'Gara-gara Ketam Lembut’ Isteri Mengandung Tercedera Emosi Lihat Gambar Makanan Di FB

Tak lama dulu pernah dikongsi tentang, ‘jangan tayang bahagia di media sosial’. Bukan saja bahagia, salah niat posting gambar makanan di Facebook (FB) juga boleh buat orang lain tercedera emosi.

Cerita benar yang dikisahkan Abd Ghani Haron ini mengenai seorang pemuda yang berusaha melayan mengidam isterinya yang sedang mengandung.

Teringin makan ketam lembut selepas melihat gambar makanan itu di facebook. Biarpun perlu memandu 200km pergi balik naik motor uzur, gigih dia usaha bawa isteri ke lokasi kedai.

 

Mereka Yang Tercedera Kerana Post Gambar Makanan Di FB

Loceng rumah berbunyi. Seorang pemuda berdiri pintu pagar. Dia menolak kapcai separuh umur masuk ke halaman rumah bila pagar dibuka lalu memberi salam.

Sambil berdiri di halaman rumah, dia memulakan bicara.

Nak tanya sikit pada cikgu. Isteri saya mengandung 5 bulan anak sulung. Dia minta nak makan ketam lembut yang katanya ada di restoran Kuala Gula, Perak.”

Mengidamlah tu. Dia terlihat dalam facebook kenalannya post gambar keluarganya pergi ke restoran tu. Gambar ketam lembut digoreng, gulai semilang hidup.”

Nak tanya cikgu, jalan nak pi Kuala Gula sebab orang kata cikgu biasa pi.”

Saya pun memberi petua jalan sebab saya pernah pergi.

Saya bertanya, “Nak pi dengan apa?”

Motor ni, ini saja yang saya ada. Jika tak ditunai, kesian, tak sampai hati.” Katanya sambil tersengeh.

IKLAN

Allahuakbar!, bukan dekat, lebih 100 km. Pergi balik 200km. Membawa isteri mengandung dengan motor sejauh itu tentu membahayakan kandungannya. Dia tidak ada lesen memandu kereta, bila saya pelawa kereta saya.

Takpa cikgu, cikgu jangan susah hati, saya akan usaha bawa bini saya ke sana juga dengan apa cara pun. Terima kasih atas pertolongan cikgu.”

Dia menghidupkan enjin motor, memberi salam dan meninggalkan saya di halaman rumah.

Sedih. Jika saya tidak rosak buah pinggang, mampu memandu lagi sejauh itu, sanggup saya tolong hamba Allah ini yang begitu kasihnya pada isterinya. Tidak mahu menghampakannya.

 

‘Gara-gara Ketam Lembut’ Isteri Mengandung Tercedera Emosi Lihat Gambar Makanan Di FB

Sanggup Memandu 600 km Demi Mee Maggi Makkah

Inilah bahana bercerita keseronokan kita. Kemampuan kita kepada khalayak umum, dijaja seluruh dunia. Akibatnya ada orang yang teringin ada yang mengidam.

IKLAN

Betul mengidam itu perkara budaya, kepercayaan sahaja, tetapi suami mana tak terkilan jika tidak dapat memenuhi permintaan isteri yang mengandung anak sulung.

Kepayahan akan diharung mencari jika haruan atau keli yang diidam, ke bukit didaki jika pelanduk yang dihajati, ke laut didayung jika teringin gulai senangin, bahkan ingin berlari ke kaki langit memetik bintang jika itulah permintaan seorang isteri yang dikasihi.

Teringat saya seorang kawan pernah menghubungi saya ketika di Makkah untuk beli mee maggi makkah, kerana terdengar cerita orang mee maggi Makkah sangat sedap sedangkan isterinya mengandung.

Sanggup memandu hampir 600 km pergi balik ke rumah saya untuk mengambil sebungkus mee maggi yang saya bawa balik dari Makkah demi isteri yang mengandung.

Lihatlah ketika orang lain seronok bercerita sedap makan ketam lembut digoreng, insan ini dan isteri akan mengharung perjalanan lebih 100 km dengan kapcai separuh umur, demi permintaan isteri. Hujan dan panas akan diharungi, entah akan tercapaikah hasrat mereka? Ya Allah permudahkanlah bagi mereka.

Mungkin Ada Anak Yatim Sedang Menelan Air Liur

Mereka yang mempamer keseronakan tentu telah melupakannya setelah disiarkan, tetapi berapa ramai insan yang cedera hatinya seperti pemuda ini bila menatap pos sedemikian.

Mungkin ada anak yatim hanya menelan air liur, mungkin ada anak si miskin hanya berupaya menatap atau bercerita kepada emak dan ayah.Tidakkah berdosa mereka yang bercerita keseronokan mereka tetapi melukai orang lain secara tidak sedar.

IKLAN

Berbeza denga iklan kerana pengiklan mempamerkan barangan dengan tujuan menjual, ada tujuannya, tetapi kita mempamer apa yang kita buat, tiada tujuan, melainkan untuk bermegah tetapi tak mengaku nak bermegah.

Nak menunjuk, tetapi tak mengaku nak menunjuk.

Berhentilah menunjuk-nunjuk kepada orang lain, nikmat Allah yang dikurnia kepada kita, sebaliknya laungkan sekuat rasa di hati rasa syukur dengan apa yang Allah beri.

Berhentilah dari melukai hati nurani insan lain tanpa sedar. Kasihanilah mereka yang tidak berdaya, tidak mampu.

Bukan sekedar makanan, bahkan keseronokan yang lain seperti membeli kereta baru, perabot baru, pakaian baru, melancong ke luar negeri dan sebagainya.

Saya ingin mengajak anda peka pada keadaan sekeliling kita, jangan hanya memikir diri sendiri, keseronokan diri.

Apa juga tindakan kita biarlah orang lain tidak tercedera, hati mereka tidak terguris. Apa juga nikmat yang kita dapat, berbanggalah kepada Allah yang menganugerahkannya, bukan kepada manusia.

Bukan tidak boleh memuji nikmat Allah, tetapi pujilah dalam lingkungan yang terhad, seperti kawan rakan, jiran yang kita boleh berkongsi nikmat tersebut, bukan dilaung sedunia.

Kisah yang saya paparkan ini hanya satu dari begitu banyak perkara yang ditunjuk-tunjuk dalam fb dan media yang menjana titik dosa berterusan. Wallahua’lam.

Sumber/Foto : Abd Ghani Haron

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI