Bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!
Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakardari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.
Dunia sekarang semakin aneh.
Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Ads
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘Child Shaming’
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
Menghakis Kepercayaan Anak
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
Anak Rasa Terhina
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
Ads
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Mak Ayah Patut Lindungi Anak
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
‘Digital Footprint’ Anak
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.
Ads
Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.
Kes acu gunting kemaluan kanak-kanak berusia 7 tahun di sebuah sekolah tahfiz beberapa hari lepas tidak hanya berlaku kepada seorang budak tetapi rupanya lima orang kanak-kanak jadi mangsanya, malah salah seorang daripadanya dicabul oleh penjaga tersebut.
Namun pasangan suami isteri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh Uji Che Mat, 43, dan suaminya Mohd Zamzuri Abdul Manap, 42 tahun, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Cukup sedih bila memikirkan nasib anak-anak, Uji berdepan dengan tujuh pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak termasuk mencabul seorang daripadanya manakala Mohd. Zamzuri berdepan lima pertuduhan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sejak Januari 2017 hingga Ogos lalu di Ribath Tahfiz Asyirazi di Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan.
Mengikut kertas pertuduhan, Uji didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan cara menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting pokok berulang kali sambil menggugut mahu memotong kemaluannya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tarik Kemaluan Mangsa
Selain itu, dia juga didakwa mencabul kehormatan mangsa yang sama pada tempat dan masa yang sama dengan cara memegang dan menarik kemaluan mangsa.
Bagi kesalahan itu, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Uji dan Mohd Zamzuri didakwa bersama-sama atas empat pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun di bawah jagaan mereka dengan cara merotan berulang kali sehingga mereka mengalami kecederaan fizikal.
Hakim menetapkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang keseluruhannya berjumlah RM45,000 dan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Sumber: Astro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan semua pasangan yang berkahwin, dimurahkan rezeki dengan kehadiran anak bagi melengkapkan ikatan perkahwinan. Ada pasangan yang bertahun-tahun berkahwin, masih menanti kehadiran zuriat ini. Buat pasangan yang sedang diuji masih belum ada rezeki anak, jadikan perkongsian nota oleh Nor Farah Dilah ini sebagai penguat semangat!
PERKAHWINAN TANPA ZURIAT
“Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul”… Pepatah lama yang hanya akan difahami oleh mereka yang bernasib sama..
Tiada satupun pasangan suami isteri yang telah ALLaH satukan dalam pernikahan yang sah yang tidak mahukan zuriat.. Tapi rezeki manusia itu berbeza-beza.. Ada yang sudah bernikah bertahun-tahun lamanya tapi masih belum ada rezeki anak..
Orang keliling hanya tahu bertanya dan berkata tanpa fikir perasaan orang lain..
“Rugi kalau dapat anak lambat.. Nanti bila dah tua, anak-anak masih kecil”
“Jangan la biar lama-lama baru nak dapat anak.. Takut nanti tak sempat nak menimang cucu sendiri”
“Takde berubat mana-mana ke? Cubalah ikhtiar”
“Orang perempuan ni kalau dah kahwin tapi takde anak, dah serupa macam kain buruk”
“Bro.. Air mani kau tak power kut…”
MashaAllah… Yang berkata dan bertanya pun seolah-olah seperti tiada iman.. Ingat anak ni macam beli air kat vending machine ke? Masuk duit, tekan punat nak jantina apa, terus keluar anak tu? Satu lagi, pasti ke yang kita akan hidup sampai tua?
Ujian Nabi Allah Zakaria a.s.
Sedangkan Nabi Allah Zakaria a.s. diuji dengan tiada zuriat sehinga Baginda tua.. dan Baginda tak putus-putus berdo’a memohon agar dikurniakan zuriat.. Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi ALLaH SWT.. Akhirnya Nabi Zakaria a.s. dan isterinya yang mandul dikurniakan seorang anak iaitu Nabi Yahya a.s.
Hanya mereka yang faham saja akan benar-benar mengerti.. Setiap bulan si isteri berdebar menanti kedatangan haid dengan harapan biarlah “sangkut”.. Alangkah kecewanya hati, alangkah sedihnya hati bila tiba-tiba “bocor”.. Air mata cepat-cepat dikesat agar jangan sampai suami nampak.. Serta-merta terus berpura-pura gembira seolah-olah takde apa yang dirasa kerana taknak suami turut kecewa..
Ikhtiar
Bukan taknak ikhtiar.. Fitrah manusia itu sendiri berikhtiar.. Zaman sekarang dah ada macam-macam teknologi canggih.. Tapi bukan semua orang mampu.. Katalah kalau mampu sekalipun, bohong kalau takde rasa bimbang.. Bagi si isteri, bagaimana kalau terbukti memang dia tak boleh mengandung? Bagaimana penerimaan suami nanti? Apa fungsi seorang isteri? Perlukah diizin suami menikah lagi?
Bagi si suami pula, bagaimana jika terbukti dia tak mampu memberi zuriat? Hancurkah ego seorang lelaki? Hilangkah kejantanannya? Bagaimana harus dijelaskan kepada isteri? Semua ini memerlukan tahap redha dan persediaan mental yang amat tinggi..
Ada juga suami yang salahkan isteri setiap bulan apabila isteri datang haid.. Seolah-olah isteri itu yang menentukan dia mahu hamil atau tidak.. Tak semua pasangan mampu duduk bertentang mata untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini..
