Siapa sangka idea memendekkan waktu bekerja dalam seminggu sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri.Berbanding tempoh waktu kerja standard 5 hari waktu bekerja, cubaan berani Microsoft Jepun, memperkenalkan waktu kerja pendek kepada empat hari seminggu bermula Ogos lalu ternyata terbukti berkesan dalam meningkatkan jualan dan penjimatan.
Idea radikal itu dilaksanakan gergasi IT Amerika Syarikat (AS) Microsoft di Jepun, yang terkenal kuat bekerja dengan menutup perniagaan pada setiap Jumaat sejak Ogos lalu, sempena eksperimentasi projek baru yang dinamakan ‘Work-Life Choice Challenge Summer 2019’, sekali gus memberikan 2,300 pekerjanya cuti istimewa tanpa memotong gaji.
Bukan itu sahaja, pihak syarikat juga memberikan subsidi percutian keluarga kepada para pekerja dengan bayaran sehingga hampir RM3,800.
Perlaksanaan bekerja empat hari seminggu di Microsoft,Jepun ternyata membuatkan para pekerja berasa lebih gembira dan bekerja dengan lebih produktif.
“Kerja waktu yang pendek, banyakkan rehat dan pelajari pelbagai perkara,”
“Saya mahu para pekerja berfikir merasai pengalaman yang dia tetap boleh perolehi keputusan yang sama dengan hasil pengurangan 20 peratus waktu bekerja,” kata Takuya Hirano, Presiden dan CEO Microsoft,Jepun dalam kenyataannya di website Microsoft Jepun.
Ads
Keputusan Positif
Hasil yang diperoleh sangat positif, apabila jualan bagi setiap kakitangan meningkat kepada sehingga 40 peratus pada Ogos sejak setahun lalu. Penggunaan elektrik juga dikurangkan kepada suku selain penggunaan kertas yang berjaya dikurangkan sehingga separuh.
Firma itu berkata, cubaan itu menunjukkan pekerja mahukan pelbagai pilihan untuk melaksanakan tugas dan dengan mengamalkan model yang lebih meluas mampu meningkatkan kecekapan.
Microsoft merancang untuk melancarkan program yang sama musim sejuk ini, tetapi tidak akan menawarkan cuti khas. Sebaliknya, pekerja akan digalakkan untuk menggunakan cuti sedia ada, katanya.
Ads
Amalan Gaya Kerja Fleksibel
Program ini diperkenalkan ketika kerajaan Jepun menyasar kepada amalan gaya kerja yang lebih pelbagai dan fleksibel, sekali gus menggesa perusahaan untuk menerima telekomunikasi, jadual kerja sambilan yang berbeza dan berulang-alik di luar waktu puncak.
Ia turut mengehadkan waktu mesyuarat kepada maksimum 30 minit dan menggalakkan perbualan dalam talian sebagai alternatif berbanding komunikasi secara bersemuka.
Ads
Penyertaan dalam setiap mesyuarat pula dihadkan kepada hanya lima orang sahaja dan pekerja turut digalakkan menggunakan komunikasi dalam talian berbanding emel.
Usaha ini adalah sebahagian daripada percubaan untuk menangani isu ‘karoshi’ atau kematian akibat terlalu kuat bekerja dan menggalakkan pasangan untuk mempunyai anak di negara yang bergelut dengan populasi yang semakin mengecil. – AFP
MW: Menarik juga langkah pendekkan waktu bekerja yang dilakukan oleh syarikat Microsoft di Jepun ini. Jualan lebih produktif, meningkat dan kurangkan tekanan pekerja. Terbaik!
Ibu ini, Shiela Azmi tak panik ketika berdepan detik cemas bila mana kereta yang dipandu suami terbabas lalu jatuh ke dalam anak Sungai Miang Pekan.
Sebaliknya berjaya mencapai dua orang anaknya, berumur 2 tahun dan bayi 5 bulan keluar dari kenderaan yang ketika itu sudahpun tercampak dari tempat duduk asal.
Waktu itu, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Rompin ke Kuantan. “Sebab anak ada appointment dekat Hospital Tengku Ampuan Afzan.”
Berdebar baca perkongsian detik cemas ibu ini selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis dan orang ramai.
Ramai yang tanya saya, macam mana saya keluar dari kereta?
Masa tu terlalu drastik. Semua berlaku terlalu pantas. Sara (anak sulung) duduk seat depan, saya dengan baby duduk seat belakang.
Masing-masing tengah tidur, cuma saya tak tidur mana pun. Cuma pejam mata je. Bila kereta dah terbabas tu, saya tak panik. Suruh suami bukak lampu kereta cepat-cepat.
Sebab gelap sangat kat situ.
Dalam kepala fikir anak-anak je. Masa terjunam tu, Sara dah tergolek ke bawah tempat kaki. So, saya dari belakang terus capai amik dia. Dah dapat Sara, baby pulak jatuh ke bawah. Cepat-cepat saya amik Baby.
Cermin kereta depan pecah.. Nasib baik tak kena anak-anak. Saya kepit dua-dua sebelum kereta masuk air dan tenggelam.
Masa dah pegang dua-dua, air dah mula masuk. Time tu air memang dah paras leher saya. Tinggal sikit je ruang udara lagi nak sampai ke bumbung.
Terus suami bukak pintu. Saya ‘pass’ anak-anak dan terus suami bawak keluar. Alhamdulillah suami sempat ingatkan saya suruh amik fon sekali bawak keluar. Tercelup jugak dalam air, tapi mujur boleh call lagi.
Saya pulak di seat belakang, tengok air makin laju naik saya terus lompat ke depan keluar pintu. Dah keluar pintu, harung air yang sejuk teramat, hujan, angin yang kuat, guruh semua.. Menggigil-gigil sejuk Tuhan je yang tahu. Dengan baju yang basah kuyup. Tinggal sehelai sepinggang. Alhamdulillah tak sampai 3 minit pun kami keluar dari kereta selamat kan diri.
Dah keluar kereta, terus cakap kat suami kita naik atas dulu pape pun. Yang lain-lain biar je kite tinggal. Sebab dalam kepala dah fikir macam-macam dah.
Buatnya kereta meletup ke, terbalik ke pape hal baik naik atas dulu. So kami panjat la tebing situ. Dengan licin nye, rumput panjang, takde benda nak paut, dengan tak berselipar.
Pakai stokin pun sebelah je tinggal, sebelah lagi tercabut. Allah, tawakal jelah kalau terpijak pape pon. Suami dukung dua-dua anak, dah sampai atas jalan raya baru suami pass baby pada saya.
Kesian sangat dia menangis kesejukan, terkejut, takut semua ada. Saya tak berhenti berzikir nak bagi dia tenang. Baby pun terus senyap macam memahami semua yang jadi. Sara pulak diam seribu bahasa. Trauma mungkin.
Kami terus call polis, ambulance semua. Dengan speaker dengar tak dengar sebab dah masuk air. Dengan hujan nya lagi time tu. Tahan kereta, lori semua tak nak berhenti.
Lama sangat kami tunggu. Sampai la datang polis peronda yang bwk “body” (bukan polis yang terima report kami). Diaorang berhenti selamatkan budak-budak ni dulu. Saya minta nak masuk kereta dulu sebab anak-anak dah kesejukan. Dengan hujan kat luar. Alhamdulillah, diorang pun siap bagi lagi jaket masing-masing suruh selimut kan anak. Lama jugak kami tunggu sampai JPAM sampai.
Dugaan nya rasa. Tak tau nak nangis ke nak jerit. Sebab still rasa terkejut. Tapi memang saya tak nangis. Nak tak nak kita kena kuat jugak untuk anak-anak.
Kadang saya pun terfikir macam mana nak selamatkan anak-anak kalau dua-dua duduk dalam car seat? Sempat ke nak selamatkan agak-agak? Tak mampu nak bayang. Setengah jam pun belum tentu dapat selamatkan. Dengan air yang naik terlalu cepat. Sedar-sedar nanti semua dah hanyut.
Nauzubillah.. Dalam kes macam ni, saya tak sokong sangat penggunaan car seat.
Bersyukur pada Allah selamatkan lagi nyawa kami sekeluarga. Malaikat lindungi anak-anak saya. Saya bernasib baik sebab kereta jatuh ke tepi. Kalau jatuh ke tengah, mungkin kami dah tenggelam dah semua.
Tak tau sempat ke tak, nak selamatkan diri. Air parit situ dalam sangat. Kereta tu nasib ada kayu besar dengan simen kat bawah dia. Jadi tersangkut kat situ tak bergerak.
Kesian anak-anak mama semua dah pucat. Tangan kaki dah biru-biru sebab terlalu sejuk. Dengan baju seluar pampers semua basah kena rendam.
Dah sampai hospital terus doc cek anak-anak. Alhamdulillah, buat X-ray semua tak pape yang patah. Cedera pun takde. Tapi stay jugak la dekat hospital doc nak buat observation. Dan alhamdulillah sangat-sangat anak-anak mama kuat. Walaupun lama kena hujan tapi masing-masing tak demam pun. Jadi esoknya dah boleh balik rumah.
Saya percaya setiap ujian yang saya hadapi ni mampu buat saya jadi lebih kuat dan tabah. Banyak lagi dugaan yang kami nak kena hadap selepas ni.
Semoga Allah permudahkan segala kesulitan saya sekeluarga. Syukur Alhamdulillah padaMu ya Allah kau selamatkan nyawa kami. KepadaMu lah tempat kami berlindung dan meminta pertolongan.
Terima kasih semua yang membantu Keluarga, kawan kawan.. Terima kasih semua yang mendoakan kami. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa baik kalian.
Ayat pun tunggang langgang dah ni. Kalau tak paham buat-buat paham jelah.
MW : Syukurlah ibu ayah ini tak panik, sempat fikir pantas selamatkan diri dan anak-anak.
Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“ Sehingga sekarang sudah 6 kali pembedahan dijalankan terhadap Qhayla. Semasa usianya 28 hari dan sebulan lebih, pembedahan untuk membuang air lebih dalam kepala telah dilakukan,” cerita Che Siti Nor Azreen bt Che Ishak membuka bicara.
Cahaya mata sulungnya normal. Oleh itu apabila disahkan mengandung, Che Siti amat berharap anak keduanya ini juga sihat dan normal. Namun apa yang diimpikan itu tidak kesampaian.
Anak perempuan keduanya disahkan menghidap penyakit hydrocephalus with dandy walker malformation. Atau dalam bahasa mudahnya, terdapat lebihan air dalam kepala anaknya yang boleh menyebabkan kepala menjadi besar.
Cerita ibu berusia 23 tahun ini, masalah kesihatan anaknya yang diberi nama Nur Qhayla Rania Mohamad Firdaus ini telah dikesan semasa usia kandungannya enam bulan. Doktor memberitahu terdapat benjolan pada kepala bayi.
“ Qhayla dilahirkan secara pembedahan di Hospital Tanah Merah, Kelantan. Ketika dilahirkan lilitan kepalanya tidak normal iaitu 39 sentimeter.
“ Semasa saya mengandungkan Qhayla, saya juga disahkan lumpur separuh badan. Masa itulah doktor telah mengesan Qhayla sakit.”
Kata Che Siti semasa dirinya lumpuh itu, kandungannya berusia dua bulan. Dia mengalami alahan yang sangat teruk.
“ Secara tiba-tiba saya tidak boleh berjalan. Saya juga tidak dapat rasa apa-apa. Akibatnya saya ditahan di dalam wad selama 11 hari.
“ Masa itu kaki saya rasa kebas. Doktor kata potassium saya rendah. Kemudian doktor bagi ubat untuk potassium. Selama lima hari saya makan ubat itu. Selain ubat itu, banyak lagi ubat yang diberikan kepada saya.
“ Selepas saya keluar wad, saya ada buat fisioterapi dan baik pulih cara kerja. Saya lumpun sehingga Qhayla lahir. Setelah usia Qhayla sebulan, perlahan-lahan kesihatan saya makin baik,” ceritanya.
Kini usia Qhayla telah hampir masuk 3 tahun. Banyak perubahan telah berlaku dalam hidup keluarga ini. Che Siti mengakui masa mula-mula anak keduanya ini lahir, agak susah juga untuk dirinya menjaganya kerana diri dia sendiri masih belum pulih sepenuhnya daripada penyakitnya.
“ Alhamdulillah sekarang saya pulih sepenuhnya. Saya bersyukur diberi kesihatan dan kudrat yang baik untuk menjaga anak syurga saya ini.
“ Menjaga Qhayla tidak susah sebab dia faham apa yang kita cakap. Cuma masa dia sakit memang susah saya hendak buat kerja.
“ Sehingga sekarang sudah 6 kali pembedahan dijalankan terhadap Qhayla. Semasa usianya 28 hari dan sebulan lebih, pembedahan untuk membuang air lebih dalam kepala telah dilakukan.
“ Kemudiannya apabila dia berusia 5 bulan, dibuat pula pembedahan untuk memasukkan v.p shunt dari kepala sampai ke perut.
“ Pada usianya setahun lapan bulan, v.p shunt telah dijangkiti kuman. Perlu pula dibuat pembedahan untuk membuang shunt dan dipakaikan evd di kepala selama sebulan.
“ Selepas itu pembedahan untuk memasukkan v.p shunt baru yang diberi secara percuma dari sebuah syarikat untuk Qhayla.
“ Beberapa bulan sahaja ia bertahan. Pada bulan Januari 2019, shunt itu mengalami masalah dan terpaksa dibuang dan diganti dengan yang baru,” cerita Che Siti panjang lebar.
Che Siti menjaga Qhayla sepenuh masa. Sebelum ini dia berniaga makanan ringan dengan ais blended. Namun disebabkan kesihatan Qhayla yang tidak mengizinkan sekarang, dia terpaksa berhenti berniaga.
“ Keadaan Qhayla sangat aktif sebelum dijangkiti kuman. Aktif dia itu walaupun tidak sama seperti kanak-kanak lain, dia boleh minum susu menggunakan botol. Dia boleh makan nasi. Malah dia juga pandai bergurau senda. Ketika itu dia cuba juga hendak bercakap walaupun agak pelat.
“ Tetapi selepas Qhayla dijangkiti kuman, semuanya berubah sekelip mata sahaja. Dia kerap mengadu sakit kepala.
” Dia juga selalu menangis, merengek, tidak mampu hendak senyum dan menyusu pun menggunakan ryles tiub sahaja. Sepenuhnya bergantung pada susu dan carborie.
“ Kalau dia sihat, Qhayla mampu menyusu 100 ml setiap 3 jam. Kalau dia tidak sihat, 40 ml sejam setengah saja. Kalau diberi banyak dia akan muntah.
” Sekarang ini berat badan Qhayla semakin susut. Selepas terkena jangkitan kuman juga Qhayla selalu sangat diserang sawan,” luahnya.
Demi Qhayla, ibu muda ini perlu kuat semangat. Dalam kepalanya dia tidak fikir benda lain. Hanya mahu jaga Qhayla dan mahu lihat anaknya itu sihat.
“ Saya mahu dia sihat walaupun tidak macam kanak-kanak lain. Kekuatan saya adalah Qhayla. Saya percaya bila Qhayla Nampak saya kuat, dia juga akan kuat dan lawan segala rasa sakitnya itu.
“ Sebagai seorang ibu yang memiliki anak sebegini, bagi saya kesabaran itu penting. Anak sakit kita tidak boleh cuai. Kita betul-betul kena jaga dia tidak kiralah dari segi memberi susu pada waktu malam. Ubat juga tidak boleh ditinggalkan.
“ Kita juga perlu sabar dengan perangai agresif anak yang suka tarik buang ryles tiub. Saya ini pada waktu malam pun selalu berjaga. Kesabaran itu amat penting,” ujarnya.
Che Siti dan suaminya Mohamad Firdaus bin Abdullah bukannya orang senang. Suaminya hanya melakukan kerja kampung. Suami dia jugalah yang membanting tulang menyara keluarga.
“ Kami bergantung sepenuhnya pada pendapatan dia. Namun sejak Qhayla sakit, kami perlu membeli susu khas dan carborie yang mencecah empat ratus lebih dalam sebulan. Nasib baik kos rawatan Qhayla di hospital adalah percuma kerana menggunakan kad OKU Kebajikan Masyarakat.
“ Sebulan sekali kami akan membawa Qhayla untuk berjumpa doktor pakar kanak-kanak dan pakar bahagian kepala. Fisioterapi pula dilakukan seminggu sekali. Semua itu dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.”
Luahnya lagi, keluarganya juga daripada golongan orang susah. Mereka tidak mampu membantu dirinya dari segi kewangan.
“ Namun keluarga saya tetap membantu saya bergilir menjaga Qhayla ketika di wad. Keluarga saya memang banyak memberi sokongan kepada saya.”
Jika ada yang ingin menghulurkan bantuan kepada Che Siti bolehlah menyumbang kepada akaun Maybank 503051529082 (Che Siti Nor Azreen).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!