Sebelum pergi, arwah ada luahkan yang dia takut tak sempat minta maaf. Walaupun sedih, ibu ini redha satu-satunya anak meninggal dunia.
Sebelum itu, gadis ini telah ditidurkan kerana penyakit lain. Setelah beransur pulih, dia dijangkiti Covid-19 pula, yang akhirnya meragut nyawa.
Ibu Redha Satu-Satunya Anak Meninggal Dunia
Selepas tiga minggu anaknya ‘ditidurkan’ akibat menghidap tibi, Azrinatul Abdul Rahman sama sekali tidak menyangka anaknya itu berdepan ujian lagi apabila disahkan dijangkiti Covid-19.
Mengakui malang tidak berbau, Azrinatul reda apabila anak tunggalnya itu, Nurul Atikah Kushaimi, 19, akhirnya pergi jua menghadap Ilahi, kira-kira 2 pagi, kelmarin.
Nurul Atikah Kushaimi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Banting, berikutan jangkitan Covid-19 yang sudah memasuki kategori empat.
Akibat Penyakit Tibi
Menurut Azrinatul, anaknya telah dimasukkan ke hospital 12 Jun lalu akibat penyakit tibi berikutan jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa ‘ditidurkan’ selama tiga minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun, katanya, selepas sedar dan semakin beransur pulih, malang menimpa arwah anaknya itu apabila disahkan positif Covid-19 Rabu lalu kerana ada pesakit di hospital berkenaan dijangkiti virus itu.
Turut Disahkan Positif
Lebih malang lagi, dia juga disahkan positif Covid-19 keesokannya dan tidak sempat menatap wajah anaknya itu buat kali terakhir.
“Sepanjang arwah di hospital sebelum disahkan positif Covid-19, saya sentiasa berada di sampingnya, menjaga apa saja keperluannya.
“Sehinggalah arwah terpaksa dipindahkan ke wad pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat, segala-galanya berubah kembali.
“Sedih mengenangkan apa yang berlaku, namun saya reda semua ini sebagai ketetapan takdir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ads
Menceritakan detik akhir bersama anaknya yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu, Azrinatul berkata, selepas disahkan positif Covid-19, arwah sugul serta tidak lalu makan meskipun dibawakan makanan yang dimintanya.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat arwah anaknya itu Khamis lalu untuk menghantar makanan dan bertanyakan khabar menerusi WhatsApp walaupun tidak dapat bercakap secara bersemuka.
Katanya, selepas dia juga disahkan positif Covid-19, suaminya, Kushaimi Abdul Halim, 50, menggantikan tempatnya menghantar makanan kepada arwah, namun ketika itu keadaan anaknya sudah semakin lemah.
“Arwah sentiasa bertanya (berhubung melalui telefon) bila saya nak datang melawat dia di hospital. Arwah kata dia takut dan sempat meminta maaf dengan saya.
“Sebagai ibu, saya berusaha sedapkan hati arwah, beritahu yang dia akan sembuh dan nanti akan pulang ke rumah.
“Kehilangan arwah cukup besar buat kami sekeluarga kerana dia anak tunggal, apa pun saya terima ini sebagai ketentuan Allah SWT,” katanya.
Tak Mampu Tahan Sebak
Ketika menceritakan keperibadian arwah Nurul Atikah, Azlinatul tidak dapat menahan sebak memikirkan anaknya jarang jatuh sakit serta personalitinya yang ceria dan suka bergurau.
Dia yang kini menjalani kuarantin di rumah berkata, arwah sangat menggemari aktiviti lasak yang mendorongnya menyertai pasukan APM di Putrajaya.
Ads
“Ketika mula-mula diterima menyertai APM, arwah sangat gembira dan bersemangat dalam menjalankan tugasnya.
“Alhamdulillah… pegawai dan rakan arwah di APM banyak membantu kami menguruskan pengebumian jenazah arwah semalam. Kami sekeluarga sangat hargai,” katanya.
Mingguan Wanita : Setiap hari ada saja berita kematian yang melibatkan pesakit Covid-19. Al-Fatihah buat kesemua korban pesakit Covid-19. Al-Fatihah.
Azabnya kesengsaraan fizikal yang ditanggung oleh anak kecil ini sebelum meninggal dunia akibat hilangya sifat perikemanusiaan seorang manusia.Dipukul dengan objek tumpul sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus, itu penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak 6 tahun, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, sehingga menemui ajal akibat disyaki didera oleh teman lelaki ibunya, kelmarin.
Terbongkar Selepas Bedah Siasat
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar menjalankan bedah siasat ke atas jenazah kanak-kanak malang itu, semalam. Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan.
“Mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius, selain ususnya pecah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini.
Azisman berkata mangsa telah meninggal dunia pada 4 pagi Rabu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu. Beliau berkata susulan kematian Mohamad Rayyan, polis telah menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya yang berusia 26 tahun.
“Suspek serta ibu mangsa ditahan petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dan kebanyakannya membabitkan curi motosikal,” katanya.
Azisman berkata, polis telah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu ke atas pasangan itu bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ditemui Sihat Bulan Lalu
Sementara itu, bapa mangsa, Hairil Khan Azali, 32, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak saudaranya pada Rabu.
“Rayyan dibawa ke hospital pada malam Selasa dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
“Saya hanya mengetahui dia dipercayai didera selepas laporan forensik yang dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah pada 8 malam, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hairil berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya sekitar bulan lalu dan ketika itu keadaannya masih sihat.
“Saya berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu. Saya kerap berjumpa dengan Rayyan sebelum ini kerana dia tinggal dengan bekas mentua di Kampung Abi, di sini.
“Namun, sebulan lalu saya tidak dapat berjumpa dengannya selepas bekas isteri membawa Rayyan keluar dan tinggal dengan kekasihnya.
“Tetapi saya tak tahu di mana mereka tinggal kerana bekas mentua saya pun tidak dimaklumkan,” katanya.
Menurutnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan tengah malam tadi Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim.
Semoga anak kecil ini dicucuri rahmat dan berbahagia disyurga hendaknya. Pesanan buat para wanita mahupun mak-mak, jangan sesekali sanggup ‘korbankan’ anak, pejamkan mata yang berlaku demi cinta buta. Anak kecil seharusnya disayangi dan dilindungi bukannya dijadikan tempat melepaskan segala amarah dan rasa benci.
Zaman sekarang ni smartphone atau telefon pintar boleh dikatakan bagai satu kemestian. Baik suami isteri, anak-anak memiliki smartphone ini dan ralit menggunakannya setiap masa setiap hari. Secara tidak langsung, sebenarnya ia mampu menjarakkan hubungan dan kurangkan komunikasi serta perhatian diantara mak ayah dan anak-anak. Mak ayah sebenarnya boleh hadkan penggunaan smartphone, seperti yang dilakukan pasangan suami isteri ini.
Berikut merupakan perkongsian oleh Mawaddah MN sebagai panduan;
Saya dan suami sedang menjalani terapi di rumah yang sedang kami aturkan sendiri. Sudah seminggu menempuhi jadual baru kehidupan. Jam 6.00 petang hingga 11.00 malam, hidup tanpa smartphone. Dilarang memegang smartphone walau dengan apa jua alasan. Baca facebook, buat posting baru dalam facebook, baca berita, cari bahan, tengok video ceramah, business online dan membaca serta membalas whatsapp. Semuanya dilarang sama sekali!
6 Petang Fokus Aktiviti Anak-Anak
Jam 6 petang adalah waktu puncak anak-anak bersedia untuk mandi dan bersedia untuk memulakan aktiviti malam seperti solat berjemaah, baca iqra’ atau al-Quran dan menyiapkan kerja sekolah. Kami ibu bapa wajib memberikan fokus 200% kepada aktiviti anak-anak.
Penggunaan smartphone termasuklah handphone, tablet, iphone dan sebagainya walaupun dengan alasan yang dianggap penting seperti menyiapkan tugasan kerja atau menjawab whatsapp dan telegram untuk business online misalnya, ianya mengganggu kosentrasi tanggung jawab ibu atau ayah di rumah. Kadangkala, membaca berita itu tidak sempat di waktu siang. Saat tiba di rumahlah, tangan kami mencapai handphone lalu dibaca satu demi satu berita mutakhir hari ini.
Tetapi terlupa bahawa anak-anak di rumah perlukan perhatian mama dan baba, ummi dan abi, ibu dan daddy atau mommy dan papa. Ralitnya ibu bapa mengadap handphone ketika baru sahaja tiba di rumah akan membentuk satu perasaan tidak berpuas hati di kalangan anak-anak kerana perhatian kepada mereka sudah jatuh nombor 3. Pertama handphone, kedua handphone, ketiga barulah mereka.
Oleh yang demikian, langkah ini diharapkan menjadi titik tolak kepada perubahan hidup yang lebih berkualiti. Waktu selepas Maghrib, saya dan suami 200% akan bersama anak-anak. Kadang-kadang keluar makan bersama tanpa membawa handphone. Saya pula tinggalkan handphone saya terus di rumah. Bye bye selphie dengan anak-anak. Good bye snap photo makanan dan hidangan. Cukuplah satu handphone dibawa oleh suami sebagai persediaan sebarang hal kecemasan.
11 Malam Baru Periksa Handphone
Selepas jam 11 malam, barulah kami boleh memeriksa segala macam aplikasi termasuklah fb, instagram, whatsapp dan menziarahi laman-laman website yang diwajibkan baca bagi mengetahui berita dan isu negara terkini.
Memandangkan masa sudah di penghujung malam, biasanya hanya sekejap saja kami melakukan aktiviti itu kerana pastinya sudah kepenatan seharian bekerja dan melayan kerenah anak-anak. Sesekali saya terlelap ketika menaip kisah untuk dibuat post di facebook. Mujurlah ada ruang pagi keesokan harinya yang agak panjang sebelum ke sekolah untuk menulis ketika anak-anak sekolah rendah kesemuanya sudah ke sekolah.
