Minatnya untuk mengenali agama Islam sudah terbit sejak daripada kecil lagi. meskipun usia baru sahaja 10 tahun, Ang Kwai Leng, tercari-cari erti sebenar dalam kehidupan. Hidup bermasyarakat yang kebanyakannya dikelilingi orang Melayu sedikit sebanyak membuatkan wanita yang lebih dikenali dengan nama Jennifer ini meneruskan pencarian untuk mencari agama yang sebenar untuk dianutinya.
Persoalan
Banyak persoalan yang bermain di benak fikirannya ketika itu, penyelidikan yang dibuat tentang agama Allah membuatkan dia sedar bahawa patung-patung berhala yang selama ini menjadi kiblat ketuhanan agama yang dianuti oleh dirinya itu bukanlah Tuhan yang sebenar.
Lantas sedikit demi sedikit, wanita yang kini sudah berusia 45 belajar tentang Islam. Dicarinya ustazah dan ustaz untuk belajar solat, bertanya pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya yang ketika itu masih lagi muda. Tapi ternyata hidayah Allah masih belum menjadi miliknya, mungkin sahaja faktor umur yang masih setahun jagung membuatkan Jennifer masih lagi tercari-cari erti kehidupan yang sebenar menerusi agama yang boleh dipercayainya.
“Sejak kecil saya ada banyak persoalan tentang Islam. Saya banyak bertanya kepada ustazah dan juga ustaz di sekolah. Saya belajar solat, saya belajar banyak benda tentang Islam dan dari situlah saya mula sedar bahawa patung-patung berhala yang disembah itu semua bukanlah tuhan.
“Namun pencarian saya tidak terhenti di situ sahaja. Saya mula membuat penyelidikan tentang agama Kristian pula. Saya banyak pergi ke gereja-gereja untuk kenal sendiri agama tersebut. Tapi ternyata pencarian saya masih belum sampai ke penghujungnya. Walaupun begitu, dari pemerhatian dan penilaian saya, apa yang boleh saya katakan Islam adalah agama terbaik yang tersemat di hati saya.
Turut mempunyai seorang abang yang juga merupakan seorang Mualaf yang telah terdahulu mengenali Islam sebelum dirinya. Dari situlah Jennifer banyak belajar dan mendengar tentang agama Allah sekali gus menguatkan lagi minatnya untuk terus mendalami Islam.
“Pencarian saya tentang agama seakan tiada jawapan. Tapi hidayah Allah belum betul-betul datang kepada saya. Namun saya bersyukur kerana mempunyai seorang abang yang telah lama memeluk Islam sebelum saya. Dalam tempoh saya mencari agama sebenar untuk saya jadikan pedoman hidup, saya belajar banyak benda tentang Islam menerusi abang kandung saya.
“Dialah yang banyak mengajar tentang indahnya Islam, tentang kisah-kisah Nabi dan Rasul, tentang Umrah dan Haji serta banyak lagi. sedikit sebanyak membuatkan hati saya bertambah teruja untuk terus mengenali Islam,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.
Ads
Banyak Dugaan Yang Perlu Ditempuh
Sebelum memeluk Islam, Jennifer sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup, pasangannya dahulu tidak pernah membantah dan tidak pernah mendorong untuk dia belajar tentang Islam, tapi kerana hatinya yang bagaikan sudah terpikat dengan agama suci ini, Jennifer teruskan jua.
Keterujaan Jennifer kali ini tidak seperti dahulu, terasa lebih dekat dan ingin terus mendalami Islam. Dia mula mencari maklumat dalam internet, di media sosial dan juga medium-medium lain tentang kelas-kelas agama, persidangan tentang Islam dan banyak lagi. Dia juga banyak meminta tunjuk ajar dari sahabat-sahabat berbangsa Melayu yang tidak lokek berkongsi ilmu yang ada selain meminta tunjuk ajar dari abangnya itu.
Setelah lama mencari, akhirnya Jennifer bertemu jawapan
Namun pencariannya itu bukanlah jalan mudah yang perlu Jennifer lalui, ditambah pula dengan pasangannya yang ketika itu tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan dirinya berhijrah ke agama Allah. Keadaan sekeliling dan juga di tempat dia bekerja nampaknya tidak memberikan respons yang positif untuk Jennifer memeluk agama fitrah ini memandangkan rata-rata rakan sekerjanya tidak beragama Islam.
“Dalam usaha untuk saya belajar tentang Islam, memang banyak dugaan yang perlu saya tempuhi terutama dengan bekas suami dan juga rakan sekerja. Bekas suami tahu saya belajar tentang Islam tapi dia pernah minta saya berjanji supaya tidak bertukar agama barulah dia izinkan. Sebelum masuk Islam lagi saya sudah mula belajar Al-Quran, saya ke masjid selepas Isyak untuk hadiri kelas-kelas agama dan banyak lagi.
Ads
“Tempat kerja saya tak ramai muslim dan lebih mengeruhkan keadaan adalah majikan saya yang seakan anti dengan Islam. Jadi apa yang saya buat saya perlu sembunyi-sembunyi dan tidak terlalu mendedahkan bahawa saya minat dengan Islam.
“Alhamdulillah niat saya untuk belajar tentang Islam dan seterusnya menjadi seorang muslim akhirnya menjadi kenyataan. Walau banyak dugaan dan cabaran yang perlu saya tempuhi, tapi semua itu bagaikan dipermudahkan. Pada 5 Mei 2017 saya secara rasminya menjadi seorang muslimah setelah mengucapkan Kalimah Syahadah pada 1 Mei tahun lalu dengan menukar nama kepada Nur Hidayah Ang dan masih mengekalkan nama sebenar dalam kad pengenalan,” jelasnya penuh kesyukuran.
Ibu turut memeluk Islam
Pada hari yang sama Jennifer mengucapkan syahadah, dia berpindah dari rumahnya ke rumah jiran sebelah yang kebetulan tinggal sendirian. Dia terpaksa membawa ibunya yang sudah uzur bersama-sama demi menjaga ibunya itu. Meskipun tidak seagama, tanggungjawab terhadap ibu tercinta tidak dilupakan begitu sahaja.
Tiga bulan setelah bergelar seorang muslimah, tiada tanda-tanda bahawa bekas suaminya bakal mengikut jejak langkah Jennifer untuk memeluk Islam. Mengikut undang-undang syariah, setelah tempoh tersebut Jennifer dan pasangan perlu berpisah. Kedua anaknya yang kecil dibawa bersama tinggal di bilik yang disewanya bersama ibu. Manakala anak sulungnya kekal bersama ayahnya. Namun semua itu ada hikmahnya, ibunya juga akhirnya memeluk Islam setelah melihat banyak perubahan positif terhadap anaknya itu.
Ads
“Pada hari saya memeluk Islam saya pindah ke rumah jiran yang kebetulan tinggal seorang. Saya bawa ibu saya bersama kerana dia sudah uzur dan berusia. Dua anak yang kecil juga saya bawa bersama manakala yang sulung masih lagi tinggal bersama ayahnya. Pada mulanya ibu saya agak marah dengan saya, namun melihatkan perubahan pada diri saya setelah belajar mengenali Islam, dia reda.
Ibunya juga memeluk Islam tidak lama selepas Jennifer
“Lebih menggembirakan hati saya juga apabila ibu saya juga akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam seminggu selepas pengislaman saya. Ramadan dan Syawal tahun lalu memang satu kenangan indah buat saya dan ibu kerana kami dapat bersama-sama menyambutnya. Walau tidak sesempurna orang Islam yang lain, tapi kami cuba untuk buat yang terbaik. Tapi hayat ibu saya tidak panjang, pada Oktober tahun lalu dia telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Sedih memang sedih kerana ibulah sumber kekuatan dan semangat saya, namun dalam masa yang sama saya bersyukur kepada Allah kerana ibu juga mendapat hidayah di penghujung hayatnya dan meninggal sebagai seorang muslim,” kongsi wanita cekal ini lagi.
Jodoh baru
Dalam usaha untuk menjadi seorang muslim yang sempurna, Jennifer terus mengikuti kelas-kelas agama, kelas pengajian al-Quran, kelas fardu ain dan banyak lagi. Dalam penghijrahannya itulah dia bertemu seorang jejaka yang kini menjadi imamnya yang sah. Hanan Mok Abdullah, 56, jodoh baru yang dititipkan Allah buat Jennifer juga seorang mualaf yang telah lapan tahun bergelar seorang muslim. Menurut Jennifer, suaminya itulah yang banyak membimbing dan mengajar tentang Islam kepada dirinya yang masih lagi bertatih.
Suami yang kini banyak membimbing
“Setelah memeluk Islam, saya memang mencari seseorang yang dapat membimbing saya untuk menjadi muslim yang baik. Syukur Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya dan dipertemukan dengan suami saya kini. Dia banyak membantu dan membimbing saya mengenali lebih dekat tentang Islam. Dari dia juga saya belajar untuk menutup aurat dengan betul, makan makanan yang suci dan halal dan banyak lagi. Kalau ada perkara yang kami berdua tidak tahu, kami sama-sama belajar. Saya berharap dengan bimbingan dan tunjuk ajar suami, Insya-Allah kami berdua dapat jadi muslim yang lebih baik,” ulasnya lagi.
Seorang ibu pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya, kini dua orang anaknya yang kecil tinggal bersama Jennifer, harapannya dengan ajaran yang diterapkan semoga suatu hari nanti anak-anaknya juga mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk Islam dan menjadi seorang muslim sepertinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cuti sekolah kali ini, kebetulan jatuh hari lahir anak. Mak-mak mesti ‘super excited’ nak raikan hari bahagia mereka. Tapi bajet tak berapa nak ada, sebab bukan murah nak beli barang-barang ‘party’ hari jadi.
Ada cara yang mak-mak boleh buat. Walaupun cuma idea bajet, sebenarnya majlis hari lahir anak masih boleh diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan.
Suri rumah merangkap ibu anak enam, Zaila Mohamad, berkongsi bagaimana rancang majlis hari lahir anak dengan cara bajet tapi meriah. Ini idea yang Puan Zaila dipraktikkan:
Ada kawan bertanya “Macamana eh kau buat majlis, sudahlah masak sendiri lepas tu ada anak kecil lagi?”. Maka, aku pun terfikir untuk kongsikan tips untuk menganjurkan majlis harijadi versi budget. Biasalah, buat sekadar untuk suka-suka gembirakan anak-anak. Buat majlis budget ni jangan ada protokol sangat dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang ada seperti makanan tidak cukup atau makanan terlebih (yang ni takpe, boleh simpan dalam peti dan esoknya makan sampai lebam).
1. Pilih Tarikh
Ok pertama sekali kena pilih tarikh yang sesuai. Bila dah pilih tarikh tu dah boleh mula merancang menu, deko-deko sikit dan tempahan kek.
2. Ikut Bajet
Kalau sudah namanya majlis ‘budget’ maka janganlah berangan nak lantik ‘party planner’ untuk majlis ini. Semuanya perlu disiapkan sendiri. Kalau tak nak rasa duit habis sedebuk, apakata barangan seperti goodies anak-anak, barang untuk deko-deko tu beli awal-awal.
Boleh beli di fanpage Barangan Parti Harijadi. Sebab kat situ harga boleh tahan murah-murah dan kebanyakan tema kartun seperti Avengers, Frozen, Pokemon, Ultraman, Cars dan macam-macam lagi pun ada.
Lepas tu sediakan ‘budget’ untuk kek juga sebab kalau majlis harijadi takde kek tak bestlah kan. Kalau nak jimat boleh buat sendiri tapi kes aku ni Husna nasihatkan “mama beli aje sebab mama tak pandai buat kek“. Ha.. ha.. ha.. Untuk majlis ini aku tempah sebiji kek seberat 2kg, kalau beli kek kecil pastikan beli 2 biji atau lebih. Nanti tak cukup kesian pula tetamu.
Untuk beli bahan-bahan mentah tu peruntukan dalam RM200 dan RM100 untuk beli barangan seperti pinggan mangkuk plastik, cawan, sudu garfu dan plastik sampah. Sebenarnya tak sampai pun kalau tahu beli di tempat yang murah.
3. Menu Mudah Sedia
Selalunya majlis harijadi orang akan buat waktu petang jadi boleh sediakan pasta seperti makaroni goreng atau bihun goreng atau mee goreng tapi aku derhaka haritu sediakan menu nasi kerabu dan kue teow goreng. Maklumlah nasi kerabu ni “all time faveret” bila buat makan-makan mesti ada menu ini. Sihat lagi mudah! Caranya aku siapkan bahan-bahan kering seperti sambal nyior tu pada malam sebelum majlis lagi.
Pada hari kejadian hanya sediakan nasi (masak dengan Noxxa Pressure Cooker 8 min sahaja uols) dan ulaman hiris banyak-banyak terus. Untuk lauk aku beli 2 ekor ayam untuk goreng sahaja. Kata versi budget kan 😛 Untuk anak-anak pula siapkan keropok goreng dan nuget serta air koktel. Budak-budak main je lebih.
Tapi untungnya haritu kakak ipar datang bawakan kuih, ada yang bawa buah-buahan, sosej dan anak-anak buah pula siapkan air minuman detoks, maklumlah kami buat majlis sampai ke malam disusuli dengan bbq bersama keluarga.
Kalau nak bagi mudah, sila buat senarai bahan-bahan mentah dan kering untuk dibeli siap-siap. Jadi bila keluar membeli barangan tu takdelah terambil benda yang tak diperlukan. Ingat, versi ‘budget’ kena ikut ‘budget’ betul-betul.
4. Lokasi, Rumah Sendiri Saja
Lokasi tu sudah semestinya rumah sendiri lah kan, jangan berangan pula nak buat di hotel atau kolam renang atau dewan (kecuali kalau ada orang yang sponsor). Jadi, pastikan kerusi dirapatkan dan ada ruang kosong untuk anak-anak duduk bersila.
Meja untuk letak kek pun jangan letak sekali dengan meja makanan nanti serabut. Maklumlah zaman sekarang orang ada buat “candy buffetlah apa” tapi aku tak buat pun.
Hanya sekadar buat dekorasi belakang tabir bertemakan Avengers dengan belon dan ada kek sahaja. Kan versi budget, bukan versi artis.
5. Mental Dan Fizikal Kena Kuat
Mental dan fizikal kena bersedia. Kalau majlis harijadi ni sudah tentulah kita nak bahagiakan anak-anak jadi sediakan goodies untuk mereka. Kalau boleh kurangkan bagi gula-gula tapi pilihlah makanan yang sihat. Aku bagi keropok TAM-TAM (hehe takdelah sihat mana tapi teringat kenangan waktu sekolah dulu mesti beli keropok ini). Oh pastikan plastik sampah beli yang besar dan letak di mana-mana aje kerana mesti akan terdapat sampah merata-rata.
6. Goodies Bag Untuk Kanak-kanak Riang
Kalau buat majlis di rumah sudah tentunya kebersihan memang perlu dititiberatkan juga. Bagi aku, selepas siap masak tu pastikan basuh terus periuk atau kuali dan jangan tinggalkan di dalam sinki. Nanti bila tetamu mula datang dan percayalah sinki kita akan penuh dengan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh tetamu.
Lagi satu pastikan juga kain lap yang bersih disediakan, ini penting apabila terjadinya air tumpah atau sisa kuah tumpah atas lantai atau meja. Kalau boleh sisa makanan kering dibuang dalam plastik sampah dan sisa makanan basah tu kena asingkan dan cepat-cepat buang bagi mengelakkan dari berbau.
Apabila tetamu dah pulang, mula-mula tarik nafas dulu dan perlahan-lahan kemaskan dapur, basuh bekas-bekas makanan dan mop lantai. Kalau tak larat, tidur dulu baru kemas esoknya.
Ada Ketika Majlis Tak Berjalan Seperti Yang Dirancang
Dalam menganjurkan majlis memang kita tak boleh lepas dari melakukan pelbagai kesilapan tapi anggap itu sebagai dugaan dalam ingin menggembirakan hati orang. Memang terasa penat tapi satu kepuasan apabila tetamu datang dan pulang dengan perut yang kenyang (kalau hak tak makan tu mereka dietlah tu).
Insya-Allah semoga diberikan rezeki duit, masa dan tenaga untuk menganjurkan majlis lagi. Tak semestinya kena buat “grand” tapi cukuplah sekadar semampu mungkin dan ikhlaskan diri untuk membahagiakan insan yang tersayang.
Sumber: Zaila Mohamad
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila isteri bekerja, suami jangan buat-buat lupa beri nafkah. Dalam kehidupan berkeluarga, tanggungjawab seorang suami sebagai ketua keluarga tidak hanya terletak pada kepimpinan, tetapi juga dalam memenuhi kewajipan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Bila Isteri Bekerja, Suami Jangan Buat-buat Lupa Beri Nafkah
Walaupun isteri bekerja dan berpendapatan sendiri, suami tidak boleh abaikan tanggungjawab memberi nafkah. Ini adalah amanah besar yang dituntut dalam agama dan perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Hak Isteri Yang Wajib Ditunaikan
Nafkah merupakan kewajipan suami yang merangkumi:
Makanan Dan Minuman
Suami bertanggungjawab menyediakan keperluan asas makanan dan minuman untuk isteri serta anak-anak. Walaupun isteri bekerja, tugas ini tidak boleh diserah bulat-bulat kepada isteri.
Tempat Tinggal
Menyediakan tempat tinggal yang selamat, selesa, dan sesuai untuk keluarga adalah tanggungjawab utama suami.
Pakaian Dan Keperluan Asas
Keperluan berpakaian yang bersesuaian dengan kemampuan suami mesti diberi kepada isteri dan anak-anak.
Perbelanjaan Perubatan Dan Pendidikan
Suami bertanggungjawab memastikan keluarga mendapat akses kepada perubatan yang baik dan pendidikan yang sempurna untuk anak-anak.
Kenapa Suami Masih Perlu Memberi Nafkah Walaupun Isteri Bekerja?
Tanggungjawab Asal Suami
Islam menetapkan bahawa suami adalah pemimpin keluarga yang wajib memberi nafkah kepada ahli keluarganya. Pekerjaan dan pendapatan isteri bukan alasan untuk suami melupakan tanggungjawab ini.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 34:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah membelanjakan hartanya…”
Ayat ini jelas menyatakan bahawa tanggungjawab kewangan adalah kewajipan suami, bukan isteri.
Pendapatan Isteri Adalah Harta Peribadi
Pendapatan yang diperoleh oleh isteri hasil daripada kerjanya adalah hak mutlak isteri. Suami tidak boleh menganggap pendapatan isteri sebagai alasan untuk tidak menyediakan nafkah. Sekiranya isteri membantu, ia dianggap sebagai satu bentuk keikhlasan, bukan kewajipan.
Menghargai Pengorbanan Isteri
Jika isteri bekerja, ini bermakna dia berkorban masa, tenaga, dan emosi untuk membantu keluarga. Memberi nafkah adalah salah satu cara suami menghargai dan menyatakan rasa tanggungjawab terhadap pengorbanan tersebut.
Akibat Jika Suami Mengabaikan Nafkah
Ketidakharmonian Rumah Tangga
Isteri mungkin akan berasa tidak dihargai dan tertekan jika suami mengabaikan tanggungjawab nafkah. Hal ini boleh mencetuskan konflik yang menjejaskan keharmonian rumah tangga.
Khilaf Di Sisi Agama
Mengabaikan nafkah adalah satu dosa besar di sisi agama. Rasulullah SAW bersabda:
“Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa jika ia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Riwayat Abu Daud)
Menggugat Kepercayaan Isteri
Suami yang tidak bertanggungjawab akan kehilangan kepercayaan isteri. Hubungan akan menjadi rapuh dan penuh kecurigaan.
Anak-Anak Terabai
Jika keperluan asas tidak dipenuhi, anak-anak mungkin akan merasa kurang kasih sayang dan perhatian. Ini boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan mereka.
Bagaimana Suami Boleh Menjalankan Tanggungjawab Dengan Baik?
Merancang Kewangan Keluarga
Suami perlu bijak dalam menguruskan kewangan keluarga dan memastikan keperluan asas isteri serta anak-anak diberi keutamaan.
Komunikasi Yang Baik
Berbincang dengan isteri mengenai perbelanjaan bulanan dan keutamaan kewangan dapat mengelakkan salah faham serta membantu menyusun perbelanjaan keluarga dengan lebih efisien.
Bersikap Adil Dan Bertanggungjawab
Jangan mengambil kesempatan atas pendapatan isteri. Bersikap adil dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai suami akan memastikan kebahagiaan keluarga.
Sentiasa Berusaha Menambah Pendapatan
Jika pendapatan sedia ada tidak mencukupi, suami perlu berusaha mencari sumber rezeki tambahan. Allah SWT menjanjikan ganjaran kepada mereka yang berusaha mencari rezeki halal untuk keluarganya.
Suami jangan sesekali lupa bahawa memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab utama yang wajib ditunaikan. Walaupun isteri bekerja dan berpendapatan sendiri, itu bukan alasan untuk suami lepas tangan. Rezeki yang diberi dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab akan membawa keberkatan kepada keluarga.
Sebagai ketua keluarga, suami perlu menjalankan amanah ini dengan sebaik-baiknya kerana kebahagiaan rumah tangga bermula daripada sikap tanggungjawab, kasih sayang, dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebelum wanita tidur, eloklah melakukan adab-adab tidur dan jangan lupa selitkan amalan yang diajarkan Rasulullah untuk kaut ganjaran pahala dan kelebihan yang sangat besar jika buat.
Rasulullah SAW berpesan kepada Aisyah Ummul Mukminin (ra), isteri tercintanya:
“Wahai Aisyah, jangan engkau tidur sebelum melakukan EMPAT perkara ini, iaitu:
1.Sebelum mengkhatamkan Al-Qur’an.
2.Sebelum membuat para Nabi memberimu syafaat di Hari Akhirat.
3.Sebelum para Muslim meredhaimu.
4.Sebelum kau laksanakan Ibadah Haji dan Umrah.
Aisyah pun, bertanya kepada Rasullah SAW:
“Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara ini, seketika?”
Rasullah SAW tersenyum dan bersabda: “Sebelum engkau tidur (lakukan ini):
1. “Jika engkau akan tidur , membacalah Surah al –Ikhlas tiga kali. Seakan-akan engkau telah mengkhatamkan Al-Quran.
2. “Bacalah selawat untukku dan untuk para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberimu syafaat di hari kiamat “
3. “Beristighfarlah” untuk para mukminin maka mereka akan meredhai kamu.
4. Dan perbanyaklah “bertasbih, bertahmid , bertahlil dan bertakbir” maka seakan-akan engkau telah melaksanakan ibadah haji dan umrah.
“Subhanallaahi Walhamdulillaahi Walaailaaha Illallaahu Allaahu Akbar ( 3x ).
Semoga kita bersama-sama dapat mengamalkan 4 perkara ini dan memperolehi ganjaran pahala yang dijanjikan.
Semoga bermanfaat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...