Masa anak kecil dah tentulah dia akan tidur dengan kita. Apatah lagi anak yang menyusu badan. Kadang-kadang sampai lupa anak semakin membesar dan lupa untuk asingkan tempat tidur. Hinggakan anak sudah jadi terbiasa tidur dalam bilik mak ayah.

Sebenarnya, bila anak membesar, memang wajib untuk pisahkan bilik tidur. Takkan sampai besar masih tidur dengan mak ayah. Jangan begitu.

Memanglah pada awal maka ayah ajar anak tidur di bilik masing-masing akan timbul rasa risau, hinggakan waktu tengah malam pun mak akan tersedar dan meninjau anak mampu tidur lena atau tidak. Namun, bila dah biasa mak ayah tak perlu risau. Mereka pun seronok bila mempunyai bilik sendiri.

Kalau mak ayah rasa risau untuk asingkan tempat tidur anak-anak, bolehlah cuba praktikkan apa yang disarankan oleh Wan Nur Syakira ini. Memang betul, ada munasabah kita sebagai mak ayah kena buat begini.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Didik Anak Seawal Dari Dalam Kandungan, Ibu Hamil Mestilah Selalu Baca Al-Quran

Jangan Bebankan Tugas Didik Anak Pada Isteri Saja, Suami Kena Bertanggungjawab 

Info Lebih Menarik DI SINI

Tip Mudah Dan Praktikal Asingkan Tempat Tidur Anak

Mengasingkan tempat tidur ibu bapa dan anak sangat penting. Kenapa perlu asingkan tempat tidur anak dan ibu ayah?

1. Terlalu banyak kes pornografi, ketagihan seks, sumbang mahram, rogol berlaku disebabkan tempat tidur ibu ayah dan anak-anak tidak diasingkan.

2. Menjaga pandangan anak dan menjaga aurat ibu bapa dan anak.

IKLAN

3. Besar kemungkinan anak melihat apa yang berlaku antara kedua ibu bapa mereka. Ibu bapa sangka mereka tidur. Lalu anak ada rasa ingin tahu dan mencuba lalu akhirnya terjebak. Memang ada kes begini! Bahkan memberi kesan buruk pada emosi anak tersebut.

4. Mengajar anak tentang konsep privasi, rasa malu dan had antara ibu bapa dan anak-anak.

5. Menjaga keharmonian dan maruah setiap ahli keluarga. Islam sendiri memberi panduan tentang pengasingan bilik tidur ibu bapa dan anak.

“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud).

Begitu juga perintah menjaga dan menundukkan pandangan. “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang boleh dilihat….”(Surah An-nur, ayat 30-31)

Tak Boleh Biasakan

Pandangan anak perlu dijaga dan dielak daripada terlihat aurat dan hubungan kelamin ibu bapa. Kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas tidak boleh dibiasakan selesa tidur dengan ibu bapa.

IKLAN

Ramai ibu bapa rasa tidak sampai hati dan kasihan serta merasakan waktu tidur adalah waktu yang mampu merapatkan hubungan anak dan ibu bapa.

Menurut pakar psikologi, hubungan antara ibu ayah dan anak-anak akan lebih terjalin erat dan rapat ketika waktu jaga, iaitu waktu bermain dan meluangkan masa bersama serta berkomunikasi dua hala.

Jadi, tidak ada isu hubungan jadi renggang apabila berpisah tempat tidur. Setelah kanak-kanak bercerai susu, kanak-kanak ini sudah boleh disediakan dan dilatih untuk tidur di bilik sendiri secara berperingkat. Bermula berpisah tilam meskipun di bilik yang sama sehinggalah berpisah bilik tidur dengan ibu bapa.

Memisahkan tempat tidur adalah proses yang agak memenatkan dan meletihkan kerana ianya proses, bukan buat sekali, terus jadi.

Proses yang mengambil masa dan komitmen ibu bapa serta anak itu sendiri. Tidak mengapa, bersusah dahulu, bersenang kemudian. Emosi dan fizikal anak perlu disediakan dengan baik agar proses ini menjadi lancar tidak menimbulkan gangguan emosi dan trauma kepada anak.

Ia sangat berkait dengan persediaan emosi (boleh berdikari), kognitif (boleh memahami konsep perasaan malu dan ruang privasi) dan fizikal anak ( sudah lulus toilet training). Banyak manfaatnya jika anak diasingkan tempat tidur dari ibu ayah dari usia awal, antaranya anak menjadi lebih berdikari, bergantung pada diri sendiri dan berani.

IKLAN

Anak juga akan mempunyai rasa tanggungjawab apabila mempunyai ruang peribadi dari segi kebersihan, penjagaan dan disiplin.

Jika ibu bapa tidak mampu menyediakan rumah yang mempunyai 3 bilik tidur , sekurang-kurangnya kita mengehadkan ruang ibu bapa kepada anak-anak dalam 3 masa berikut; iaitu sebelum Subuh, tengahari, dan selepas Isya seperti saranan dalam firman Allah SWT dalam Surah an-Nur: 58 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya…”)

Ajar Adab Minta Izin Masuk Bilik Mak Ayah

Setelah anak-anak sudah diasingkan tempat tidur, mereka perlu diajar tentang adab minta izin masuk bilik ibu bapa.
Mak ayah harus tunjukkan satu persatu apa perlu dibuat dan beritahu anak caranya.

a) Ketuk pintu bilik ahli keluarga dengan ketukan sederhana. Mak ayah tunjukkan macam mana cara ketuk. Jangan diketuk terlalu kuat, mak ayah berikan bantuan fizikal ketika mengajar. Pegang tangan anak-anak, kepalkan dan ketuk. Pesan kepada anak-anak, jangan pukul pintu ini, nanti terkejut orang dalam bilik.
b) Berikan salam meskipun nak masuk bilik sahaja. Tanya ‘boleh saya nak masuk’. Bila ahli keluarga memberi keizinan, barulah anak-anak boleh masuk ke dalam bilik tersebut. Jaga dan didik anak-anak kita dari sekarang.

Jom sama-sama cakna mak ayah!

MW: Memang awla-awla mak ayah rasa risau, tapi lama-kelamaan ia menjadi biasa dan anak pun seronok bila dah ada bilik sendiri.

Sumber: Wan Nur Syakira
#pendidikanseksualitibermuladarirumah

Sumber: Wan Nur Syakira

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI