Ads

Keganasan Terhadap Wanita Semakin Membimbangkan, UNFPA Seru Keadilan

Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan bukan hanya berlaku dalam bentuk penderaan fizikal, malah turut merangkumi penderaan seksual, psikologi, kewangan serta ancaman dalam talian. Gangguan digital dan penyalahgunaan imej peribadi turut menjadi ancaman yang memerlukan perhatian serius.

Isu ini diketengahkan sempena sambutan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita (IDEVAW) 2026 anjuran Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di Malaysia yang berlangsung di Hemisfera, Menara Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Mengangkat tema global “Ensure Justice. Protect Survivors. End Impunity”, program itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pakar undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil dan aktivis belia bagi membincangkan usaha menangani keganasan terhadap wanita.

Baca artikel: Pelanggan Lelaki Pukul Kepala Peniaga Wanita Guna Kasut, Ini Pun Keganasan Terhadap Wanita!

Keganasan Terhadap Wanita Perlu Dikenal Pasti Sebelum Ditangani

Wakil UNFPA di Malaysia, Dr. Julitta Onabanjo berkata, keganasan yang tidak dinamakan dan dikenal pasti berisiko terus terpinggir daripada perhatian dasar serta undang-undang.

Dr Julitta Onabanjo, UNFPA in Malaysia Representative

Beliau menjelaskan bahawa keganasan terhadap wanita hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk keganasan seksual, rumah tangga, psikologi, berasaskan kehormatan, kewangan, reproduktif, keganasan berasaskan teknologi dan femisid.

Ads

Menurutnya, mengenal pasti setiap bentuk keganasan merupakan langkah awal supaya mangsa mempunyai ruang untuk membuat laporan, sistem kesihatan bersedia memberikan bantuan dan sistem keadilan dapat mengambil tindakan terhadap pelaku.

Beliau mengingatkan bahawa gangguan dalam talian dan penyalahgunaan imej boleh mengukuhkan kitaran penderaan. Akauntabiliti perlu melibatkan pelaku, platform digital dan institusi yang bertanggungjawab melindungi pengguna.

Jurang Perlindungan Dalam Ruang Digital

Pembentangan oleh Ameena Siddiqi daripada SIS Forum dan Chloe Choo daripada Pocket Of Pink mengetengahkan isu jurang data femisid, keselamatan pelajar di institusi pendidikan serta keganasan dalam talian dan luar talian terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi temu bual video khas menekankan tanggungjawab platform digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian serta keperluan mencegah penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) seperti imej palsu atau deepfake.

Beliau turut menggesa platform teknologi memperkukuh literasi digital dan penghasilan kandungan beretika.

Ads

Satu Daripada Tiga Wanita Mengalami Keganasan Fizikal Atau Seksual

Dalam ucaptama, Penyelaras Residen PBB dan Wakil Setiausaha Agung bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Nikolas Myint berkata, dianggarkan satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami keganasan fizikal atau seksual sepanjang hayat mereka.

Lebih membimbangkan, lebih satu daripada lima remaja perempuan berusia 15 hingga 19 tahun dilaporkan pernah mengalami keganasan daripada pasangan intim.

Beliau berkata, kemajuan undang-undang perlu diterjemahkan kepada perlindungan sebenar kerana ramai mangsa masih tidak mendapatkan bantuan atau membuat laporan polis akibat stigma, ketakutan terhadap tindakan balas dan kebimbangan tidak dipercayai.

Nikolas menegaskan pencegahan awal di sekolah melalui pendidikan tentang persetujuan, rasa hormat dan kesaksamaan, selain sistem pelaporan dipercayai serta keupayaan guru mengenal pasti tanda penderaan.

Anda mungkin berminat dengan

Ads

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching berkata, keganasan berasaskan gender yang berlaku melalui teknologi bukan sahaja menjejaskan keselamatan wanita, malah membataskan penyertaan mereka dalam masyarakat dan mengancam demokrasi.

Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 107,501 permohonan menurunkan kandungan berkaitan buli atau gangguan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dari 2022 hingga 15 November 2026. Daripada jumlah itu, 81,098 kandungan telah diturunkan, bersamaan kadar pematuhan kira-kira 75 peratus.

Beliau turut menyentuh tindakan Malaysia menyekat Grok milik xAI susulan keputusan platform itu meletakkan fungsi “nudify” di sebalik bayaran langganan dan bukannya menghapuskannya. Teo menegaskan bahawa menjadikan pencabulan maruah wanita dan kanak-kanak sebagai sumber keuntungan tidak boleh diterima.

Beliau menggariskan tindakan pantas menurunkan kandungan berbahaya, hukuman terhadap pesalah berulang, akauntabiliti algoritma dan penyederhanaan kandungan sensitif gender.

Sebagai simbol solidariti terhadap mangsa, Menara Kuala Lumpur turut diterangi cahaya jingga pada jam 7.30 malam. Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender berlangsung dari 25 November hingga 10 Disember 2026, bersempena Hari Hak Asasi Manusia.

UNFPA di Malaysia mengajak orang ramai menyertai kempen dengan memakai warna jingga, memulakan perbualan mengenai keganasan di rumah, sekolah dan tempat kerja, serta menyebarkan mesej kesedaran menggunakan tanda pagar #UNiTE, #OrangeTheWorld dan #16DaysOfActivism.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Lain

sushi Langkawi

Kenapa Makcik Masako Jual Sushi RM1.50 Di Langkawi? Wanita Jepun Ini...

Sushi Langkawi pada harga RM1.50 seketul! Kenali Makcik Masako, wanita Jepun berusia 78 tahun yang mengusahakan kedai sushi kecil di Langkawi.