Bertuahnya seorang isteri, apabila mempunyai suami yang benar-benar faham dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mencukupkan urusan nafkah dan duit belanja untuk isteri serta perbelanjaan keluarga.
Duit belanja juga merupakan satu keperluan dan nilainya mengikut kemampuan namun sering dipandang remeh oleh pihak suami. Apatah lagi, sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Pesanan buat para suami, berusahalah beri duit belanja kepada isteri dan keluarga.Jemput baca perkongsian mengenai duit belanja daripada Dr Ahmad Zakimi Abdullah ini sebagai panduan;
“Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.”
Biasanya aku akan menghantar whatsapp begitu jika aku siap dulu ke tempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.
Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Alquran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja.
Tanggungjawab Suami
Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga. Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.
Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.
Ads
“Abang, takyah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,” ujar isteri.
“Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit ita,” balas aku.
Duit Isteri Belanja Diri Sendiri
Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga.
Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya,“Eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit lak.”
“Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,”balasku. Itu selalu akan aku jawab.
Ads
Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.
Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.
“Alah, takde duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan”– aku bermonolog kadang-kadang.
Beri Ikut Kemampuan
Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Ikut kemampuan. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : Ayat 31)
Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.
Ads
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
(Surah al-Nisa’ ayat 34)
Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah.
Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.
Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan dan rujukan. Pesanan buat para suami, jika ingin rezeki melimpah ruah, berusahalah tunaikan nafkah dan keperluan buat isteri serta anak-anak. Jangan abaikan kepentingan beri duit belanja, tak kiralah berapa pun jumlahnya mengikut kemampuan diri.
Ibu ini, Syahirah Omar juga melalui pengalaman melancong ke luar negara bersama anak kecil dan anak istimewanya. Dikongsikan tip ibu ini mengharungi percutiannya itu sebagai panduan untuk mak ayah yang lain.
Harini aku nak kongsikan sedikit persediaan yang kau perlu buat kalau mahu travel ke luar negara bersama anak istimewa. Rasanya sesuai juga kalau kau gunakan untuk anak normal. Rasa unfair pula kalau kau tak ke mana mana bawa anak yang lain hanya kerana salah seorang anak kau istimewa.
Bila aku belek album lama, sungguh, tak ada satu pun gambar aku sebenarnya. Rasanya waktu tu aku dah mula depressed, jadi aku tak suka bergambar. Aku banyak ambil gambar pemandangan, dan anak-anak saja.
Sejujurnya, travel ke tempat orang dengan anak istimewa yang agak mencabar, dan bukan satu perkara yang indah indah belaka. Tapi, Wallahi. Masih banyak momen indah yang boleh kita kenang. Kalini aku kongsi yang jalan darat dulu la ya. Sebab atas flight tu cerita lain pula ok?
Disebabkan dah alang alang travel tu, kami pergi beberapa buah negara yang berhampiran. Kalau waktu bujang, memang seronok sangat sebab aku sendiri tak payah fikir nak bancuh susu, nak susukan anak, nak tukar diaper. Gambar yang aku kongsikan ni, waktu ni umur lana almost 5 years.
Kau mungkin rasa kenapa yer dia asyik dalam stroller je? Gambar ni waktu anak aku berjalan 10 minit pun dia dah lembikkan badan atas jalan raya. Dia boleh berjalan pegang tangan aku, dan tak naik stroller lagi pada usia hampir 6 tahun, dan masih berbotol susu sehingga 7 tahun. Memang mencabar sebenarnya nak train anak istimewa berbanding anak normal.
Oklah, kalau kau rasa nak travel, mungkin tips ini membantu. Jangan rasa terbeban nak ke sana ke sini dengan anak istimewa. Mereka pun berhak nak merasa semua tu. Percayalah, InsyaAllah semua momen tu ada saja disimpan kemas dalam memori mereka. Lana ingat almost everything sebenarnya.
Yang ni aku letak yang pertama, sebab ini tak ada tak membantu langsung sebenarnya. Jadi mak ayah ni, begitulah. Guru sabar yang terbaik memanglah anak anak kan? Banyakkan selawat bila kau rasa buntu perangai anak tantrum atau meltdown dan untuk hilangkan rasa risau. Allah pasti permudahkan urusan kau.
Berani ni pun kau kena ada. Kalau asyik dengar cakap-cakap manusia yang tak payah la pergi sana sini, membazir lah, anak-anak restless lah, tua-tua nanti pergi lah. Mak ayah anak istimewa pun memang berani orangnya kan? terlalu kuat untuk harungi apa apa. Jadi, tarik nafas dalam-dalam, kau dah istiqarah dan ada keputusan, booking saja tiket.
Sebagai mak ayah, perlu sama-sama support each other. tak boleh seorang saja yang urusakan semua. Komunikasi sangat penting untuk buatkan vacation ni sangat bermakna. Kalau rasa isteri tu bawa baju serupa nak pergi haji banyaknya, nasihat baik baik,” yang, kita beli saja baju kat sana kalau tak cukup. nanti basuh je pakai tangan jemur dekat heater,” contohlah.
Atau kalau suami asyik dengan handphone saja, kau nasihatlah dia pula, ” Bang, dengar cerita negara ni kalau abaikan keluarga, polis rampas Handphone, dan abang terus kena masuk lokap.” ok, saja aku buat propa. Ada anak istimewa, kau kena alert lebih sikit. Berhenti menyalahkan, cari solusi.
Sebelum nak kemana-mana negara yang kau pilih, kaji la dulu negara tu macam mana. Sesuai ke tidak nak bawa anak istimewa, mudah tak nak ke sana ke sini naik stroller, kalau naik train senang ke bawak stroller bagai.
*Tiket beli awal, jadi lebih murah.
*Hotel yang nak duduk tu, carilah yang murah, senang nak makan. Kebanyakkan aku duduk di hotel yang budget saja. Hotel rumah kedai, tapi review ok.
*Nak makan apa, kat mana nak makan. Pun semua kau kena study jarak perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Aku, memang bawa rice cooker kecil tu. beras, aku bawa sikit, selebihnya beli di sana. Bawa juga makanan macam brahim semua tu ( memang aku bawa banyak dari Malaysia).
*Biskut, roti, jem, bawa sikit saja. Aku beli di sana. Cari pisang bila sampai di pasaraya negara kau pergi tu. Pisang adalah penyelamat untuk kau kekal bertenaga nak uruskan anak-anak. macam kes aku, aku kenalah sorok pisang tu masa makan, sebab anak aku Lana akan termuntah dan tantrum bila nampak pisang.
* Flusk air panas, milk dispenser, botol susu, pencuci botol susu. Plastik untuk masukkan diaper selepas dah guna. Jangan jadi manusia tak bertamadun.
*Bawa bekalan ubat-ubatan yang cukup. Termometer, Voren supp, nose suction untuk sedut flu anak, ubat demam, koolfever, ubat batuk, ubat selsema, plaster, panadol, ubat arang atau pil chikiteon, sembelit, buasir. Kau mungkin cirit birit bila ke tempat orang. consult with your child’s physician.
Tanyalah pendapat apa lagi yang perlu dibawa. Oh ya, headphone untuk cover telinga anak kalau anak ada masalah hypersentive dengan bunyi.
Tapi jangan risau, sana pun ada je farmasi, cuma mahal sikit lah. Letakkan semua dalam 1 bag, masukkan dalam bag yang kau akan bawa ke mana mana. Labelkan semua ubat.
* Baju dan seluar extra anak+plastik untuk kecemasan. mana tahu dia muntah. Diaper yang secukupnya, kalau tak beli je di pasaraya atau farmasi.
* Pemilihan pakaian pun penting. Anak aku ada masalah sensory, ada baju yang dia takkan pakai, bawak material yang dia selesa saja. biar dia pilih sendiri baju sejuk atau jacket dia suka. Cuma, elakkan lah pergi tempat yang terlalu sejuk atau panas menggila. Elakkan juga peralihan musim, sebab akan kerap hujan tak tentu masa.
Ada sekali tu waktu di Netherlands, hujan tak renti renti. Fuhhh, kelat betul muka aku time tu, sebab kasut basah, anak anak lagi meragam. Elakkan la ya? Kalau pergi juga, bawalah ponco. Aku beli je kat sana. Kalau boleh pakai boot yang tapaknya berbunga supaya tak licin bila berjalan.
* Passport kau, duit ringgit, letakkan di dalam baju sejuk, bahagian depan baju, ada baju poket depan serupa doraemon lebih baik. Pickpocket dieorang selalunya bukan kaleng kaleng. Level mencuri dieorang memang power
*Baby wipes, bekas air mineral kecil yang jenis boleh dilipat, kau standby juga. Ada toilet kau tak boleh nak basuh kencing pun macam malaysia. air tu, senang kau nak wudhu anggota penting.
* Toys, buku cerita, pen, pensil warna, kertas yang baru, yang boleh buat anak teruja bila mood dia dah kelaut. Gadjet adalah alternatif terakhir.
* Tag nama dan nombor telifon di lengan anak, atau kad nama di dalam poket seluar anak. Pakaikan safety harness jika sukar nak kawal anak yang suka meloloskan diri.
* Sebaik saja kau sampai negara kau nak pergi, guna simkad negara kita lawati berbanding roaming. pastikan kita maklumkan pada family, jiran atau sahabat baik kita. kalau whatsapp tu boleh terus guna saja kan walaupun simkad lain.
* Bawa sunblock, lotion, pelembab bibir sebab kalau dah sejuk sangat tu mulalah gatal sana sini kulit kering kan.
* Bawa adaptor dan plug international. Plug negara luar tak sama dengan dalam negara kita. Ini memang penting.
* Duit, kad debit yang diaktifkan, kad kredit , yang secukupnya. Jangan boros tak tentu hala. Plan nak shopping apa, dan kalau ada yang jenis suka kirim barang tapi tak bayar tu, tak payah kawan dengan dia.
Semua ni mungkin banyak kena mengena dengan kau, tapi bila semua ni setel, mood kau ok, anak pun lebih tenang. Jangan lupa check passport kau mati ke belum, print semua tiket flight, hotel, dan rancang itinerari sebelum travel ke luar negara.
Setiap kali nak keluar dari bilik hotel, check semua barang keperluan anak, kita, ubat, mesti lengkap dalam bag.Payah la wey nak patah balik bagai. Bahagi la tugas antara kau dan pasangan. Saling mengingatkan ok?
Kalau sesuai nak drive, sewalah kereta. Pastikan kau ada lesen antarabangsa. Kalau sesuai naik train, naiklah train. check betul betul ada lift tak nak angkut stroller semua tu. Kalau payah sangat, naik sajalah teksi. Pastikan kau sangat jelas kat mana klinik atau hospital berhampiran supaya kau mudah decide nak naik pengangkutan apa.
Kalau naik bot ke apa ke kau kena fikir dulu anak sesuai ke tidak. Kenal pasti apa yang selalu trigger anak. Aku pernah sewa kereta, ini lebih santai dan tak stress. Elakkan ikut trip ramai-ramai orang supaya kau lebih fleksibel. Anak begini kau tak boleh jangka drama air mata dia.
Sediakan kad informasi dalam Bahasa Inggeris tentang kondisi anak. Kalau anak meltdown atau tantrum dalam flight, tengah alam, kau bagi saja orang sekeliling yang sedang memandang. Supaya mereka maklum sungguh. Kau pun tak sakit hati dipandang.
Explain pada anak, secara visual atau bercerita yang kau akan bawa dia ke sekian sekian tempat, apa yang dia akan jumpa dan sebagainya. Dan bila di negara kau nak pergi, explain juga itinerari pada setiap hari supaya dia lebih jelas.
Ini family trip, jadi tenang-tenang saja supaya kau dan anak-anak happy. Yang penting fleksibel mengikut situasi. Kalau ramalan cuaca kurang baik, dan mood anak pun kelaut, maybe boleh tukar itinerari pada hari tu.
Jadikan pengalaman bercuti ni momen paling indah buat keluarga. Jangan mahukan semuanya sempurna, pasti ada perkara yang tak dapat dielakkan berlaku ok?
“Ini kali pertama suami saya kantoi curang di belakang saya. Suami berjanji takkan ulangi lagi tapi saya rasa tertipu sangat. Perlukah saya berikan dia peluang?” – Soalan daripada salah seorang klien berusia 35 tahun. Merujuk persoalan, manusia bersalah, itu pasti. Manusia tersalah, itu juga satu kepastian yang tidak boleh dikeji.
Hanya dengan kemaafan, kesilapan boleh diterima sebagai air yang mengalir, sejuk dan mendamaikan, tidak lagi menyakitkan hati. Cuma, apakah hanya dengan memaafkan, peluang masih ada? Wajarkah peluang diberi?
Kebanyakan manusia mampu untuk memaafkan tetapi sukar untuk melupakan dan dalam masa yang sama tidak mampu lagi memberi peluang. Apakah sememangnya sekali tersalah, tiada lagi peluang untuk seseorang itu membuktikan dia telah berubah?
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Koreksi diri, setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam. Tika rasa mengantuk mendatang, kita di’mati’kan sementara dan di’hidup’kan semula awal pagi esoknya.
Walau ada yang ‘tidur’ terus kerana tidak dikembalikan-Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, sebagai pekerja atau majikan, sebagai jiran atau saudara malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada-Nya.
Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar untuk memberi peluang pada pasangan membuktikannya telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percayakan pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.
Ramai yang seakan terlupa, rakan anda manusia, musuh anda manusia, pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan.
Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan. Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama?
Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya? Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkanlah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Berapa Kali Patut Diberikan Peluang?
Sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan reda dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja.
** Artikel ini dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan RESIPI HIDUP dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak ayah, jangan takut untuk beli barang buatan Malaysia. Ini kerana, banyak produk tempatan sudah mencapai standard kualiti malah lebih baik sehingga tembusi pasaran import.
Inisiatif Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) yang dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 2 November lalu banyak memberi kelebihan kepada pengguna. Tentunya manfaat ini pengguna peroleh dari segi kualiti produk malah penjimatan harga barangan.
Ini senarainya kenapa mak ayah takkan rugi bila membeli barang buatan tempatan. Sila hadamkan.
Sebenarnya mak ayah, produk tempatan ini harganya jauh lebih murah berbanding barangan import. Pengguna yang bijak akan berusaha untuk memastikan jumlah perbelanjaan dapur dalam kadar yang menguntungkan seisi rumah. Jadi, kenapa perlu mengeluarkan wang lebih untuk barangan yang sama kualitinya.
Menerusi KBBM ini, pasar raya besar (hypermarket), pasar raya (supermarket), kedai serbaneka (convenient store) dan kedai-kedai serbaneka di stesen minyak serta di 304 kedai Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat (i-keep) terlibat dalam kempen ini.
Tentunya, mak ayah boleh membuat belian produk tempatan di lokasi jualan yang disenaraikan di atas dengan harga jauh lebih murah malah berkualiti.
Pembelian produk tempatan secara atas talian pun salah satu pilihan yang boleh mak ayah buat. Tentunya promosi dan diskaun jualan inilah yang mak ayah nanti-nantikan. Sekaligus, pilihan inilah yang menjimatkan duit belanja dapur mak ayah.
Sesetengah pasaraya, mereka mempunyai produk ’house brand’ mereka sendiri. Yang mana, harganya boleh jadi lebih murah 5 ke 20 peratus dari jenama lain.
Jika dalam sebulan itu, mak ayah berbelanja dengan pengurangan 20 peratus daripada sebelumnya. Dalam tempoh beberapa bulan, mak ayah boleh buat simpanan untuk aktiviti lain misalnya percutian keluarga.
Bawa keluarga bercuti ke lokasi menarik dalam negara pun satu langkah penjimatan dan pilihan yang bijak. Ini kerana, dalam masa yang sama mak ayah berjaya membantu ekonomi pengusaha tempatan.
Sedar atau tak, apabila mak ayah membeli produk tempatan, tindakan ini sebenarnya salah satu usaha menyokong pembangunan ekonomi usahawan kecil dan sederhana di negara kita.
Jadi industri IKS (Industri Kecil Dan Sederhana) boleh berkembang lebih maju dengan sokongan mak ayah. Maka, semakin banyak penghasilan produk kualiti yang mana akhirnya pengguna akan menikmati keuntungannya.
Dari semasa ke semasa kerajaan dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan yang lain sentiasa menggiatkan lebih banyak ekspo jualan KBBM di seluruh negara. Misinya untuk memasarkan produk tempatan untuk menembusi ke pasaran luar negara yang berpotensi seperti Jepun, Dubai dan China.
Penghasilan produk ’house brand’ dari sesetengah peruncit sebenarnya menguntungkan mak ayah semasa berbelanja. Selain harga lebih murah, kualiti produk sama seperti produk lain yang ada di pasaran.
Malah, ini juga antara faktor penurunan harga barang. Yang mana, penghasilan produk ‘house brand’ ini tak memerlukan kos pengiklanan atau pemulangan semula produk.
Kelima : Mak Ayah Tunjukkan Semangat Cintakan Negara Dalam Diri Anak-anak
Sebenarnya anak-anak nampak apa yang mak ayah pilih mahupun berbelanja untuk mereka. Terapkan dalam minda anak-anak bahawa produk tempatan yang dihasilkan oleh orang tempatan itu sendiri berkualiti baik.
Tanda sokongan inilah yang akan gerakkan hati seisi rumah untuk lebih menghargai produk keluaran negaranya sendiri.
Apabila tak berbangga dengan produk luar, mak ayah sebenarnya mendidik satu keluarga cintakan negara. Bolehlah mulakan langkah membeli produk tempatan yang ada di pasaraya tempatan, atau berbelanja produk tempatan atas talian dengan tawaran harga yang lebih murah.
Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dah wujud sejak tahun 1984 lagi. Tahun 2009, berlaku krisis kewangan global, jadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kembali lancarkan kempen ini dengan penjenamaan semula.
Usaha ini untuk galakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia sekaligus membantu usahawan tempatan hadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada waktu itu.
Menjelang tahun 2020 ini tentunya cabarannya lebih hebat lagi. KBBM ini antara inisitif yang dapat membantu usahawan tempatan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
Peningkatan pembelian produk PKS di kalangan pengguna ini sebenarnya akan membantu merancakkan dan merangsang kembali pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Jadi, mak ayah bertindaklah bijak dan teruskan menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia ya.
#barangbaikbarangkita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Siapa sangka, niat seorang pensyarah untuk mengadakan majlis akikah dan sambutan hari lahir cucu tidak kesampaian apabila mangsa meninggal dunia dalam kemalangan.