wanita tagih cinta bekas kekasih

Cinta Itu boleh butakan hati seseorang, andai tak mampu menahan godaan dan berpijak di bumi nyata. Ikuti pengakuan seorang wanita yang merupakan seorang isteri dan ibu. Dia kembali menagih cinta bekas kekasihnya yang juga suami orang hingga menyebabkan porak peranda rumah tangga si lelaki. Kaunselor bebas yang juga kolumnis dalam majalah Mingguan wanita, Puan Hajah Maimunah Haji Mohammad, turut memberikan pendapat dalam hal ini.

Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya ingin berkongsi cerita ini dengan harapan ianya dapat menjadi pengajaran kepada insan lain yang sudah bersuami. Saya seorang isteri, berusia 46 tahun dan mempunyai 5 orang anak. Saya bahagia dengan keluarga yang saya ada cuma entah macam Mana kerana terlalu turutkan hati saya telah lakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Suami Sibuk

Saya seorang suri rumah tangga jadi banyak masa saya ada dengan menghadap media social seperti facebook dan whatsapp. Suami saya seorang yang baik tetapi sentiasa sibuk dengan perniagaannya. Jadi sering saja tiada di rumah kerana perlu menguruskan cawangan perniagaannya. Tinggallah saya dengan anak yang paling kecil di rumah. Anak yang lain semuanya telah belajar di pusat pengajian masing-masing. Sesekali baru balik ke rumah bila bercuti.

Satu hari ketika layan facebook saya ternampak seseorang yang amat saya kenali satu ketika dulu, yang pernah bertakhta di hati saya dan dia adalah cinta pertama saya. Mulai saat itu hati saya berbunga dan sentiasa berusaha untuk mesej dia. Saya mulai melalui messenger. Hampir dua minggu juga saya menunggu barulah akhirnya dia membalas ucapan saya. Ketika itu hati saya amatlah gembira kerana si dia masih ingat pada saya. Bermula dengan itu kami saling bermesej melalui whatsapp dan messenger. Pada mulanya kami hanya bertanya khabar dan bercerita tentang keluarga masing-masing. Lama-kelamaan mulalah cinta berputik kembali.

Teruja

Saya pun tak tahu macam Mana boleh teruja sangat dengan kekasih lama saya tu. Walaupun dia sering kali mengingatkan saya tentang keadaan sekarang yang saya dah bersuami dan dia pun sudah beristeri. Saya seakan lupa semua tu..yang saya tahu saya ingin sangat menyambung semula kisah cinta yang dulu terputus di tengah jalan. Setiap hari saya akan mesej dia tak kira pagi, petang atau malam. Saya tahu dia serba salah tapi saya berjaya buatkan dia ikut apa kemahuan saya. Dia memang seorang yang amat baik. Saya jatuh hati pada dia dulu pun disebabkan sifatnya yang baik dan penyayang. Saya pesan pada si dia supaya delete semua perbualan kami untuk elakkan dari pengetahuan isteri si dia.

Suami tak tahu pun tentang hal ni sebab dia memang jarang ada di rumah. Semenjak si dia muncul kembali dalam hidup saya, rasa bahagia sangat sebab ada orang yang sentiasa ambil berat tentang saya. Layan semua perasaan saya. Si dia sangat pandai bergurau senda dan membuatkan saya gembira. Kami hanyut bercinta di alam maya. Hingga satu ketika si dia beritahu yang dia dah tak boleh mesej saya lagi sebab isterinya telah dapat tahu tentang hal kami. Si dia harap agar saya dapat terima dia sebagai kawan biasa.

Masalahnya saya masih tak dapat lupakan si dia. Hati saya meronta untuk cari jalan bagaimana nak sambung semula hubungan kami. Saya mula beranikan diri telefon si dia masa dia di pejabat. Saya mengaku memang saya cuba menggoda si dia kembali. Mungkin disebabkan rasa kesian atau tak nak guriskan hati saya si dia layan juga kerenah saya. Tanpa pengetahuan isteri si dia saya telah bercinta semula dengannya.

IKLAN

Isterinya Dapat Tahu

Pada satu hari, isteri si dia telah dapat mengetahui tentang perbuatan saya itu. Saya tahu betapa kecewa. sedih, marah dan macam-macam lagi perasaan isteri si dia apabila dapat tahu yang saya masih jalinkan hubungan dengan suaminya walaupun sebelum ini saya dah minta maaf dan janji tak akan ganggu suaminya lagi. Kali kedua ini isteri si dia mungkin dah tidak dapat maafkan saya kerana perbuatan saya sendiri yang telah mungkir janji. Mulai saat itu barulah saya rasa bersalah sebab terlalu ikutkan perasaan yang saya tak dapat buang. Memang hati dan perasaan saya masih sayangkan si dia. Saya cuba untuk hilangkan perasaan tu tapi susah sangat rasanya. Saya juga sedar bahawa saya telah menjadi punca kekeruhan dalam rumah tangga si dia.

Si dia pun telah banyak menyedarkan saya bahawa apa yang kami buat tu adalah salah. Saya pun mengaku menyesal dengan apa yang telah saya lakukan selama ini. Saya telah menduakan suami saya dan di masa yang sama saya telah hampir meruntuhkan rumah tangga si dia. Semoga isterinya dapat memaafkan saya. Walaupun saya tahu amat sukar bagi isteri si dia untuk maafkan saya kerana telah banyak menyakitkan hati dan perasaannya.
Saya bersyukur kerana si dia masih dapat mengawal keadaan. Perasaan dia terhadap saya hanya sekadar untuk memenuhi permintaan saya. Tak lebih dari itu.

Apa yang dia buat selama ini hanya untuk tidak menghampakan saya. Saya yang membuatkan si dia tidak setia pada isterinya. Semoga si dia kekal bahagia bersama isterinya yang amat disayangi. Saya tahu yang hubungan dia bersama isterinya tidak seperti dulu lagi sebelum saya muncul. Ini kerana perbuatan saya dan si dia yang telah banyak menipu dan mempermainkan janji kami. Kepercayaan yang isteri dia beri telah kami khianati. Memang banyak sangat salah saya pada isteri si dia. Saya berharap agar si dia dapat memujuk kembali isterinya dan dapat hidup bahagia seperti sebelum ini.

Saya mohon nasihat dari puan apa yang perlu saya buat untuk hilangkan perasaan saya terhadap si dia tetapi di masa yang sama saya tak mahu hilang dia sebagai kawan. Buat pembaca di luar sana janganlah jadi seperti saya. Semoga menjadi iktibar kepada semua.
– Isteri Terleka –

IKLAN

Saranan Kaunselor:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang

Kesukaan, kecintaan atau apa jua perasaan terhadap manusia lain akan melibatkan emosi dan nafsu yang boleh mengganggu keseluruhan sistem tubuh manusia. Ia boleh mengakibatkan kita khayal, berada di alam fatamorgana dan apa jua aktiviti harian yang dibuat membawa kepada seluruh pemikiran akan tertumpu kepada individu berkenaan atau perkara atau benda berkenaan.

Ada orang yang mahu keluar daripada ketagihan atau alam yang keseronokan yang sedang dikecap. Tetapi tidak tahu caranya atau mungkin tidak mampu berhenti daripada keasyikan yang dirasai. Ada orang yang tidak mahu, maka ianya akan merosakkan dirinya secara perlahan-lahan. Ia banyak mengikut perasaan, hati dan hawa nafsu. Bagi orang yang mahu berhenti, mestilah ada keazaman yang kuat, dan tahu bahawa jika ia terus berada dalam keadaan itu ianya akan memudaratkan dirinya.  Apabila disebut keazaman, maka ia perlu bina kekuatan dalaman dirinya, sanggup tinggalkan keseronokan itu dan sudah pasti perlu pengorbanan yang cukup besar.

IKLAN

Mudah Terpedaya

Perasaan kita sebagai wanita amat mudah terpedaya oleh desakan nafsu. Bukan senang untuk kita menukar perasaan cinta kepada perasaan sekadar kawan biasa. Hubungan cinta ini telah bertapak dalam diri puan. Ianya amat sukar untuk dijadikan rakan puan itu sebagai rakan-rakan lain yang dikenali. Ingat, perasaan kita mudah terpedaya…khusus kalau kita tiada kawalan dalaman. Ianya berkaitan dengan hawa nafsu. Kita sukar mengesan nafsu kita sama ada boleh dikawal atau tidak jika kita berjumpa atau terjumpa sesuatu yang kita pernah suka secara berlebihan dari yang biasa. Kita kadang-kadang tertipu dengan hawa nafsu kita.

Kita rasa kita boleh kawal tetapi kita kecundang sebenarnya tanpa kita sedari hingga akhirnya baharulah kita menyesal atas apa yang telah berlaku. Puan ada menyebut …” Saya mohon nasihat dari puan apa yang perlu saya buat untuk hilangkan perasaan saya terhadap si dia tetapi di masa yang sama saya tak mahu hilang dia sebagai kawan”… maka saya tiada jawapan untuk itu. Jika benar puan bertekad untuk hilangkan perasaan cinta puan terhadapnya maka puan perlulah terus melupakan dia dalam diari hidup puan. Teramat sukar untuk menukar perasaan daripada cinta kepada biasa kerana wujud dalam diri puan kecintaan dan suka apabila bersamanya. Ingatlah bahawa nafsu teramat sukar untuk dikawal…. Ibarat orang yang mahu berhenti ketagihan terhadap rokok, maka ia perlu menjauhkan semua unsur-unsur yang boleh menyebabkan ia kembali menagih….

Tundukkan Nafsu

Puan yang dirahmati Allah. Nafsu perlu dilatih dan diajar agar ianya dapat ditundukkan. Menundukkan nafsu memerlukan latihan selain kekuatan dalaman yang saya sebutkan di atas. Puan perlu berlatih untuk melupakannya. Fikirkan bahawa tiada manfaat berkawan dengannya, selain hanya seronok berbual dengannya. Walaupun dia baik, tetapi ingat dia bukan suami puan, dia adalah lelaki yang haram didekati selain kita benar-benar ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Jika pun ada urusan penting dengan, cari orang lain untuk urusan itu kerana hati puan pernah terpaut dengannya. Jangan biarkan hati dibuai keseronokan bila berurusan dengannya, walaupun puan berkata hanya kawan biasa. Ini kerana hati dan perasaan sukar dikawal bila sudah atau pernah terpaut. Selain itu, ingatlah bahawa Islam melarang kita berhubungan dengan lelaki lain tanpa ada urusan yang penting. Seboleh mungkin elakkan berjumpa atau berhubungan dengannya, walaupun perkara biasa…. hilangkan nombor telefon bimbitnya dalam simpanan puan.

Bina Kekuatan Dalaman

Selain berlatih mengawal nafsu dengan cara menjauhi atau daripada berjumpa atau berhubungan dengannya, puan perlu membina kekuatan dalaman. Bagaimana untuk mendapat kekuatan dalaman? Untuk membina kekuatan dalaman, puan perlu ada komitmen dan lakukannya secara berterusan. Hati dan perasaan berkaitan dengan kekuatan rohani. Maka jiwa perlu dibekalkan dengan santapan rohani agar ianya kuat. Apakah makanan rohani? Banyakkan zikir, membaca al-Quran, mengikuti majlis ilmu agama, membaca buku-buku agama berkaitan penyucian jiwa dan ubat hati, solat malam, berdoa agar Allah bantu puan untuk melupakannya.

Minda juga perlu dilatih untuk melupakannya. Bagi membantu hati dan minda puan untuk belajar lupakannya, maka puan perlu alihkan fokus terhadapnya kepada perkara lain. Sibukkan diri dengan aktiviti seperti riadah, aktiviti kemasyarakatan, hobi lain atau menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Jangan biar diri tanpa berbuat apa-apa kerana hati dan perasaan serta pemikiran akan mudah terfokus kepada perkara yang pernah disukai. Sibukkan diri dengan perkara lain yang lebih berfaedah selain urusan biasa terhadap keluarga.

Belajar mencintai suami. Untuk ini puan perlu mengambil masa dan berusaha setia padanya. Jangan sampai “yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran”…..hargai kehidupan yang dikecap kini walaupun puan tidak dapat apa yang dikehendaki… “Allah tidak beri apa yang puan mahukan…tetapi Allah beri banyak apa yang puan perlukan…”. Banyakkan bersyukur dengan apa yang ada kerana apa yang dinginkan mungkin boleh memusnahkan kehidupan…” Wallahualam.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI