Wujudkan rasa setia dalam diri anak-anak kita terhadap keluarga. Perasaan itu kena dipupuk, jangan mengharapkan ia tumbuh sendiri di jiwa anak-anak.

Saya sering diajukan soalan daripada anak saya berkaitan dengan maksud namanya; “Wafa tu maksudnya apa?”. Begitu teruja sekali wajahnya setiap kali bertanyakan hal berkaitan dirinya. Saya katakan maksud nama Wafa ialah setia. Tersenyum lebar apabila mendengar jawapan itu.

Dianjurkan Islam

Terfikir di benak saya bahawa benarlah Islam dalam anjurannya untuk memberikan nama-nama yang baik untuk anak-anak kita. Bukan sahaja akan membentuk persepsi tentang dirinya malah mendengarkan maksud yang baik itu sahaja sudah cukup menggembirakannya. Sejak daripada itu, dia sentiasa mengulang-ulang, Wafa setia dengan Allah. Masya-Allah cair hati saya mendengarnya. Mama doakan Wafa terus tetap dalam perhatian Yang Maha Esa.

Inilah yang akan kita kongsikan bersama untuk kali ini. Makna setia dalam perhubungan ibu ayah dan anak-anak. Apabila bercerita berkenaan dengan hubungan ini, kebanyakan daripada kita menganggap hubungan ini adalah hubungan yang terjalin dengan sendirinya tanpa perlu berusaha untuk mengekalkannya, mengharmonikannya apatah lagi membincangkan peri hal kesetiaan. Kerana bagi kebanyakan orang, sudah pasti ahli keluarga akan setia antara satu dengan lain.

Perlu Wujudkan Setia

Namun, persepsi yang kita punyai ini tidak semudahnya menjadi sedemikian tanpa usaha untuk mewujudkan keharmonian di dalamnya. Sepertimana juga hubungan yang lain, ia bukanlah sebuah rutin yang harus kita hadapi sahaja malah harus dimaknai dengan pemaknaan yang sebenar sebagaimana yang dianjurkan oleh syariat.
Kesetiaan wujud melalui hubungan hati yang mapan. Ia bermula sejak daripada anak-anak kita kecil lagi. Bagaimana kita menyantuni setiap keinginan dan kehendaknya dan bagaimana kita melalui hari-hari kita bersamanya. Sewaktu usia kecil, mereka tiada pilihan selain merakam apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka. Baik atau buruk semuanya kemas direkodkan ke dalam minda bawah sedar.

Di waktu inilah sebaiknya kita menyediakan bahan rakaman yang paling bermutu untuk direkodkan. Setiap gerak geri yang berakhlak dan setiap bait tutur kata yang beradab adalah bahan yang harus kita sediakan. Semuanya ini akan membentuk persepsi dirinya tentang kehidupan dan cara kehidupan. Hubungan hati, kepercayaan dan kesetiaan juga akan terakam melalui semua bahan mentah ini tadi.

IKLAN

Lebih banyak artikel:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Wujudkan Rasa Setia Anak-Anak Pada Mak Ayah Dan Keluarga
Wujudkan Persekitaran Harmoni

Jika kita berjaya mewujudkan sebuah persekitaran keluarga yang harmoni, anak-anak akan gembira dan teruja untuk berada di samping kita. Dia pasti berasa kesempatan ini adalah kesempatan yang tiada tolok bandingnya dan tidak harus dilepaskan.

IKLAN

Namun jika sebaliknya, mereka sendiri akan wujudkan jurang antara diri mereka dengan kita dan ahli keluarga yang lain secara umumnya.

Analoginya, jika di tempat kerja ada seorang yang sering membanding-bandingkan orang, meninggi suara, melemparkan kata-kata yang tidak sedap didengari pasti kita akan menjauhi orang tersebut dan tidak gemar berada bersama dengannya walaupun bukan bersebelahan, bukan?

INGAT! Anak Juga Ada Perasaan

Begitu jugalah halnya anak-anak kita. Mereka juga memiliki hati dan perasaan yang harus kita jaga dan perhatikan. Sewaktu dia masih kecil, dia masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada kita jadi berilah sokongan ini selayaknya agar dia dapat merasakan kehadiran ibu dan ayahnya setia di sampingnya.

IKLAN

Di sini dia akan belajar makna kebersamaan dalam keluarga. Sentimen ini akan mekar di dalam hatinya untuk berkongsi kasih sayang dan menghormati sesama ahli keluarga malah masyarakat secara umumnya.

Persepsi yang positif ini harus ada dalam diri anak-anak sejak kecil untuk dia belajar mengenai hal kehidupan. Perlunya wujud kasih sayang, hormat-menghormati dan kesetiaan. Hal ini bermula daripada dalam keluarga dan kitalah selaku ibu bapa yang menjadi kuncinya.

Jadikan Diri Sebagai Contoh

Oleh yang demikian, rakan ibu bapa yang dihormati, jadikanlah diri kita contoh yang baik kepada anak-anak. Berikanlah mereka kesejahteraan emosi dan ketenteraman minda ketika bersama dengan keluarga. Insya-Allah kesetiaan akan terbina melaluinya.

Mengapa harus setia? Kerana kesetiaan adalah lambang kejujuran dan keikhlasan dalam perhubungan termasuklah perhubungan kekeluargaan. Kita mungkin tidak sentiasa bersama kelak namun kita saling mengetahui tanggungjawab dan kebersamaan di antara kita. Wallahuallam.

Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad (USIM)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI