami Kaki Cemburu, Dah Bagi Peluang Pun Masih Tak Berubah!

Saya telah mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun. Semuanya atas jodoh yang sama sekali saya tidak menyangka hadir semula selepas 10 tahun hidup sendirian. Sebelum menerima suami, saya meminta pendapat dari ahli keluarga.

Sama ada suami sesuai atau tidak jodohnya dengan saya. Ramai yang meminta saya menerimanya kerana bakal suami nampak baik dan mementingkan solat ketika kami baru berkenalan dahulu.

Memandangkan pernah ada sejarah perkahwinan lalu yang agak menyedihkan, semua itu membuatkan saya menjadi lebih berhati-hati untuk melangkah ke frasa mendirikan rumah tangga semula.

Masih saya ingat, semasa perkahwinan pertama, awalnya saja saya bahagia tetapi selepas itu rumah tangga mulai haru-biru bila suami diberhentikan kerja.

Setahun berlalu dia masih selesa dengan caranya menjaga anak-anak dan hanya saya yang bekerja untuk melunasi semua hutang piutang yang kami buat semasa awal perkahwinan.

Mulanya saya masih boleh bersabar tetapi lama kelamaan saya mulai bosan kerana suami seperti tiada tanda untuk bekerja semula dan saya mulai tebal muka meminjam pada ahli keluarga semata-mata mahu mencukupkan keperluan harian.

IKLAN

Kami bergaduh dan suami yang berang terus melafazkan talak. Biar sedih tetapi sejak itu, hati saya bahagia biarpun tidak sekaya mana. Saya tahu bagaimana untuk mencukupkan keperluan dua orang anak yang bersekolah rendah.

Kebetulan rezeki saya mulai murah selepas saya berjinak-jinak menjadi agen kepada satu produk popular. Bekas suami meminta untuk rujuk kembali tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Menceburi dunia bisnes membuat saya kenal ramai orang. Dari menjadi agen, saya naik menjadi stokis dan saya mulai dikenali. Tidak saya nafikan ramai yang menunjukkan minat untuk berkenalan, tetapi saya lebih senang membesarkan dua orang anak secara sendiri. Mungkin juga saya takut untuk hidup dengan lelaki lain.

Suami Berubah Bila Isteri Semakin Sibuk

Berbalik kepada perkahwinan kedua, majlis dilangsungkan selepas semuanya mendapat restu keluarga. Majlis kami sederhana saja kerana saya dan dia pernah melalui frasa perkahwinan sebelum ini.

IKLAN

Setahun dua, semuanya nampak elok malah perniagaan saya mulai berkembang. Saya dan suami sepakat untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri kerana saya yakin dengan kemampuan saya dan nampak peluang yang harus saya ceburi itu.

Di peringkat awal, kami lakukan bersama-sama. Sebenarnya bukan mudah untuk memulakan satu perniagaan berbanding mengambil produk orang kerana banyak modal yang harus dikeluarkan.

Enam bulan kemudian, lahirlah produk kecantikan kami. Agak berat awalnya kerana modal kami bukanlah banyak tetapi permintaan mulai ada sedikit demi sedikit. Itulah kata orang, rezeki anak-anak kerana rumah tangga yang kami bina itu dikurniakan seorang anak untuk pengikat kasih.

Bila saya semakin sibuk, entah mengapa perangai suami jadi berubah. Dia mulai marah-marah, katanya saya terlalu sibuk dengan urusan luar dan tidak lagi menguruskan rumah tangga sepenuhnya sedangkan dia juga tahu, kerana dia sentiasa bersama dengan saya.

IKLAN

Pernah suami memberi amaran kerana dia tidak suka ada ramai lelaki mendekati saya dan semua itu membuatkan saya jadi serba salah. Ya Allah, kami jadi berbalah tentang hal ini sedangkan dia tahu saya bekerja keras untuk mencari rezeki buat keluarga, untuk kesenangannya juga.

Sikap cemburu suami semakin menjadi-jadi malah saya pernah ditampar kerana berbual dengan salah seorang stokis yang berjaya membuat jualan terbanyak syarikat suami.

Sekarang saya dan suami telah berpisah rumah dan kami pernah ke pejabat agama untuk sesi kauseling. Saya membuat pengaduan tahap cemburunya antara faktor saya memilih untuk berpisah dan suami juga ego dengan caranya.

Apa yang harus saya lakukan kerana saya tidak pernah menyangka yang perkahwinan kedua ini juga bakal bermasalah. Apa yang harus saya lakukan? Dapatkah perkahwinan saya ini diselamatkan?

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI