Di manalah erti peri kemanusian apabila tergamak membunuh seorang remaja di depan ibunya yang sedang terlantar sakit.
Lebih memilukan kejadian berpunca daripada salah faham dan berkemungkinan kenalan rapat mangsa adalah orang yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
Rata-rata netizen hiba apabila remaja ini meninggal bersaksikan ibu yang sedang sakit dan kini rakan sekolahnya telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Ibu Sedang Sakit Jadi Saksi Anak Dibunuh
Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Siti Nur Surya Ismail ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.
Abang mangsa, Mohd Zaid Azroi, 28, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi Syuhada ketika dia sedang bekerja di Kampung Bukit Payong.
Mangsa Tingal Sendiri Menjaga Ibu Sakit
“Adik (Siti Nur Surya) dibunuh kejam dengan beberapa kesan (tikaman) dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
“Ketika kejadian hanya ibu sahaja yang ada di rumah. Ibu yang terlantar sakit hanya mampu melihat kerana dia menghidapi sakit kanser otak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan masih dijalankan di lokasi kejadian dan berdasarkan petunjuk kes ini dipercayai dilakukan oleh seorang individu.
“Barangan yang hilang membabitkan wang tunai. Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku jam 9 pagi,” katanya.
“Kali terakhir dia (arwah) WhatsApp saya pada pagi sebelum kejadian. Saya beritahu mahu ke tempat kerja dan dia balas dengan ucapan jaga diri,” kata Muhammad Haiqal Adnan, 19.
Muhammad Haiqal adalah teman lelaki Siti Surya Ismail, 19, yang dibunuh di hadapan ibunya yang terlantar di katil akibat kanser otak di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu, semalam.
Menurutnya, dia yang mengenali arwah sejak dua tahun lalu hanya mengetahui kejadian kenalan rapatnya pada 4 petang.
Ingat Gurauan Teman Wanita Mati Dibunuh
Katanya, pada mulanya dia menyangka rakan terbabit bergurau dengan menyatakan Siti Surya mati dibunuh.
“Saya kemudian terus ke rumah keluarga arwah dan terkedu selepas mendapati ia benar-benar berlaku.
“Macam tidak percaya. Saya bersama ibu baru berjumpa arwah di rumahnya, Sabtu lalu ketika menziarahi ibunya dan arwah amat mesra bersembang dengan ibu.
Ads
“Ketika berbual ibu sempat berpesan pada arwah supaya jaga diri dan kesihatan,” katanya yang merancang untuk bertunang dan berkahwin dengan arwah pada tahun depan.
Katanya, dia terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat arwah untuk mendirikan rumah tangga.
Adik Temui Mangsa Dalam Keadaan Tertiarap
Dalam kejadian semalam, Siti Surya ditemui adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, tertiarap di hadapan televisyen di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan ketika pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang.
Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh perompak yang memecah masuk rumahnya sekitar 9 pagi.
Mangsa yang turut mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka dipercayai bergelut sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam.
Polis Tahan Rakan Sekolah Surya
Sementara itu, pihak polis menahan seorang remaja perempuan bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, suspek berusia 19 tahun yang juga kenalan mangsa ditahan selepas diserahkan oleh ibunya pada 8.15 pagi tadi.
Ads
Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.
Bukti Ditemui Melalui CCTV
“Suspek datang ke Balai Polis Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan suspek sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek sebelum menemui beberapa barangan termasuk wang tunai dan peralatan solek dipercayai milik mangsa.
Bergaduh Sebelum Berlaku Pergaduhan
Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.
“Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan pada suspek sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.
“Suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.
Menurutnya, suspek yang masih belajar di tingkatan enam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman.
MW: Semoga kematian arwah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Tentu Allah amat menyayangi kerana saat-saat akhir kematiannya Surya masih berbakti kepada ibunya yang sedang sakit. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan arllahyarmah ditempatkan di kalangan para solihin. Al-Fatihah.
Ketika kita enak menikmati bermacam juadah berbuka puasa, makan sahur dengan sepinggan nasi berlaukkan udang dan ayam, ada sebuah keluarga yang melalui kesusahan hidup. Bekas kandang kambing menjadi tempat berteduh dari panas dan hujan. Malah kemudahan asas pun tidak lengkap. Ini bukan saja ujian mereka, malah ujian untuk kita juga.
Kerana tidak berdosakah kita, membiarkan ada sebuah keluarga yang melalui kesusahan sebegini terus menjadi miskin. Perkongsian daripada Mastura Hatta (Kak Tuya), sukarelawan Thirdforce Gua Musang yang mana pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin ini benar-benar terkesan di hati.
Rumah Di Kandang Kambing, Tak Berdosakah Kita?
Wanita ini, Rasidah ditinggalkan suami bersama 6 orang anak tanpa dibenarkan tinggal di rumah yang diduduki sebelumnya. Kerana perpisahan itu, kak Rasidah terpaksa mencari tempat tinggal baru.
Bukan tak boleh menumpang di rumah mak atau keluarga lain, tapi rasa segan terbit dalam diri kak Rasidah memandangkan anak-anaknya ramai. Lagi selesa tinggal di rumah sendiri walau keluasannya tak sampai pun 10 kaki panjang.
Rumah berdindingkan zink ini asalnya dari kandang kambing di belakang rumah asal yang pernah diduduki bersama bekas suami. Lihat saja keluasan rumah yang memang tak luas. Di sudut itulah tempat tidur, di penjuru itu jugalah dapur dan tempat makan.
Anak-anak Cerdik, Tapi Kemiskinan Halang Mereka Sambung Belajar
Tinggal bersama 4 anak yang masih kecil manakala 2 lagi sudahpun bekerja selepas SPM. SPM mereka ok tapi kemiskinan menghalang mereka untuk sambung belajar. Cerdik dalam pelajaran namun tak mampu untuk diteruskan maka bekerja adalah pilihan agar dapat sedikit sebanyak membantu keluarga.
Kak Rasidah bekerja sebagai penoreh getah. Menoreh pula getah orang. Maknanya hasil yang tak seberapa itu harus dibahagi dua.
Tadi semasa kunjungan wakil Thirdforce, beliau baru sahaja balik dari menoreh. Malu nak salam dengan kami sebab katanya tangan berbau. Cepat-cepat pergi basuh tangan dekat belakang rumah jiran.
Beliau menumpang mandi pun di rumah sebelah. Tandasnya di depan rumah. Bila diperhatikan, tiada sambungan wayar eletrik ke rumah beliau.
Cuma Cahaya Lilin Temani Tidur Malam Mereka
Hati terdetik ingin tahu lalu kami bertanya. Jawapannya sangat mengejutkan. Empat beranak ini tidur dengan bertemankan cahaya lilin. Semestinya tidur mereka tanpa kipas. Tak seperti kita di musim panas. Tidak merenggekkah anak kecil Itu?
Kak Tuya minta izin kak Rasidah untuk ambil gambar di dalam rumah. Namun kak Tuya tak mampu nak melangkah lebih ke dalam kerana bimbang lantainya akan jatuh. Beralaskan hanya kayu bulat dan lantai jarang.
Dari pintu terus nampak dapur mereka. Di sebelah kanan tempat tidur. Perhatikan gambar tempat tidur yang tidak bertilam itu. Rak pakaian yang juga tiada.
Menitis hiba si air mata melihat senyum tabah anak-anaknya. Tak berdosakah kita membiarkan mereka begini. Yang pasti mereka tak jadi begini overnight … Apa kita nak jawab dengan Allah nanti.
Dan kita berada di tahun 2018..
Pek ramadhan sumbangan rakyat Malaysia disambut penuh syukur oleh kak Rasidah. Terima kasih rakyat Malaysia. Di sini tempat di mana sumbangan anda diagihkan. Tepat ke sasaran.
Terima kasih kerana terus bersama abangraja dan kami semua sukarelawan thirdfofce. Bersama kita mampu menelusuri lebih banyak kehidupan marhaen seperti ini.
Sekiranya pembaca mahu memberikan sumbangan, anda boleh terus menghubungi Thirdforce : 017 867 8767
Setianya janji suami pada isteri yang sakit dipegang kemas-kemas. Tidak akan sesekali dikongsikan pada sesiapa waima keluarga terdekat, akan derita kanser paru-paru yang isteri hadapi.
Dan kerana janji itulah, suami ini terus-terusan memberikan yang terbaik untuk isterinya. Ini kisah kawan Puan Zuryati Isa.
“Kisah benar seorang kawan – yang meninggal dunia beberapa tahun lalu, asbab kanser paru-paru – seperti yang diceritakan oleh suaminya” Beliau catatkan semula menjadi sebuah kisah yang harus suami isteri insafi.
Betapa, kuatnya cinta pasangan yang ikhlas akan menumbuhkan rasa cinta yang dalam dan agung.
Jangan Layan Saya Macam Orang Sakit
“Tolong ambilkan tudung saya. Saya tak mahu orang tahu kepala saya sudah mula botak.” Suaminya terus menghulurkan sehelai tudung sarung.
“Ambilkan yang cantik sikit, bang. Biar saya tetap nampak elok,” kata isterinya sambil tersenyum. Dia mengambil tudung yang lain pula.
Terketar-ketar tangan isterinya mengenakan tudung sebaik mungkin. Dia membantu membetulkan beberapa helai rambut yang masih kelihatan, sambil saling berbalas senyum dengan isterinya.
“Tolong ambilkan beg mekap saya.” Sekali lagi, tanpa bicara, suaminya terus menghulurkan beg mekap kepada isterinya.
Perlahan-lahan tangan isterinya mengenakan sedikit bedak dan lipstik, cukup untuk sekadar kelihatan segar dan ‘hidup’.
“Saya tak mahu orang risau tengok muka saya yang mula pucat ni,” kata isterinya. Dia hanya tersenyum.
Ketika isterinya mahu turun daripada katil, dia cuba membantu.
“Tak apa, abang. Saya ok. Kaki saya masih kuat. Insya-Allah. Abang standby saja, kot-kot tiba-tiba saya jatuh. Masa tu baru abang angkat saya,” kata isterinya sambil tersenyum.
Dia membalas senyum isterinya. Ada rasa yang tertahan dalam hati. Ada suara yang tersekat di halkum.
Mereka Tidak Tahu, Dalam Tubuh Isteri Ada Kuman Kanser
Sebelum sempat dia membuka pintu, isterinya memegang lengannya – kejap. “Abang … .”
Tiba-tiba dia panik, bimbang isterinya sakit semula. Segera dia menoleh ke belakang.
Lega sungguh hatinya melihat isterinya masih berdiri sambil tersenyum manis.
“Abang jangan beritahu kenapa saya masuk hospital, ya. Cakap saja saya tak sihat. Lagi satu, abang jangan layan saya macam orang sakit, ya. Saya tak mahu orang tahu saya sakit, dan saya tak mahu orang tengok saya dengan pandangan simpati. Nanti saya rasa macam orang sakit sangat, semua orang layan saya macam orang sakit. Abang pun kena belajar cover muka tu. Kita buat saja macam biasa. Abang jangan risau. Saya ok. Kuat lagi nak jalan laju.”
Panjang lebar pesan isterinya sebelum mereka keluar daripada bilik.
“Iyalah. Insya-Allah.” Itu sahaja yang mampu dibalasnya.
Lalu, mereka keluar bilik bersama-sama dan meraikan tetamu yang datang berziarah. Mereka tahu isterinya baru keluar daripada hospital.
Apa yang mereka tidak tahu ialah di dalam tubuh isterinya, kuman-kuman kanser sedang mengganas dan merebak dengan sangat cepat.
Rahsia itu hanya diketahui oleh mereka berdua dan terbongkar selepas isterinya meninggal dunia beberapa bulan selepas itu.
Ibu penyanyi Khai Bahar, Rosnah Muhammad meninggal dunia dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis pukul 10.40 malam tadi.
Khabar duka itu dimaklumkan pengurus penyanyi itu, Mohammed Rizal Mohammed Yasin menerusi satu perkongsian di Instagram.
Difahamkan penyanyi Luluh itu sedang bercuti di sebuah pulau. Usai menerima perkahabaran duka, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, dilihat memuat naik rakaman di media sosial yang menunjukkan dirinya dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Perlis. Khai menerusi rakaman itu menangis selain meninggalkan kapsyen ‘mak’ pada video berkenaan.
Dia sebelum ini memaklumkan kesihatan ibunya merosot akibat penyakit buah pinggang, masalah jantung dan paru-paru.
Allahyarham Rosnah Muhammad baharu meraikan ulang tahun kelahiran ke-62 pada 25 Disember lalu, dilapor menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati.
Arwah mula menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu, pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami masalah sesak nafas.
Terdahulu, Khai pernah memaklumkan mengenai keadaan kesihatan ibunya yang mengalami masalah daya ingatan sehingga tidak kenal diri sendiri setiap kali selesai menjalani rawatan dialisis.
Malah sejak setahun lalu, penyanyi kesayangan ramai itu kerap pulang ke kampung bergilir menjaga ibunya. Dimaklumkan, ibu Khai Bahar meninggal dunia dalam tidur.
Sembahyang jenazah telah disempurnakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar usai solat zuhur disusuli pengkebumian di Tanah Perkuburan Tok Paduka.
Al Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Artikel ini mengisahkan kejadian tembakan di Golok yang meragut nyawa Mohd Fuad Fahmie Ghazali. Isterinya yang sarat mengandung masih trauma menyaksikan tragedi menyayat hati itu di depan mata sendiri.