Pada 10 Februari lalu, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia dikediaman keluarganya di Gombak. Abam meninggalkan seorang balu; Nor Hidayah Mohd Ali dan meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang di waktu itu berusia sembilan bulan.
Mei ini genap tiga bulan pemergian arwah. Nor Hidayah dalam instagramnya berkongsi perkembangan putera tunggalnya yang kini sudah boleh menyebut ‘ayah’ sebaik sahaja melihat gambar arwah Abam.
14 Jun nanti genap Hamzah setahun, walaupun masih kecil Hamzah mula kenal dan tahu ayahnya
Hari ini genap 3 bulan 10/2/20 – 10/5/20 Abang tinggalkan sayang, lagi sayu hati Ibu ayat pertama setiap kali keluar dari mulut Hamzah bila nampak gambar abang kat dinding terus panggil “Ayah” kalau abang ada mesti abang happy… Semoga Abang tenang disana. Sayang janji jaga Hamzah sebaiknya Al-Fatihah dalam bacaan buat Allahyarham suamiku sayang Syed Umar Mokhtar.
بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Hamzah juga dilihat cukup rapat dengan kucingnya, Kembang. Kembang dilihat selalu disisi Hamzah terutamanya ketika dia sedang tidur lena. Hidayah menerusi instagramnya dilihat gigih membuat jualan coklat dari rumah bagi menambah pendapatan dia dan anak tunggalnya. Rezeki si comel Hamzah juga sentiasa murah, kerana ada sahaja pihak-pihak yang mengirimkan dia hadiah berupa baju sebagai tanda ingatan.
MW mendoakan semoga Hidayah dan Hamzah sentiasa dimurahkan rezeki. hamzah juga didoakan menjadi anak yang menyenangkan ibunya kelak. Seperti mana sifat arwah bapanya yang pemurah dan menyantuni ibunya. Al-Fatihah untuk arwah Abam, semoga tiap kebaikan arwah beri sepanjang hayatnya dibalas pahala yang menguntungkannya di alam sana.
Allahu.. pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang, Mohd Ismail, 64 yang diuji kehilangan tiga anak serentak dalam tragedi lemas di Sungai Terengganu, dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam tak berdaya menghantar jenazah ketiga-tiga anaknya ke Tanah Perkuburan Islam Alor Lombat, Rawai Bukit Payung di Marang.
Biarpun sebelum ini, sudah empat tahun menjadi tugas bapa ini menghantar jenazah lain ke tanah perkuburan. Malah akuinya, sejak bekerja membawa van jenazah, sudah hampir 40 jenazah yang dibawanya ke tanah perkuburan.
Tetapi tidak kali ini. Tidak berdaya kudrat ayah ini untuk mengiring ketiga-tiga jenazah anaknya ke tanah perkuburan.
Perasaan sebaknya tak dapat ditahan-tahan apabila melihat tiga keranda anak-anaknya berada di ruang tamu rumah. Bertambah hilang daya upayanya untuk membawa sendiri jenazah anaknya itu ke rumah terakhir anak-anaknya kelak.
“Orang lain satu keranda saja tapi saya sampai tiga, terus rasa lembik tengok tiga keranda anak-anak saya ini dibawa ke rumah.
“Saya terus rasa tak berapa kuat semangat, sedangkan sebelum ini sering memberi nasihat itu kepada orang lain.”
Biarpun masih lagi dalam keadaan terkejut, bapa ini redha dengan kehilangan ketiga-tiga anaknya itu. Rasa kesyukuran dipanjatkan kerana usaha pasukan keselamatan mencari mayat anak-anaknya dapat ditemui selepas 18 jam operasi mencari dimulakan.
Mayat mereka ditemui antara jam 9.50 pagi hingga 12.40 tengah hari.
Ketiga-tiga jenazah anaknya, Allahyarham Umar Iskandar Mohd, 21, Khairul Firdaus Mohd, 17 dan Khalid Naim Mohd, 16 merupakan anak keempat, keenam dan ketujuh dari lapan beradik.
Mereka menjadi harapan keluarga malah anak yang baik dan bertanggungjawab.
Allahyarham Umar menuntut di Universiti Malaya (UM) berimpian menjadi pakar matematik, Allahyarham Khalif Naim pula belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang dan mahu menjadi kadi.
Ayah mereka ini nampak akan kesungguhan anak-anaknya belajar malah selalu mengingatkan mereka agar belajar bersungguh-sungguh memandangkan mereka bukan orang senang.
Namun, hasrat ketiga-tiga anak ini tidak kesampaian apabila mereka terlebih dahulu meninggalkan ahli keluarga tercinta.
“Saya redha kerana orang kata mati lemas jadi syahid. Dan hadiah untuk mak ayah. Sebalik yang buruk ada baiknya.”
Jenazah tiga beradik ini selamat tiba di perkerangan rumah keluarga jam 4 petang hari ini. Selepas disembahyangkan di rumah keluarga, ketiga-tiga jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung di Marang.
Untuk dikebumikan dalam satu liang lahad berhampiran pusara ibu mereka.
Semoga bapa ini tabah dan cekal menghadapi ujian hebat Ilahi ini. Dua tahun lalu, Malaysia juga pernah digemparkan dengan tragedi lemas melibatkan 6 orang anggota penyelam Bomba ketika misi menyelamatkan mangsa lemas.
Sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika beliau menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, yang mengambil ikhtibar tragedi itu sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis :
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)
MW : Al Fatihah.. semoga Allahyarham Umar Iskandar Mohd, Khairul Firdaus Mohd dan Khalid Naim Mohd ditempatkan di taman-taman syurga dalam kalangan orang-orang yang beriman. Didoakan agar seluruh ahli keluarga ini tabah menghadapi ujian hebat ini.
Ajal maut ketentuan tuhan.Dalam masa Ramadan berbaki lebih kurang seminggu lagi, keluarga Anggota Jabatan Pertahanan Awam (APM) Sepang, Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, diuji kehilangan anak tersayang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Anggota Jabatan Pertahanan Awam (APM) Sepang maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jenderam/Salak, Sepang semalam.Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan pada 8.20 pagi itu membabitkan Proton Iswara dan Proton Saga yang kedua-duanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
Wan Kamarul berkata, anggota APM yang maut ialah penumpang Proton Iswara, Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, dari Sungai Pelek, Selangor yang meninggal dunia di tempat kejadian.Beliau berkata, pemandu Proton Iswara yang juga anggota APM, Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman, 22, dan pemandu Proton Saga, seorang wanita yang memandu secara bersendirian masing-masing mengalami cedera ringan.
Katanya, ketika kejadian kereta yang dinaiki dua anggota APM itu hilang kawalan di kawasan jalan berselekoh menyebabkan terbabas dan memasuki lorong bertentangan.
“Ketika kejadian permukaan jalan basah dan rata di selekoh berbukit. Pemandu Proton Saga yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan menyebabkan pelanggaran.
“Pihak paramedik yang datang ke tempat kejadian mengesahkan kematian anggota APM berkenaan, manakala anggota APM dan pemandu Proton Saga yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” katanya.
Difahamkan, dua anggota APM dalam perjalanan ke tempat kerja manakala pemandu Proton Saga menghala pulang ke rumah selepas menziarah saudara.
Sementara itu, menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang, Azli Muhidin, arwah pernah menyerahkan kad undangan perkahwinan kepadanya namun majlis terpaksa ditangguh.
“Arwah Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, sempat menyerahkan kad undangan majlis perkahwinannya kepada saya awal Mac lalu. Namun majlis itu terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, walaupun majlis perkahwinan sepatutnya diadakan 28 Mac lalu terpaksa ditunda namun Nurul Ain langsung tidak menunjukkan riak kecewa.
“Malah, dia komited dengan tugas sebagai anggota APM dan pasukan barisan hadapan sepanjang pandemik Covid-19.
“Mangsa berasal dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Dengkil, begitu menitikberatkan tugas diamanahkan hingga sanggup melupakan seketika impian menaiki jenjang pelamin” katanya.
Menurutnya, kemalangan maut meragut nyawa Prebet (PA) Nurul Ain dalam nahas jalan raya di Jalan Jenderam/Salak, Sepang jam 7.50 pagi semalam amat mengejutkan ramai pihak.
Difahamkan mangsa bersama rakan Pbt (PA) Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman, 22, dalam perjalanan memulakan penugasan di Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sepang.
Azli berkata, Nurul Ain dianggap anggota APM yang memiliki semangat luar biasa berikutan dia tidak pernah mengambil cuti sejak mula bertugas pada 2013.
“Jika ada masalah, dia pandai sembunyikan dari ketua dan hanya berkongsi dengan rakan yang rapat. Dia akan tetap kelihatan ceria sepanjang masa.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada Jumaat lalu. Saya sempat meminta bantuannya memasukkan gambar program kami ke dalam laman sosial Facebook,” katanya.
Dia berkata, kebiasaannya Nurul Ain memulakan tugas jam 8 pagi hingga jam 4 petang membabitkan pelbagai penugasan dan panggilan kecemasan.
“Sebelum ini dia pernah terbabit dengan operasi menyelamat mangsa lemas di Pantai Bagan Lalang, Sepang dan banjir besar. Banyak jasa disumbangkan,” katanya.
Menurutnya, Nurul Ain yang juga anak bongsu daripada tiga beradik turut dikagumi kerana kecekapannya memasak di APM.
Difahamkan sehingga petang semalam, jenazah mangsa masih berada di bilik mayat Hospital Serdang, berikutan proses bedah siasat hanya akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 dilakukan terlebih dahulu.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Pergi dalam bulan yang mulia ketika dalam perjalanan memulakan tugas, semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.
Tak dinafikan ramai suami isteri yang tinggal berjauhan dan lama terpisah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan pada pertengahan Mac lalu. Berita baik untuk pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas tuntutan kerja, kerajaan kembali membenarkan individu berkenaan melakukan perjalanan rentas negeri mulai esok.
Sebelum ini (21 Mei), kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri buat sementara waktu bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 menjelang sambutan Aidilfitri pada 24 Mei lepas.
Bagaimanapun, disebabkan lambakan kenderaan yang ‘curi-curi’ merentas negeri tanpa memberikan alasan munasabah, kerajaan menarik balik kelonggaran berkenaan.
Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keistimewaan itu hanya diberikan kepada pasangan jarak jauh (PJJ) kerana bekerja di dua negeri berbeza.
Namun bagi mereka yang masih bujang, sabarlah kerana giliran anda pasti tiba nanti. Jadi terus patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri itu terhad, untuk seminggu sekali sahaja dan individu ‘istimewa’ terbabit perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri.
Bagi urusan kerja dan kes kecemasan seperti kematian atau perubatan, tiada masalah untuk perjalanan merentas negeri asalkan ada surat kebenaran dikeluarkan oleh pihak polis.
Bermula esok juga, institut memandu dan latihan serta proses pelesenan pemandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kembali beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang, namun dilakukan dengan standard prosedur operasi (SOP) yang ketat.
Berdasarkan perkongsian di media sosial baru-baru ini, beberapa pejabat JPJ bagai hendak pecah pintu apabila diserbu orang ramai selepas kembali dibuka pada 17 Mei.
Diharapkan orang ramai usah ‘kalut’ menyelesaikan urusan yang tertangguh sebelum PKP.
Hari ini, hari ke-28 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak 4 Mei lepas, memperlihatkan Malaysia kini dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari ke-75.
Buktinya, pada sidang media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu jumlah kes positif COVID-19 kembali mencatat dua angka dengan 30 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,762 kes dengan kematian masih kekal 115 kes.
Pastinya, masyarakat mula menarik nafas lega apabila kes baharu positif dan kes kematian angkara wabak itu menunjukkan trend menurun sejak dua minggu kebelakangan ini namun ingatlah perang melawan COVID-19 belum berakhir.
MW: Alhamudillah dengan kelonggaran bersyarat ini. Semoga pasangan suami isteri yang terpisah sebelum ini dapat bertemu kembali. Namun pastikan tetap mematuhi norma baru, jaga kebersihan diri dan bersama kita menghentikan rantaian covid-19 ini.