Lumrah dalam perkahwinan, pastinya ada dilambung badai apatah lagi usia perkahwinan yang masih muda. Tidak ada angin dan ribut, pelakon dan pengacara terkenal, Zulin Aziz mengejutkan peminat dan pengikutnya di akaun Instagram dengan berkongsi hantaran mengenai status rumah tangganya.
Dalam hantaran yang dikongsikan Zulin memberi bayangan rumah tangganya dengan Farhan Norzaini yang berusia 14 bulan seperti tidak dapat dipertahankan lagi.
Bersama sekeping foto pernikan mereka pada 20 Februari 2022 itu, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz turut menulis kapsyen yang mencetus tanda tanya ramai.
“Mungkin sampai sini saja kisah kami. Tiada persefahaman.
“Semoga yang baik-baik untuk masa akan datang. InshaAllah,masa merawat semuanya.”
Nafi Untuk Content, Marketing, Prank
Dalam pada masa yang sama, Zulin juga menafikan yang tiada persefahaman dengan suami dan hantaran yang dikongsikan tersebut hanya sekadar content, marketing dan prank. Bagi pengacara ini perkara ini bukan mainan dan hanya orang gila sahaja yang melakukan sedemikian. Zulin juga menafikan ia gimik untuk tujuan pelancaran lagu mahupun produk.
Ads
Peminat Terkejut Perkongsian Zulin
Rata-rata pengikut Zulin terkejut dengan hantaran yang dibuat artis berkenaan.
Sebilangan besar daripada yang memberi komen mengharapkan perkara itu tidak benar dan mereka mendoakan yang terbaik buat rumah tangga Zulin dan Farhan.
Ads
Zulin, 34, dan Farhan, 36, disatukan sebagai suami isteri pada 20 Februari 2022 di Masjid Negara.
Pernikahan mereka berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Mingguan Wanita: Apa juga yang berlaku semoga dimudahkan segala urusan buat Zulin Aziz dan suami.Semoga dapat menyelasaikan segala pertelingkahan dengan baik, sekaligus mempertahankan perkahwinan yang baru dibina.
“Terima Kasih Abang, Nana Akan Jaga Buah Pinggang Ini Sebaik Mungkin”. Rasa bangga sebagai mak ayah dalam membesarkan anak-anak apabila adik beradik saling sayang menyayangi, rela membantu di kala susah dan sanggup berkorban di antara satu sama lain.
“Terima kasih abang sebab abang dermakan buah pinggang abang pada Nana. Nana akan jaga buah pinggang ini sebaik mungkin”
Demikian luahan hiba Maslyana Mohd Yusof, 34, yang lebih mesra disapa Nana selepas menerima buah pinggang yang didermakan abang kandung, Mohd Nazri, 37, melalui satu pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 April lalu.
Pesakit buah pinggang kronik tahap lima itu, kini seperti mendapatkan ‘kehidupan’ baharu dengan pengorbanan dan kasih sayang seorang abang yang tidak sanggup melihat adiknya menderita dan menjalani rawatan dialisis seumur hidupnya.
Lebih meruntun hati, niat murni Mohd Nazri yang mahu mendermakan buah pinggangnya kepada Nana tetap diteruskan selepas lelaki itu kembali pulih daripada menjalani pembedahan membuang tumor dalam jantungnya pada 2019.
Berkongsi kisahnya, Nana yang juga ibu tunggal kepada dua anak lelaki itu berkata, dia disahkan sebagai pesakit buah pinggang sejak Oktober 2017 ketika sedang hamil anak ketiganya.
Menurutnya, sebulan selepas itu, dia menjalani dialisis, namun bayinya meninggal dunia ketika kandungan berusia 21 minggu pada hari kedua dia menjalani rawatan berkenaan.
“Abang beritahu mahu mendermakan sebelah buah pinggangnya sejak 2018, demi masa depan saya dan anak. Jika saya menjalani pembedahan buah pinggang saya sudah tidak perlu menjalani dialisis dan dapat menjalani kehidupan normal.
“Kami kemudiannya menjalani beberapa prosedur dan pemeriksaan berkaitan dan dimaklumkan buah pinggang sepadan sepenuhnya seperti kembar seiras,” katanya yang menetap di Kampung Ladang Semabok, Melaka.
Bagaimanapun, dua beradik itu diuji apabila Mohd Nazri disahkan mempunyai tumor pada jantungnya sebelum lelaki itu menjalani pembedahan membuang tumor di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, selepas kembali pulih, abangnya tetap meneruskan niat mendermakan buah pinggang sebelum mereka menjalani pemeriksaan semula.
“Kami dimaklumkan pembedahan itu juga berisiko antaranya risiko kematian tiga peratus, pendarahan dan ada juga yang buat transplan buah pinggang tetapi organ itu tidak berfungsi pada penerima.
“Tetapi abang tetap teruskan niat murni dia yang membuatkan saya terharu sangat. Alhamdulillah, setakat ini keadaan kami baik dan doktor beritahu pembedahan itu amat berjaya tetapi saya masih perlu makan ubat anti penolakan untuk kekalkan penerimaan badan pada buah pinggang itu,” kata Penolong Guru Tabika Perpaduan itu.
Katanya, dia anak bongsu daripada tiga beradik dan hubungan mereka sangat rapat, malah dia turut mengakui pengorbanan abang kesayangannya itu membawa sinar baru dalam hidupnya dan anak.
“Saya menitiskan air mata ketika membuang air kecil dengan banyak selepas pembedahan itu kerana sebelum ini urin saya hanya setitik dua saja.
“Bacaan ‘creatinine’ saya menurun daripada 1,000 ke 68 dan semua makanan sudah boleh dimakan tanpa rasa takut selain saya juga boleh minum air lebih kerana sebelum ini hanya boleh minum 500 mililiter sehari.
“Terima kasih abang, kini buah pinggang kiri abang berada di pinggang kanan saya. Rezeki saya dapat abang dan keluarga yang sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nazri berkata, hatinya luluh setiap kali melihat keadaan adiknya yang lemah selepas membuat rawatan dialisis, malah terpaksa mengehadkan pergerakan serta menahan keinginan untuk minum dan makan setiap hari.
“Adik melakukan dialisis tiga kali seminggu dan selepas itu dia berasa tidak sihat dan akan rehat atau tidur hingga esok pagi sehingga adik tiada masa bersama anaknya dan keluarga.
“Saya juga mula mencari dan membaca maklumat berkaitan transplan buah pinggang dan mulanya adik tak mahu mungkin dia bimbang keadaan saya.
“Malah ibu dan kakak juga berbelah bahagi dengan hasrat itu kerana ia berisiko tetapi selepas dipujuk mereka menerimanya,” katanya.
Penolong pengurus sumber manusia itu berkata, tiada apa yang melegakannya apabila pembedahan berjalan dilakukan dan mengakui ia dilakukan atas kasih sayang seorang abang kerana Allah SWT.
“Kami tiga beradik memang rapat, ayah kami sudah meninggal dunia sejak saya berusia empat tahun dan kami memang selalu bersama jadi saya mahu buat sesuatu untuk adik supaya dia kembali sihat.
“Saya bersyukur pembedahan berjalan lancar dan awal daripada jangkaan kerana sebelum ini saya diberitahu saluran arteri (di bahagian buah pinggang) agak pendek dan mungkin mengambil lebih sedikit masa. Kami kini dalam proses pulih,” katanya.
Mingguan Wanita: Mulianya hati abang, sanggup berkorban demi masa depan dan kesihatan adik tersayang. Semoga adik beradik ini terus diberikan kesihatan yang baik.
Selalu perpisahan antara pasangan disebabkan oleh bekas mentua yang tidak suka dengan menantu. Begitu juga sebaliknya. Tak kurang juga bekas mentua terlalu cerewet , pasangan jenis ‘anak mak’ yang boleh menyebabkan rumahtangga tak bahagia.
Jangan terus beranggapan begitu sebab tak semua bekas mentua dan menantu begitu. Walaupun berlaku perpisahan antara suami isteri, hubungan dengan bekas mentua tetap baik seperti mak kandung sendiri.
Inilah bezanya dengan Nurul Ain Shuhaidah Othman, 33 tahun yang mempunyai hubungan baik dengan bekas mentua seperti yang dikongsikan olehnya.
Lebih selesa dipanggil dengan nama Yuen, dia menceritakan tentang kisah di sebalik video yang menunjukkan keakraban hubungan mereka walaupun sudah berpisah dengan suami lebih kurang tiga tahun lalu.
“Saya memang rapat dengan ibu mentua. Saya layan dia seperti mak kandung sendiri hinggakan sudah tidak ada rahsia antara kami. Dari mula saya berkahwin, dia jaga saya dengan baik dan dia jugalah yang jaga saya semasa berpantang anak pertama.
“Walaupun, sudah lama berpisah dengan suami, saya tidak pernah bermusuh atau putuskan hubungan silaturrahim sebab dia terlalu baik,” katanya.
.
Baru-baru ini, Yuen telah berongsi video di mana dia bersama bekas mentuanya keluar bersama anak-anak meluangkan masa bersama di pusat membeli belah.
Sepanjang 6 tahun perkahwinan, mereka memiliki dua orang cahaya mata.
Saya dan bekas suami masih lagi berhubung baik atas urusan anak-anak. Selama berpisah, saya selalu berjumpa dengan mentua untuk hantar dan ambil anak-anak.
.
“Sebelum ini, kami tidak pernah keluar bersama. Ada juga cakap rindu sebab lama tak jumpa. Mestilah rindu sebab rapat dan sering bertukar-tukar resipi masakan.
“Jadi, kami rancang keluar bersama. Tunaikan hajat dia untuk bawa cucubermain di plaground indoor dalam mall. Insya Allah lepas ini kami rancang untuk keluar bersama-sama sebulan sekali,” katanya lagi.
Apapun Yuen merasakan itu adalah rezeki dapat mentua macam mana.
.
“Kalau dapat yang tak berapa ok, kita buatlah sampai jadi baik. Kena belajar ambil hati, beralah dan bersabar. Orang tua ni, kalau kita tahu macam mana nak ambil hati, lama-lama ‘cair’ juga.
“Kenang jasa dan pengorbanan mereka juga. Anggap mereka seperti mak ayah kandung sendiri. Kita pun akan tua suatu hari nanti, mestilah nak dilayan menantu dengan baik,” katanya.
Mingguan Wanita : Alhamdulillah, rezeki dapat mentua yang baik. Moga hubungan berterusan.
STROK HABA, Suhu Badan Naik Mendadak Jangan Ambil Mudah Anak Mengadu Sakit Kepala! Berita kematian dua kanak-kanak masing-masing berumur 11 tahun dan setahun tujuh bulan di Bachok dan Kota Bahru, Kelantan, Selasa lalu, yang dikaitkan dengan strok haba, mengejutkan ramai pihak.
Ia dipercayai ada kaitan dengan cuaca panas berpanjangan yang dialami negara sehingga Ogos ini susulan peralihan monsun.MET Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan status cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga) suhu meningkat ke 35-37°C terutamanya di kawasan utara semenanjung.
Oleh yang demikian, diingatkan mak ayah jangan sesekali ambil mudah jika anak mengadu sakit kepala selepas bermain di taman. Muka si anak merah-merah, tangan kesejukan, rasa pening nak muntah. Ini mungkin tanda anak anda mengalami strok haba yang sangat bahaya kepada nyawa.
Punca strok haba yang sebenar adalah peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40 darjah celsius atau lebih tinggi lagi berbanding suhu badan individu normal hanya 37 darjah celcius.
Menurut ciapan pakar kesihatan awam, Dr Ahmad Samhan Awang di Twitter, kondisi itu dikenali sebagai hipertermia.
Strok haba bukan sahaja boleh berlaku kepada manusia tetapi juga kepada haiwan.
Golongan yang berisiko terkena strok haba ialah kanak-kanak, warga emas terutamanya yang mengalami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubatan.
Atlet terutamanya yang selalu berada di padang atau gelanggang terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari.
Pekerja yang bekerja di kawasan terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari, seperti petani, nelayan atau buruh kasar.
Individu yang berada di dalam kenderaan tertutup tanpa penyaman udara dalam tempoh masa yang agak lama.
– Suhu badan meningkat sehingga 40 darjah celsius atau lebih tinggi lagi
– ️Peluh keluar banyak
– ️Muka berubah merah
– ️Sakit kepala
– ️Mual-mual
– ️Muntah-muntah
– ️Rasa haus yang berlebihan
– ️Air kencing berwarna keruh
– Kekejangan otot pada kaki, lengan atau perut
– ️Jantung berdegup dengan lebih kencang
– ️Ruam merah timbul pada kulit
– ️Pengsan atau tidak sedarkan diri
– Pastikan rumah mempunyai aliran udara yang baik bagi mengelakkan anak tersedut karbon dioksida terlalu banyak.
– Laraskan suhu penyaman udara kepada 24°C kerana ia sudah mampu mengoptimumkan suhu badan kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas.
– Elakkan dari membiarkan anak tidur dengan berselimut.
– Sekiranya anak mengadu kepanasan, segera bantu anak untuk turunkan suhu dengan mengelap muka dan badan mereka dengan kain lap yang basah.
Mingguan Wanita: Semoga mak ayah lebih berjaga-jaga dan pantau tahap kesihatan anak-anak. Cuaca panas melampau ketika ini elakkan mereka terdedah dengan cahaya matahari dan sebaiknya duduk di dalam rumah sahaja.
Bermula sekadar gurauan meminta ‘budak pink’, Kae Rahman tidak menyangka suaminya benar-benar menghadiahkan e.MAS 5 selepas netizen memberikan lebih 98,000 tanda suka.