Hati isteri mana yang tak tersentuh melihat suami mendukung anak orang lain? Hati suami mana yang tak terkilan melihat isteri membelek-belek dan merenung pakaian bayi yang comel-comel ketika keluar shopping bersama?
Isu Anak Angkat
Anak angkat… Memang mudah untuk dilafazkan tapi tak semua pasangan mampu melakukannya.. Ada suami yang berkeras hanya mahukan zuriat daripada bakanya sendiri.. Ada pula yang memikirkan masa depan anak itu nanti.. Bagaimana nak hadapi waktu untuk menjelaskan status anak itu nanti bila dia sudah dewasa.. Satu lagi yang ramai terlupa.. Anak angkat juga merupakan rezeki anugerah ALLaH.. Bukan semua pasangan ALLaH hadiahkan anak angkat..
Ada kes yang bertahun-tahun mencari anak angkat tapi ada je halangannya.. Duit dah keluar, tapi akhirnya si ibu ubah fikiran.. Ada juga yang memohon di Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi proses itu tidak semudah ABC.. Banyak prosedur dan saringan yang akan dilakukan.. Akhirnya penantian itu jadi terlalu menyiksakan..
Masa Kuatkan Ikatan Perkahwinan
Kepada pasangan yang ALLaH uji tanpa zuriat lagi, kuatkanlah semangat kalian.. Mungkin Allah nak bagi masa untuk kalian kuatkan ikatan perkahwinan.. Mungkin ALLaH nak kalian enjoy honeymoon lama sikit.. Bersangka baiklah kepada ALLaH.. Jangan putus berdo’a dan cubalah cari masa yang sesuai untuk berbincang suami isteri.. Pilihlah jalan terbaik.. Jika nak ikhtiar, biarlah dipersetujui oleh kedua-dua pihak..
Bagi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, hentikan soalan-soalan yang boleh mengguris perasaan.. Ini semua hak mutlak ALLaH.. Mempersoalkan zuriat seseorang sama seperti mempersoalkan Qada’ dan Qadar ALLaH.. Hati-hati jangan sampai jatuh kufur..
Bagi yang sudah ada zuriat, jangan sombong dengan mereka yang masih belum ada zuriat.. Kita tak tahu nasib anak kita nanti macam mana.. Apa jadinya dia bila dewasa.. Betul, anak yang soleh/solehah boleh membantu ibu bapa di Akhirat.. tapi anak juga mampu menarik tangan ibu dan bapa ke Neraka.. Jangan sibukkan hal orang lain sehinggakan hal mendidik anak itu kita abaikan..
Perkara Yang Boleh Diamalkan:
Kepada yang masih mencuba, amalkanlah do’a Nabi Zakaria a.s. iaitu Ayat 89 daripada Surah al-Anbiya’.
1.Pastikan isteri ambil EPO, Acid Folic dan Vitamin E 400 secara berterusan dan suami pula makan Multivitamin (apa-apa brand pun boleh).. Boleh beli di farmasi untuk stabilkan hormon dan sihatkan sperma..
2.Pastikan “bersama” di antara hari ke-9 sehingga hari ke-21 daripada hari haid pertama dan mesti “bersama” setiap 4 hari sekali dalam tempoh 13 hari ini.Ini waktu subur wanita dan tempoh 4 hari sekali memastikan sperma suami berada dalam keadaan kualiti yang paling optimum.
Ramai lelaki berpendapat air mani yang tersimpan lama adalah lebih baik, tetapi ianya SALAH! Menurut pakar perubatan, air mani lelaki berada dalam keadaan yang paling sihat adalah ketika ia minimum 3 hari dan maksimum 5 hari. Selepas hari ke-5, sperma di dalam air mani mula bertukar menjadi sperma yang tidak berkualiti lagi. Para suami semua sila ambil perhatian!
Sekian, terima kasih.
Jika ada yang nak share, silakan.
Keadaan cuaca yang tidak menentu, sekejap panas, sekejap hujan membuatkan badan kita pun berubah. Demam, batuk dan selesema, masalah kesihatan ‘tiga serangkai’ nie mudah sahaja menyerang.
Kalau rasa sudah tidak tahan, ubat klinik sahajalah jalan terakhir untuk anda mengurangkan dan menghilangkan masalah kesihatan ini. Tapi, ada juga mak-mak yang tidak suka mengambil ubat klinik dan sedaya upaya untuk merawat secara alami. Lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang masih kecil. Mak-mak boleh cuba guna bahan ini untuk hilangkan batuk dan kahak. Malah, bahan-bahan ini pun senang nak dapat. Cubalah.
Bahan-bahan :
Lobak merah
6 sudu besar madu
Air
Cara-caranya :
1.Kupas dan potong lobak merah. Kemudian, rebus lobak merah itu sehingga lembut.
2.Asingkan air rebusan lobak merah tadi.
3.Kemudian. Kisar lobak merah yang direbus tadi sehingga lumat.
4.Ambil madu dan masukkan ke dalam air rebusan lobak merah. Campurkan dengan isi lobak merah yang dikisar dan kisar sekali lagi.
5.Siap untuk diminuim dan boleh disimpan dalam peti ais.
6.Ambil 3-4 sudu besar setiap hari.
Mudahkan! Mak-mak boleh cuba berikan pada anak-anak tetapi kurangkan jumlahnya, mungkin 1-2 sudu sahaja.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.