Dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua belah tangan ternyata bukan satu ujian yang kecil. Berat mata yang memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun, Norfarah Syahirah Shaari atau mesra dengan panggilan Farah, 31 tahun, yang berasal dari Bagan Dato, Perak membuktikan kecacatan bukanlah pengakhiran hidup.
Sebaliknya menurut Farah lagi, jadikan setiap kelebihan lain yang Allah kurniakan untuk membuktikan kemampuan diri. Malahan kini dia membuka mata semua orang apabila dia mampu membuktikan kemampuannya memandu kereta sendiri hanya menggunakan kaki.
Videonya yang sedang memandu kereta menjadi tular di media sosial apabila dikongsi oleh salah seorang rakannya beberapa bulan yang lalu. Farah juga melalui kehidupan kanak-kanak yang sama cuma bezanya tanpa sepasang tangan kerana dia merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Saya dilahirkan dengan kecacatan tiada kedua belah tangan. Menurut cerita ibu, sejak saya di dalam kandungan lagi, dia dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya dengan adik-beradik yang lain. Paling ketara kurangnya pergerakan.
“Setelah lahir ke dunia, perkembangan saya juga agak lambat. Saya tidak boleh berjalan sehingga berusia 4 tahun, hanya mengesot tidak seperti kanak-kanak lain yang boleh merangkak serta berjalan. Tetapi memandangkan saya hanya tidak mempunyai tangan, saya bersekolah di sekolah biasa.
“Permulaannya, memang mereka rasa pelik apabila pertama kali melihat saya menulis menggunakan kaki. Tetapi lama-lama mereka berbangga dengan kebolehan saya. Penerimaan dan pertolongan mereka banyak membantu saya. Hinggakan apa yang tak mampu saya buat, secara automatik mereka akan tolong uruskan,” ungkap Farah yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak.
Mula Belajar Menulis
Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.
Tambahan pula, ibunya ada mengajar Farah cara menulis. Lama-kelamaan dirinya secara spontan untuk belajar sendiri. Seingat anak kelapan daripada 10 orang beradik ini, dalam usia empat tahun dia mula menulis setelah dirinya mulai pandai berjalan.
“Selain saya, abang saya yang ketiga juga merupakan OKU dan dia adalah OKU pekak dan bisu. Biar pun cacat, tetapi kini dia miliki kehidupan sendiri, berkahwin dan menempa kejayaan sendiri. Dia juga tak susahkan mak ayah lagi. Secara tak langsung abang menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan kehidupan saya.
Ads
“Biar pun jarak usia saya dan abang agak jauh, tetapi saya nampak pengorbanan mak dan ayah saya yang berusaha menghantar dia ke sekolah khas. Begitu juga bagaimana abang lalui kehidupan sebagai OKU. Tetapi segalanya nampak mudah dan dia mampu berdikari. Dari situlah saya juga terasa apa yang dia mampu buat, pasti saya pun boleh lakukan.
“Ikutkan hati memang kita tak sama dengan orang lain. Kadang-kadang kita ada kekangan untuk lakukan sesuatu dan tak mampu nak buat, tetapi saya tak suka jadikan ia sebagai halangan. Saya tidak rasa kekurangan, malah saya juga normal seperti orang lain,” katanya lagi.
Biar pun perkahwinannya gagal di pertengahan jalan, Farah redha dengan ketentuan Ilahi. .
Lakukan Kerja Seperti Orang Normal
Kebiasaan apa sahaja orang normal lakukan, Farah juga buktikan dia mampu lakukan. Seperti pengurusan di rumah, dia cuba lakukan apa yang menjadi rutin ibunya termasuklah tugas memasak dan membasuh.
Walaupun ibu tidak izinkan, dirinya tetap berkeras untuk lakukan juga. Berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada, Farah terus yakin mencuba. Begitu juga dengan alam pekerjaan, biar pun sesukar mana satu-satu perkara, wanita ini tetap cuba membuktikan kebolehannya.
Ads
“Sebenarnya jika nak dibandingkan kehidupan harian saya dengan dunia pekerjaan, bekerja sebenarnya lebih mencabar. Kita berhadapan dengan orang orang dari pelbagai lapisan, dari orang bawahan hinggalah yang tertinggi.
“Bukan mudah jika kita tiada kekuatan, memang susah seorang OKU masuk ke alam pekerjaan. Sebab kekuatan saya hanyalah bergantung kepada kekuatan kaki. Jadi kalau kaki saya ini tak mampu lakukan semua benda, memang takkan mampu masuk ke sektor pekerjaan ini.
“Oleh itu saya cuba yakinkan rakan sekerja, saya mampu buat tidak kiralah mengangkat fail, menulis atau gunakan komputer. Alhamdulillah mereka nampak kelebihan dan kemahiran saya. Jadi mereka bangga dan hormatkan saya. Malahan saya juga banyak membantu mereka,” ceritanya satu-persatu.
Memandu Sendiri
Jelas Farah, tujuan utama dirinya memandu kereta dan mendapatkan lesen bukanlah bertujuan untuk membangga diri. Sebaliknya Farah ingin rakan senasibnya membuka mata bahawa OKU sepertinya mampu memandu kereta walaupun tiada kedua belah tangan.
“Dengan hanya menggunakan kaki, Farah mampu membawa kereta sendiri. Saya Saya sudah merasa bersyukur dan orang nampak kebolehan saya. Pada pandangan mata orang luar, mungkin mereka beranggapan mungkin saya tak mampu tetapi akhirnya saya buktikan mereka salah.
Ads
“Sebenarnya proses ambil lesen adalah berlangsung sama seperti orang lain, prosesnya sama macam org normal. Seperti kes saya, saya perlu gunakan kaki dan perlu ubahsuai kereta sendiri. Jadi saya perlu mahirkan dulu bawa kereta sendiri.
“Saya belajar memandu dahulu, kemudian dalam tempoh 2 minggu sahaja saya dah boleh bawa kereta sendiri. Selepas itulah, saya ke sekolah memandu untuk ambil lesen dan alhamdulillah lulus akhirnya,” katanya lagi.
Seperti mana orang lain, Farah juga dilanda perasaan takut untuk membawa kereta sendirian. Namun begitu, setakat ini belum pernah dirinya dihon kerana membawa kereta perlahan. Malahan di pejabat, rakan-rakan gemar menumpang kereta saya.” Kongsinya lagi. Farah sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah mengendahkan kata-kata negatif dari mulut orang..
Gunakan Kelebihan Sebaiknya
Pada pandangan mata kasar, orang di luar sana melihat Farah melakukan kerja. Sebaliknya bagi Farah, dia sentiasa yakin dan berkemampuan lakukan semua perkara. Walaupun susah untuk dilakukan, dia sedaya-upaya a mencuba.
Berbekalkan kekuatan, semangat, sabar dan usaha membuatkan segala urusan dan perkerjaan tampak mudah di matanya. Menjadi pegangan Farah bahawa setiap kelebihan yang Allah berikan padanya akan digunakan sebaiknya dan sama sekali tidak akan sia-siakan.
“Setakat ini segala perkara yang ingin saya lakukan telah berjaya dan hanya satu impian saya adalah ingin memandu kapal terbang. Saya terinspirasi daripada kisah seorang wanita yang juga OKU di luar negara mampu mengemudi sebuah kapal terbang.
“Kepada golongan OKU di luar sana, jangan anggap kita ini seorang OKU sebaliknya anggaplah diri kita normal seperti orang lain. Kita boleh buat biar pun kita kekurangan dari segi anggota atau fiizikal.
“Tetapi kita harus berusaha dan selalu berfikiran positif. Jangan terlalu berpegang kepada pandangan masyarakat, sebaliknya buktikan kemampuan diri sendiri. Insyallah suatu hari nanti kejayaan pasti akan
tiba,”nasihat Farah di akhir perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Penaung Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Rizalman Ibrahim yang juga pereka fesyen terkenal negara berkongsi rasa hati di laman instagramnya. Di pusat pengajian itulah anaknya, Umar Nail menimba ilmu. Bersahabat dengan anak-anak syurga ini membuatkan hati ayah ini begitu terkesan dengan kehilangan anak-anak tahfiz yang juga sahabat anaknya.
“Saya merasa amat-amat terkesan akibat kejadian ini kerana ada di antara mereka telah menjadi sahabat Umar Nail, saya sendiri dan telahpun bergelar anak-anak ‘angkat’ saya selama ini. Kerana selalu sudi memenuhi undangan saya baik di rumah atau di pejabat. ketika meraikan apa-apa majlis termasuklah majlis sambutan hari jadi saya pada tahun lepas.”
Kehadiran anak-anak ini bukan sekadar memberi ketenangan dalam majlis yang dianjurkan beliau. Malahan kekayaan doa yang anak-anak ini titipkan sampai ke lubuk jiwa.
“Kekayaan doa-doa mereka yang mereka sampaikan pada Allah, pada saya dan keluarga, ketulusan hati mereka, wajah-wajah suci mereka, pengorbanan zaman remaja menuntut ilmu Allah melalui Al Quran, perasaan hormat mereka ketika mencium tangan saya setiap kali berjumpa dan berpisah terasa dingin syurganya.”
Pesan Datuk Rizalman Lagi
√ Pada ustaz @yusufdqi yang telah berkorban menjaga kebajikan anak-anak ini hingga ke akhir hayat beliau saya hanya mampu berdoa.
√ Pada ibu bapa anak-anak ini, Allah telah memilih anda sebagai tetamuNya di syurga bermula dari sekarang kerana anda adalah yang terpilih mempunyai jiwa yang kental untuk melalui dugaan ini.
“Saya masih ingat memberi ucapan pada malam majlis hari jadi ini dan saya tujukan khas pada anak-anak ini yang berbunyi, ‘ Keindahan malam ini dengan rangkaian tetamu yang hadir berpakaian serba putih sebegini seolah-olah seperti kita semua berada di dalam syurga Allah dan begitulah kehendaknya jika di izinkan…’
“Sempat saya berpelukan dengan pengetuanya tadi, beliau berbisik ‘Maafkan saya.. ‘ Air mata kami berjuraian.
“Sanggup saya bina rumah baru kami di kawasan berdekatan madrasah ini supaya anak-anak kecil ini boleh bertandang dan bermandi manda di kolam renang di rumah ini nanti. Ternyata Allah telah menyediakan bukan kolam malah kali syurga yang mengalir lebih tenang dan indah buat mereka terlebih dahulu. Bernaunglah kalian pada naungan Arash yang akan merupakan tempat yang disediakan.”
Umar Nail
Buat Umar anakanda ku, lihatlah kebesaran Allah dan fahamilah apa itu qada dan qadar. Babah masih bisa memiliki mu dan kita semua adalah pinjaman dariNya
Inilah madrasah tahfiz anak saya Umar Nail ketika sebelum melanjutkan pelajaran beliau di STIAS. Banyak nyawa terkorban akibat kebakaran subuh pagi tadi. Semoga semua roh yang terkorban ditempatkan Allah SWT pada kedudukan yang setinggi tingginya di sisiNYA. Pada semua ibubapa serta kaum keluarga saya ucapkan takziah.
Cukup terharu kerana anak-anak inilah yang selalu saya jumpa ketika menjemput mereka ketika adanya majlis berlangsung.
Punyalah bertuah kaum wanita, bukan hari lahir sahaja orang sambut tetapi siap ada hari wanita dan majlis tertentu untuk meraikan pengorbanannya. Salah satunya boleh dilihat menerusi Malam Aspirasi Wanita 2018 yang dibuat di Dewan Hamzah beberapa hari lalu.
Ini semata-mata nak menghargai peranan, tanggungjawab dan sumbangan golongan wanita khususnya di daerah Klang, yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Klang.
Nak Menghargai Kaum Wanita
Yang Dipertua, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sambutan itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wanita pada 8 Mac setiap tahun.
“Kita meraikan hari yang istimewa untuk para wanita ini bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta peranan mereka terhadap pembangunan negara.
“Sambutan Hari Wanita juga disambut sebagai perangsang kepada golongan itu dan bagi memenuhi hasrat serta aspirasi untuk terus bergiat lebih aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan organisasi,” katanya ketika berucap di hadapan kaum wanita yang terdiri daripada kakitangan MPK dan jemputan.
Bajet 2018 Untuk Wanita
Agenda pemberdayaan wanita sentiasa diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.
“Buktinya melalui pembentangan Bajet 2018 telah membuka peluang secara luar biasa kepada golongan wanita di negara ini.
“Beberapa inisiatif langsung dan tidak langsung dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan wanita, antaranya mewajibkan 30 peratus wanita dalam keahlian sebagai lembaga pengarah GLC, GLIC dan badan berkanun merupakan satu program bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengangkat wanita menerajui posisi,” katanya.
RM72 Juta Khas Buat Mak-mak
Keprihatinan itu juga ditunjukkan Kerajaan Negeri yang turut menyediakan bajet yang lebih mesra wanita berupa RM72 juta bagi meningkatkan martabat wanita dan golongan ibu menerusi pengenalan inisiatif berkebajikan, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahurabbi, malangnya nasib seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang kena cucuh api di kemaluan dan dirotan di bahagian kepala di pusat jagaan Lorong Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan.
Kanak-kanak itu dikenakan hukuman tidak masuk akal oleh dua petugas pusat jagaan kanak-kanak, ini termasuk seorang lelaki dikatakan mencucuh api pada kemaluan dan mengugut untuk menggunting kemaluan mangsa, selain memukul badan serta kepala mangsa menggunakan rotan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku jam 7 malam dan disedari bapa mangsa berusia 25 tahun selepas rakaman video kejadian itu tersebar di media sosial.
Apa yang difahamkan, kanak-kanak terbabit dipukul tanpa belas kasihan kerana melakukan kesalahan kencing berdiri, mencuri barang dan tidak mencuci selepas buang air besar.
Bukan Nak dera Tapi Nak Ajar
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata dua petugas pusat jagaan itu sudah menghubungi bapa mangsa selepas menyedari video berkenaan viral dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
Mereka sudah hubungi bapa kanak-kanak itu dan memaklumkan tindakan merotan mangsa dibuat sebagai proses pembelajaran, bukan untuk mendera.
Kalau ikutkan cerita, mangsa adalah anak tunggal dan sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin, tetapi dihantar ke tempat itu oleh bapanya selepas didapati tidak begitu berminat untuk belajar.
Pihak polis merampas rotan berukuran 58 sentimeter dan satu gunting rambut yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mohamad Noor juga sudah meninjau pusat jagaan itu dan tidak menolak kemungkinan terdapat unsur penderaan cuba dilakukan terhadap mangsa.
Dua petugas pusat berkenaan yang berusia 42 dan 43 tahun ditahan jam 10 malam tadi bagi membantu siasatan.
Mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan kerana mengalami kecederaan pada bahagian punggung.
Manakala dua petugas pusat jagaan itu direman dua minggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
INFO: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Live TikTok Fattah, Amira raih lebih 50 juta ‘likes.' Pasangan baharu mendirikan rumah tangga, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatatkan lebih 50 juta tanda suka selain ditonton lebih 150,000 kali setakat jam 10.40 malam, Isnin.