Ads

Bukan Sekadar Tempat Berlindung, Pusat Krisis Ini Bantu Wanita Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Keganasan Rumah Tangga

Bagi wanita mangsa keganasan rumah tangga, keputusan untuk meninggalkan pasangan bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila mereka mempunyai anak, tidak mempunyai sumber kewangan sendiri dan tiada tempat untuk dituju.

Situasi itu dilalui seorang wanita dikenali sebagai Irina (bukan nama sebenar) di Samarkand, Uzbekistan. Ketika hamil dan menjaga dua anak kecil, dia terpaksa berdepan keganasan suaminya yang sering pulang dalam keadaan mabuk.

Apabila mengetahui suaminya pulang dalam keadaan tersebut sekali lagi, Irina segera menghubungi sebuah pusat krisis yang pernah memberinya perlindungan sebelum ini. Jawapan yang diterimanya cukup ringkas tetapi membawa harapan besar, iaitu meminta Irina datang segera.

Pusat krisis Rahmdillik yang bermaksud Compassion atau belas kasihan menjadi tempat perlindungan buat wanita sepertinya. Terletak di sebuah bangunan lama di tengah bandar Samarkand.

Pusat Rahmdillik diasaskan bagi membantu wanita mangsa keganasan rumah tangga dan mereka yang kehilangan tempat bergantung akibat keadaan keluarga yang sukar.

Baca artikel:Keganasan Terhadap Wanita Semakin Membimbangkan, UNFPA Seru Keadilan

Bermula Daripada Pengalaman Melihat Penderitaan Wanita

Pusat Rahmdillik diasaskan pada 1996 oleh Dr. Bibisora Oripova, seorang pakar bedah yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam bidang perubatan.

Idea penubuhannya tercetus ketika beliau bertugas di unit rawatan melecur sebuah hospital tempatan. Ketika itu, beliau melihat ramai wanita dan kanak-kanak mengalami kecederaan akibat melecur sehingga menyebabkan kecacatan fizikal, malah ada yang ditolak keluarga sendiri selepas kejadian tersebut.

Keadaan itu membuatkan Dr. Oripova memikirkan nasib mereka selepas keluar dari hospital. Beliau kemudian mendapatkan bantuan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan sebuah bangunan yang boleh dijadikan tempat perlindungan kepada wanita yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Ads

Melalui pendekatan ini, wanita mangsa keganasan rumah tangga bukan sahaja mendapat perlindungan sementara, malah dibantu mendapatkan sokongan psikologi, bantuan guaman dan latihan kemahiran.

Seiring peningkatan keperluan, pusat tersebut terus berkembang dengan sokongan kerajaan dan beberapa penderma luar, termasuk agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bukan Sekadar Tempat Tinggal, Wanita Turut Dibantu Berdikari

Kini, Rahmdillik mampu menempatkan sehingga 50 wanita pada satu-satu masa. Mereka bukan sahaja diberikan tempat tinggal yang selamat, malah turut menerima sokongan psikologi, bantuan guaman, latihan kemahiran dan bimbingan mendapatkan pekerjaan untuk mangsa kegansan rumah tangga.

Sekiranya seseorang wanita membuat keputusan untuk melaporkan keganasan yang dialaminya kepada polis, pihak pusat akan membantu menyediakan aduan serta menemani mereka sepanjang proses berkenaan.

Menurut Dr. Oripova, ramai wanita memilih untuk tidak membuat laporan kerana masih berharap keadaan rumah tangga mereka akan kembali pulih. Ada juga yang bimbang anak-anak terpaksa membesar tanpa kehadiran seorang bapa.

Bagi wanita yang memilih untuk meninggalkan pasangan, pihak pusat turut membantu mendapatkan sokongan daripada pihak berkuasa, termasuk bantuan perumahan dan elaun bagi menampung keperluan anak-anak.

Ads

Anak-Anak Turut Diberikan Perlindungan

Pusat Krisis Rahmdillik

Antara perkara yang menjadi keutamaan Rahmdillik ialah memastikan anak-anak yang dibawa bersama oleh ibu mereka turut mendapat penjagaan sewajarnya.

Bayi ditempatkan di pusat asuhan, manakala anak-anak yang lebih besar diberikan peluang untuk meneruskan persekolahan di kawasan berhampiran.

Pendekatan ini penting kerana keganasan rumah tangga bukan hanya memberi kesan kepada wanita yang mengalaminya, tetapi turut mempengaruhi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.

Ribuan Kes Keganasan Terhadap Wanita Dilaporkan

Menurut laporan pihak berkuasa Uzbekistan kepada PBB, sebanyak 40,055 kes keganasan dan gangguan terhadap wanita dikenal pasti pada 2023. Dalam tempoh sama, seramai 39,263 wanita menerima perintah perlindungan.

Ads

Bagaimanapun, angka tersebut hanya merangkumi kes yang dilaporkan dan dikenal pasti, sedangkan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi berikutan masih ramai wanita tidak mendapatkan bantuan kerana tekanan keluarga, rasa malu dan kebergantungan kewangan.

Anda mungkin berminat dengan

Sabine Machl, Penyelaras Residen PBB di Uzbekistan, menegaskan bahawa wanita yang mengalami keganasan perlu diberikan bantuan segera tanpa dipersalahkan atau melalui proses panjang yang boleh menyebabkan mereka mengalami trauma sekali lagi.

‘Kami Bukan Gelandangan, Kami Ada Rumah Di Sini’

Bagi Irina, Rahmdillik bukan sekadar tempat persinggahan ketika berdepan kesukaran. Dia sudah menetap di pusat tersebut bersama tiga orang anaknya selama lebih dua tahun dan anak bongsunya juga dilahirkan di situ.

Kini, Irina tidak lagi bercadang untuk kembali kepada suaminya. Dia sedang menunggu bantuan mendapatkan sebuah apartmen daripada kerajaan selain berusaha mencari pekerjaan tetap bagi menyara kehidupan bersama anak-anak.

Irina turut membetulkan tanggapan masyarakat yang pernah menggambarkan penghuni pusat tersebut sebagai golongan gelandangan.

Menurutnya, mereka bukan gelandangan kerana kini mempunyai tempat yang boleh dianggap sebagai rumah, sambil masing-masing berusaha membina semula kehidupan dan mencari jalan sendiri selepas menjadi mangsa kegansan rumah tangga.

Kisah ini membuktikan bahawa menyediakan tempat perlindungan sahaja tidak mencukupi. Wanita yang berjaya keluar daripada situasi keganasan juga memerlukan peluang, sokongan dan ruang untuk kembali berdikari tanpa perlu hidup dalam ketakutan.

Artikel diolah berdasarkan laporan UN News bertarikh 26 November 2026.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Lain

Yap Wen Wei

Yap Wen Wei Harumkan Nama Malaysia, Gadis Kelantan Ini Pilih Songket...

Kalau biasanya pentas ratu cantik antarabangsa menjadi medan memperagakan pelbagai persalinan daripada fabrik moden, namun Yap Wen Wei memilih keindahan songket dan batik sebagai taruhan untuk mengetengahkan keunikan warisan negara kepada dunia.