Saya menulis pada waktu malam sedikit, kemudian menyambung kisah atau coretan itu di awal pagi keesokan harinya. Waktu sebelum Subuh atau sebaik sahaja menyempurnakan Solat Subuh adalah waktu yang sangat segar untuk menulis (saya guru sesi petang). Namun, saya tidak boleh berlama-lama kerana perlu menyiapkan anakanda ke sekolah PASTI pula.
Aktiviti menulis saya bukanlah penting sangat. Tetapi saya memilih menulis di facebook sebagai medium pengantara saya dengan rakan-rakan dan masyarakat. Ia juga merupakan medan dakwah yang boleh saya manfaatkan. Paling utama, supaya saya mempunyai aktiviti sosial yang bagi menghilangkan tekanan di tempat kerja yang semakin mengasak dari hari ke hari. Saya tidak mahu tekanan di tempat kerja merosakkan mood dan emosi serta pemikiran positif yang selalu saya terapkan selama ini. Saya menerimanya sebagai cabaran yang wajib ditempuhi sebagai satu pengalaman hidup yang manis untuk dikenang di hari tua. (Itupun kalau sempatlah)
Dunia ini terlalu pantas menerima kemajuan dan kecanggihan. Pun begitu, manusia mempunyai hak menyusun atur hidup ini supaya tidak menjadi mangsa kehidupan di era manusia sudah semakin hilang pertimbangannya.
Doakan perubahan jadual ini akan menjamin kualiti hidup kami sekeluarga.
Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah diri mereka sendiri.” QS 13:11
*Minggu pertama terapi ini, ada juga lompongnya. Bunyi whatsapp masuk dan notification fb menggugat keimanan jua. Ada juga terbabas jawab sebab terlupa. Selepas ni saya perlu silentkan semuanya sebagai langkah berhati-hati di fasa permulaan mengubah kualitu hidup ke arah yang lebih baik.
(Saya memberi keizinan kepada semua untuk share andai ia boleh menyebarkan manfaat.)
Semoga bermanfaat dan boleh dijadikan panduan buat mak ayah yang lain.
Pelakon popular era 1980-an, Datin Maria Arshad, 65, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta selepas mengalami masalah kekejangan badan.
Menantunya, iaitu penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah atau Shiera berkata, ibu mentuanya berada dalam keadaan separuh sedar.
“Pada mulanya, Mama sakit urat pada bahagian belakang badan, Selasa lalu. Suami, Ijoy Azhari bawa ke hospital. Namun, doktor beritahu tiada penyakit serius.
“Ibu mentua mengadu sakit belakang yang melarat ke tangan hingga jadi lemah dan sukar diangkat.
“Keesokannya, iaitu kelmarin, adik ipar bawa Mama ke hospital sekali lagi. Apabila diambil darah, semuanya okay.Tiada darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang semua baik.
“Jadi, ketika itu, doktor beri ubat tahan sakit dan koyok untuk kurangkan kesakitan,” katanya.
Bagaimanapun, Shiera berkata, keadaan Maria atau nama sebenar, Kamariah Arshad makin teruk pada sebelah malamnya apabila muntah-muntah hingga kejang otot akibat menahan sakit.
“Selepas dijangkiti COVID-19, kira-kira dua tahun lalu, berat badan Mama turun. Tetapi beliau tiada penyakit selain mengalami masalah kurang garam dalam badan.
“Malam tadi, sebelum muntah dan kejang, Mama gelisah dan serba tidak kena. Sekejap duduk, berdiri serta berjalan ke depan dan belakang.
“Mama beritahu dia sangat sakit. Tidak tahu apa yang hendak dibuat, kami buat bacaan Yasin untuk Mama. Tidak lama selepas itu, beliau alami kekejangan dan saya terus minta anak hubungi ambulans,” katanya.
Shiera memuat naik perkembangan ibu mentuanya dari semasa ke semasa
Shiera berkata, sehingga hari ini doktor masih belum menemui punca penyakit Maria yang pernah membintangi filem Langit Tidak Selalu Cerah itu.
“Sekarang Mama berada dalam keadaan separuh sedar, matanya terbuka tapi dia tidak berikan apa-apa tindak balas.
“Doktor hendak jalankan beberapa ujian lagi. Sementara Mama tidak agresif seperti sebelum dimasukkan ke ICU, kami minta doktor lakukan apa yang terbaik.
“Saya mohon kepada semua supaya tolonglah doakan Mama kembali pulih,” katanya.
Melalui perkongsian Shiera hari ini, dia memaklumkan perkembangan positif ibu mentuanya.
“Maria Arshad dah senyum ‘guys’. Yang penting doa semua orang. Alhamdulillah terima kasih yang tak terhingga,” Shiera
“Maria Arshad dah senyum!”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar...