Kehadiran cahaya mata pastinya dinantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Cahaya mata pengikat kasih ibu dan ayah. Namun, ada juga pasangan yang diduga tidak dikurniakan cahaya mata atau dipisahkan oleh ajal. Suhaila bt Yosni, 39, seorang wanita tabah, telah kehilangan tiga daripada lima orang cahaya mata.
“Anak sulung saya, Muhammad Iman Zhafran, Alhamdulillah normal dan kini berusia 11 tahun. Anak kedua, Muhammad Iman Zhariff meninggal pada tahun 2010 pada usia setahun empat bulan. Anak ketiga, Muhammad Ammar Zhariff meninggal pada 2013 pada usia setahun lima bulan. Manakala anak keempat, meninggal ketika usia kandungan tujuh bulan dan saya lahirkannya secara normal,” ujar Suhaila membuka bicara.
Tak Dapat Kesan Dari Awal
Menurut Suhaila, pada usia Iman Zhariff tiga bulan, dia dapati perkembangannya tidak seperti bayi lain dan badannya juga seperti membengkak.
“Dia kemudiannya dirujuk ke hospital Sungai Buloh. Didapati mata Iman Zhariff tidak normal. Ketika itu dia hanya dikesan sebagai Global Delay Development sahaja. Sehinggalah sebelum dia meninggal dunia, doktor kesan buah pinggangnya terlalu kering.
“Ketika kehilangan Iman Zhariff, saya memang rasa sedih dan tak bersedia. Tapi saya kuatkan semangat dan tidak mahu terus larut dalam kesedihan. Setelah itu, lahir Ammar Zharif, anak ketiga. Rupanya sekali lagi kami diuji apabila dia juga menunjukkan simptom yang sama dengan arwah Iman. Ketika itu saya terus bawa dia ke PPUM dan doktor akhirnya merujuknya ke HKL bahagian buah pinggang kanak-kanak. Doktor mendapati buah pinggang Ammar Zhariff bocor dan menjalani rawatan namun tidak mampu bertahan. Kali ini, hati saya lebih kuat dan reda dengan pemergian Ammar Zhariff.
Ads
Mungkin pengalaman kehilangan Iman telah menguatkan hati saya untuk lebih reda,” katanya menceritakan tentang anaknya.
Menurut Suhaila, sebelum Ammar Zhariff meninggal dunia, mereka sempat menghantar sampel darah arwah, suami dan dirinya ke UK. Didapati terdapat kelainan genetik pada gen Suhaila dan suaminya iaitu Gen Lamb2. Bermakna setiap cahaya mata mereka berisiko 25 peratus untuk mendapat penyakit yang berpunca daripada kelainan genetik ini.
Arwah anak-anak Suhaila juga dikesan menghidap penyakit Congenital Nephrotic Syndrome.
Sebenarnya penyakit ini tidaklah terlalu asing di negara ini tapi anak-anaknya kurang bernasib baik mengalaminya ketika usia di bawah dua tahun, menyebabkan penyakit mereka tidak dapat dirawat. Berbeza sekiranya mereka dikesan selepas usia lima tahun, lebih banyak ubat dan perawatan boleh dilakukan ke atas mereka.
Ads
Meninggal Dalam Kandungan
Ternyata ujian Allah untuk hamba-Nya ini belum terhenti. Ketika mengandungkan anak keempat, bayi yang dikandung itu tiba-tiba degupan jantungnya terhenti ketika usia kandungan tujuh bulan.
“Kali ini kesnya berbeza daripada anak kedua dan ketiga. Memang tak sangka kerana pada awal kehamilan saya sudah membuat ujian air ketuban dan uri untuk mengesan jika ada kelainan pada kandungan dan doktor mengatakan semua normal. Sebab itu saya meneruskan kehamilan itu. Kuasa Tuhan, pada usia kandungan tujuh bulan, bayi di dalam kandungan tiba-tiba terhenti degupan jantungnya dan anak keempat itu saya lahirkan tanpa nyawa,” sambungnya sedih.
Namun dia dan suami bersyukur kerana mereka kembali dikurniakan zuriat yang sihat, Muhammad Isyraf Zuhayr, yang kini berusia tiga tahun.
Ads
Keluarga Bagi Sokongan Padu
Tambah Suhaila, dia bersyukur saat dia menghadapi segala kepayahan menjaga dan mencari rawatan terbaik untuk anak-anaknya, keluarga sentiasa menjadi tulang belakang utama, sama ada ibu bapa kandung mahu pun mentua.
“Saya akui, tanpa sokongan daripada kedua pihak keluarga, saya dan suami takkan sekuat ini. Ketika saya sibuk berulang alik ke hospital, mak mentua yang tolong jagakan anak sulung kerana saya tinggal bersama mentua. Jadi saya tak risau tentang anak yang ditinggalkan di rumah. Saya juga bersyukur kerana mendapat seorang ketua tempat saya bekerja yang sangat memahami masalah kesihatan anak-anak saya.
“Demi mendapatkan rawatan untuk anak-anak, saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji dan cuti separuh gaji kerana perlu habiskan masa lama di hospital dan temu janji rawatan yang kerap. Syukur, mak dan ayah saya turut membantu dari sudut kewangan dan ia meringankan beban saya dan suami,” tambah isteri kepada Fazirul Wahidi Mansor, 39 Tahun.
Cari Kekuatan
Mata yang memandang tak sama dengan bahu yang memikul. Itulah yng boleh dikatakan buat pasangan ini.
“Saya akui, bukan mudah untuk saya lalui semua itu. Namun saya cuba mengumpul kekuatan dengan sentiasa berfikiran positif dan sentiasa muhasabah diri. Saya banyak membaca blog-blog orang lain yang turut diduga dengan anak-anak sakit. Ini membuatkan saya lebih kuat dan rasa masih ramai orang lain yang lagi hebat dugaan berbanding diri saya. Saya juga sering ingatkan diri untuk kuat, barulah saya boleh jaga keluarga saya,” akhiri Suhaila.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kanak-kanak 5 tahun mati didera keluarga angkat, jiran bongkar selalu dengar suara tangisan & dimarahi.
Amat malang nasib seorang kanak-kanak perempuan apabila menjadi mangsa dera keluarga angkat.
Dalam tragedi menyayat hati ini, kanak-kanak berusia 5 tahun meninggal dunia akibat didera.
Memetik laporan Berita Harian, polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes kematian anak angkat perempuan mereka yang berusia lima tahun, dipercayai akibat didera.
Budak perempuan lima tahun yang meninggal dunia disyaki didera ibu dan bapa angkatnya di Taman Malcop, Silibin di sini dikatakan kerap menangis dan dimarahi individu dipercayai bapa angkatnya.
Jiran keluarga itu, Mohd Zezeli Abdul Latif, 58, berkata dia hanya menyedari kehadiran budak itu di kawasan perumahan mereka sejak dua bulan lalu.
Lokasi rumah kanak-kanak didera- Foto :- Pembaca
Katanya, bapa angkat mangsa berusia 66 tahun itu sudah lama menetap di taman perumahan berkenaan tetapi tidak ramah dengan jiran tetangga.
Menurut Mohd Zezeli yang hanya berjiran sebelah rumah dengan keluarga mangsa, isterinya kerap mendengar tangisan kanak-kanak itu serta suara seorang lelaki dalam nada tinggi seakan menjerit ketika berada di halaman rumah.
“Pernah juga dengar suara lelaki itu menjerit dan meminta anaknya mencari barang, mungkin dia marah sebab ada barang yang hilang.
“Setahu saya, lelaki itu tinggal bersama isterinya sahaja sebelum kanak-kanak itu muncul dalam tempoh dua bulan ini,” katanya ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya lagi, dia hanya mengetahui kejadian menimpa budak itu selepas melihat banyak kereta peronda polis di hadapan rumah itu.
Seorang lagi jiran, N. Gandhi, 74, berkata mangsa adalah seorang kanak-kanak yang comel serta ceria, dan pernah menyapanya namun mengakui dia tidak pernah melihat mangsa bermain di luar atau halaman rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mangsa hanya mula dibela dan dijaga oleh ibu angkatnya itu sejak April lalu.
Dalam pada itu, difahamkan bahawa kanak-kanak itu adalah anak kepada rakan ibu angkat mangsa yang terbabit dalam kes itu.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan ibu dan bapa angkat mangsa direman enam hari bermula hari ini hingga Ahad susulan kematian budak itu yang disyaki akibat didera untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kes diterima daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, 9.45 pagi semalam.
Beliau berkata, pegawai perubatan itu memaklumkan mangsa dibawa ke zon merah wad kecemasan untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Suki Low seronok, bahagia menguruskan anak-anak, begitulah luahan Suki Low yang pernah menjadi perhatian ramai selepas menjuarai program realiti TV, One In A Million (OIAM) musim pertama pada usia 16 tahun.
Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga bersama suami, Jeremy Chong, pada 2012 dan seterusnya bergelar ibu dua tahun kemudian, Suki, 31, seakan hilang daripada radar dunia hiburan.
Seronok, Bahagia Menguruskan Anak-Anak
Ditanya tentang dirinya yang kelihatan menyepi dalam dunia hiburan, Suki yang juga ibu kepada tiga anak mengakui bahagia dengan kehidupannya kini.
Biarpun sibuk dengan rutin menguruskan tiga permata hatinya iaitu Ethan, 7, Eli, 7, dan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 11 bulan, beliau gembira dengan apa yang dimiliki.
Tidak pernah menyesal mengetepikan seketika kerjaya nyanyian demi keluarga, ibu muda itu percaya pilihan tersebut berbaloi untuk menjadikan kehidupannya lebih seimbang.
“Selepas bergelar ibu, saya memilih untuk memberikan lebih tumpuan kepada keluarga berbanding perkara lain. Bukan kerana permintaan suami, sebaliknya ia adalah kemahuan saya sendiri.
“Saya tidak mahu terlepas melihat proses pembesaran anak-anak yang saya kira cukup pantas dan sayang untuk dilepaskan.
“Jadi saya sentiasa berasa seronok dan bahagia menguruskan anak-anak, terutama ketika pandemik di mana sepanjang masa saya serta suami meluangkan masa bersama mereka di rumah,” katanya sewaktu ditemui di sidang media Gegar Vaganza (GV) musim kelapan.
Tidak Seaktif Dulu
Namun kini nama Suki Low bakal menjadi sebutan semula menerusi penglibatannya dalam program nyanyian popular, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan yang akan bermula pada 21 November ini.
“Ramai yang fikir saya sudah mengundurkan diri dalam dunia seni setelah lama tidak nampak di kaca televisyen atau mengadakan persembahan secara terbuka.
“Hakikatnya saya masih lagi menyanyi, cuma tidak seaktif dahulu kerana terikat dengan komitmen kepada rumah tangga, terutama setelah bergelar ibu.
“Selain menyanyi untuk persembahan yang diadakan secara tertutup, saya turut terlibat dengan projek-projek khas di TV seperti program Hari Kemerdekaan, melakukan voice over dan sebagainya.
Menyentuh tentang penglibatan sebagai salah seorang peserta GV8, Suki menganggap program terbabit sebagai platform terbaik untuk kembali.
“Saya tidak anggap penglibatan dalam GV8 sebagai comeback kerana saya sendiri tidak pernah meinggalkan kerjaya nyanyian.
“Apa yang pasti saya sangat teruja diberikan peluang menyertai program ini kerana ia adalah platform terbaik untuk mencabar diri keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu,” sambungnya.
Sumber Foto : Instagram Suki Low
KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Bukan Berkira, Sistem Giliran Elak Adik Beradik ‘Lari’ Tanggungjawab Uruskan Mak Ayah. Apabila mak ayah semakin tua dan meningkat usia, menjadi tanggungjawab anak-anak pula membantu menguruskan mereka. Namun demikian, ada anak-anak yang ‘lepas tangan’ dan hanya mengharapkan adik beradik tertentu untuk memikul tanggungjawab dan menjaga urusan mak ayah ini. Dengan cara sistem giliran sebegini, iya jadi lebih adil pada semua.
Ini amalan yang dilakukan oleh keluarga Arni Suhaila Rahmatini, yang boleh dijadikan panduan buat kita.
Malang sungguh bagi ibu-bapa yang tidak menyedari bahawa anak-anak mereka telah dewasa tetapi lebih malang lagi bagi anak-anak yang terlupa bahawa ibu-bapa mereka telah semakin tua.
Sistem Giliran Urusan Mak Ayah
Aku ada 5 adik, aku nombor dua. Kakak aku dah takde. Bila dah ramai adik beradik ni wajib ada sistem peraturan yang tak membebankan satu sama lain. Aku cipta satu sistem giliran untuk urusan mak ayah kami.
Bila ayah mak perlukan bantuan, kalau yang empunya giliran tak boleh buat, dia wajib bayar ‘gaji’ pada ahli yang sanggup ambik giliran dia.
Siapa saja boleh beri sejuta alasan untuk mengelak..sibuk kerja la, anak takde orang jagalah, kereta belum servislah, belum gajilah.Ahhh macam-macam alasan. Sedangkan mereka berdua tu lah satu-satunya ibu bapa kita.
Mak Ayah Tanggungjawab Bersama
Mak ayah adalah tanggungjawab bersama untuk jaga kebajikan mereka. Mereka ladang pahala buat kita selagi mereka masih hidup. Bila tak buat sistem giliran begini, yang bujang la selalu diambil kesempatan. Kena ambik cuti sedangkan dia juga ada komitmen hutang bulanan. Tidak adil untuk dia.
Dan ini bukan kes berkira perihal urusan mak ayah, Aku nak elakkan pergaduhan adik beradik atas sebab ketidakadilan. Siapa nak pahala lebih silakan buat. Tapi nak ‘lari’ dari tanggungjawab tak boleh!.
Bila ada sistem giliran begini, tak la keluar ayat
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat buat kita yang masih ada mak ayah. Wajar juga membuat sistem giliran begini dalam menguruskan mak ayah. Bagi mengelak ada adik beradik yang lari dari tanggungjawab. Namun demikian, bertimbang rasalah. Jika tak mempunyai masa, sumbangkan wang ringgit pada anak adik beradik yang mampu menjaga untuk keperluan mereka.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...