Lega dapat tunaikan permintaan arwah emak. Sukarelawan urus jenazah Covid-19 hadapi detik sukar bila kebumikan ibu sendiri.
Ternyata bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan dengan kematian orang tersayang. Ibu yang melahirkan dan membesarkan kita pergi buat selamanya. Apatah lagi nyawa ibu yang disayangi diragut pandemik Covid-19.
Walaupun setiap hari berdepan dengan kematian orang lain, ianya tidak akan sama apabila kita sendiri kehilangan insan tersayang. Insan yang terlalu dekat iaitu ibu, pasti sangat menguji emosi sepanjang menguruskan jenazah emak tercinta.
Sukarelawan Urus Jenazah Covid-19
Meskipun sudah ‘lali’ menguruskan jenazah pesakit Covid-19 saban hari, namun menjadi hari berbeza dan sukar dilupakan Abdul Razak Nordin apabila perlu mengebumikan jenazah ibunya sendiri yang meninggal dunia akibat wabak itu.
Abdul Razak, 34, gagal menahan air matanya daripada tumpah sepanjang perjalanan membawa jenazah ibunya, Patimah Ibrahim, 68, dari hospital ke tanah perkuburan hingga dimasukkan ke dalam liang lahad.
Berat untuk melepaskan ibunya pergi, namun Abdul Razak reda dengan ketentuan Ilahi dan melakukan tugas mengebumikan jenazah demi menjalankan amanah bapa, Nordin Saeran, 70, dan enam adik-beradiknya yang tidak dapat hadir ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.
Detik SUKAR Kebumikan IBU Sendiri
Abdul Razak berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir di rumah dekat Seksyen 20, di sini, sekitar 11.30 malam kelmarin dan dia hanya dapat tahu mengenainya selepas dihubungi kakak ipar, Nabila Syahrain, 33.
“Abang (Zulkarnain Nordin, 41) kemudiannya bergegas membawa emak ke Hospital Shah Alam dan doktor mengesahkan kematian pada 4 pagi semalam dengan menyatakan puncanya adalah Covid-19 Pneumonia.
“Kira-kira 4 petang hari emak meninggal dunia, saya ada menghubunginya menerusi panggilan video dan nampak keadaannya yang lesu tetapi tak sangka arwah akan pergi serta disahkan positif Covid-19,” katanya.
Dapat Tunaikan Permintaannya
Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia kebetulan adalah salah seorang sukarelawan Pengurusan Jenazah Covid-19 (PJC-19) jadi mendapat kebenaran menguruskan jenazah ibunya dengan dibantu lima petugas lain.
Ads
Sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan, Abdul Razak tidak henti berdoa dan berzikir walaupun dalam keadaan berjuraian air mata.
“Arwah emak pernah menyatakan hasratnya dan harapan supaya anaknya dapat mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan seandainya meninggal dunia.
“Alhamdulillah, saya dapat tunaikan permintaannya malah berpeluang menatap wajahnya dan mengiringi perjalanan terakhirnya sebelum ke negeri abadi.
“Detik paling sebak dan buat saya ‘terduduk’ adalah ketika mahu memasukkan jenazah emak ke liang lahad kerana tahu itu kali terakhir dapat melihatnya,” katanya yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mula menjadi sukarelawan PJC-19 sejak dua minggu lalu.
Urusan Pengebumian Dipermudahkan
Abdul Razak berkata, biarpun bapa, adik-beradik dan ahli keluarga lain tidak dapat bersama, dia ada meminta bantuan salah seorang petugas sukarelawan yang juga rakannya untuk mengaktifkan mod siaran langsung di Facebook (Fb) untuk tontonan mereka.
Menurutnya, dia bersyukur kerana urusan pengebumian ibunya dipermudahkan dengan bantuan Jais, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hospital Shah Alam dan Pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang menyediakan kemudahan van jenazah untuk ke tanah perkuburan.
“Tidak lupa dan terima kasih juga kepada pihak yang menginfaq wang bagi membiayai kos pengurusan jenazah emak walaupun saya tidak tahu siapa gerangannya.
“Saya terima pemergian emak dengan reda kerana percaya Allah lebih menyayanginya lagipun arwah sudah lebih setahun tiada dua jari kaki kanan yang dipotong akibat diabetes.
Ads
“Disebabkan penyakit emak juga, saya berusaha membantu pasangan yang berhasrat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh pandemik dengan menjawab pertanyaan mereka di Twitter supaya Allah memudahkan urusan saya dan syukur apabila semalam, segala-galanya dipermudahkan.
“Diharap perkongsian saya ini menjadi asbab untuk kita semua ingat akan kematian, percaya Covid-19 benar dan berikhtiar melawannya dengan mengambil suntikan vaksin,” katanya.
Mingguan Wanita : Bila kita memudahkan urusan orang lain, insyallah Allah akan memudahkan urusan kita. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Bab didik anak, Hanis Zalikha tegas dalam lembut. Rasanya ramai yang mengetahui selebriti terkenal, Hanis Zalikha sering kali berkongsikan tips-tips tentang kehidupannya sebagai ibu kepada dua orang cahaya.
Malah ada yang menjadikan Hanis dan suami, Hairul Azreen sebagai inspirasi dalam mendidik anak-anak mereka iaitu Yusuf Iskandar, 6 dan Alisa Aisyah yang kini berusia tiga tahun.
Bab Didik Anak, Hanis Zalikha Tegas Dalam Lembut
Malah ada yang memuji betapa lembutnya Hanis melayan karenah anak-anaknya. Seperti mana yang dipetik menerusi Harian Metro, Hanis punya cara tersendiri mendidik anak-anak.
“Sekiranya kami ada menegur atau marah anak-anak, sebelum tidur kami akan berbincang balik apa kesalahan.
“Apa yang boleh diperbetulkan dan pendekatan bagaimana yang lebih sesuai.
“Ini bagi memastikan mereka mempelajari sesuatu daripada teguran itu.
“Jangan rasa saya ini lembut sangat sebab sebenarnya saya seorang yang tegas.
“Saya Tak Garang Tapi Tegas”
“Kalau saya kata tak boleh, maknanya memang tak boleh. Cuma cara saya cakap dengan nada yang tidak tinggi.
“Ada yang kata ‘lembutnya dengan anak-anak’, tapi sebenarnya bukan lembut.
“Saya tak garang tapi lebih tegas.
“Jika ingin menegur anak-anak yang melakukan kesalahan, memang kena tegas kerana kita ingin mendidik,” kata Hanis yang juga kini merupakan duta produk jenama Innersejuk.
“Keluarga Hanis & Hairul Sentiasa Jadi Inspirasi” Warganet
Menerusi komen beberapa hantaran di akaun Instagram Hanis Zalikha, warganet memberikan komen yang positif terhadap keluarga yang sentiasa menjadi inspirasi orang ramai.
Emma & suami impikan anak ramai. Bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya memiliki zuriat merupakan perkara paling utama.
Jumlah anak kadangkala memainkan faktor utama dalam kebahagiaan sesebuah mahligai. Anak juga merupakan pengukuh ikatan kasih sayang suami isteri.
Seperti mana pasangan berkahwin lain, pelakon popular Emma Maembong dan suami juga mengimpikan zuriat yang ramai. Sewaktu bertemu dengan Emma di Majlis Pelancaran Koleksi Percutian Stylish dan Versatil RR Cruise, Emma akui dia dan suami mengimpikan memiliki anak yang ramai.
Emma & Suami Impikan Anak Ramai
Emma dan suaminya Muhammad Shazli Azhar kini menjalani kehidupan yang indah bersama cahaya mata kesayangan Shariq Gabriel, 2 tahun.
Wanita berusia 30 tahun itu menjelaskan, bagi menambah cahaya mata dia dan suami sememangnya berusaha untuk dapatkan anak kedua.
“Bukan saja saya, tapi suami pun nak anak ramai. Selepas berpantang ketika bersalin anak pertama, saya dan suami berusaha untuk dapatkan anak kedua. Tapi soal rezeki hanya Allah yang tahu
“Anak sulung pun dah berusia dua tahun sekarang. Selagi belum ada (hamil lagi), saya tak nak cakap apa-apa,” luahnya.
Bakal Kongsi Khabar Gembira Jika Ada
Emma juga menjawab khabar angin yang mendakwa dirinya kini sedang berbadan dua. Dia turut menyatakan akan berkongsi khabar gembira sekiranya perkara itu benar-benar terjadi.
“Saya tak nak cakap apa-apa sebab saya dan suami pun masih mencuba. Kalau saya kata ya, tapi tidak ada (hamil), saya akan sakit.
“Soal zuriat ni adalah perkara yang sensitif. Doakan semoga segalanya dipermudahkan,” ceritanya.
Terlalu Pantas Masa Berlalu
Menyentuh tentang anaknya, Emma juga ingin memberi tumpuan kepada pembesaran anaknya. Malah dia juga tidak mahu terburu-buru kembali bekerja sehingga terlepas momen indah bersama anaknya.
“Tak semua tawaran saya terima. Pada fasa sekarang saya memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Saya tidak mahu kehilangan momen indah bersama anak.
“Sebelum ini habis berpantang saya terus bekerja. Sedar-sedar anak dah panggil saya mama. Begitu cepat masa berlalu dan saya terlepas kenangan bersama anak,” sambungnya ceria.
Ada petua tertentu untuk memastikan bahan masakan seperti kunyit, halia, serai dan lengkuas, kekal segar serta tahan lebih lama. Bukan apa boleh dikatakan bahan-bahan masakan seperti kunyit, halia, serai dan lengkuas ini merupakan antara bahan penting yang mesti ada di dapur. Terutamanya jika kita gemar memasak menu seperti gulai,sup, masak lemak, rendang dan sebagainya.
Namun, kebiasaannya juga bahan-bahan ini kita gunakan hanya sedikit sahaja selebihnya disimpan di dalam peti sejuk dan selalunya bahan-bahan ini tidak tahan lama, ia mudah menjadi kering, busuk dan tak boleh digunakan lagi. Akibatnya, lebihan halia, lengkuas atau kunyit yang tidak habis digunakan ini akan dibazirkan begitu sahaja.
Perkara ini boleh diatasi sekiranya mengikut petua dan cara yang betul penyimpanannya. Malah kunyit, lengkuas, serai dan halia ini mampu boleh bertahan sehingga dua bulan, masih elok, segar serta masih boleh digunakan untuk sebagai bahan memasak dalam tempoh tersebut. Ikut petua ini.
Cara-Caranya:
1.Cuci bersih kunyit, lengkuas, serai dan halia.
2.Masukkan kunyit, lengkuas, serai dan halia yang masih segar ke dalam bekas bertutup yang berisi air.
3.Simpan dalam peti sejuk.
4.Pastikan air bersih ditukar tiga atau empat hari sekali, jangan biarkan sehingga air berlendir.
Selamat Mencuba!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.