Urusan pemberian nafkah pada anak-anak selepas perceraian jangan diambil ringan. Apatah lagi jumlahnya telah ditetapkan oleh mahkamah, namun dengan sengaja tak nak bayar nafkah anak-anak ini pada bekas isteri. Silap-silap boleh dikenakan hukuman meringkuk dalam penjara!
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu pada Ahad menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap seorang buruh setelah didapati bersalah kerana gagal membayar nafkah anak-anaknya.
Hakim Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof menjatuhkan hukuman itu setelah lelaki berkenaan, Diang Ghani, 52, didapati bersalah mengikut Seksyen 181 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) kerana gagal melunaskan pembayaran nafkah anak-anak sebanyak RM11,000 kepada bekas isterinya.
Ads
Sebelum ini, mahkamah pada 21 April 2010 telah mengarahkan lelaki berkenaan untuk membayar nafkah enam orang anaknya sebanyak RM300 setiap bulan, sebagaimana persetujuan bersama bekas isteri.
Bagaimanapun, keengganannya membayar nafkah itu menyebabkan tunggakan terkini nafkah mencecah RM11,000.
Pada 19 Februari 2020, mahkamah telah mengarahkannya hadir ke mahkamah setelah bekas isterinya memfailkan notis penghakiman.Namun, dia gagal hadir dan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Ads
Lelaki berkenaan kemudiannya berjaya ditahan pada 15 Disember lalu, sebelum didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara 30 hari, berkuat kuasa Ahad.
MW: Seeloknya jadikan pengajaran buat bekas suami yang payah sangat nak tunaikan nafkah dan tanggungjawab. Ingat iya walaupun dah bercerai, nafkah anak-anak tetap kena bagi.
Ajal dan maut di tangan Tuhan, jika telah tiba masanya tidak akan terlewat walaupun sesaat. Namun seorang gadis ini seakan tahu ajalnya telah tiba apabila suarakan sesuatu di media sosialnya.
Gadis ini telah muat naik status dipinang dengan kain putih, seakan dia tahu ajalnya semakin hampir. Seorang gadis telah dilaporkan mati dibunuh dalam satu kejadian baru-baru ini.
Seakan-akan tahu ajalnya semakin menghampiri, seorang gadis dari Asahan, Sumatera Utara telah memuat naik status tentang kematian di laman sosial sebelum dilaporkan mati dibunuh dalam satu kejadian rogol pada 23 Disember di Klang, Selangor Malaysia.
Lapor Tribunnews, mangsa Lisa Sirait, 14, memuat naik status bertulis, “Aku akan dipinang malaikat maut, aku akan dibawa oleh malaikat maut, aku dipinang dengan kain putih”.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu mangsa, Sri Dewi, 41, yang masih terkejut pemergian anak kelima itu.
“Saya baru tahu dan terkejut Lisa ada memuat naik status dalam media sosial menyatakan dirinya akan ‘dipinang malaikat maut’.
“Memang sedih, kebiasaannya dia setiap hari akan hubungi saya. Tetapi waktu kejadian, saya tidak menerima panggilan dan berasa tidak sedap hati,” katanya.
Sri beritahu Lisa pergi ke Malaysia untuk mengikut kakaknya, Dinda Sirait yang bekerja di sana.
Si ibu juga memberitahu, sebelum berangkat ke Malaysia, Lisa ada membuat video di aplikasi TikTok yang dianggap sebagai video perpisahan.
“Saya ada tonton video itu, Lisa sempat mengatakan, syukur memiliki seorang ibu seperti saya. Ibarat video itu seperti perpisahan kepada kami,” ujarnya lagi.
Terdahulu, seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh di sebuah rumah kedai di Taman Seri Andalas, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 2.05 petang.
Mayat ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di tingkat satu rumah kedai.
MW: Semoga keluarga mangsa tabah menerima ujian berat ini. Sudahlah tragedi menyayat hati ini berlaku ketika sang anak jauh di mata, tentu sahaja hati ibu tidak keruan. MW merakamkan takziah buat keluarga mangsa.
Nafi dakwaan berkahwin dan terkena ubat pengasih, Neelofa beri penjelasan. Neelofa, 31, akhirnya tampil membuat penjelasan dan menafikan beberapa dakwaan tidak berasas berkenaan dirinya, PU Hariz dan keluarga kedua belah pihak yang tular di media sosial sejak Sabtu.
Terdahulu nama Neelofa menjadi bualan hangat, berikutan tersebarnya spekulasi yang mengatakan hubungannya dengan PU Riz telah berakhir.
Beberapa tangkap layar status keluarga Neelofa dan beberapa pihak tersebar di media sosial sehingga tercetus pelbagai dakwaan berkenaan pasangan selebriti itu. Malah Neelofa juga memohon maaf kepada keluarga kedua-dua pihak atas apa yang berlaku itu.
Menerusi hantaran sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagram dan kenyataan rasmi yang diedarkan kepada pihak media Neelofa menjelaskan;
“Saya ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku.
“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.
“Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan. Sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran yang diberikan, saya hargai dengan setulus hati.
“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya.
“Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Malah saya juga perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” ungkap Neelofa.
Menerusi hantaran video yang sama Neelofa akui dia perlu membuat penjelasan tentang perkara tersebut kerana ia melibatkan keluarga kedua belah pihak.
“Berkenaan dengan perkara yang sedang tular, pelbagai cerita dan andaian yang telah keluar tentang diri saya dan keluarga. Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan dan seterusnya tidak terus membuat andaian mengenai perkara yang tidak betul tentang diri saya, Haris serta keluarga kami.
“Saya sendiri terkejut bila saya membaca dan melihat andaian-andaian ini keluar yang sememangnya tak betul, tak wajar dan tak berasaas. Cerita kononnya terkena buatan minyak pengasih itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya ia merupakan satu tuduhan yang amat berat.
“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang, saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya,” ungkapnya.
Neelofa juga menyangkal dakwaan tentang pemindahan sejumlah wang kepada PU Riz dan perkahwinan di Kelantan.
“Tuduhan kononnya saya memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris, saya menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
“Begitu juga dakwaan saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan. Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.
“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini,” jelasnya.
Difahamkan Lofa juga memohoan agar dia diberikan masa dan ruang untuk menyelesaikan masalah antara dirinya dengan PU Riz.
“Mengenai status hubungan saya dengan Haris, apa yang mampu saya katakan setiap hubungan itu ada cerita- cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.
“Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” luahnya lagi.
Tempoh 20 tahun bukan satu jangka masa yang sekejap, malah lebih perit apabila disabitkan dengan kesalahan yang diri sendiri tidak lakukan. Seorang lelaki Korea Selatan yang menghabiskan 20 tahun meringkuk dalam penjara atas kesalahan rogol dan bunuh, didapati tidak bersalah selepas penjenayah sebenar membuat pengakuan.
Beliau berjaya membersihkan namanya selepas seorang pembunuh bersiri yang terkenal di negara itu mengaku memperkosa dan membunuh mangsa, seorang gadis berusia 13 tahun, pada 1988.
Yoon Seong-yeo, 53, yang dihukum penjara seumur hidup, dibebaskan dengan parol pada 2009, selepas 20 tahun dipenjarakan.
Dia mendengar dengan tenang ketika Hakim Mahkamah daerah Suwon, Park Jeong-je, meminta maaf kepadanya Khamis lalu bagi pihak badan kehakiman kerana menyebabkan ‘kesakitan fizikal dan mental sangat besar’ akibat keputusan yang salah.
“Tertuduh tidak bersalah,” umum Park dan pembebasan Seong-yeo disambut tepukan gemuruh daripada penyokongnya di galeri.
“Saya harap tiada sesiapa yang perlu melalui apa yang saya lalui dan semua kes menerima perbicaraan yang adil,” kata Yoon kepada pemberita selepas keputusan itu.
Seong-yeo, yang ketika itu berusia 22 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah rumah ladang di Hwaseong, ditahan pada Julai 1989 selepas polis menuduhnya merogol dan membunuh seorang gadis pada September 1988.
Antara 1986 dan 1991, 10 wanita pelbagai peringkat usia dirogol serta dibunuh dengan kejam di kawasan Hwaseong dan Yoon ditahan selepas polis dikritik hebat kerana gagal mengenal pasti pembunuh bersiri itu.
Polis membuat kesimpulan Seong-yeo meniru siri jenayah yang berlaku walaupun dia menafikannya dan menyatakan bahawa penyiasat polis memaksanya untuk mengaku melakukan jenayah berkenaan.
Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Oktober 1989, yang kemudian disahkan Mahkamah Agung pada Mei 1990.
Ketika siri kes pembunuhan Hwaseong dilihat tidak berkesudahan, tahun lalu pihak polis mengumumkan ada suspek lain yang membuat pengakuan.
Lee Chun-jae, seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh kakak iparnya pada 1994, mengaku melakukan pembunuhan termasuk gadis berusia 13 tahun itu, mendorong Seong-yeo memfailkan perbicaraan semula.
Chun-jae turut memberi keterangan pada perbicaraan semula Seong-yeo bulan lalu dan mengulangi pengakuannya.
Pembunuhan di Hwaseong juga ilham kepada penerbitan filem ‘Memories of Murder’ pada 2003 dan mencipta kejayaan bagi pengarah, Bong Joon Ho, yang memenangi filem terbaik Anugerah Akademi pada tahun ini bagi filem ‘Parasite’. – AGENSI
MW: Menderitanya apabila meringkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukan. Meskipun masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali, namun pembebasan ini sekurang-kurangnya dapat membersihakan nama baik dan maruah diri.
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.