Tidak dinafikan anda dan pasangan memang bercinta bagai nak rak, sanggup terima kekurangan dan kelebihan masing-masing.
Namun ikatan perkahwinan ini bukan hanya berlandaskan perasaan cinta kita sahaja, tetapi perlu diambil kira penerimaan keluarga pasangan.
Tetapi dari awal keluarga pasangan tunjuk tak suka, fikirlah masak-masak sebelum bernikah. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin dan hadam baik-baik.
Masa Bercinta Keluarga Sana Sudah Tunjuk Tak Suka
Kalau hendak kahwin dengan seseorang itu, kita kena “kahwin” sekali dengan keluarganya…
Ini ayat yang selalu kita dengar… Sudah terbiasa sangat sudah bagi bakal-bakal pengantin yang ingin mendirikan rumah tangga… Nasihat pertama sebelum masuk dalam keluarga pasangan…
Sebagai orang yang berpengalaman, walaupun tidaklah lama sangat dalam alam rumah tangga ini, sekadar hendak nasihat.
Jika masa bercinta atau masa berhubungan itu keluarga sana sudah mula tunjuk macam tak berapa hendak suka itu, maka fikirlah masak-masak dan baik-baik…
Pasangan kita memang tak ada masalah langsung dengan kita, kita memang akan hidup dengan dia selepas kahwin.
Kita memang pilihan dia, cinta dia tapi dugaan dan ujian kalau keluarga pasangan sudah mula campur tangan dalam hubungan kita ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan…
Ads
Realiti Yang Terjadi Dalam Masyarakat
Ada keluarga yang sanggup buat apa saja andai kata orang yang masuk dalam keluarga mereka itu bukanlah orang yang mereka suka atau boleh terima…
Ini bukan satu prasangka buruk, atau pun tanggapan negatif, ini adalah realiti yang banyak terjadi dalam masyarakat kita sejak dari dulu lagi…
Kalau pilih untuk teruskan, maka mintak kekuatan dari Allah SWT untuk menghadapi ujian yang bakal mendatang.
Minta Allah permudahkan, pelihara, dan lindungi hubungan kita dan pasangan dari anasir-anasir yang tidak baik yang boleh menganggu-gugat rumah tangga kita dengan pasangan…
MW: Segalanya berbalik kepada soal jodoh. Jika sudah Ketentuan Allah, sejauh mana kita merancang, tetap juga berlaku. Tentu ada hikmah di sebaliknya.
Sumber: Firdaus Shakirin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Itu belum lagi keluar cubitan manja. Mak dulu baru jeling manja pun, anak yang buat perangai dah rasa balik rumah nanti habislah kena hukum. Tak perlu nak jerit-jerit test suara. Punyalah taat anak-anak time tu. Terus baik ikut perintah.
Inilah yang dikongsikan Ariff Ismailketika berdepan situasi mak tegur anak kecll dengan menjerit di tempat umum. Hingga dia yang menyaksikan pun jatuh kasihan.
Nama Pun Anak Kecil..
Semalam mesti ramai yang mengambil kesempatan hujung minggu untuk bawa anak dan isteri keluar berjalan jalan. Ada yang beli barang dapur bersama ada juga keluar bersiar siar “window shopping”.
Saya pun mengambil kesempatan yang sama untuk pergi membeli barang dapur di satu pasaraya di Kuala Lumpur. Sambil menolak troli dan menyanyi riang menunggu lift, tiba tiba halwa telinga di sajikan dengan satu jeritan #makcikpetir !
Berdarah telinga terkena renjatan laungan #makcikpetir tersebut. Apa lagi datang lah perangai #joyahkampung nak tengok apa yang jadi! Bila saya toleh ja bukan #makcikpetir tapi #ibumuda yang memarahi anak kecil beliau sambil #bapaperasanbujang hanya melihat tanpa berbuat apa apa untuk menangani “drama” tersebut.
Anak tu baru dalam usia 2 – 3 tahun dah memang perangai anak anak bila pergi mall ke mana ke memang akan ada berlaku sedikit drama ( berdasarkan pengalaman sendiri ). Terkebil kebil anak kecil tu sambil terus menangis di jerit #ibumuda itu.
Ikut logik akal lah, mana lah budak kecil tu paham kita nak jerit jerit, nak marah marah mereka. Ya saya paham kita ni #ibubapa kadang kadang penat dengan karenah anak anak, tapi bukan lah sesuatu yang baik untuk menghukum atau memarahi anak di kawasan awam.
Emak Dulu Cuma Guna Kuasa Jeling Dan Cubitan Manja
Cuba kita ambil pendekatan #emakzamandulu menggunakan kuasa jelingan dan cubitan manja. Masa kecil dulu bila buat perangai mak jeling kita dah rasa dunia kita akan berakhir bila sampai rumah nanti. Cubitan ayah bermaksud ” kau siap nanti kat rumah!”.
Tak perlu nak mengasah bakat vokal kita ya #ibubapamuda nak jerit kan anak dan memarahi mereka ditempat umum. Saya pun ada anak, mana ada anak kecil tak buat perangai. Tapi saya ada satu cara tangani masalah ini untuk anak saya.
Bila dia mula kan drama, saya kena akhiri drama tersebut. Sebagai contoh kejadian baru baru ini, bila anak saya menangis nak ikut mak bapa saudara dia balik. Menangis ibarat perpisahan terakhir. Masa tu ramai tetamu di rumah, apa lagi terus angkat masuk dalam bilik bawak depan cermin.
Anak Akan Ikut Perangai Mak Ayahnya
Mula lah dialog #ayahdananak
Ayah : Affan cuba tengok muka affan depan cermin, cantik tak bila menangis? Anak : Tak, dan masih ada sedu sedan. Ayah : Tak cantik kan? Affan nak orang tengok muka affan macam ni ? Anak : Tak nak! Ayah : Affan jangan nangis nanti orang nampak muka affan tak cantik, orang tak nak kawan dengan Affan.
Terus berakhir drama minggu ini, kesat airmata dan dia sambung main semula.
Ya tak mudah untuk mengetahui solusi sebab setiap anak ada ragam dan cara yang berbeza. Saya pon baru ja jumpa cara ni, setelah mempraktis kan beberapa cara. Anak kan ikut perangai kita. Jenis anak saya memang dia suka ” control macho ” maka cermin lah ubat dia.
Sekali lagi saya jelas kan, ini adalah pandangan peribadi saya dan cara saya tangani drama anak saya sendiri. Jangan pula #gengmakcikbawang hentam saya berjemaah. Setiap dari kita ada cara tersendiri, cuma bagi pandangan saya, tak perlu untuk memarahi anak atau jerit kan mereka di tempat awam. Secara tak langsung kita buat anak kita menjadi pasif dan tiada keyakinan diri.
Okay sampai di sini perkongsian saya untuk hari ini. Semoga bermanfaat.
Tatkala bersua wajah dengan Noraiha Rais, yang juga pemilik Butik Pengantin Demelza yang terletak di Saujana Rawang, penulis berasa sedikit teruja apabila mendengar luahannya mengenai anak bongsu kesayangannya Hilal Hamdhy Bin Hasmili, 11, yang merupakan anak istimewa yang di diagnosis Disleksia.
“Memiliki anak seistimewa sebenarnya benar-benar mengajar saya dan suami erti kesabaran dan ketabahan. Permulaannya kami agak terkejut namun menerima dengan reda, berkat mencari dan menggali apa itu disleksia membuatkan saya menjadi seorang ibu yang sangat-sangat berusaha untuk menjadi ibu yang terbaik buat Hilal,” ungkap Noraiha yang memahami disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
Noraiha seorang ibu yang cukup tabah dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya.
Memiliki anak istimewa adalah satu kelebihan buat ibu bapa yang terpilih. Bukan semua yang bertuah mendapat pengiktirafan tersebut. Di sebalik kekurangan yang dipandang daripada mata kasar, namun sebenarnya anak-anak syurga ini cukup istimewa dan ada banyak kelebihan mereka.
Noraiha juga mengakui anaknya itu seperti kanak-kanak lain seusianya. Cuma Hilal agak ketinggalan sedikit dari segi pembelajaran.
“Jika orang tengok dari mata kasar, mereka mungkin tidak menyangka anak saya ini disleksia. Cuma kalau bab pembelajaran dia sedikit ketinggalan berbanding kakak dan abangnya yang lain. Sekarang dia berumur 11tahun dan ada subjek dia boleh dan ada yang tak boleh. Tetapi setakat ini dia belajar di sekolah biasa,” tambah Noraiha lagi.
Pernah Menang Tempat Kedua Program Robotik Lego
Noraiha juga sangat bangga apabila Hilal pernah memenangi tempat kedua Program Robotik Lego.
“Hilal walaupun dalam pembelajaran agak lambat namun dia sangat bijak terutama dalam bermain lego. Pernah sebelum ini saya masukkan dia dalam satu pertandingan Program Robotik Lego dan dia mendapat tempat kedua. Sehingga kan pihak penganjur kagum dengan kebolehannya.
“Memang dia sangat obses dan struktur lego yang rumit dia dapat selesaikan dengan mudah,” kata Noraiha yang memberitahu mungkin akan memasukkan anak ke sekolah kemahiran sama ada bidang vokasional tetapi bergantung kepada minat anaknya.
Anggap Perkara Biasa Pada Mulanya
Mengakui mula mengetahui anaknya mempunyai masalah sejak tadika lagi, Hilal mempunyai tanda-tanda disleksia namun turun naik dalam pelajaran menyebabkan Noraiha beranggapan itu adalah perkara biasa.
“Waktu sekolah rendah, cikgu ada cakap anak ada masalah bab pembelajaran. Kena sediakan Pendidikan Khas, tetapi memandangkan sekarang dia sudah darjah lima dan agak terlambat. Jadi untuk masuk dalam sekolah khas mungkin kena tunggu sekolah menengah kelak.
Tahap pemahaman dia sepatutnya darjah lima tetapi sekarang ibarat baru darjah tiga. Apa pun sebagai ibu bapa kami terima apa jua pencapaian anak-anak setakat yang termampu.
“Dia boleh membaca tetapi ada subjek yang lemah dan agak terbelakang sedikit. Jadi, saya hantar pada guru tuisyen selain jumpa pakar Psikologi Pendidikan. Tetapi kami tidak mahu beri tekanan jadi tak paksa sangat,” luah Noraiha.
Berhati Mulia & Pemurah
Anak yang pemurah dan memiliki hati yang cukup murni dan halus.
Ini adalah ujian Allah dan kena banyak bersabar dalam membesarkan anak-anak kerana setiap dari mereka tidak sama. Biarpun memiliki kekurangan dalam akademi, namun Hilal miliki jiwa yang sangat halus dan mulia. Malah dia juga sangat pemurah.
“Saya masih ingat lagi kenangan bulan Mac yang lalu. Di sekolahnya ada buat satu pungutan dana untuk padang sekolah. Kebetulan Hilal ada bawa balik surat pihak sekolah minta sumbangan untuk padang sekolah. Tetapi saya cakap nanti mama tengok surat itu. Maklumlah, saya bekerja dan sibuk.
“Disebabkan dia tidak sabar, terus dipecahkan tabung yang dikumpul sendiri dan bawa semua duit syiling ke sekolah untuk didermakan. Saya tak tahu, rupanya Hilal sanggup pecahkan tabung miliknya dan bawa duit ke sekolah untuk didermakan.
“Disebabkan itu, cikgu rasa terharu dan beri kad jemputan untuk hadir makan malam majlis anugerah. Lebih membuatkan saya terharu, perkara tersebut dapat perhatian pihak sekolah sehingga namanya jadi sebutan Menteri Pendidikan pada ketika itu. Malah, anak saya diajak bergambar bersama waktu itu. Itulah kenangan dan saya fikir anak OKU ada kelebihan yang kita sendiri tak fikirkan yang dia akan buat begitu.
“Sebagai ibu memang saya rasa sangat terharu akan kebaikan yang ada dalam diri anak-anak istimewa. Di sekolah juga anak saya sangat okay, tiada masalah bergaul dengan rakan-rakan. Cuma pemahaman pelajaran Hilal kurang dan akademi agak lemah.
“Saya bersyukur kerana walaupun kekurangan dari segi pembelajaran tetapi dia masih boleh faham. Sebagai ibu saya kadang-kadang takut apabila disleksia, autisme ini pemikiran ke belakang berbanding umur. Tetapi sebenarnya mereka faham cuma kita yang tidak faham mereka.
“Saya dulu ada pusat tuisyen yang diberi nama Akademi Pintas. Jadi, saya akan bawa anak-anak dan juga pelajar lain kerja- kerja sukarelawan ‘streetfeeding’ di Masjid Jamek bersama NGO Unggas. Hilal juga tidak ketinggalan sertai sekali program mulia ini,” ujar Noraiha akhiri perbualan.
Bersama keluarga tersayang yang banyak memberi sokongan kepada Hilal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dapat dinafikan perkembangan minda dan keperibadian anak-anak bermula dari pendidikan awal mereka. Mak ayah bertanggungjawab mencorakkan dua perkara penting ini semenjak dari rumah lagi. Nak anak pintar dan berperibadi tinggi ada tipsnya yang tersendiri.
Menurut perkongsian oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, ada 10 tip yang mak ayah boleh amalkan untuk mencapai hasrat ini.
Berikut antara yang dikongsikan oleh beliau;
Pendidikan awal kanak-kanak sangat dekat di hati saya sebab saya belajar kaunseling dan percaya perkembangan minda dan peribadi kanak-kanak itu bermula dari pendidikan awalnya.
Saya ingin kongsikan 10 tip untuk menjadikan anak lebih pintar dan berperibadi yang tinggi.
1. Jaga Pemakanan
Berikan makanan yang halal dan bernutrisi (toyyiban). Makanan yang natural dan dimasak sendiri. Galakkan mereka minum air mineral dan makan sayur/buah. Elakkan makanan yang mempunyai kalori yang tinggi (manis) seperti kek, coklat dan minuman dalam kotak.
2. Banyakkan Komunikasi
Banyaklah berkomunikasi dengan mereka. Bicara dengan penuh emosi. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan cara mereka. Bercakap dengan nada, mimik muka, ketawa dan suara-suara yang mencuit hati mereka.
3. Bermain Dengan Anak
Mereka ibarat anak-anak singa yang memerlukan pergerakan fizikal untuk menguatkan otot-otot tubuh mereka. Kita perlu pantau, dan bukan hanya berada di sisi. Memerhatikan keselamatan dan melihat perkembangan mereka. Mereka juga perlukan permainan minda. Soal jawab dengan mereka dan kita akan kagum dengan jawaban mereka. Kita bukan mahu jawaban yang betul, tetapi jawaban yang logik pada tahap pemikiran mereka.
Cuba bertanya “Kenapa kenapa kentut kita busuk?” Tentu kita dapat jawaban yang mencuit hati kita.
4. Nyanyi Bersama-Sama
Bernyanyi bersama mereka. Dalam perjalanan yang jauh bersama keluarga kita boleh nyanyi bersama-sama, sama ada lagu kanak-kanak, lagu nasyid atau lagu patriotik. Mereka pasti mengenangkan pengalaman ini apabila mereka dewasa.
“Lagu ini lagu kesukaan bapa saya. Kami pernah nyanyi bersama-sama dalam kereta. Itu saat manis yang saya ingat. Selepas itu ayah saya sentiasa sibuk dan tiada lagi masa untuk saya”
5. Ajar Anak Ilmu Baru
Bawa anak berjalan dan ajarkan ilmu baru. Ajak ke tepi rumah dan tunjukkan tumbuhan/haiwan kecil yang tidak pernah dia lihat. Berjalan di waktu malam, dan bertanyakan “mengapa bulan itu bulat?” Temani anak menonton TV. Bila anak menonton TV, luang masa bersama mereka walaupun hanya cerita kartun. Luangkan sedikit masa 10-15 min untuk melayan emosi mereka kita menonton.
6. Ucap Perkataan Yang Baik-Baik
Ucapkan perkataan yang baik-baik saja di hadapan mereka. Tegur mereka jika mereka menggunakan perkataan yang buruk. Selalu sebutkan perkataan “terima kasih, saya sayang awak” apabila dia melakukan perkara yang baik walaupun kecil. Ajar mereka dengan minta mengulangi perkataan baik depan kita.
7. Selalu Memeluk & Mencium Anak
Peluk dan cium mereka paling kurang sehari sekali. Apabila kita baru balik rumah dan mereka telah tidur, peluk dan cium mereka juga. Jadikan rutin hidup. Mulakan dari kecil. Anak yang sentiasa dipeluk dan dicium selalunya akan mengikut kata kita.
8. Dengar Rintihan & Beri Perhatian
Apabila mereka takut, kita dengar dan bantu. Tidak semua kanak-kanak akan memberikan respon yang serupa. Ada kanak-kanak yang menjadi kuat bila dibiarkan, ada kanak-kanak yang semakin lemah.
9. Kenal Pasti Kebolehan & Bakat
Perhatikan kebolehan anak dan apa bakat dan kekuatan dia. Ada anak yang cemerlang dalam akademik, ada yang cemerlang dalam kemahiran pertukangan, ada yang cemerlang dalam komunikasi, ada yang cemerlang dalam sukan. Jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita kita. Tetapi bantu anak memenuhi cita-cita mereka.
10. Perkenalkan Lebih Dari Satu Bahasa
Bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, french, Spain etc. Mereka mudah mengingat perkataan-perkataan itu. Otak mereka seperti sponge.
Yang terakhir selalu doakan anak untuk menjadi manusia yang terbaik. Baca doa depan mereka supaya mereka dapat dengar.
Kecerdasan anak-anak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik, tetapi cara kita mendidik mereka. Semoga bermanfaat dan kongsikan juga kepada ibu bapa yang lain.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...