Wahai anak-anak, elajarlah menghargai mak ayah selagi mereka ada di sisi. Kelak Allah sudah ambilnya semula, cuma rasa rindu yang cuma jadi kenangan.
Andai pernah telan rasa kelat dalam hubungan, buang jauh-jauh dan maafkan. Mak ayah ini cuma pinjaman. Sampai masa, mereka akan pergi.
Untuk sampaikan rasa sayang dan menghargai selagi orang tua ada, cuba cukupkan mereka dari sudut yang saudara Muhammad Hassan kongsikan ini…
Bahagiakan Mak Ayah Dengan Cara Ini
Yang masih ada mak ayah. Pastikan:
1 keperluan dapur, bil air,bil eletrik disempurnakan oleh kita. Sekarang segala bil dah boleh buat pembayaran melalui online. Keperluan lain upah je runner beli beras,tong gas.
2 Usahakan bilik tidur mereka ada penghawa dingin. Tilam,selimut,cadar yang baru dan selesa.
Ads
3 Pastikan rumah tidak bocor terutama rumah kampung.
4 Pastikan kenderaan mereka selesa,ada penghawa dingin,brake yang baik,minyak hitam ditukar mengikut jadual.
5 Pastikan rumah mereka ada penapis air yang baik.
6 Pastikan mereka makan ubat mengikut jadual. Dan pastikan mereka tidak mengambil apa-apa supplement yang merugikan.m atau fake. Terutama rawatan-rawatan yang melibatkan peralatan.
Ads
7 Pastikan mereka tidak terlepas jadual temujanji dengan doktor di Hospital.
8 Jangan lupa untuk bertanya khabar mereka setiap hari, setiap minggu.
9 Jika mereka ada hutang berusaha untuk selesaikan hutang.
10 Pastikan dalam doa kita tidak terlepas nama mereka.
11 Tunaikan hajat mereka. Ada ibu bapa setiap tahun azam untuk tunai umrah. Ada ibu bapa setiap bulan nak ziarah anak-anak. Tunaikan.
12 Mohon maaf segala salah silap kita. Jangan sikit pun berdendam terhadap mereka. Jangan sikit pun sakiti hati mereka. Mereka syurga buat kita.
Tiada apa yang bernilai bagi mak ayah melainkan anak-anak yang soleh solehah,yang dapat mandikan jenazah mereka, yang dapat solatkan jenazah mereka. Yang dapat sedekahkan amal buat mereka.
Bahkan mendoakan mereka setiap masa. Paling kurang pun setiap kali selepas solat fardhu jangan lupa untuk mendoakan mereka. Moga syurga balasan buat mereka diatas penat lelah mendidik dan membesarkan kita.
AMIN.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pendedahan yang dikongsikan oleh peguam Roslina Sabiyah & Co. mengenai pengurusan harta pusaka oleh isteri yang kematian suami ini benar-benar memeranjatkan.
Maklumnya, beliau menerima lebih 100 kiriman soalan yang menunjukkan kebanyakan wanita masih tak terdedah dengan isu ‘tuntutan harta pusaka selepas suami meninggal’. Malah tak tahu cara betul tuntut harta pusaka arwah suami.
Jangan sampai ditendang ke sana sini umpama bola gara-gara tidak tahu prosedur yang betul menuntut harta pusaka suami yang dah meninggal. Jangan sampai maruah anda dipijak hanya kerana anda tak tahu nak membela dan mempertahankan hak anda sendiri!
Saya membelek senarai dokumen yang diserahkan seorang wanita yang baru setahun kematian suami. Saya perasan macam ada sesuatu yang tak kena. “Kamu dah uruskan insurans, akaun bank dan kereta ni semua?”
“Sudah puan.. saya sudah uruskan semuanya. Hampir 10 bulan saya uruskan tapi tak selesai-selesai lagi. Sekarang ini rumah pulak nak kena mohon. Urus pusaka memang macam ni ye puan? Saya dah penat..”
Saya menggeleng.. rasa terkilan sebab masih ramai wanita yang tak dapat maklumat yang lengkap untuk mengurus harta pusaka dengan betul.
“Boleh ceritakan apa urusan yang puan dah buat?” Tanya saya sekadar nak tahu sejauhmana laluan ‘berliku’ yang dah dilaluinya..
“Suami ada tinggalkan wang simpanan di bank. Saya pergi ke bank untuk keluarkan duit. Pihak bank suruh saya pergi ke Amanah Raya untuk dapatkan surat Arahan.”
“Saya pergi ke Amanah Raya. Pihak Amanah Raya pula suruh saya ke Mahkamah Syariah untuk mohon sijil faraid.”
“Saya ke Mahkamah Syariah pula untuk mohon sijil faraid. Dah dapat sijil faraid saya hantar ke Amanah Raya.”
“Saya pun dah ke JPJ untuk urusan yang sama. Dalam surat JPJ ada minta beberapa dokumen dan saya pilih untuk uruskan dengan Amanah Raya sahaja.”
Kalau dah berurusan di sana, kenapa baru sekarang puan nak jumpa peguam?
“Sebenarnya saya dah tanya ramai orang.. kat mana saya nak uruskan harta pusaka ni. Tapi jawapan mereka berbeza-beza.
“Ada yang suruh saya ke pejabat tanah. Jadi saya ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah suruh saya buat carian persendirian tanah tu di pejabat tanah negeri pula (sebab hakmilik tanah adalah HS.(D)).”
“Saya dah buat carian dan pergi semula ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah dah bagi saya borang permohonan pusaka..”
Kemudian? Kenapa tak teruskan permohonan? Tanya saya semakin tak sabar..
“Puan.. anak saya masih kecil. Suami cuma tinggalkan rumah ini sahaja untuk saya. Mak ayah mertua dah dapat pampasan insurans suami. Tak ada cara ke macamana saya boleh dapatkan rumah ini untuk saya dan anak? Sebab mak ayah mertua dah pernah bagitau.. rumah yang saya duduk ni atas nama anak mereka…“
Tak sempat habiskan ayat dia dah keluarkan sapu tangan dari dalam beg tangannya. Merambu air matanya.
Mungkin dah lama sangat dipendam apa yang terbuku di hati.. usianya masih muda tetapi wajahnya jelas menggambarkan raut keletihan.. saya yang mendengar cerita pun dapat rasakan betapa letihnya dia mengurus semua seorang diri.
“… jadi mereka pun nak tuntut juga hak mereka atas rumah tu. Mak ayah mertua saya bukan orang susah puan. Mereka orang berada.”
“Tapi sejak arwah hidup memang mak ayah mertua dan adik-beradik suami tak suka kami sebab kami bukan orang senang.”
“Dia tak pernah pelawa cucu dia sendiri makan di rumah dia puan. Bila suami meninggal, dia dulu yang tuntut insurans suami. Tak bagi pun kat anak saya.”
“Duit tu saya tak kisah sangat. Saya hanya nak rumah ini sahaja untuk tempat berteduh saya dan anak..”
Baru saya faham kenapa dia tak teruskan permohonan sendiri. Beliau rasa tak selamat untuk teruskan kerana ada isu yang beliau tak tau jalan penyelesaiannya.
“Puan tau tak, sebenarnya puan tak perlu pergi semua tempat tu. Jika arwah suami ada tinggalkan rumah atau tanah, puan sebenarnya hanya perlu mohon terus di unit pusaka kecil di pejabat tanah sahaja.”
“Perintah dari pejabat pusaka tu nanti boleh digunakan untuk keluarkan duit di bank dan tukar nama kereta di JPJ dan juga untuk tukar nama pemilik rumah dalam geran. Jimat masa dan tenaga. Tak perlu mohon faraid pun sebab di pejabat pusaka tu dah ada pegawai yang mahir kirakan faraid.”
