Pasti ramai wanita yang tertanya-tanya kenapa lelaki selalu buat perangai selepas perkahwinan melepasi tempoh-tempoh tertentu dan mulai stabil. Meskipun tak semua lelaki begitu, tetapi kalau perasan banyak kes yang kita lihat, bila waktu susah bersama-sama isteri, bila dah mulai senang mulalah suami buat perangai, cari perempuan lain tinggalkan isteri yang dah bersusah payah dengannya sejak dari dulu.
Hah sebenarnya, memang ada sebab tersendiri kenapa lelaki berperangai begini. Perkongsian pendapat suami kepada Puan Nur Liyana Mohd Nazli mungkin ada benarnya.
Berikut merupakan antara perkongsian dari suami beliau yang mungkin menjawab persoalan para isteri-isteri selama ini.
“Abang, kenapa orang lelaki selalu buat perangai selepas melepasi satu-satu tempoh perkahwinan?”
Berkerut dahi suami yang sedang memandu mendengar soalan ‘random’ isteri.
“Maksud?”
“Banyak kes selepas 10-20 tahun kahwin, lelaki mula pandang perempuan lain. Mula terfikir mahu poligami. Bukankah makin lama kahwin sepatutnya makin sayang? Sebab dah banyak perkara dilalui bersama, susah dan senang. Kenapa bila hidup dah stabil, anak-anak dah makin besar, suami mula buat perangai? Kan bagus kalau hidup dah senang, akhirnya dapat lebih banyak masa untuk diluangkan berdua saja. Dan lebih banyak masa untuk lunaskan tanggungjawab-tanggungjawab pada orang lain di sekeliling kita? Kenapa perlu cari masalah baru dengan orang ketiga dalam rumah tangga?”
IKLAN
Suami senyum. Sambil tumpuannya terus atas pemanduan. Ini isu yang sangat delicate, barangkali. Jawapan perlu disusun sebaik mungkin. Silap jawab, mungkin dia akan memandu bersendirian sehingga sampai destinasi sebab teman memandunya malam itu boleh jadi merajuk dan melancarkan silent strike. Hahaha!
Lelaki Sentiasa Mahukan Cabaran
“Mungkin itulah keywordnya. Hidup dah stabil, anak dah besar…. Cabaran dah mula berkurangan. Lelaki ni hidupnya sentiasa mahukan cabaran. Maka bila dia dah tak rasa tercabar keupayaannya di rumah, dia cari cabaran di luar.”
“Ah, alasan!”
“Eh betullah! Ingat tak penceramah cakap apa dalam kursus rumahtangga yang kita pergi hari tu? Lelaki ini fitrahnya pemburu. Hunters and gatherers. Kalau zaman dulu, dia keluar berburu cari hasil untuk dibawa pulang kepada keluarga. Bila berjaya bawa hasil, bank emosinya kembali terisi. Dia puas, contented. Tapi, zaman sekarang fitrah itu tak dapat digunakan sebab tak perlu keluar berburukan. Lalu kita nampak fitrah lelaki dilorongkan dengan bermain video games atau menonton sukan. Sesuatu yang memberi mereka masalah untuk diselesaikan dan instant reward bila berjaya. Faham dak? In other words, mereka perlu sentiasa dicabar. Bila di rumah semua sudah settle, dia cari masalah baru untuk dia selesaikan. So, kahwin isteri muda. Life begin again dengan cycle masalah yang sama untuk dia selesaikan.”
IKLAN
“Memanglah rumahtangga settle sebab si isteri yang settlekan di rumah. Suami balik, rumah dah kemas, anak dah mandi. Tau tau suami nak kahwin lain!”
Wanita Ramai Independent
“Haa… Sebab tulah. Wanita zaman sekarang memang independent. Semua boleh buat sendiri. Tak ada suami pun tak kisah. Ramai yang pilih untuk PJJ sebab kerja. Suami tak rasa tercabar sebagai lelaki. Jadi kena spare sebahagian tanggungjawab rumah tangga untuk lelaki selesaikan. Jangan buat semua. Lelaki mahu rasa diperlukan. Mahu rasa heroic.”
“Eh salah perempuan jugak? Independent pun salah, tak independent pun salah.”
IKLAN
“Hehe.. Bukanlah nak salahkan perempuan. Rilek la, Ayang. Sebenarnya kalau lelaki tu betul-betul turut serta dalam tanggungjawab berumahtangga, dia akan sentiasa nampak masalah baru untuk diselesaikan. Dia akan sentiasa rasa tercabar untuk improve keluarga dia ke arah yang lebih baik. Dan selama-lamanya kerja tu tak akan habis. Tak ada masa nak fikir cari masalah lain di luar.”
“Baguslah kalau fikir begitu. Nah sekarang cuba awak pandang cermin pandang belakang tu.”
“Kenapa? Ada apa?”
“Nampak dak 3 ketul ‘unfinished mission’ tgh sedap lena tidur tu? Selagi tak siap misi kita nak jadikan depa yang soleh dan solehah selagi tu banyakkk kerja nak buat kat rumah tu. Tak cukup 3 ketul ni saya tambah lagi yang lain supaya tak ada masa dah nak fikir hidup ni tak ada cabaran. Haha! Aci dak?”
Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berjimat memang sikap yang elok, tak kira yang sudah berkeluarga atau pun yang bujang. TAPI jangan sampai kedekut dan terlalu berkira! Sikap itu tak elok ye…
Alahai pening kepala! Tak salah jika nak berjimat, tapi kalau serba serbi nak diambil kira, payah juga kan? Orang kata wanita yang bergelar isteri sangat pandai berjimat. Maklumlah, segala perbelanjaan bulanan keluarga perlu diambil kira. Apatah lagi jika suami seorang saja yang mencari rezeki.
Tapi, ada juga isteri yang terlalu berkira dan kedekut hingga suami sendiri pun naik rimas! Nak belanja bab makan pun bercatu sedangkan suami tak kisah pun untuk keluarkan belanja. Ha..bagaimana agaknya cara hendak menangani sifat kedekut dan berkira isteri yang melampau?
Berjimat Hingga Timbul Sikap Kedekut!
Dalam sesebuah perkahwinan, jika suami atau isteri kedekut tidak bertempat memang boleh membawa ketegangan dalam hubungan. Berjimat dan kedekut soal kewangan berbeza. Kedekut ini adalah sikap yang keterlaluan dalam perkiraan belanjawan hingga membawa kesusahan pada pasangan dan keluarga.
Ya, tanggungjawab suami untuk menyediakan segala perbelanjaan dalam rumah tangga. Namun ada isteri yang tidak bekerja, tapi bersikap terlalu berkira hingga suami sendiri rasa tak selesa.
Berjimat Hingga Catu Makanan
Bila dengar saudara mara nak datang, mulalah dia mencatu makanan. Kalau yang datang 10 orang, dimasaknya ala kadar dan dalam kuantiti yang cukup-cukup saja. Agak-agak, tetamu yang datang puas makan tak? Sepatutnya, sesekali saudara mara datang, masaklah hidangan yang istimewa sedikit dan pastikan masak dalam kuantiti yang lebih agar mereka puas makan.
Suami Kena Bincang, Mungkin Isteri ‘Tak Sedar’
Bincang dengan isteri dengan elok. Atau sebaiknya didik isteri untuk bersikap lebih pemurah. Anda juga boleh membeli barang keperluan dan bawa balik ke rumah. Minta isteri masak. Tetap boleh menjimatkan belanja kerana tak perlu bawa tetamu makan di luar.
Itu dengan tetamu. Kadangkala dengan anak-anak dan anda sendiri pun dia suruh ‘ikat perut’. Nak beli lauk pauk yang sedap pun tak dibenarkan. Apa salahnya sesekali hidangkan makanan sedap untuk anak-anak.
Sikap kedekut ini bukan kerana dia miskin dan tak ada duit tapi lebih kepada soal hati yang tidak pernah rasa untuk berkongsi kelebihan yang dia ada dengan orang lain.
Berjimat Wang Belanja
Bayangkan, suami keluar bekerja mencari rezeki. Setiap bulan sebaik mendapat gaji, akan diserahkan bulat-bulat pada isteri untuk menguruskan perbelanjaan keluarga. Ada suami yang isterinya yang akan berikan duit belanja harian mereka, berdasarkan bajet keluarga. Niat mereka baik, untuk memastikan bajet bulanan tidak ‘terbarai’.
Memang tak salah ada salahnya jika anda menyerahkan wang gaji sepenuhnya pada isteri lebih-lebih lagi jika anda seorang yang boros dan isteri pula sebaliknya lebih bijak mengatur kewangan keluarga. Tapi sebagai suami yang keluar bekerja, anda mesti peruntukkan sejumlah wang untuk perbelanjaan harian diri sendiri. Dalam hal ini anda perlu tegas ketika membincangkan hal ini bersama isteri agar dia faham.
Anak-Anak
Apabila mempunyai anak-anak, tentu sebagai ibu bapa ingin membahagiakan anak-anak. Misalnya membawa mereka berjalan-jalan pada hujung minggu. Sekiranya isteri anda jenis berkira, anda boleh cadang dan bincangkan dengan isteri aktiviti yang tak memerlukan belanja yang banyak. Misalnya pergi mandi air terjun dan joging di taman.
Makanan juga boleh dibawa daripada rumah. Tapi janganlah sampai nak bawa anak-anak jalan pun tak boleh, dengan alasan nak jimatkan duit isi minyak kereta dan tol. Alahai, kasihan anak-anak…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau mak ayah tak jaga gigi anak, cepatlah rosak dan kena karies gigi. Kadang umur 2 tahun pun gigi dah rongak, kasihan tengok. Sebab ada kes sampai bengkak pipi sebab sakit gigi.
Yang jadi mangsa, anak lah, terpaksa cabut gigi pada usia yang masih awal daripada yang sepatutnya. Dan kesannya, gigi akan bergerak dan menyebabkan gigi kekal tak cukup ruang untuk tumbuh.
Jadi untuk selamatkan gigi anak-anak, mak ayah cuba baca perkongsian Doktor Iqbal Rosali ini. Mungkin masih belum terlambat nak betulkan mana yang silap.
Cara Jaga Gigi Anak
Langkah-langkah terbaik untuk memastikan kesihatan gigi yang optimum untuk anak masing-masing.
1. Jangan biarkan anak tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan. Walaupun anak sudah tidur dan tidak menghisap lagi, susu tetap akan menitik dan menyebabkan bertakung di dalam mulut. Pengumpulan susu ini boleh merosakkan gigi.
2. Bersihkan mulut anak 2 kali sehari seperti mana kita menggosok gigi. Gunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi.
Bagi anak yang sudah mempunyai banyak gigi susu, boleh bertukar kepada berus gigi kanak-kanak atau gunakan ‘finger toothbrush’.
3. Perlahan-lahan perkenalkan penggunaan ubat gigi. Anak kecil sudah boleh gunakan ubat gigi mengandungi flourida. Pastikan yang dibeli adalah untuk kanak-kanak. Cuma letakkan ubat gigi dengan saiz sebiji beras. Ia akan lebih mudah dibersihkan dan tidak takut ditelan oleh anak kerana kuantiti yang sangat sedikit.
4. Anak yang sudah besar sikit (2-3 tahun), pastikan jangan dibiarkan mereka gosok gigi sendiri. Pastikan ibu bapa menolong mereka menggosok gigi.
5. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan, ‘sippy cup’ atau sudu seawal usianya 6 bulan.
6. Bilas mulut bayi anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu atau hidangan ‘solid food’.
7. Elakkan memasukkan gula ke dalam susu bayi anda. Malah, elakkan menggantikan dengan apa-apa jenis minuman manis ke dalam botol susu.
8. Jika anak menangis semasa membersihkan gigi, kentalkan jiwa, cekalkan hati. Biarlah mereka menangis seketika itu. Ia tidak akan membawa trauma sepanjang hayat hanya semata-mata membersihkan gigi.
9. Yang paling penting, bawalah anak masing-masing untuk pemeriksaan gigi seawal gigi pertama tumbuh. Kemudian, disusuli pula dengan setiap enam bulan sekali. Pada masa inilah ibu bapa boleh menilai dan muhasabah adakah penjagaan gigi anak selama ini betul dan berkesan.
Semoga bermanfaat buat semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nahas tragedi helikopter TLDM, lelaki buat hantaran jelik didenda RM23,000. Gara-gara menghina nahas tragedi dua helikopter bertembung di udara dua hari lalu, seorang peniaga...