Diuji Mak Ayah Tak Beri Restu Wanita Ini Nak Jadi Isteri Kedua

Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.

Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini. 

Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.

Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.

Diuji Rumah Tangga Musnah Di Tengah Jalan

Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.

Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.

Alasan Sibuk Belajar

Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.

Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.

Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.

Diuji Mak Ayah Tak Beri Restu Wanita Ini Nak Jadi Isteri Kedua

IKLAN

Diuji Hadirnya Cinta Baru

Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.

Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.

Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?

Baca artikel lain di sini:

Jangan Bergurau Dan Main-Main Dengan Talak, Suami Isteri Hadam Betul-Betul!

Poligami Kalau Jatuh Di Tangan Salah, Hanya Musibah Yang Bakal Berlaku!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

IKLAN

Keliru, KL

Saranan Kaunselor:

Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik,  ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan  ada orang bahagia melakukan kerja-kerja  amal dan beribadah kepada  Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.

Pandangan kasar orang melihat bahagia  itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta.  Bahagia  bagi puan juga  berbeza  dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia  apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.

Diuji Suami Berkahwin Lagi

Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji  dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?

Konsep curang ini pula  perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.

Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya,  jika  isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan),  boleh tak dia  katakan suaminya curang terhadapnya?

Ibarat Roda

Puan, hidup ini  ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa  sahaja. Jika  dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan  atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya,  maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara  yang sama ?

IKLAN

Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah  berbuat sesuatu  yang satu hari kita juga  terlibat dengan tindakan yang sama.  Ini  saya  bawa  agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada  pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami,  kini puan bolehkah menerima poligami?

Baiklah, kita  ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia  boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.

Buat Analisis Dulu

Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa  dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia  jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu  jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza  dengan alam perkenalan atau percintaan.

Tapi manusia sering alpa. Semuanya  indah ketika bercinta. Namun tiada  keputusan betul  atau salah yang puan  lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra  tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada  kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.

Ada Kekuatan

Setelah mengambil semua pertimbangan, dan  hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa  suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.

Kalau  ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima  poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima  puan dengan berlapang dada.

Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika  puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka  semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!

Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti  berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya  kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada  itu,  pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.

Jika ditakdirkan  puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat  buat keputusan sama ada  kahwin terus  atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa  hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana  diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI