Di usia 35 tahun, sudah pasti saya juga ingin bergelar isteri dan ibu. Namun hasrat saya itu belum diizinkan Tuhan.
Terus terang, saya seorang wanita yang sangat mementingkan pendidikan dan karier. Saya tak kisah bila zaman remaja saya ‘habis’ dengan mengejar pelajaran dan cita-cita. Kini saya memiliki firma guaman saya sendiri, bersama seorang rakan baik.
Tak nafikan, kerjaya membuatkan ramai lelaki takut untuk menghampiri. Apatah lagi usia saya bukan lagi muda belia. Kalau ada pun, sudah bergelar suami orang dan pasti saya tolak mentah-mentah. Saya tak kisah kalau bertemu jodoh dengan duda, asalkan bukan suami orang. Bekerja sebagai peguam syariah, saya banyak uruskan kes perceraian dan banyak kes melibatkan isteri teraniaya bila suami ingin berkahwin lain. Lelaki muda? Lagi saya tolak!
Pertemuan
Kata orang, kadangkala apa yang kita nak elak, itu yang dapat. Baru-baru ini saya mengendalikan satu kes perceraian. Setiap kali datang berjumpa saya, dia akan ditemani adik lelakinya. Saya dapat rasa dia lelaki yang baik kerana sentiasa di sisi kakaknya dalam saat getir begitu.
Selepas kes itu selesai, saya terima panggilan telefon daripada lelaki itu (saya kenalkan sebagai M), mengucapkan terima kasih kerana telah membantu melancarkan kes perceraian kakaknya.
Makin Rapat
Sejak itu, sering kali juga dia whatsapp dan bila free, akan saya balas. Saya suka dengan sikapnya yang kelakar dan pandai hiburkan hati saya bila tengah tertekan. Lama-kelamaan tanpa sedar saban hari kami berhubung dan akhirnya mula keluar bersama.
Saya tak pernah simpan perasaan terhadapnya memandangkan umurnya enam tahun lebih muda. Saya membahasakan diri ‘kakak’ tapi dia enggan panggil saya begitu, katanya tak nampak pun saya lebih tua. Akhirnya saya biarkan saja.
Luah Perasaan
Dia bekerja sebagai pensyarah muda di sebuah IPTS. Satu hari saya tanya, takkan tak ada pelajar yang mengoratnya kerana orangnya boleh tahan segak juga. Tapi katanya hatinya sudah terpikat pada saya dan dia sukakan wanita yang lebih matang. Penat layan perempuan yang manja dan mengada-ada.
Mulanya saya tak ambil perhatian sebab ingatkan dia bergurau. Tapi bila dia luahkan perasaannya dengan serius, saya sedar dia tak main-main.
Ads
Dalam masa yang sama, pernah saya mengelakkan diri daripadanya selama tiga minggu namun dia tak henti-henti whatsapp walau pun saya tak balas. Akhirnya saya akur dengan perasaan sendiri, saya juga sukakan dia dan cuba beri peluang untuk kami berdua.
Kini sudah hampir setahun perhubungan kami dan rasanya ini saat tepat untuk bawa ke peringkat seterusnya kerana saya juga bukan muda lagi.
Masalahnya sekarang, saya tak tahu macam mana nak beritahu keluarga bila M mendesak saya bawa dia jumpa keluarga. Pernah saya cuba bagi ‘hint’ pada keluarga saya, apakah mereka akan terima kalau saya pilih lelaki muda tapi awal-awal lagi mak tak izinkan. Katanya jangan percaya dengan lelaki muda. Pasti nak kejar duit saya saja.
Saya serba salah, saya tahu M bukan begitu. Saya tak kisah kalau adik-beradik saya tak setuju, tapi kalau mak dan ayah, sebagai anak tentu saya kena fikir masak-masak. Saya tak nak jadi anak derhaka semata-mata kerana cinta. Dalam masa yang sama, saya juga sangat sayangkan M dan saya yakin dia dapat jadi suami yang baik untuk saya.
Miss K, Bangi.
Ads
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah. Kita merancang..Allah yang menentukan. Merancang dan berusaha serta bertawakal adalah ajaran yang Allah suruh kita ikut untuk mencapai apa yang dihasratkan. Bercakap soal jodoh, kadang-kadang pertemuan tidak dijangka menjalinkan hubungan erat yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan.
Ramai wanita kini yang tidak berkahwin. Antara alasan yang kita sering dengar adalah wanita ramai, lelaki sedikit, susah untuk berjumpa lelaki yang baik, pendidikan lelaki jauh lebih rendah dari wanita, lelaki tidak bekerja atau pendapatan yang rendah (tidak setaraf), keluarga tidak terima berkawan dengan suami orang, dan ada juga faktor umur lelaki yang jauh beza.
Selidik Dulu Soalan Ini
Sebelum kita berbincang tentang penerimaan keluarga terhadap pilihan puan, cuba puan tanya keluarga solan-soalan ini.
i) Apakah kriteria calon yang mereka mahu?
ii) Dalam keadaan usia puan yang telah mencecah 35 tahun, adakah boleh dapat lelaki ikut kriteria yang mereka tetapkan?
Jika keluarga kata mereka boleh carikan, maka puan pula berikan satu tempoh yang bersesuaian yang boleh mereka carikan. Contoh dalam tempoh 3 bulan. Jika mereka berjumpa dengan calon pilihan mereka, mohon masa untuk berkenalan dahulu. Dan jika dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat calon yang mereka mahukan, maka puan minta agar jodoh puan mereka terima.
Ads
Dalam masa yang sama, puan cuba kenali M dengan lebih mendalam…dari segi perwatakan, ilmu dan amalan keagamaan, kebiasaan aktivitinya, hubungan keluarga dan kerjaya melalui ahli keluarganya, rakan-rakannya dan di tempat kerjanya. Dari sini puan boleh membuat penilaian tentang latar belakang M. Namun, tidaklah perlu untuk mencari fakta kesempurnaannya kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maklumat ini puan simpan dan boleh dikongsikan dengan ahli keluarga terdekat yang boleh memberi kerjasama dengan puan. Dengan M yang selalu mendesak minta sedikit masa, katakan padanya keluarga agak berat menerima lelaki yang jauh lebih muda daripada puan. Atau boleh gunakan alasan lain yang bersesuaian. Beritahu dia solat istikharah sama ada pilihannya itu baik buatnya dan agamanya. Minta dia bersabar dengan tempoh masa itu. Jika dia benar mahukan puan, dia akan sanggup menunggu, kerana 3 bulan bukan tempoh masa yang lama.
Setelah sampai tempoh masa yang puan berikan kepada famili, jika tiada calon yang mereka bawa, maka puan boleh menyuarakan hasrat hati bahawa puan ada berkawan dengan M dan M ingin berkenalan dengan ahli keluarga. Jika puan sukar untuk memberitahu ahli keluarga dan meyakinkan mereka, maka puan boleh gunakan ahli keluarga yang memahami puan dan menyokong puan. Lihat respons keluarga sama ada mereka terima atau tidak. Jika responsnya negatif, maka puan bolehlah mengemukakan hujah dan maklumat yang puan tahu mengenai M. Puan seorang peguam, saya yakin tiada masalah untuk puan meyakinkan mereka dengan pilihan puan.
Ramai saja wanita yang lebih umur daripada lelaki antara 5 hingga 7 tahun mereka berkahwin dan kekal dengan perkahwinan. Pun jika ahli keluarga menyatakan bahawa lelaki itu hanya mahukan harta puan, maka puan juga boleh katakan bahawa bahagia bukan letak kepada banyaknya harta. Adakah puan rasa ahli keluarga bimbang jika puan berkahwin dengan orang muda yang tidak sebanyak harta yang puan miliki , maka mereka tidak dapat berkongsi harta puan?
Puan yang dirahmati Allah
Akhir kata, apa jua masalah, kehendak dan pilihan kita, carilah Allah mohon pertolongan. Seperti yang puan minta dia solat istikhrah, puan juga untuk beberapa malam atau dalam tempoh beri masa yang ditetapkan itu, buatlah solat istikhrah, mohon petunjuk dari Allah…apakah pilihan yang terbaik buat puan dan buat agama.
Jika apa yang puan harapkan tidak menjadi kenyataan, maka kita perlu bersyukur kerana perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Wallahualam.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Susah hatikan mak-mak kalau susu ibu tak meriah macam mak-mak menyusu yang lain. Macam-macam cara cuba, tak juga mahu bertambah. Ibu pada Nur Aaliya Raisha, 3 bulan ini akui susunya sentiasa meriah. Tak pernah drop dari hari pertama bersalin sampailah sekarang.
Nak tahu apa rahsia Nursha Salleh (Kekcha) ini. Rupanya dia cuma amalkan 4 makanan sunnah untuk dapatkan milk booster terbaik. Makanan inilah yang hasilkan susu meriah.
“Lepas deliver baby, baby tak pernah berjaga malam kerana kekenyangan. Dan tidur tersangat sangat lena sampai kan saya ni tak berjaga malam.”
“Sekali pam, akan dapat 120 ML tau. Kenyang baby. Syukur sangat.”
Amal 4 Makanan Sunnah Ini Untuk Hasilkan Milk Booster Terbaik
KURMA 2 BIJI
BADAM 2 BIJI
KISMIS 7 BIJI
SUSU SEGAR ( tak kisah apa brand tau, macam saya pakai dutch lady)
Caranya Macam Ni
1. Cara dia amik kesemua bahan di atas, buang biji.
2. Lepas tu blend dengan susu Dutch lady.
3. Boleh terus diminum. Sedap sangat!
“Memang sangat sangat membantu. Dari 1st day deliver baby sampai la sekarang baby usia 3 bulan susu badan tak pernah drop. Kekcha tak penah amalkan apa apa milk booster lain kecuali moeder tapi tak berapa nak menjadi sangat sampai lah amalkan yang ni je. Dah la senang nak dapat. Kat kedai sebelah rumah pun ada jual.”
Tapi Kan.. Nak Susu Meriah Kenalah Ikut Panduan Penting Ini
√ Kalau dah ambil milk booster ni jangan lah ingat susu kita terus melimpah ruah hingga ke ladang gandum dengan serta merta.
√ Goyang kaki je sambil tengok tv rilek-rilek tetiba susu banyak. Amboi mak enon. Tidak lah mudah sebegitu ye.
√ Kena juga direct feeding dan pam untuk penghasilan susu badan yang lancar. Konsepnya mudah je.
√ Ada permintaan (demand), ada bekalan (supply). Lagi banyak pengeluaran lagi banyak penghasilan susu badan yang baru. Jadi breast pun sentiasa penuh.
√ Selagi ibu tidak kerap menyusukan anak (1-2 jam sekali), bila anak bersama terutamanya pada waktu malam dan tidak mengosongkan payudara (mengepam 2-3 jam sekali) bila anak tidak bersama memang susu tidak akan terhasil walaupun anda makan milk booster berharga seploh juta sekali pun.
Syarat Amalkan Milk Booster Terbaik
√ Kurma, badam dan kismis ni memang power khasiat dia. Dari pregnant sampai lah dah bersalin ni memang selalu orang kata elok makan kurma dan semua kat atas tu.
√ Kurma ni kalsium dan zat besi dia tinggi. Ok cara dia macam ni tau.
√ Kena ingat, milk booster ini untuk sekali minum saja.
√ Amalkan minum pagi dan malam sebelum tidur.
√ Kurma, badam dan kismis kena rendam semalaman okay.
Sekian perkongsian saya terhadap ibu ibu. Semoga ia dapat membantu mengenyangkan baby kita.
Terkejutkan bila baca cerita murid ponteng sekolah 53 hari sebab malam main game sampai tak boleh bangun pagi. Nak dijadikan cerita, pihak sekolah pun sampai minta bantuan polis untuk kejutkan anak tadi.
Dari catatan itu katanya ibu ayahnya tak sampai hati nak kejutkan anak pagi hari. Apa pun alasan itu, cuma merekalah yang memahami hakikat sebenar kisah dalam keluarga mereka. Kita yang membaca terkesan sebenarnya dengan cerita-cerita sebegini.
Rasa betapa semakin sukarnya mahu mendidik anak di zaman sekarang. Inilah yang turut dialami Puan Ina Mohd, ibu 4 orang anak perempuan dan seorang lelaki yang pernah satu ketika berdepan dengan kerenah anak degil yang bukan biasa-biasa punya nakal.
Tapi lihat cara ibu ini tangani salah laku anaknya. Yang mana akhir cerita nanti akan buat anda sayu dan rasa bahagia. Kerana anak yang berusia 33 tahun ini akhirnya berubah menjadi orang berjaya.
Viral Anak Main Game Sampai Tak Boleh Bangun
Susahkan nak didik anak sekarang. Pengalaman saya pun sama. Seorang je anak lelaki. Masa umur 11 tahun dia dah terpengaruh dengan game sampai ponteng sekolah. Ambil duit tanpa pengetahuan.
Basikal yang saya belikan untuk ke sekolah dijualnya untuk main game. Lepas itu dia bagitau basikal hilang kena curi. Nakalnya Ya Allah.
Sampaikan kita kunci pintu depan tak bagi keluar rumah, dia boleh terjun ikut pintu belakang dari tingkat dua dengan tali. Hanya DIA je yang tahu.
Tapi masa tu saya tak percaya anak saya sampai tahap tu pengaruhnye. Sehinggalah suatu hari Kak Long mengadu yang abang ni tak pergi sekolah. Kena rotan kat perhimpunan. Macam-macam di usia baru 11 tahun.. huuu ape lagi. Mengamuk laaa si mama ni.
Pintu Saya Rotan Sampai Pecah
Ujar ibu ini lagi, waktu zaman anaknya permainan video game cuma ada di kedai. Tak macam sekarang yang mudah search di handphone.
Saya pergi kedai game warning jangan sampai anak saya masuk lagi. Kat rumah saya rotan (acah-acah rotan). Tak cukup rotan dia, pintu saya rotan sampai pecah pintu (sebetulnye).
Sehinggalah suatu pagi tu dia cakap (ALLAH bukakan pintu hati dia).
“Mama kalau nak abang jadi baik, hantar abang kat sekolah tahfizlah.”
Pada mulanya terkesima juga tapi demi untuk menjadikan dia seorang manusia, saya pejam mata cari sekolah tahfiz.
Di usia 13 tahun dah berpisah dengan dia. Walaupun ada mulut-mulut yang berkata anak tak ada akademik nak kerja apa. Hati remuk tak payah nak cakap sebab satu-satunya anak lelaki.
Hari-hari tanpa dia tak tidur juga malam-malam. Tapi Alhamdulillah bila tengok dia seperti selesa dapat jugalah pujuk hati saya untuk lepaskan dia.
Cumanya tiap-tiap minggu akan ke sekolah dia. Sehinggalah tamat pengajian tahfiz kat Shubro Mesir.
Sujud Syukur Ibu PadaNya
Waktu dia di Mesir tu, 2 minggu juga saya kat sana temankan dia. Balik Mesir baru ambil SPM tanpa belajar di usia 23 tahun. Dan Allah bersamanya. Alhamdulillah sekarang dia merupakan seorang anak yang berjaya dengan bisnesnya serta kelas Al-Qurannya. Sujud syukur padaNYA. Umur dia pun dah 33 tahun sekarang. Adik Kak Long.
Pengajaran kat sini kita boleh je rotan anak yang degil tapi rotanlah dengan lafaz bismillah kerana Allah bukan dengan perasaan nafsu amarah. InsyaAllah Allah akan bantu kita. Pandanglah syurga di wajah mereka.
Bukan nampak kenakalan mereka semasa merotan. Ingatlah ibu adalah guru pertama untuk mencorakkan mereka.
“Mama akan sentiasa mendoakan abang untuk menjadi seorang insan jutawan dunia akhirat dan dapat bersama-sama KakLong untuk tarik tangan Mama..Aamiin.. Mama bangga dengan abang sekarang.”
Nota: Waktu Mingguan Wanita meminta keizinan siar semula kisah Puan Ina di web kami, beliau mohon agar sama-sama memberi sedeqah Al-Fatihah untuk bidadarinya, Kak Long yang telah kembali ke kampung akhirat.
Orang dulu-dulu cukup takut dan hati-hati tempoh berpantang. Zaman dulu, kemudahan perubatan tak macam sekarang. Sebelah rumah pun boleh jumpa klinik.
Dulu klinik jauh. Kena menapak berbatu-batu baru jumpa. Silap hari bulan bila kena gi klinik, terpaksa tebalkan muka pinjam kereta prebet sapu minta hantarkan isteri sakit ke hospital.
Jadi, bila mak kata jaga pantang betul-betul. Maka, jagalah badan itu dengan betul-betul. Tak makan lauk sejuk, tak pegang penyapu, tak angkat cerek, tak makan laksa sampai 60 hari dan banyak lagilah yang taknya.
Tapi dalam nak menempoh 44 hari bukanlah mudah. Cabarannya besar lagilah dulu semuanya bergantung dengan perubatan tradisional.
Dan yang paling terkesannya, badan mungkin lah pulih dan kembali langsing. Tapi tak disedari emosi rupanya terganggu semasa melalui waktu berpantang itu.
Diam tak diam, kesan meroyan kecil jadi dekat diri sendiri. Sudahnya bila ada satu-satu hal kecil yang anak buat atau suami buat silap, cepat saja nak melenting. Tak boleh nak kontrol emosi.
Cerita lama yang akan dikongsikan ini ada kaitan sedikit sebanyak dengan kisah ibu meroyan yang tak dirawat. Sebaliknya cuma diubati dengan cara kampung.
Demi Suami Pertama Dan Mentua, Ibu Rela Terseksa
Ini kisah ibuku. Waktu muda ibuku semangnya menjadi perhatian lelaki-lelaki di kampung. Dia tidaklah cantik tapi ibu seorang yang menawan dan miliki tubuh genit idaman wanita.
Sebelum bertemu ayah, ibu pernah berkahwin. Bukan kali pertama, tapi kali ketiga. Ayahku adalah suami keempatnya.
Ibu berkahwin muda ketika usianya belasan tahun lagi. Perkahwinannya dengan suami pertama sampailah ketiga tak bertahan lama.
Paling lama pun dua tahun saja kemudian ibu diceraikan. Hasil perkahwinan ibu dengan setiap suami memperoleh seorang anak. Cuma anak dengan suami ketiga saja yang ibu jaga sampailah hari ini.
Anak pertama dan anak kedua dari suami keduanya langsung tak ku dengar khabar berita. Seperti yang diceritakan, ketika berkahwin dengan suami pertama ibu terdera emosinya.
Ibu diperlakukan seperti hamba di rumah ibu mentuanya. Semasa mengandung anak pertama ibu tak pernah rehat. Membasuh, mengemas tak henti-henti. Dulu manalah ada mesin bagai. Ke sungailah membasuhnya.
Dalam sarat mengandung ibu perlu bekerja di sawah bendang. Balik ke rumah memasak pula untuk ahli keluarga suaminya yang tinggal bersama mereka. Kain baju pun ibu jugalah yang selesaikan.
Berpantang Dengan Mentua Garang
Selepas bersalin, ibu dijaga ibu mentuanya yang garang. Makan bercatu. Minum pun air kopi semata. Itu pun secawan sehari. Ibu tak membantah dilalui derita itu dengan kepayahan.
Setahun berlalu, ibu lari dari rumah. Tak tahan di dera emosi oleh suami dan ibu mentua.
Cerita ibu dengan suami kedua dan ketiga lebih kurang sama. Mungkin sikap ibu yang menurut perintah dan tak pandai membantah membuatkan ibu diseksa sedemikian rupa.
Penderaan emosi ibu lalui dan kepayahan itu menjadikan ibu seorang wanita yang kental dan keras.
Sikap Ibu Berubah, Baik Depan Anak, Sendirian Dengan Ayah Ibu Sumpah Seranah
Sampailah akhirnya ibu bertemu ayah. Ayah seorang lelaki yang budiman. Dia tak pandai nak marah-marah. Sesuai sangatlah cantuman hati itu. Seorang keras, seorang lembut.
Tapi rupanya, penderaan jiwa yang berpanjangan mencederakan sikap dalaman ibu. Ada ketikanya dia jadi seorang yang tersangat dengan dingin, tak hiraukan langsung anak-anak jika sedang melawan emosi diamnya itu.
Ada ketika ibu jadi tersangatlah baran, sampai pernah terbalik meja makan sebab terlalu marah dengan tindakan ayah yang membantu orang kampung.
Ibu tiba-tiba menjadi seorang yang perasa. Pernah suatu hari ibu terlalu cemburu dengan ayah dan akhirnya dia menghempas barang-barang yang ada di rumah.
Ayah tak pernah membantah pun ketika ibu berang tak tentu hala itu. Ayah diam saja. Semua tindak tanduk kasar ibu ayah pendam lama.
Ini Janji Kami..
Sampailah suatu hari ayah kongsikan dengan kami anak-anaknya yang 5 orang ini. Kata ayah, dia amat memendam rasa dengan sikap ibu.
“Satu malam bila ayah balik dari surau. Ayah tengok handset ayah dah bertabur atas lantai.”
Kata ayah, ibu mengamuk sebab ayah pergi surau lama sangat. Tinggal dia dekat rumah. Allahu..
“Kalau tinggal berdua, macam-macam kata-kata kesat ibu lemparkan. Kadang ibu panggil ayah ‘celaka’, bangsat’. Ayah sabarkan hati sebab tahu sakitnya itu.”
Sangat tak sangka dengan perangai ibu yang nampak senyap di depan kami, tapi bila dengan ayah ibu jadi orang lain.
Bila kami risik-risik dengan adik-beradik ibu yang lain. Barulah kami tahu, ibu ada kisah silam yang dahsyat.
Hidup ibu memang bahagia sepanjang bersama ayah. Cuma ada masanya bila anak-anak tak ada, itulah ibu jadi sangat berbeza.
Ayah sampai takut nak tidur malam dengan ibu. Takut datang penyakit meroyan dan bila tak ingat tu boleh mendatangkan kecederaan. Ibu pun kalau tidur, kelilingnya penuh dengan senjata. Paranglah.. pisaulah..
Bila anak-anak tahu kami terkejut besar. Sampai hari ini kami masih lagi berusaha merawat ibu. Cuma penyakitnya yang dah terlalu lama akan ambil masa untuk diubati.
Buat masa ini, kasih sayanglah penawar sementara. Kasih sayang yang ibu pernah kehilangan sewaktu hidup bersama suami pertama dan ibu mentuanya dulu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menu mudah yang sedap. Ramadan semakin mendekati puncaknya. Semoga setiap langkah kita dipenuhi keberkahan!Berbuka puasa hari ke-16, mak-mak nak masak menu apa tu? Jom...