Terkejut dia dengar saya bagitau macam tu. “Patutlah saya rasa macam orang bodoh je puan. Tak ada siapa pun yang bagi maklumat macam tu. Suruh ke sana saya ke sana. Suruh ke sini saya ke sini.
“Kadang rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Dahlah keluarga mertua langsung tak ambil kisah.. sekarang apa perlu saya buat puan?“ ada harapan dalam nada suaranya.
“Sebenarnya, urusan pusaka kecil ni puan boleh mohon sendiri. Tapi jika ada isu dengan waris-waris, puan kena lantik pihak ketiga sebagai orang tengah. Ini untuk memastikan, puan mendapat nasihat yang betul dan hak puan serta anak terbela.”
Walaupun bahagian puan di atas rumah tu hanya 1/8, puan masih boleh mohon Hak Harta Sepencarian. Bahagian mak ayah mertua akan semakin kecil selepas ditolak dengan bahagian harta sepencarian.
Jika mak ayah mertua masih tak setuju melepaskan hak faraid atas rumah tu, minta bapa mertua tandatangan surat, “saya setuju mengambil duit pampasan ini sebagai bahagian faraid saya dari harta si mati dengan sepenuh kesedaran bahawa tanggungjawab untuk menanggung anak si mati iaitu cucu saya adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai datuknya.”
Lepas ni kalau datuk tu senyap dan buat tak tahu pasal cucu tu, puan boleh failkan tuntutan nafkah untuk anak puan di Mahkamah Syariah. Faham?
“Alhamdulillah faham puan. Terima kasih puan. Saya memang tak tau langsung pasal hak saya. Kan bagus kalau ramai wanita yang tau hak mereka. Tak adalah mereka kena lalui apa yang saya dah alami..” ada sinar di matanya. Ada senyum di bibirnya. Alhamdulillah.. lega saya drama air mata kali ini tidak berpanjangan.
Sejenak saya terfikir. Aduhai wanita.. kalau kita sendiri yang tak mempertahankan hak kita siapa lagi?
Sesunguhnya dalam kehidupan ini tak semuanya dilalui dengan perkara yang indah-indah belaka. Adakalanya, sesuatu yang terjadi menguji kesabaran dan keimananan diri. Namun sebagai hambanya, percayalah apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah, akan membuatkan kita sentiasa redha setiap yang berlaku dan aturan takdirnya. Sesungguhnya, Allah tak jadikan sesuatu itu saja-saja dan suka-suka.
Bukan suka-suka Allah jodohkan kita dengan isteri yang suka melawan.
Bukan suka-suka Allah jodohkan kita dengan suami yang panas baran.
Bukan suka-suka Allah berikan kita anak yang degil dan nakal.
Bukan suka-suka Allah letakkan kita dalam keluarga yang tak kuat agama.
Bukan suka-suka Allah beri kita anak ramai.
Bukan suka-suka Allah langsung tidak beri anak pada kita.
Bukan suka-suka ALLAH beri kita pelbagai sakit..
Bukan suka-suka Allah aturkan kisah silam kita.. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin akan rasa ‘tak banyak dosa” sangat. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin akan rasa “saya ni baik je”. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin tak bersungguh-sungguh memohon ampun daripadaNYA.
Bukan suka-suka kita seorang je yang dapat hidayah.. Dengan hidayah yang kita dapat tu sebenarnya akan jadi asbab kebaikan untuk orang lain.
Hidup kita Allah yang atur. Isteri kita Allah yang punya. Suami kita juga milik Allah.. Anak-anak kita Allah yang punya. Duit kita Allah yang punya. Kesihatan kita Allah yang punya.
Jadi, jika kita kehilangan duit, suami, isteri anak atau kita sakit maka redhakanlah. Kerana semua itu bukan kita punya. Allah yang punya. DIA boleh bagi kita dan DIA boleh ambil balik daripada kita bila-bila masa saja. Namun usah lupa. Allah itu Maha Penyayang. DIA ambil sesuatu daripada kita sebab DIA nak bagi ‘sesuatu yang lebih besar’ untuk kita. Sesuatu yang sangat kita perlukan yang kita tak pernah tahu. Cuma Allah yang tahu. Bersangka baik dengan Allah perlu kita aplikasikan. Percayalah, apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah, kita akan sentiasa redha.
Jadi, usah kecewa. Kita ada Allah. Kita minta pada Allah. Kita minta kekuatan pada Allah. Kita yakin dengan Allah. Kita redha dengan ketentuan Allah. Inshaa Allah akhirnya kita dapat menerima semua kelemahannya dengan hati terbuka. Tetapi, untuk mendapatkan hati terbuka itu, perlukan beberapa perlaksanaan. Antaranya solat malam! Inshaa Allah kekuatan itu kita akan perolehi.
Kita ada Allah! Dan Allah itu ada di mana-mana. Bukan hanya di Mekah dan Madinah sahaja., Jika di Mekah dan Madinah ada tempat-tempat mustajab, di tempat lain juga ada. Jika kita berpuasa, doa kita mustajab. Jika kita solat malam, doa kita mustajab.
Dan Allah telah menggariskan panduan, “Sabar dan Solat”!
Lakukanlah! Dan perlahan-lahan, akhirnya kita dapati Allah akan gantikan semula semua yang DIA ambil dari kita tapi berbeza-beza bentuk pemberiannya. Yang pasti, pemberian itu nyata lebih baik, lebih bagus dan lebih perlu.. InsyaaAllah.
~Allah tak jadikan sesuatu itu saja-saja dan suka-suka~
Bimbang dengan kesihatan anak kedua dan ketiga yang seringkali diserang semput gara-gara ditinggalkan di nurseri membuatkan naluri keibuannya tersentuh. Ibu mana yang sanggup membiarkan anak-anak tidak sihat di tangan orang lain semata-mata mengejar tugasan di tempat kerja.
Setelah berbincang bersama suami tercinta, Hamidah Aliman, tegar melepaskan jawatan seorang pensyarah di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Biar pun berat dirinya lebih rela bermujahid menjaga anak-anaknya sendiri. Apatah lagi bimbang jika anaknya terabai, sudah pasti dia akan di soal di akhirat kelak.
Ternyata biar pun berhenti kerja, dia tidak betah duduk diam dan akhirnya membantu suami untuk memulakan perniagaan kedai runcit. Disebabkan suami terikat dengan tugas hakiki seorang guru agama, jadinya segala tugas di kedai di ambil alih Hamidah sepenuhnya. Ditambah pula dengan menguruskan anak-anak yang masih kecil memang cukup mencabar baginya.
Kesibukan dan kekalutan ini membuatkan Hamidah sedikit jauh dari kitab suci Al-Quran. Dirinya juga kurang meluangkan masa bersama Al-Quran kerana kebanyakan waktu lebih terisi dengan tugasan lain. Jika sebelum ini setiap kali mengandung, dirinya banyak menghabiskan masa dengan membaca ayat suci Al-Quran sebaliknya ketika mengandung anak ke-empat semuanya berbeza.
“Siapa sangka jika sebelum mengandung tiada apa-apa masalah, kali ini cukup berbeza. Pada awalnya setiap malam saya sukar tidur dan demam. Sepanjang dua minggu perkara ini berlarutan hinggalah turun darah dan saya terus ke hospital. Di situ, barulah doktor sahkan yang janin saya telah hilang dan hanya tinggal kantungnya sahaja.
“Biar pun terkejut tetapi saya dan suami redha, walaupun kandungan telah memasuki lima bulan. Memang situasi ini agak janggal tetapi mungkin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya juga mulai sedar bahawa selama ini saya sentiasa dekat dengan Al-Quran. Tapi disebabkan saya terlalu sibuk buatkan saya lalai. Akhirnya suami ambil keputusan untuk saya fokus kepada menjaga anak-anak sahaja dan sewakan sahaja kedai kami kepada orang lain.
“Sejak itu juga bersempena 1 Muharam 1436, saya berazam untuk untuk berkhidmat bersama Al-Quran. Bukan sekadar membaca tetapi turut mengajar serta mengajak orang lain membaca Al-Quran,” terang Hamidah tentang bagaimana dirinya mula bergelar guru Al-Quran sejak 2014 yang lalu pada usia genap 40 tahun.
Ibu kepada lima orang cahaya mata ini mengakui mempelajari Al-Quran sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan. Ketika belajar di Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam jurusan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 1993 hingga 1995, dirinya berpeluang untuk belajar qiraat dan rasa teruja mengetahui pelbagai benda baru.
Kemudian setelah berkahwin dan menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar Mansoura, Mesir dalam bidang Ijazah Tafsir Al-Quran Usuluddin pada tahun 1997, Hamidah merasakan terlalu banyak perkara yang terkandung dalam Al-Quran perlu didalaminya. Dalam masa empat tahun sebelum tamat pengajian, dia berjaya menghabiskan lapan surah. Ternyata untuk belajar memahami isi kandungan kitab suci bukan mengambil masa yang singkat.
Dari situlah timbul kesedaran padanya untuk mengajak masyarakat memahami isi kandungan Al-Quran. Selama ini, rata-rata kelas Al-Quran lebih terarah kepada bacaan, sebaliknya kini tiba masanya semua umat Islam mula memahami isi kandungannya.
Menurut Hamidah, setelah pulang ke tanah air, dirinya menjadi tenaga pengajar di MARSAH selama tiga tahun iaitu pada 2006 sehingga 2009. Namun mengambil keputusan berhenti kerja dan kini mengajar mengaji Al-Quran sepenuh masa. Dari mula Hamidah berhasrat mengajar bukanlah untuk menjana pendapatan atau mengaut keuntungan. Sebaliknya rezeki itu datang tanpa di duga.
“Mula-mula saya mengajar di Johor Bahru ketika itu suami memang bekerja di sana. Sebelum itu, saya mengajar pelajar di MARSAH, tetapi pada pada 2014 saya mula mengajar orang dewasa. Golongan yang telah bersara, sebenarnya mengajar golongan dewasa juga seronok.
“Ketika itu memang seronok, selain daripada mengajar mengaji, dalam masa yang sama saya turut menghimpunkan pelajar dalam sembilan kumpulan semuanya sepanjang lima tahun mengajar mereka. Kami sempat bertadarus dan khatam Al-Quran bersama-sama. Hubungan juga bukan sekadar ustazah dan pelajar sebaliknya menjadi saudara.
“Namun awal tahun lalu, saya terpaksa berpindah ke Kluang mengikut suami. Biar pun sedih terpaksa tinggalkan pelajar saya tetapi siapa sangka di sini kedudukan rumah saya amat dekat dengan masjid. Paling gembira apabila saya berpeluang mengajar sekali lagi di sini. Dalamseminggu, saya akan ajar lima hari iaitu ada waktunya di sebelah pagi dan setengahnya pula di sebelah malam.
“Biar pun saya tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran, tetapi rata-rata pelajar tetap memberi sedikit sumbangan tanda terima kasih. Ternyata apabila kita dekat dengan Al-Quran, sanggup berhenti kerja dan akhirnya Allah datangkan rezeki dalam pelbagai cara. Masya Allah, saya bersyukur sangat,” ungkapnya terharu.
Harapan Hamidah hanya satu iaitu inginkan semua umat Islam mendekati Al-Quran serta memahaminya. Di dalam dunia akhir zaman di mana fitnah berleluasa, hanya Al-Quran dan sunnah sahaja yang wajib menjadi pegangan umat seperti mana yang Nabi Muhammad s.a.w jelaskan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Awalnya diuji kehilangan isteri, kemudian bersambung pemergian anak tunggalnya secara tiba-tiba ketika berada di sekolah. Inilah ujian yang Allah bungkuskan kepada saudara Fendi.