Biar pun sehingga kini, waris belum dibenarkan membuat sesi pengecaman mayat kerana terikat dengan SOP Covid-19. Namun gambar di lokasi kemalangan yang tular jadi petunjuk kepada keluarga mangsa nahas helikopter terhempas.

Kejadian yang berlaku pagi semalam mengejutkan ramai pihak, apatah ahli keluarga mangsa. Pihak MW merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban.

Gambar Di Media Sosial Jadi Petunjuk

Kuala Lumpur: Gambar di lokasi kemalangan di media sosial menjadi petunjuk kepada keluarga untuk mengenal pasti mangsa nahas helikopter terhempas di Taman Melawati, Ampang, semalam.

Menurut Dr Mohd Izani Mohamed Rawi, 48, abang sulung kepada arwah Mohd Irfan Fikri, 44, keluarga mengenal pasti tangan dan jam dipakai adiknya melalui gambar tular di WhatsApp.

“Saya cam tangan dan jam dipakai arwah tengah hari tadi malah helikopter biru yang kerap diterbangkan.

“Dua tiga hari sebelum terbang, arwah ada memberitahu keluarga di WhatsApp mengenai penerbangan hari ini disebabkan itu saya yakin mangsa terkorban mungkin adik saya,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPPN).

Helikopter Biru Kerap Diterbangkan Arwah

Mohd Izani berkata, arwah dilaporkan kerap terbang menjangkau seminggu sekali.

“Penerbangan ini sebagai hobi arwah saja, pekerjaan tetapnya sebagai ahli perniagaan.

“Arwah ada menunjukkan lesen penerbangannya sebelum ini, namun saya tidak pasti sudah berapa lama (penerbangan),” katanya yang berasal dari Kelantan.

IKLAN

Katanya, helikopter biru yang diterbangkan arwah antara yang kerap dan menjadi kegemarannya.

Baca juga di sini:

“Doakan Buat Mereka Yang Terlibat” Sharifah Shahirah Dengar Bunyi Dentuman Kuat

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Arwah Meninggalkan Isteri & 5 Orang Anak

Tambah Mohd Izani, arwah anak keempat daripada 10 beradik meninggalkan seorang isteri yang juga guru dan lima anak berusia sekitar tiga hingga 15 tahun.

Katanya lagi, pihak keluarga masih belum memutuskan lokasi pengebumian sama ada di Kelantan atau ibu kota tetapi akan berbincang dengan keluarga yang lain.

IKLAN

Dalam kejadian hari ini, satu helikopter terhempas manakala satu lagi membuat pendaratan cemas di Taman Melawati.

Selain Mohd Irfan, seorang lagi mangsa maut dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, manakala dua lagi selamat iaitu Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 dan Tan Chai Eian, 51.

Arwah Dalam Beg, Tak Boleh Tengok

Dalam masa yang sama, waris mangsa nahas helikopter yang hadir di bilik jenazah Hospital Canselor Tuanku Muhriz tidak dibenarkan membuat pengecaman mayat berikutan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Keluarga mangsa hadir jam 4.40 petang semalam selepas jenazah yang dibawa menggunakan trak polis tiba di hospital berkenaan pada 4.23 petang.

Ahli keluarga mangsa hanya dibenarkan masuk ke bilik jenazah berkenaan namun tidak dibenar melakukan proses pengecaman.

Tunggu Keputusan Covid-19 Sebelum Pengecaman

Dr Mohd Izani Mohamed Rawi, 48, abang sulung kepada arwah Mohd Irfan Fikri, 44, memaklumkan dia diberitahu untuk menunggu keputusan Covid-19 terlebih dahulu dan selepas itu baru proses bedah siasat diteruskan.

IKLAN

“(Arwah) Dalam beg, tak bagi tengok. Tiada siapa boleh tengok jenazah lagi.

“Apabila dapat keputusan (Covid-19) baru boleh teruskan dengan bedah siasat atau sebagainya. Tetapi kalau positif Kementerian Kesihatan ambil (jenazah) terus.

“(Keputusan Covid-19) Secepatnya esok (hari ini). Mungkin cepat mungkin lambat. Kita tunggu mereka (pihak hospital) hubungi,” katanya.

Isteri Arwah Hanya Menangis

Usaha media untuk mendapatkan respons isteri arwah Mohd Irfan dikenali sebagai Wan Nani Bazlin turut gagal apabila beliau dan beberapa individu lantas memasuki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih sejurus keluar dari bilik jenazah, lalu beredar dari tempat kejadian.

Mohd Izani berkata, isteri arwah tidak bercakap apa-apa dan cuma menangis.

Selain itu, media juga gagal mendapatkan maklum balas daripada keluarga arwah Mohd Sabri Baharom yang maut dalam insiden sama.

MW: Semoga ahli keluarga mangsa tragedi helikopter ini berdepan dengan ujian berat ini. Al-fatihah.

Sumber/ Foto: myMetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI